08 Jun 2011

Karpal nasihatkan Dr M supaya bertaubat

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengerusi DAP yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh menggesa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berkelakuan seperti seorang negarawan ulung dan menutup mulutnya.

Katanya, Dr Mahathir yang sedang “meniti usia yang senja” sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya supaya bertaubat atas segala salah laku silamnya.

“Dia banyak buat kesalahan (semasa menjadi perdana menteri) dan sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya untuk bertaubat kerana banyak bersalah kepada negara dan rakyat,” katanaya.

“...Sebagai perdana menteri, dia sangat degil dan tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu.”

Menurut Karpal lagi, Mahathir juga tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal Pakatan Rakyat.

Beliau mengulas komen dalam blog yang dimuat-naik oleh Mahathir semalam yang mendakwa Karpal sepatutnya gembira dengan barisan kepimpinan baru PAS yang dikatkan lebih rapat dengan DAP.

Mahathir menulis Karpal tidak lagi perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya terlebih dahulu jika parti tersebut berhasrat mahu menubuhkan sebuah negara Islam kerana, perjuangan pengerusi DAP itu sudah pun tercapai tanpa perlu dia bersusah-payah.

"Tokoh yang memang besar di sebalik muktamar kali ini adalah Karpal. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam yang akan menguatkuasa hukum hudud sudah pun tercapai. Karpal tidak perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya.

"Belum pun dia mati, PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama. Sekarang PAS akan berjuang untuk negara kebajikan," kata Mahathir dalam blognya.

Mengulas tulisan itu, Karpal berkata Mahathir juga tidak harus lupa bahawa sekitar 2001 di perhimpunan Gerakan, mantan perdana menteri itu telah berkata Malaysia adalah sebuah "negara Islam".

“Kenyataan di blognya itu tak perlu kerana dia sudah berkata demikian, kali pertama pada 2001, kecuali dia sudah lupa,” kata Karpal.

Beliau juga mengalu-alukan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu membawa Malaysia ke sebuah negara berkebajikan jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Malaysiakini/-

Persatuan Pengguna Ancam Boikot Astro Bantah Kenaikan Caj Langganan

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengancam akan menggerakkan usaha memboikot Astro ekoran langkah stesen televisyen berbayar itu untuk menaikkan caj langganan mulai Julai ini.

Sambil menyifatkan kenaikan itu sebagai membebankan pengguna, Penasihat PPIM Tengku Azwil Tengku Abdul Razak meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyiasat apa yang dinamakan oleh Astro itu sebagai "penyelarasan caj langganan" yang baru.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa sebagai pengendali stesen televisyen berbayar eksklusif di negara ini, Astro tidak sepatutnya mengenakan caj tambahan ketika rakyat dibebani kenaikan harga barangan.

Astro pada Isnin lepas mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Tengku Azwil berkata PPIM menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai kadar pelarasan itu serta juga mengenai perkhidmatan Astro.

Beliau berkata sekiranya Astro gagal mengekalkan yuran langganan sedia ada, PPIM serta ahli gabungan akan memboikot syarikat penyiaran berbayar itu.

"Kita ada 2.5 juta ahli gabungan di bawah PPIM. Banyak lagi berita serta hiburan yang boleh kita peroleh daripada stesen televisyen percuma," katanya.

Tengku Azwil juga berkata kebanyakan program sukan yang membabitkan kepentingan negara seperti Liga Super telah diambil alih oleh Astro.

"Semua diambil oleh Astro pasal mereka berkemampuan untuk membeli program berkenaan. Justeru, rakyat yang ingin menonton program-program berkenaan harus melanggan kepada Astro, katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan suatu ruangan kepada pengguna Astro di negara ini mengenai komen mereka terhadap syarikat penyiaran berkenaan.

"Dalam ruangan yang boleh dilayari di www.muslimconsumer.org.my itu, mereka (pelanggan Astro) boleh memberi maklumat balas kepada PPIM mengenai perkhidmatan Astro," katanya.- BERNAMA

3 nyaris maut kedai dirempuh

6 Rejab 1432H. [MOD] -



ALOR GAJAH: Tiga sekeluarga nyaris maut apabila premis jualan langsung diusahakan lima bulan lalu dirempuh kereta Toyota Rush dipercayai dinaiki sekumpulan remaja di pekan Masjid Tanah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Shaharudin Salleh, 60, bersama isterinya berada di dalam kedai terbabit dan menonton televisyen bersama anak perempuan mereka, Fadhilah Shaharudin, 37.

“Kami bertiga menonton televisyen sebelum terdengar bunyi deruman enjin kereta semakin dekat dan tidak sampai berapa saat bahagian depan kereta itu merempuh pintu kaca bahagian tepi kedai.

“Kereta itu merempuh masuk menghentam televisyen di atas meja menyebabkan meja itu berpusing beberapa kali dan meluncur merempuh pintu kaca bahagian depan kedai dan berhenti beberapa inci dari tubuh saya.

“Saya tergamam dan menggigil ketakutan serta hanya memikirkan maut ketika itu,” katanya.

Sementara itu, pemilik kereta terbabit, Norizan Rosli, 40, mendakwa meminta seorang anaknya mengambil penapis air di sebuah kedai berhampiran rumahnya di Taman Bandar Baru, dekat sini, Menurutnya, dia meminta bantuan anaknya, Mohd Sadiq mengambil penapis itu kerana tidak boleh meninggalkan rumah bagi menjaga seorang anak yang menghidap demam panas.

“Walaupun kedai itu dekat, tetapi dia masih tidak pulang walaupun 15 minit berlalu, naluri ibu tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Ia kenyataan apabila anak saya muncul dengan tiba-tiba dan dapat melihat kesan luka di tangan sebelum mendesak memberitahu apa yang berlaku,” katanya.

Norizan berkata, anaknya memberitahu dia ditahan seorang remaja yang menghimpit menggunakan motosikal sebelum merampas keretanya dan melanggar premis kedai.

Sementara itu, Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Alor Gajah, Cif Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan pihaknya menahan remaja terbabit bagi siasatan lanjut.

“Kami difahamkan, remaja terbabit memandu kenderaan orang lain tanpa lesen dan tindakan saman akan dikenakan juga terhadap ibu bapa mereka kerana membiarkan anak memandu kenderaan menyebabkan kerosakan harta benda perseorangan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen dan menyebabkan kemusnahan harta benda awam,” katanya.

Cedera dirempuh kuda

6 Rejab 1432H. [MOD] -


GEORGETOWN: Percutian empat sekeluarga hampir berakhir dengan tragedi memilukan apabila seorang daripada mereka cedera dirempuh seekor kuda yang ditunggang seorang lelaki di pantai Batu Feringgi, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, keluarga berkenaan dikatakan sedang bermain di tepi pantai berhampiran dengan sebuah hotel, kira-kira jam 10.30 pagi.

Gambar hiasan

Bagaimanapun, kuda yang ditunggang seorang lelaki tiba-tiba muncul di celah pengunjung sebelum merempuh seorang kanak-kanak, Arina Kirana Azrin, 5, menyebabkannya terpelanting. Berikutan rempuhan itu, tulang selangka Arina dipercayai patah.

Bapanya, Azrin Abdul Razak, 37, seorang kakitangan awam di Putrajaya berkata, keluarganya bercuti dan menginap di sebuah hotel berhampiran bersama isteri dan dua anaknya termasuk Arina.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari tempat Arina dan kakaknya yang berusia 12 tahun bermain.

Katanya, kejadian berlaku begitu pantas apabila dalam keadaan pengunjung yang ramai kuda berkenaan dipercayai merempuh anaknya menyebabkan anaknya terpelanting.

“Keadaan menjadi kelam-kabut dan dia yang panik terus menerkam anaknya yang dalam keadaan separuh sedar sebelum mengejarkannya ke sebuah klinik berhampiran dengan bantuan kakitangan hotel.

“Selepas menerima rawatan awal itu, Arina diarahkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dikehendaki menjalani pemeriksaan X-Ray sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya.

Azrin berkata, dia kecewa dan marah terhadap penunggang kuda dipercayai ‘budak pantai’ yang melarikan diri dari tempat kejadian tanpa bertanggungjawab terhadap tindakan dilakukannya.

Menurutnya, lebih kecewa lagi apabila dia dimaklumkan aktiviti berkuda di pantai diharamkan kerajaan negeri.

“Hanya Tuhan saja mengetahui dan mengerti perasaan saya ketika ini dan sebagai bapa saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab itu,” katanya.

Parah langgar penghadang

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

REMBAU: Seorang lelaki cedera parah apabila kereta Perodua Viva dipandunya terbabas ke bahu jalan dan merempuh besi penghadang dalam kemalangan di Kilometer 226.9, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Utara, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa, Mohd Temaz Mohd Hassan, 40-an, cedera teruk di kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu bersendirian dan gagal mengawal pergerakan kenderaan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang di bahu jalan.

“Pemeriksaan kemudian mendapati mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Menurut jurucakap itu, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dedah PPA: DAP persoal tawaran Mukhriz

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Jun: Tawaran Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir untuk membolehkan para ahli parlimen melihat dokumen rahsia perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dimeterai antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP) dipersoalkan oleh Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Pua berkata dokumen perjanjian tersebut dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA), di mana sesiapa saja yang memegang dokumen tersebut boleh dipenjarakan, dengan itu kenyataan Mukhriz adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya boleh kata kenyataan Mukhriz di secara keseluruhannya tidak berasas. Ahli Parlimen tidak dibenarkan akses kepada dokumen yang berada di bawah Akta Rahsia Rasmi. Untuk dapat akses ke dokumen tersebut, kabinet perlukan laksanakan satu proses deklasifikasi.

Di bawah akta tersebut, jika sesiapa yang didapati memiliki dokumen tersebut boleh dihukum dengan penjara mandatori satu tahun, atau sehingga tujuh tahun di dalam penjara,” kata Pua dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Pua turut mengingkap kembali perjuangan penasihat DAP Lim Kit Siang yang menentang pindaan kepada OSA pada 1986 kerana ia disifatkan sebagai satu ancaman kepada proses demokrasi berparlimen negara, kebebasan media, perundangan, kebertanggungjawaban kerajaan dan Malaysia yang bebas rasuah.

“Ahli Parlimen langsung tidak mempunyai imuniti kepada dokumen (walaupun 5 minit) rahsia kerajaan!” selar Pua, sambil mengingatkan layanan yang sama telah diberikan kepada kontrak perjanjian lebuh raya dan juga Pelabuhan Bebas Klang (PKFZ), di mana ia hanya boleh diakses setelah proses deklasifi yang dipanjang oleh kabinet dan Peguam Negara.

Pua turut mengatakan bahawa kenyataan Mukhriz amat bertentangan dengan apa yang dinyatakan Menteri Tenaga, Air and Teknologi Hijau, Datuk Peter Chin bahawa kerajaan tidak ada kuasa untuk mendesak Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) didedahkan, yang dibuat selepas pendedahan bahawa TNB terpaksa membeli kuasa daripada IPP yang menikmati subsidi daripada kerajaan.

“Siapa yang sedang bercakap benar, siapa yang tipu?” tanya Pua.

Pua berkata beliau tidak kisah jika dipanggil seorang yang “bodoh” jika Mukhriz dapat memberikan setiap ahli parlimen satu salinan PPA dengan satu surat jaminan daripada Peguam Negara bahawa Ahli Parlimen tidak akan dihukum di bawah akta OSA kerana memiliki dokumen rahsia tersebut.

“Jika tidak, mungkin Mukhriz patut terangkan panjang lebar mengapa kerajaan tidak mahu deklasifikasikan dokumen yang melibatkan kepentingan awam ini, terutamanya pada masa berlakunya kenaikan tidak wajar tarif elektrik ke kawasan perumahan, komersial dan pengguna industri, tanpa melakukan sebarang perubahan kepada struktur perjanjian berat sebelah PPA yang membenarkan IPP untuk terus mendapat keuntungan berbillion ringgit setahun,” tambah Pua.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau akan memastikan Mukhriz tidak akan memungkiri tawarannya untuk membolehkan dokumen PPA diberikan kepada beliau dan ahli parlimen yang lain dalam sesi parlimen akan datang.

AS suruh Saleh serah kuasa

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Ali Abdullah Saleh
25 lagi terbunuh keadaan dalam negara Yaman terus kacau bilau

SANAA: Amerika Syarikat terus mendesak Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh supaya menyerah kuasa ketika 25 lagi maut selepas pertempuran meletus semalam antara tentera Yaman dengan kumpulan lelaki bersenjata disyaki anggota pergerakan al-Qaeda di selatan negara itu.

Saleh, 69, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Arab Saudi selepas cedera dalam serangan di istana presiden, Jumaat lalu.
Pembangkang yang disokong penunjuk perasaan bersumpah untuk menghalangnya kembali berkuasa sementara Amerika menggesa satu “peralihan kuasa segera.”

“Kami percaya satu peralihan segera adalah yang terbaik demi kepentingan rakyat Yaman dan mengekalkan kestabilan secara jelas dalam satu situasi amat tidak stabil,” kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, bercakap bersebelahan rakan sejawatannya dari Perancis Alain Juppe dalam satu sidang media di Washington, pula jelas mengatakan Saleh perlu berundur.

“Saya tidak dapat buat spekulasi apa yang akan dilakukan atau diperkatakan Saleh, namun kami mahu menegaskan dan menggesa satu peralihan kuasa secara aman dan teratur, bukan secara ganas supaya sejajar dengan perlembagaan Yaman.

“Kami fikir peralihan segera memenuhi kepentingan rakyat Yaman kerana ketidakstabilan dan kekurangan kawalan keselamatan tidak dapat ditangani sehingga ada proses menjurus kepada pembaharuan ekonomi dan politik yang dicari mereka” katanya.
Washington menyokong pendirian blok Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan menyaksikan Saleh menyerahkan kuasa kepada sebuah pentadbiran sementara dalam tempoh 30 hari sebagai pertukaran kekebalan daripada pendakwaan.

Namun, timbalan Saleh, Abu-Rabbu Mansur Hadi berkata presiden semakin pulih dan beliau akan kembali ke Yaman dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sementara itu, dalam pertempuran terbaru antara tentera Yaman dan al-Qaeda di selatan Yaman, 25 orang terkorban, sembilan daripadanya anggota tentera.

Pertempuran meletus apabila tentera diserang ketika bergerak ke bandar Zinjibar pada waktu malam bagi merampasnya semula daripada kawalan pelampau.

Penduduk melaporkan, pertempuran meletus di luar Zinjibar tetapi tentera belum berupaya memasuki bandar itu.

Militan disyaki al-Qaeda mengawal sebahagian besar Zinjibar, ibu kota wilayah Abyan selepas membuat serbuan 29 Mei lalu. Hanya pangkalan tentera di bandar itu, menempatkan briged mekanikal ke-25 berada di tangan kerajaan.

“Pertempuran hebat meletus antara tentera dan lelaki bersenjata al-Qaeda apabila tentera mara ke arah bandar untuk menawannya,” kata pegawai tentera menyatakan sembilan askar maut dan 10 lagi cedera. – AFP

Seorang ahli JI ditahan di bawah ISA

6 Rejab 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengesahkan seorang ahli kumpulan Jemaah Islamiah (JI) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ahad lalu.

Dia ditahan di Kampung Batu Belah, Klang, Selangor.
Ismail berkata, penahanan itu dibuat selepas polis yang mengawasi aktiviti Abdul Haris Syhuhadi, 63, seorang ahli perniagaan Indonesia boleh membahayakan keselamatan negara.

"Saya hari ini sahkan penahahan tersebut. Saya percaya perbuatan dia boleh membahayakan keselamatan negara dan kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya," kata Ismail di sini, hari ini.

Abdul Haris dikatakan menyebar fahaman dan idologi JI serta menarik ahli baru dalam kumpulan militan itu secara aktif di negara ini teruatamanya di Klang dan Banting, Selangor sejak 2002. - BERNAMA

Gillard pertahan perangi Taliban di Afghanistan

6 Rejab 1432H. [MOD] -

SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menyifatkan peperangan di Afghanistan tidak berpanjangan kerana mereka hanya mahu memerangi kumpulan militan, semalam, selepas seorang lagi tenteranya terkorban di tangan kumpulan pejuang Taliban di negara itu.

Tentera berumur 23 tahun dari Unit Operasi Tugas Khas itu adalah keempat terkorban sejak dua minggu lalu, sekali gus menjadikan jumlah terkini adalah seramai 27 terbunuh dalam konflik tercetus selama sedekad.

Gillard menganggap ia sebagai ujian memandangkan negara sekutu lain juga berhadapan masalah sama dalam memerangi kegiatan kumpulan militan.

Beliau juga tidak dapat berjanji segalanya akan berakhir kerana pasukan tenteranya perlu sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi segala kesukaran di negara kubu pejuang itu.

Sinar Harian/-

Masukkan daging babi dalam kasut jemaah masjid

6 Rejab 1432H. [MOD] -


LONDON: Seorang lelaki memasukkan daging babi ke dalam kasut penduduk Islam yang ditinggalkan di luar masjid ketika mereka menunaikan solat.

Jamie Knowlson, 30, yang melakukan perbuatan itu ketika mabuk, juga meninggalkan kepingan daging babi pada pagar sekeliling masjid berkenaan.

Gambar hiasan

Sebuah mahkamah di sini diberitahu, ketika meninggalkan tempat berkenaan, Knowlson menjerit ke arah jemaah di dalam masjid: “Lain kali saya akan melakukan lebih teruk daripada ini. Orang terkutuk.” Knowlson melakukan perbuatan jahat itu di Masjid Al-Baseera di St Judes, Bristol yang sering dikunjungi kira-kira 2,000 umat Islam keturunan Somalia.

Apabila ditangkap berhampiran masjid itu, dia memberitahu polis, dia hanya bergurau.

Dia kemudian mengaku menyedari perbuatan itu menyakitkan hati umat islam dan kembali ke masjid itu untuk meminta maaf.

Hakim mengenakan hukuman penjara tertangguh enam bulan kerana Knowlson sudah meminta maaf.

Imam Masjid Al Baseera, Mubarak Mohamud berkata: “Kami terkejut dengan perbuatannya tetapi kami diajar untuk bersabar dan bertolak ansur.” 

Agensi

Nenek sakit, atuk ulit janda

6 Rejab 1432H. [MOD] -



ALOR SETAR: Isterinya sedang sakit di kampung, namun gelora nafsu memuncak menyebabkan seorang lelaki warga emas dan rakannya mengambil kesempatan membawa pulang seorang janda ke sebuah rumah di Kampung Melung, Jalan Datuk Kumbar di sini, untuk memuaskan nafsu mereka.

Warga emas berusia 60 tahun yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang mempunyai enam cucu, manakala rakannya lingkungan 50-an dikatakan mengenali wanita berusia 25 tahun itu ketika bersiar-siar di mini I-City berhampiran Dataran Paris dekat sini, kelmarin. 

Bagaimanapun, perbuatan keji mereka terbongkar apabila dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam bilik di sebuah rumah yang dipercayai didiami keluarga adik ipar lelaki berusia 50 tahun itu oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), kira-kira jam 1.30 pagi. 

Ketika ditahan, anggota Rela terbabit memberi alasan isterinya sakit sejak 20 tahun lalu, malah anaknya langsung tidak menjenguk, manakala rakannya pula mendakwa baru kematian isteri yang juga orang kurang upaya (OKU) beberapa bulan lalu.

Kesempatan itu digunakan mereka untuk membawa pulang janda beranak dua itu bagi memuaskan nafsu walaupun wanita berkenaan baru dikenali tidak sampai beberapa jam sebelum diajak melakukan hubungan seks.

Chelsea kini buru Sneijder

6 Rejab 1432H. [MOD] -



LONDON: Chelsea kini memburu pemain tengah Inter Milan, Wesley Sneijder yang bernilai USD 30 juta (RM148 juta) selepas mendapat nasihat daripada Guus Hiddink.

kuad the Blues itu yakin Hiddink akan menjadi pengurus baru mereka minggu depan. Pengendali dari Belanda itu mengarahkan Chelsea supaya mengatasi tawaran Manchester United dan City yang turut berminat mendapatkan Sneijder.


Pemain perancang berusia 27 tahun minggu ini semakin hampir meninggalkan Inter pada musim panas ini kerana sudah menyatakan minat untuk beraksi di England.

Pengurus United, Alex Ferguson mengikuti perkembangannya dan menganggap Sneijder pemain terbaik menggantikan Paul Scholes di Old Trafford.


Namun permintaan Sneijder untuk bayaran gaji RM200,000 seminggu menyukarkan United sebaliknya meyakinkan Chelsea mereka mempunyai tawaran lebih menarik berbanding City.


The Blues menunggu ketua FA Turki, Mahmut Ozgener kembali bertugas minggu depan sebelum membuat tawaran rasmi kepada Hiddink, 64.

Turki semakin hampir kehilangan Hiddink meskipun beliau masih mempunyai kontrak setahun sebagai jurulatih kebangsaan apabila the Blues bersedia menebus kontrak RM4 juta (RM19.7 juta).

Sementara itu, Carlo Ancelotti yang dipecat Chelsea bulan lalu menafikan beliau mendapat tawaran daripada Aston Villa dan Fulham.

“Saya tidak mahu tergesa-gesa untuk bertugas semula dan tidak perlu melakukannya. Saya akan berehat setahun untuk mendalami pengetahuan,” kata pengendali dari Itali itu. 

