27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memahami fungsi Putrajaya apabila mengeksploitasi Himpunan Sejuta Belia di Pusat Pentadbiran kerajaan itu baru-baru ini.
Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, program itu bukan sahaja membazirkan dana awam, malah telah dijadikan sebagai platform untuk memenuhi agenda politik Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kuasa.
Najib, katanya telah menjadikan himpunan tersebut sebagai alat menyerang Pakatan Rakyat, selepas membuat kenyataan bahawa BN akan mempertahankan Putrajaya walau apapun terjadi semasa mesyuarat Umno tahun lalu.
“Keadaan ini telah menunjukkan PM tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Di bawah konteks sebuah negara yang demokrasi, Putrajaya adalah dimiliki rakyat Malaysia dan ia merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang dipilih oleh rakyat semasa Pilihanraya.
“Putrajaya bukan dimiliki mutlak oleh mana-mana parti politik,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, kebanyakan anak muda yang hadir pada program itu juga tidak mengetahui ia merupakan satu ‘rapat umum BN’.
Disebabkan itu katanya, terdapat di kalangan pemimpin anak muda NGO yang menegaskan tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik selepas mengambil bahagian dalam program tersebuT.
“Sebagai seorang Perdana Menteri, Najib Razak seharusnya menjadi satu teladan yang baik kepada anak muda dan bukan semata-matanya melaungkan bahawa hendak mempertahankan Putrajaya bersama-sama dengan pemuda-pemudi,” katanya.
1 ulasan:
PM paling confused, cakap ikut perut bukan ikut iman....
Catat Ulasan