http://akhisalman.blogspot.com
Mukaddimah
Pengajian di zaqaziq sudah bermula. Kitab yg saya ajar adalah Fatawa Al-Marah oleh Syeikh Sya'rawi dan Fatawa Tibiah Muasirah (Fatwa perubatan semasa) oleh Dr Abdur Rahman pada setiap isnin malam selasa selepas isya. Begitu juga pengajian di markaz DPM mansurah dengan kitab MawahibuzS Samad syarah matan Zubad. Malam jumaat ini ada forum Maulid di Iskandariah bersama adik2 medik. walau begitu , Saya cuba untuk bagi masa untuk menulis di blog ini. Saya memilih tajuk ini supaya kita bertambah takut untuk melakukan maksiat. Mudah2an kita dijauhi dari nerakanya. Dosa yang perlu dijaga oleh orang agama adalah maksiat batin yang banyak memusnahkan ibadat diantaranya riya, sombong, berasa dah selamat dari neraka, sangka buruk dan lain-lain. Ini semua lebih bahaya dari maksiat zahir.
ZAQQUM
Firman Allah swt:
إِنَّ شَجَرَةَ الزَّقُّومِ طَعَامُ الْأَثِيمِ كَالْمُهْلِ يَغْلِي فِي الْبُطُونِ كَغَلْيِ الْحَمِيمِ
Sesungguhnya pohon zaqqum itu, makanan orang yang banyak berdosa. Ia bagaikan kotoran minyak yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang amat panas. (43 – 46 : ad-Dukhan)
Firman Allah swt:
أَذَلِكَ خَيْرٌ نُّزُلاً أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِّلظَّالِمِينَ إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُؤُوسُ الشَّيَاطِينِ فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِؤُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ
(Makanan surga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum.?Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai ujian bagi orang-orang yang zalim (samada mereka percaya atau tidak). Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang tumbuh dari dasar neraka. Buahnya seperti kepala syaitan-syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu sehingga memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu. (62 – 66 : as-Saffat)
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya Nabi saw membaca ayat ini:
اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
“bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”
Rasulullah saw bersabda:
لَوْ أَنَّ قَطْرَةَ الزَّقُّوْمِ قَطَرَتْ فِي دَارِ الدُّنْيَا لَأَفْسَدَتْ عَلَى أَهْلِ الدُّنْيَا مَعَايِشِهِمْ فَكَيْفَ بِمَنْ يَكُوْنُ طَعَامهُ؟
“Sekiranya setitis zaqum menitis ke dunia nescaya akan merosakkan seluruh kehidupan ahli dunia. Bagaimana keadaan orang yang setiap hari buah zaqum menjadi makanannya?”
Hadis riwayat Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban. Syekh Syuaib menyatakan sanad hadis ini sahih.
Imam Ibnu Kathir berkata:
“Allah swt menyatakan mereka memakan pokok ini walaupun rupanya sangat buruk dan sangat hodoh. Tambahan lagi dengan rasanya yang tidak sedap dan bau yang busuk. Mereka terpaksa makan kerana tidak ada yang lain.”