Agensi

Apakah Umno-BN Faham Erti Negara Berkebajikan?

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KOMENTAR : Ini satu lagi ujian bagi rakyat Malaysia; sekurang-kurang untuk menyukat kefahaman dan kebijaksanaan mereka. Persoalan kali ini mudah – apakah erti kebajikan? Dan, setelah mengerti istilah kebajikan, apakah pula yang dimaksudkan dengan Negara Berkebajikan?

Seperti biasa pemimpin Umno-BN akan menggunakan segala kudrat media dan instrumen penerangannya untuk memberi takrif kebajikan dari sudut pandang mereka. Umumnya, pemimpin Umno-BN mendakwa mereka telahpun melaksanakan tuntutan Negara Berkebajikan dalam urusan pentadbiran negara.

Tanpa sebenarnya mengulas dan memperinci erti kebajikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, misalnya, terus mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Berkebajikan. Dalilnya, kata beliau, kerajaan telah memberi dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat di bidang pendidikan, prasarana, subsidi sara hidup dan sebagainya.

Lantas, beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin, memperlekehkan teras perjuangan PAS kini untuk menegakkan sebuah Negara Berkebajikan. Malah diperli-perli pula PAS yang kononnya tergamak meninggalkan perjuangan menegakkan sebuah Negara Islam.

Seolah-olah meratapi anjakan keutamaan PAS ini, Umno mahu perjuangan mulia PAS menegakkan Negara Islam diteruskan. Namun rakyat yang peka tentu dapat membaca dalam usaha memikat pengundi Melayu-Islam, Umno melalui bekas presidennya, Dr Mahathir Mohamad, dengan selamba menabalkan Malaysia sebuah Negara Islam hanya kerana Perlembagaan menyebut Islam agama rasmi Persekutuan.

Langkah itu semua diambil dengan tujuan mematikan langkah politik PAS terus memenangi hati dan minda orang Islam di negara ini untuk menyokong agenda menegakkan sebuah Negara Islam di Malaysia!

Kini apabila PAS memperkenalkan konsep perjuangan Negara Berkebajikan, Umno (melalui Presiden dan Timbalan Presiden) beria-ia benar mengumumkan kerajaan Umno-BN memang sudah lama memperjuangkan konsep Negara Berkebajikan itu.

Memang diakui demikian. Namun tindakan Umno-BN itu adalah satu usaha yang dilakukan sudah terlalu lama dahulu. Itupun ketika Umno-BN belum lagi dirasuk nafsu serakah untuk menghimpunkan dividen kebajikan kerajaan kepada sanak saudara dan suku sakat Umno dan sedikit sahaja untuk ahli komponen BN yang lain.

Sejak berjaya melakarkan impian bahawa Malaysia akan menjadi sebuah Negara Maju menjelang tahun 2020, Umno mula memusatkan perhatian untuk menghimpunkan kekayaan dan kemewahan atas nama Dasar Ekonomi Baru. Kira-kira RM54 bilion dikumpulkan untuk menjana kekayaan bagi pihak kaum Bumiputera.

Hari ini hanya RM2 bilion sahaja yang boleh dikaitkan dengan pemilikan Bumiputera baki RM52 bilion itu lesap atau tiris entah ke mana. Hanya Umno dan pemimpinnya tahu siapakah yang benar-benar mendapat manfaat daripada kerangka kebajikan yang diwar-warkan oleh Najib dan Muhyiddin ini.

Adalah selamat dikatakan bahawa Umno-BN Cuma faham erti kebajikan dari sudut material semata-mata. Dari tindak tanduk dan sikap, boleh dirumuskan bahawa Umno tidak menghitung bahawa pengertian Negara Berkebajikan juga mempunyai dimensi rohaniah atau kejiwaannya.

Seseorang yang bernaung di bawa sebuah Negara Berkebajikan mungkin tidak lengkap dibantu dengan kebajikan material sahaja. Kebajikan yang hakiki ialah ketenangan, kesejahteraan dan kemakmuran jiwa dan akal fikiran. Perspektif ini amat penting diterjemah dan dihayati dalam sesebuah negara yang berkebajikan.

