30 Mei 2011

Muktamar PAS bakal lonjak semangat jihad

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



PARIT BUNTAR, 30 Mei: Muktamar Tahunan PAS ke-57 yang berlangsung pada 2 hingga 5 Jun ini akan melonjakkan semangat jihad semua petugas parti untuk melakukan sesuatu yang terbaik bagi memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Justeru, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) ingin menarik perhatian mengenai beberapa persiapan yang sebaiknya dilakukan oleh perwakilan PAS seluruh negara sebelum mereka melangkah ke muktamar PAS tahun ini sebagai perwakilan bagi memenuhi amanah yang ditetapkan oleh kawasan masing-masing.

“Mungkin saya tidak selayaknya untuk memberi pandangan seperti di bawah namun paling kurang ianya memberi ingatan kepada diri saya sendiri,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau mengira semua perwakilan sewajarnya memastikan membawa setiap seorang atau sekurang-kurangnnya bagi setiap kawasan senaskah buku Perlembagaan PAS.

Ini, katanya penting sebagai rujukan semasa timbul kekeliruan sepanjang pengendalian sidang terutamanya sesuatu yang berkaitan dan peraturan yang sedia ada.

Menurutnya, membawa naskah perlembagaan parti setiap kali muktamar adalah sesutu yang sangat penting terutamanya semasa ada usul berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

Perwakilan juga, katanya hendaklah membudayakan untuk mencatat perkara penting berupa usul, cadangan, amanat pimpinan dan sebagainya sepanjang tempoh muktamar berlangsung seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Kerana itu, katanya bahan catatan secukupnya hendaklah dibekalkan oleh panitia atau di bawa sendiri oleh setiap perwakilan.

“Khusus bagi perwakilan yang mengidap penyakit yang memerlukan rawatan pemakanan ubat secara rutin maka saya ingatkan supaya perwakilan yang terlibat untuk membawa bekalan ubatan secukupnya,” ujarnya.

Ini, ujarnya adalah untuk mengelak gangguan kesihatan dan menjejaskan prestasi kehadiran selama sidang.

Beliau yang juga Adun Titi Serong menambah, bagi yang ditugaskan sebagai pembahas bagi setiap negeri, dicadangkan adalah sebaiknya disediakan teks perbahasan supaya perbahasan pada muktamar lebih berkualiti dan menepati masa yang telah ditetapkan.

Tambahnya, perlulah diingatkan bahawa perbahasan tersebut menjadi perhatian dan dinilai oleh banyak pihak termasuk kawan dan lawan dan sekaligus meletakkan PAS sebagai parti yang lebih disegani dan dihormati dipersada politik tanah air.

“Semoga penginapan yang sepatutnya telah ditempah sekitar Taman Melewar dan Kuala Lumpur bagi memastikan kesihatan dan stamina perwakilan juga menjadi keutamaan.

“Akhirnya saya mengharap semua perwakilan dan pemerhati diberikan keselamatan oleh Allah SWT sepanjang perjalanan pergi dan balik dari muktamar,” katanya.

Tiada ulasan: