13 November 2008

ADUN Titi Serong puji ADUN bukan Islam baca ayat Al Quran.

IPOH, 12 Nov :- Semasa mencelah ketika Wakil Cangkat Jong membahas Bajet 2009, Wakil Titi Serong memuji beberapa wakil dari kerajaan yang tidak beragama Islam kerana menggunakah hujjah Al Quran semasa sidang berlangsung pada kali ini.

Untuk sidang yang telah berlangsung didapati 3 orang dari wakil kerajaan dari DAP iaitu Wakil Pantai Remis dan Canning , wakil dari PKR ialah dari Teja,menyelitkan ayat Al Quran dalam ucapannya.


Kata ADUN Titi Serong, jangan kita salah anggap kepada adanya orang bukan Islam yang menggunakan ayat Al Quran sebagai hujjah , yang hairan ialah masih banyak orang Islam yang takut menggunakan hujjah Al Quran.
Wakil dari Teja (PKR) menyelitkan terjemahan ayat dari Surah al Hasyr ayat 7 dan terjemahan Hadits Nabi dalam perbahasannya.

Ucapan ADUN Titi Serong Bahas Bajet 2009

Bismillahi Rahmani Rahim

Yang Berhomat Tuan Speaker

1.Saya bangun untuk membahas usul Bajet 2009 iaitu 1. Enekmen Perbekalan 2009, 2. Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2009 yang telah di bentang oleh Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar Perak Darul Ridzuan di dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker

2. Urusan mentadbir dan mengurus negeri Perak Darul Ridzuan yang disayangi, adalah satu amanah besar lagi berat. Seluruh anggota Pakatan Rakyat akan sentiasa memberi dorongan dan mendokong segala usaha kerajaan negeri Perak yang berteraskan prinsip adil, amanah, telus, wibawa dan berkebajikan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraaan rakyatnya.

3. Saya menyokong penuh gesaan Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar agar semua ahli dewan yang mulia ini berlapang dada menerima bajet 2009 ini yang secara jelas menjurus kepada usaha kerajaan negeri untuk menzahirkan sebuah negeri Perak yang berkebajikan dengan berpaksikan keseimbangan pembangunan kerohanian di kalangan rakyat dan berlandaskan Islam. Selayaknya sebagai ahli dewan yang mulia ini, yang dipilih oleh rakyat hendaklah membuktikan kewibawaan dan kesesuaian diri sebagai ahli yang berhormat.

Kini kurang lebih lapan bulan Pakatan Rakyat memerintah Negeri Perak Darul Ridzuan. Beberapa perubahan telah dibuat dan kemampuan mengolah dan menyusun strategi belanjawan 2009 sehingga mengurangkan kadar deficit daripada RM40 juta pada 2008 kepada RM25 juta pada 2009. Ini dengan jelas menunjukkan kemampuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengurus dan mentadbir negeri ini dengan cekap dan berkesan.

Sayugia itu juga lah segala usaha dan perancangan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dibuat dengan tujuan untuk menyelaraskan segala pembahagian kekayaan dan harta hasil mahsul bumi tercinta ini agar dapat dinikmati semua rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama .

5. Memang rakyat belum melihat secara jelas atau secara fizikal keberhasilan atau perubahan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan setakat ini. Yang pastinya, perubahan telahpun berlaku cuma secara fisikalnya belum kelihatan. Apapun pokok yang ditanam bukan cepat berbuah.

6. Ingin saya tegaskan juga bahawa selepas kurang lebih lapan bulan ini, rakyat bertambah yakin dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Kalau dulu atau sebelum ini mungkin bermain-main dalam benak rakyat sama ada PAS, PKR dan DAP ini mampu mengurus atau mentadbir negeri kerana kononnya tidak berpengalaman. Rakyat juga mempersoalkan sama ada Pakatan Rakyat akan membuat perubahan dalam sistem dan prosidur pentadbiran. Sistem tetap system, dan bukan menjadi hasrat kerjaan negeri pakatan rakyat mengubah sesuatu jika ia elok kecuali memperkemaskannya jua agar bertambah elok.

Kini rakyat semakin yakin, pentadbiran Pakatan Rakyat semakin terserlah dan telus. Sememang Pakatan Rakyat bukan hanya setakat boleh memerintah, tetapi boleh memerintah dengan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya.