GISLIN
Firman Allah swt:
فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَاهُنَا حَمِيمٌ وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِين لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِؤُونَ
Maka tiada seorang temanpun baginya pada hari ini di neraka ini Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa. (35-37 : al-Haqqah)
Ulama berselisih pendapat terhadap hakikat Gislin seperti berikut:
1. Nanah ahli neraka yang keluar dari luka dan kemaluan mereka. (Ibnu Abbas)
2. Pohon yang menjadi makanan ahli neraka. (Dahhak dan Rabie bin Anas)
3. Air dari basuhan daging dan darah ahli neraka. (Akhfasy)
DARIE’
Firman Allah swt:
لَّيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلَّا مِن ضَرِيعٍ لَا يُسْمِنُ وَلَا يُغْنِي مِن جُوعٍ
Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri. yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar. ( 6 dan 7 : al-Ghasiah)
Para Ulama berselisih pendapat terhadap Darie’. Diantaranya adalah seperti berikut:
1. Tumbuhan yang berduri yang melata di tanah. (Pendapat Ikrimah, Mujahid dan kebanyakan ulama tafsir)
2. Batu (pendapat Said bin Jubair)
3. Tumbuhan hijau yang busuk. Ianya dilemparkan laut ke daratan. (pendapat Khalil)
4. Pohon berasal dari api neraka. (Pendapat Ibnu Abbas)
Pendapat yang dipilih adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Qurtubi:
“Pendapat yang lebih jelas adalah ianya pokok yang berduri seperti ianya di dunia. Daripada Ibnu Abbas ra, Nabi saw bersabda:
“ Darie adalah sesuatu yang ada dalam neraka. Ia meyerupai duri. Lebih pahit dari pokok lidah buaya. Lebih busuk dari bangkai. Lebih panas dari api. Allah swt namakannya sebagai Darie.” (Hadis riwayat Ibnu Mardawiyah – sanadnya lemah)
MAKANAN YANG SUKAR UNTUK DITELAN
إِنَّ لَدَيْنَا أَنكَالاً وَجَحِيماً وَطَعَاماً ذَا غُصَّةٍ وَعَذَاباً أَلِيماً
Karena sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. Dan makanan yang menyebabkan tercekik di kerongkong dan azab yang pedih. (12 – 13 : al-Haqqah)
Ibnu Abbas berkata:
“Makanan yang tidak boleh ditelan dan tersangkut di halkum. Tidak boleh turun ke perut dan tidak boleh dikeluarkan. Makanan ini adalah Gislin, Zaqqum dan Dharie.”
KELAPARAN YANG MENYEKSAKAN
Abu Darda berkata: Rasulullah saw bersabda:
يلقي أهل النار الجوع فيعدل ما هم فيه من العذاب فيستغيثون فيغاثون من ضريع لا يسمن ولا يغني من جوع فيستغيثون بالطعام فيغاثون بطعام ذي غصة قيذكرون أنهم كانوا يجيزون الغصص في الدنيا بالشراب فيستغيثون بالشراب فيدفع إليهم الحميم بكلاليب من حديد فإذا دنت من وجوههم شوت وجوههم فإذا دخلت بطونهم قطعت ما في بطونهم
“ Dicampakkan rasa lapar kepada ahli neraka. Kelaparan yang mereka rasai menyamai azab yang mereka alami dalam neraka. Lalu mereka menjerit meminta tolong dan mereka pun diberikan Darie yang tidak menghilangkan kelaparan mereka. Lalu mereka menjerit meminta makanan dan mereka pun dibawa makanan yang menyebabkan mereka tercekik. Mereka teringat kalau tercekik didunia mereka hilangkan dengan air. Mereka pun meminta air minuman. Lalu mereka diberi air yang sangat panas dengan besi-besi panjang yang berkapala sabit. Muka mereka hangus terbakar apabila air ini menghampiri mereka. Segala isi perut terputus apabila masuk kedalam perut mereka.
Hadis riwayat Tirmizi dengan sanad yang lemah. Kebanyakan apa yang disebut dalam hadis ini ada disebut dalam ayat Quran dan Hadis sahih yang lain.
OLEH ITU KITA MESTI BERWASPADA DARI MELAKUKAN MAKSIAT DAN HENDAKLAH BERSUNGGUH-SUNGGUH MELAKUKAN TAAT. JANGANLAH KITA BERPUAS HATI DENGAN APA YANG KITA AMALKAN. AMALAN ITU MUDAH ITU DILAKUKAN TETAPI MEMASTIKANNYA DITERIMA SANGAT SUKAR. SAYA HARAP AYAT2 QURAN DAN HADIS INI DIBACA DAN DIRENUNG SELALU SEHINGGA TIMBUL PERASAAN TAKUT DAN MENANGIS. iNI SEMUA UNTUK MENAMBAHKAN IMAN DAN MENJAUHKAN MAKSIAT.
RUJUKAN: Tafsir Qurtubi, Tafsir Ibnu Kathir, Tuhfatul Ahwazi, Sunan Tirmizi tahqiq syeikh Syuaib, Muntaqa oleh Dr Yusuf Qardawi, Tazkirah oleh Qurtubi, Buhur Zahirah oleh Imam as-Safirani.