7. Sesungguhnya, penurunan defisit kepada angka RM25 juta merupakan satu kejayaan besar bagi sebuah kerajaan yang baru memerintah dalam tempoh kurang lebih lapan bulan ini. Kebijaksanaan ini seharusnya menjadi titik tumpu ahli dewan yang mulia ini kerana walaupun kerajaan Pakatan Rakyat menghadapi kekangan kewangan daripada kerajaan persekutuan, Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar mampu mengolahkannya menjadi sedemikian positif.

Menghalusi amaun defisit yang menguncup daripada defisit RM40 juta pada 2008 itu pula, ia secara jelas menunjukkan bahawa defisit RM25 juta itu juga disebabkan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan perbelanjaan bagi mengharmonikan kesejahteraan rakyat. Lihatlah pada peruntukan yang terpaksa dibuat oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan program bagi mengimbangi kekangan media massa, peruntukan bagi dermasiswa rakyat, tabung kifalah dan lain-lainnya, semua itu menjurus kepada program baru bagi kebajikan rakyat.

Di samping itu, kerajaan negeri tentunya sedar akan tanggungan hutang semasa mengambilalih kerajaan ini juga wajib dibayar, apatah lagi kini bukan sehaluan fahaman. Jelasnya hutang 2007 berjumlah RM760.47 juta perlu dikaji dan diselaraskan pembayarannya. Kami yakin wang itu semasa dipinjamkan dahulu dengan niat murni untuk kesejahteran rakyat, namun jika sebaliknya, atau untuk golongan tertentu sahaja, maka ia amatlah mendukacitakan kerana sama ada membazirkan wang rakyat atau menzalimi rakyat jua semata-mata.

Tahniah pada kerajaan negeri yang bersikap penuh tanggungjawab untuk melunasi hutang kepada kerajaan persekutuan seperti yang dijadualkan, yang mana dianggarkan sebanyak RM23.53 juta akan dibayar kepada kerajaan persekutuan pada tahun 2009.

Semuga amalan murni ini akan berterusan sehingga jumlah hutang yang ditanggung akan terus berkurangan dan meletakkan Negeri Perak sebagai negeri yang sentiasa berusaha membebaskan diri daripada hutang dengan membayarnya secara rutin dan berkala.

8. Saya sangat yakin dengan kewibawaaan kepimpinan YAB Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan yang ada untuk meneruskan agenda pembangunan dengan mengenepikan segala kepincangan, ketidaktelusan, ketidak cekapan dalam pentadbiran bagi memastikan bajet berimbang yang diidamkan dapat direalisasikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

Kita juga yakin dengan tanpa adanya prasangka yang berterusan kepada seluruh pegawai-pegawai kerajaan, untuk memberikan taat setia dan berkerja sama sehingga ke tahap profesionelisme yang tinggi dan meletakkan kepentingan awam , rakyat dan negeri yang lebih utama.

9. Saya ucapkan syabas kepada seluruh agensi, badan-badan berkanun dan pegawai dan kakitangan kerajaan yang memberi komitmen tinggi semasa bertugas dan sentiasa menghormati hak yang diberikan rakyat Perak kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Meskipun demikian tentunya masih ada yang terus enak dibuai mimpi... semuga Allah member petunjuk dan hidayah agar manusia seumpama itu tersedar daripada lamunannya.

10. Saya menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan usaha membasmi kemiskinan melalui mekanisma dan pengurusan yang cekap serta bersih . Usaha ini perlu dimulakan dengan mengemaskinikan segala data-data serta pelbagai perkara yang menjejaskan pencapaian sebelumnya. Sesungguhnya ia amat diperlukan bagi memastikan ketelusan serta matlamat pembasmian kemiskinan ini akan tercapai sehingga ke akar umbinya. Seterusnya akan meransang `pembahagiaan kekayaan’ negeri secara saksama serta seimbang akan dapat direalisasikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, ingin saya mempersoalkan sebagai peringatan pada semua, mengapakah usaha membasmi kemiskinan yang dibuat saban tahun umpama ‘mencurah air ke daun keladi’ sahaja. Oleh itu, usaha hendaklah dilakukakan dengan lebih kemas, teratur, efisyen , telus dan memberikan impak yang optimun.

11. Sebagai langkah sampingan serta membina masyarakat yang berketerampilan pula, kerajaan seharusnya mengemaskinikan segala kemudahan fizikal dan infrastuktur untuk seluruh masyarakat. Penggunaan dewan orang ramai perlu diperkemaskan dan digalakkan. Saya menyarankan penggunaannya diperluaskan kepada seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan pendirian parti. Sikap pilih bulu atau double standard dalam kebenaraan pengunaannya seperti sebelum ini haruslah diketepikan.

12. Dengan melaksanakan pengurusan kewangan secara berhemah, dan mementingkan kebajikan kepada rakyat keseluruhannya maka saya berkeyakinan kerajaan negeri yang amanah, adil, saksama akan mendapat rahmat dan bantuan Allah. Itulah Kerajaan negeri Pakatan Rakyat .Seterusnya akan meningkatkan kemampuan kerajaan untuk terus meningkatkan pendapatannya demi kepentingan rakyat keseluruhan .

13. Adalah diharapkan pembangunan Negeri Perak akan seiring dan sejajar dengan kemajuan ekonomi Negara dan kemajuan ekonomi dunia keseluruhannya. Dengan pembangunan dunia ICT yang terus berkembang pesat ketika ini , serta merupakan agenda utama dalam pembangunan ekonomi semasa. Perak juga seharusnya tidak ketinggalan dalam arus ekonomi perdana yang sedemikian.

Oleh yang demikian saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri dengan penglibatannya yang agresif serta komitmen yang tinggi untuk memajukan bidang ICT ini di Negeri Perak. Komitmen ini mesti disertai dengan usaha yang beramanah, bersungguh-sungguh serta mampu mencorak sebuah gerakan ekonomi yang mampan dan bersepadu. Oleh itu kita berharap pelaburan Perak Hi Tech Park (PHTP) dapat dipacu sebaik mungkin untuk mencapai sebuah negeri maju menjelang 2015.

Rakyat mengharapkan projek ini bukan hanya memberi kesan pembangunan kepada kawasan dan syarikat yang terlibat sahaja. Malah ia seharusnya memberikan kesan yang lebih menyeluruh kepada syarikat kecil dalam negeri dan melebar manfaatnya kepada seluruh kawasan dan rakyat Negeri Perak.

Harapan kita juga pelaburan sebanyak 399.2 juta ringgit yang diperuntukkan bagi menjana pembanggunan `Bandar Cyber’ di MSC Meru Raya benar-benar akan memberi kesan makro dan mikro kepada ekonomi setempat khusnya dan keseluruhan Negeri Perak amnya. Ia bersesuaian dengan konsep “wealth distribution” dengan izin..yakni pengagihan kekayaan yang seimbang dan saksama untuk seluruh rakyat negeri Perak.

14. Mengenai KDNK, dengan unjuran KDNK di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri Perak berligar pada 5 peratus pada 2008 dan akan menguncup ke 4 peratus pada 2009 besesuai dengan keadaan ekonomi global, saya pasti kerajaan negeri akan memastikan bahawa kadar pelaburan dalam negeri akan terus meningkat dengan perancangan yang strategik bagi meningkatkan ekonomi negeri Perak.

Antaranya Kerajaan Negeri mestilah memberi lebih banyak galakkan dan insentif pelaburan kepada pelabur dalaman dan luaran. Karenah birokrasi, yang sering menjadi penghalang kepada pelabur untuk melabur di Negeri Perak harus dikurangkan bersesuaian dengan menjaga hal kepentingan kerajaan.

Saya mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa dan agensi penggalak pelaburan yang lebih efisyen ditubuhkan agar lebih bersungguh-sungguh bagi mencapai hasrat tersebut.

15. Bak kata pepatah Melayu “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa ” - begitulah segala sumbangan agensi-agensi kerajaan seperti LAP, SADC, PKNP dan SSI amatlah dihargai.

Saya berharap, syarikat-syarikat GLC lain turut memainkan peranan pro aktif dengan menjadi antara syarikat yang turut disenaraikan memberi pulangan kepada kerajaan Negeri pada masa akan datang, seterusnya mengurangkan lagi jumlah defisit yang ditanggung oleh kerajaan dalam bajet akan datang.

Bagi merancang urus tadbir kewangan khususnya perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan kewangan kerajaan Negeri Perak secara lebih professional, terutama yang melibatkan kerajaan dan YAB Menteri Besar, maka dengan ini saya mengusulkan sebuah enakmen yang dinamakan PERBADANAN MENTERI BESAR @ Menteri Besar Incoporated (MBI) ditubuhkan bagi melicinkan lagi urusan kewangan Kerajaan Negeri Perak.

16. Berteraskan 4 strategi belanjawan yang disenaraikan iaitu;

pertama, menjadi sebuah negeri berkebajikan,
kedua: meneruskan dasar perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat serta mempertingkatkan hasil pendapatan negeri,
ketiga ;memastikan kesejahteraan rakyat dan peningkatan kualiti kehidupan diluar Bandar dan Bandar dan ,
keempat ; menyediakan system penyampaian sektor awam yang efisyen.

Saya yakin, rakyat akan lebih merasai nikmat nya. Strategi yang berpaksi kepada keadilan dan kesaksamaan dalam perbelanjaan akan memberi kesan yang menyeluruh kepada rakyat. Pembangunan dan kesejahteraan di bawah pentadbiran kerajaan pakatan Rakyat diharap dapat mengekalkan lagi sokongan rakyat pada masa akan datang.

17. Negeri berkebajikan yang menjadi salah satu teras pentadbiran Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa mendatang. Berkat doa dari orang miskin dan dhuaafa yang selama ini diabaikan kehidupannya mudah-mudahan membuka pintu langit dan menambahkan kerberkatan selama kita melaksanakan amanah mentadbir negeri Perak ini.

Dasar pemberian air percuma kepada keluarga yang layak sebanyak RM 10.00 sebulan atau 20 m3(padu) dan peruntukan 1 juta ringgit bagi membantu meringankan beban golongan miskin tegar di seluruh Negeri Perak, merupakan awalan praktis yang baik bagi merealisasikan unsur negeri berkebajikan.

18. Di samping itu, kebajikan orang kurang upaya (OKU) mestilah ditingkatkan bagi memastikan golongan istimewa ini mendapat pembelaan sewajarnya. Sebenarnya kita sudah memiliki dua agensi yang sedia membantu golongan ini iaitu pihak Baitulmal dan Jabatan kebajikan Masyarakat, namun diingatkan peranan dan fungsi badan-badan ini mesti difikirkan keberkesanan dan kelancaran menerima maklumat dan membantu dengan segera golongan OKU.

Semasa mewakili YAB Menteri Besar merasmikan jamuan Tahunan Persatuan Orang Kurang Upaya Ipoh bulan lepas saya mendapati golongan ini masih memerlukan perhatian dan bantuan.
Antaranya persatuan OKU memohon supaya kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya serta pihak kerajaan tempatan seluruh negeri Perak mengambil kira masalah keperluan asas yang diperlukan. Antara perkara penting yang saya lihat perlu diwujudkan ialah kemudahan bas awam yang mesra OKU. Kerajaan Negeri hendaklah memastikan agar kedapatan daripada ratusan bas yang akan beroperasi di bandaraya Ipoh sebagaimana direncanakan memiliki ciri-ciri mesra OKU yang dimaksudkan.

19. Semua strategi dan dasar serta peruntukan yang dibelanjakan untuk menzahirkan Perak sebagai negeri berkebajikan wajib disokong seluruh rakyat. Saya menyeru ahli-ahli dewan yang mulia ini termasuklah rakan-rakan pembangkang menyokong bajet ini. Sesuatu yang baik seumpama ini sewajarnya disokong seperti mana Firman Allah :

“bertolong-tolonglah dalam kebaikan dan takwa dan jangan tolong menolong dalam kejahatan dan kesesatan”

Yang Berhormat Tuan Speaker.

Segala program dan dasar yang direncanakan termasuk dermasiswa rakyat, tabung kifalah dan tabung pinjaman kecil adalah menjurus kepada usaha membasmikan kemiskinan. Sayugia diingatkan bahawa pendidikan jua lah yang boleh menjadi teras kejayaan dalam sesebuah keluarga untuk mengubah status dan kedudukan sosial keluarga berkenaan. Kejayaan dalam pendidikan akan merobah sepenuhnya struktur kehidupan sebuah keluarga yang dhaif dan miskin.

Dalam bidang pendidikan Islam, usaha kerajaan meningkatkan hal ehwal kebajikan guru-guru dan penyelia KAFA serta menaikkan bantuan per kapita RM70 seorang untuk sekolah menengah dan RM60 untuk sekolah rendah bagi tempoh setahun adalah langkah amat positif. Selain itu bantuan asrama yang diberikan untuk seorang pelajar sebanyak RM440 setahun adalah dialu-alukan. Dengan sejumlah peruntukan sebanyak RM4.1 Juta. Sesungguhnya ini akan memberikan impak langsung dalam melahirkan rakyat yang berilmu,beriman dan beramal soleh.

Namun begitu usaha bagi mempertingkatkan lagi kemajuan pendidikan Islam di Perak mestilah juga difikirkan dengan lebih kukuh lagi dengan beberapa penambahbaikan. Dengan itu, saya mencadangkan disegerakan penubuhan YAYASAN ISLAM PERAK (YIP). YIP akan bertindak sebagai sebuah badan khusus yang mewakili kerajaan negeri bagi mengurus hal ehwal yang berkaitan dengan Pendidikan Islam di Negeri Perak. Penubuhannya diharapkan dapat mempertingkatkan lagi usaha kerajaan menyalurkan dana dan hal yang berkaitan bagi memajukan institusi pendidikan yang telah terbukti banyak melahirkan ulama yang membimbing ummah .

Di samping itu, kerajaan negeri juga hendaklah memberi tumpuan untuk membantu kelompok bilal dan siak di setiap mesjid di negeri Perak. Rasanya sudah sampai waktunya, khidmat mereka di intitusikan dengan rasmi dengan memperuntukan sejumlah dana tetap sebagai menghargai perkhidmatan mereka. Mereka berjasa besar dengan melaungkan kalimat azan dan membersihkan masjid.

Langkah kerajaan menubuhkan Takaful Kifalah dengan peruntukan awal sebanyak satu juta ringgit perlulah disokong oleh semua pihak. Golongan warga emas yang miskin di negeri Perak yang berumur 65 tahun ke atas yang meninggal dunia yang akan diberikan sumbangan kepada warisnya sebanyak RM1,000 melalui skim ini.

Langkah kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah 4.88 juta ringgit untuk menaikkan elaun Ketua Kampung dan memberi elaun kepada setiausaha JKKK sebanyak RM200 adalah satu langkah yang tepat dan kena pada waktunya. Keadaan ini merupakan gambaran akan ketegasan kerajaan negeri mengiktiraf peranan dan khidmat mereka sebagai satu-satunya Ketua di setiap kampung di Perak. Lantaran itu apakah logiknya kerajaan pusat menzahirkan pula ketua kampung di bawah JKKKP. Inilah yang dikatakan cakap tak serupa bikin, kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

Sikap kerajaan pusat ini jugalah menjadi pencetus kekeliruan dan perpecahan dalam sesebuah pentadbiran desa.

Penubuhan Tabung Khas Kebajikan Rakyat dengan peruntukan 2.0 juta ringgit pula tersangat kena pada waktunya. Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengendalikan urusan tabung ini mestilah menerima maklumat yang benar-benar sahih dan telus sebelum dana ini disalurkan kepada individu tertentu. Harapan saya semuga dana tambahan dari anak-anak syarikat milik kerajaan (GLC) mula disalurkan secepat mungkin kepada tabung ini. Berazamlah untuk mendapatkan keuntungan yang besar dalam mengurus syarikat masing-masing bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan, Semuga Allah mendatangkan rezeki yang tidak kita duga sebagaimana ayat yang disebutkan oleh YAB dalam awal pembentangan :

Maksudnya: Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan member rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka” (At thaalaq 2-3)

20. Alhamdulillah, pimpinan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang ada sekarang telah dicetuskan idea dan pemikiran bernas. Dasar-dasar baru yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini demi kepentingan rakyat telah mula dilaksanakan. Namun kerajaan negeri Pakatan Rakyat bukanlah tidak tahu menilai antara baik dan buruk, antara batu dan permata; dan oleh kerana itu lah, kerajaan negeri tetap meneruskan sesetengah program yang dijana kerajaan lepas jika ia mendatangkan kebaikan, terutama dalam perkara berkaitan kebajikan kepada rakyat.

21. Saya juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mempercepatkan penubuhan Masjid Cina Muslim yang pertama di negeri Perak. Kewujudan Masjid ini dengan ciri rekabentuk dan unsur tertentu akan menambahkan lagi kehebatan Islam sebagai agama yang sejagat, khususnya membuktikan bahawa Islam bukan hanya milik sesuatu bangsa.

22. Mengenai langkah berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan, saya menyokong segala usaha yang telah dan akan dirancang bagi memastikan khazanah rakyat digunakan secara berhemah dan berhemat, kerana setiap wang ringgit rakyat yang dibazirkan, apa-tah lagi jika melibatkan penyelewengan adalah sesuatu yang akan dilaknati Allah SWT kelak.

23. Pujian juga harus diberikan pada kerajaan negeri atas kejayaan meningkatkan hasil kerajaan negeri daripada unsur-unsur yang tidak berpotensi untuk mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri sebelum ini.

Antaranya pemberian geran-geran tanah kepada kampung-kampung baru dan tersusun, konsesi balak secara tender yang dijangkakan akan memberi pendapatan sebanyak RM40 juta pada tahun 2009 iaitu meningkat kepada RM23 juta berbanding dengan hanya 17 juta pada tahun 2008.

24. Mengenai perlombongan dan sumber asli pula, Kerajaan Negeri Perak hendaklah memanfaatkan segala sumber yang ada di perut bumi Perak yang makmur ini. Saya mengsyorkan Kerajaan Perak melalui Jabatan Mineral dan Geologi mengekspolitasikan sumber-sumber mineral baru untuk diperkembangkan bagi tujuan meningkatkan hasil kerajaan negeri. Masih terdapat banyak lagi sumber-sumber asli kurniaan tuhan yang terdapat di dalam tanah negeri ini.

Peningkatan hasil kerajaan negeri juga harus difikirkan melalui peningkatan `value added’, dgn izin nilai tambah kepada setiap hasil dan sumber asli yang makmur dalam negeri Perak.

Seterusnya langkah-langkah boleh juga diambil untuk menerokai lebihan sumber bekalan air kepada negeri-negeri berjiran yang memerlukan. Kerajaan negeri hendaklah menerokai bidang ini dengan kadar segera kerana ia berpotensi tinggi. Kerajaan harus memikirkan kaedah sewajarnya bagi memberi pulangan dan hasil yang semaksimun mungkin kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun adalah ditegaskan supaya keindahan serta keaslian semulajadi alam ini perlu dikawal sebaik mungkin. Kerajaan negeri mestilah memastikan mereka yang diberikan konsensi untuk menguruskan sumber tersebut adalah dipilih di kalangan yang benar-benar berkebolehan dan beramanah. Ia bagi memastikan hasil negeri yang optimun tanpa ada ketirisan serta penyelewangan yang sering berlaku sebelum ini.

25. Usaha membasmi setinggan dalam negeri Perak sehingga tahun 2010 juga hendaklah disokong sepenuhnya oleh ahli dewan yang mulia ini, namun begitu untuk merealisasikan segala usaha ini memerlukan komitmen yang tinggi dari semua pihak. Rancangan petempatan semula mestilah bukan hanya meliputi setinggan tetapi jug meliputi semua golongan rakyat yang tidak memiliki tanah sebagai tapak kediaman.

Penyediaan infrastruktur untuk rakyat juga diteruskan dalam bajet 2009, sekaligus menafikan tohmahan kononnya jika Pakatan Rakyat memerintah akan menyebabkan Negari ini menjadi mundur atau tidak membangun. Apalagi pembinaan Infrastruktur yang lengkap dan mencukupi adalah suatu asas kepada iklim pelaburan yang baik bagi negeri perak.

26. Berdasarkan laporan Audit Negara 2007 terdapat beberapa loji pembersihan air berada dalam keadaan pengurusan yang tidak cekap dan berada dalam keadaan tidak memuaskan seperti di Teluk Kepayang, Kampong Paloh,dan Kelian Gunung. Keadaaan tidak setanding dengan jumlah peruntukan yang dikeluarkan untuk loji tersebut. Oleh itu jumlah peruntukan sebanyak 503.6 juta ringgit bagi projek bekalan air sepanjang RMK 9 mestilah diseliakan dan dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

27. Rakyat tentunya sentiasa menyokong segala usaha untuk menambah baik perkhidmatan awam. Lebih-lebih lagi ia menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraaan rakyat ke tahap lebih optimum, oleh itu penubuhan OSC dan Pasukan Pemudah akan memberi impak yang lebih baik dalam pengurusan birokrasi dan pentadbiran Negeri perak.

Apa yang diharapkan kerajaan negeri lebih komited dalam perancangan pentadbiran dan dapat diselesaikan dengan baik sesuai dengan keperluan semasa. Sehubungan itu, saya berharap para pegawai kerajaan lebih komited dan jujur dalam melaksanakan tugas bagi memastikan semua rancangan berjalan dengan lancar. Berusahalah mengurangkan rungutan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama agar dapat memberi kesan yang baik dalam pertumbuhan ekonomi negeri Perak.

28. Pembangunan ICT adalah keperluan dunia global, penyediaan masyarakat kelas pertama, masyarakat berpengetahuan dan peningkatan nilai tambah dalam ekonomi serta dunia langit terbuka menjadikan pembangunan ICT menjadi pemangkin kepada penggalakan ekonomi negeri.

Segala usaha peniagaan akan menjurus kepada usaha pengunaan pembangunan ICT itu sendiri. Dari urusan pengiklanan, serta urusan juala beli suatu masa nanti hanya dihujung jari sahaja.
Oleh itu peruntukan sebanyak 18.0 juta ringgit untuk pembangunan ICT adalah sangat disokong dan perlu disokong oleh semua pihak.

29. Tahniah juga diucapkan pada kerajaan yang dapat mengekalkan anggaran jumlah pebelanjaan mengurus pembangunan dan seterusnya dapat mengurangkan defisit belanjanwan dari 39 juta ringgit kepada 25 juta ringgit.

Saya yakin kerajaan negeri akan dapat mengurangkan defisit ini dari tahun ke tahun, yang akhirnya menjurus kepada belanjawan seimbang dalam tempoh tiga tahun lagi. Insyallah.
30. Sudah tiba masanya juga, umat Islam dikenakan kutipan Zakat Pendapatan melalui potongan gaji bulanan secara menyeluruh. Pemotongan zakat melaui gaji seperti yang pernah ditaklimatkan di setiap daerah oleh jabatan Mufti perlulah segera dilaksanakan. Program ini seeloknya mula dilaksanakan pada tahun 2009 dan dianggarkan akan mendapat kutipan sebanyak RM2.5 juta setahun.

31. Selain itu, kerajaan negeri perlu memberi galakan ke atas kegiatan ekonomi yang dapat meningkatkan hasil kerajaan negeri seperti penerokaan dan memaksimun pengunaan tanah-tanah terbiar serta tanah yang berpotensi untuk kegiatan pertanian, perlombongan dan penghasilan sumber bumi.

Kerajaan juga perlu memikirkan peningkatan sumber mineral yang banyak dalam negeri ini seperti bijih timah, bijih besi, batu granit, batu kapur, pasir lombong dan pasir sungai.

32. Rakyat Perak seharusnya berbangga dengan usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan memperuntukkan belanja pembangunan RM175.8 juta untuk bajet pembangunan 2009 walaupun ia berkurangan 2.8 peratus berbanding tahun 2008, namun peruntukan itu masih melibatkan pembangunan yang menyeluruh.

Rakyat Perak seharusnya yakin dan percaya akan kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat bukan sekadar menabur janji untuk kesejahteraan rakyat, malahan hasilnya akan pasti kelihatan dalam tempoh terdekat. Saya telah difahamkan bahawa Kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa pelabur yang berminat melabur di bumi Perak sehingga November ini melalui beberapa perundingan yang telah diadakan.

YB Tuan Yang Dipertua Dewan,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, amatlah diharapkan segala perancangan dan pembentangan ini akan dapat rahmat Allah jua. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa mendorong kami yang diberikan amanah ini untuk terus bersabar dan bertaqwa kepada Allah serta bertawakkal kepadaNya bagi meneruskan agenda pembangunan yang direncanakan.

Dengan ini saya menyokong