Soal bantuan ekonomi dan materi lain memang mutlak menjadi tanggungjawab kerajaan. Namun bantuan dan kebajikan hakiki mestilah dijelmakan dalam soal bebas menghayati rasa aman, sejahtera dan selamat daripada segala onar. Rakyat harus bebas dari ketakutan harta-benda dan nyawa mereka dicerobohi. Jika ia disakiti oleh hasad dengki insan lain, ia tahu bahawa ia akan dapat pembelaan dan, jika ia dibicarakan, ia yakin bahawa ia akan dihakimkan dengan adil.

Bila disebut Negara Berkebajikan, ia bermakna rakyat mestilah dilindungi oleh hambatan ekonomi seperti inflasi, menghuni sistem perumahan yang munasabah dan mampu memelihara maruah individu dan keluarganya. Kemudahan hidupnya seperti peluang pendidikan, prasarana pengangkutan dan sebagainya mestilah diapit erat oleh ketenangan, keamanan dan keadilan yang dijamin oleh pemerintah.
Maka apabila Najib dan Muhyiddin bersorak bahawa Umno-BN sudahpun mengamalkan konsep Negara Berkebajikan, ia pasti satu pengertian dan cerminan kefahaman dan kepemimpinan yang cacat. Kebajikan material Umno-BN tidak diimbangi dengan dimensi kebajikan kejiwaan.

Bagaimana mungkin akan ada ketenangan jika dalam kehidupan seharian kos sara hidup semakin merentap nilai setiap sen yang diperolehi dari jerih rakyat oleh inflasi lantaran kebebalan pengurusan kerajaan memotong subsidi barangan perlu tetapi masih mempertahankan jaminan RM19 bilion subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) saban tahun?

Kebajikan apa namanya jika setiap ibubapa sentiasa musykil, bimbang dan ngeri akan keselamatan anak dan keluarga dalam kes kejadian jenayah yang semakin parah? Kebajikan apa namanya, jika agensi keselamatan dilihat lebih mudah diarah oleh pemerintah untuk menggertak dan mengancam rakyat yang mahu bersuara tentang kepincangan sistem pilihanraya, mahkamah dan menuntut hak untuk bebas bersuara?

Untuk mencapai status Negara Maju, Malaysia memerlukan warga yang tinggi pendidikannya dan lapang pemikirannya tanpa cengkaman peraturan dan undang-undang yang zalim. Rakyat memang dengan penuh komitmen sentiasa membimbing keluarga masing-masing ke arah itu. Maka zaman untuk terus menjadi tukang angguk kepada sebuah pemerintah seperti Umno-BN yang berpendirian “hanya kerajaan yang lebih tahu” sudah berlalu.

Rakyat hari ini lebih mengerti maksud Negara Berkebajikan. Usah Najib, Muhyiddin atau mana-mana pemimpin Umno-BN beranggapan bahawa rakyat jahil dalam membezakan ciri-ciri sebuah Negara Berkebajikan dengan sebuah pemerintah yang hanya menghimpunkan kebajikan kepada juak-juak mereka sahaja.

Tv Selangor/-

Perompak suruh junjung al-Quran

6 Rejab 1432H. [MOD] -



KULIM: Sekumpulan empat lelaki yang merompak sebuah rumah sempat mengarahkan seorang wanita warga emas menjunjung al-Quran dan bersumpah bahawa dia tidak menyimpan barang berharga lain ketika mereka mahu melarikan diri selepas melakukan samun di Taman Seluang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun dan suaminya yang juga pesara guru berusia 65 tahun kerugian kira-kira RM43,000 apabila penjenayah terbabit melarikan barang kemas serta kereta Perodua Viva berwarna hijau muda bernombor pendaftaran PHK 3653.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Suu Song berkata, ketika kejadian hanya pasangan warga emas itu saja di rumah berkenaan dan suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap di ruang tamu.

“Pasangan terjaga daripada tidur sebaik melihat empat lelaki bertopeng ski sambil mengacukan parang pada leher serta perut mangsa dan mengarahkan mereka menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Selepas itu, semua suspek meninggalkan mangsa dengan menaiki kereta selain merampas kereta Perodua Viva mangsa,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terjaga daripada tidur apabila mereka tiba-tiba terdengar bunyi pelik di ruang tamu rumah.

Menurutnya, tidak lama kemudian muncul empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam bilik sambil mengacukan parang dan pisau di badan mereka.

“Kerana takut, mangsa tidak melawan sebelum seorang daripada perompak mengambil barang kemas dan mengarahkan mereka menunjukkan tempat simpanan barang kemas.

“Sementara, dua lagi perompak menggeledah di bilik lain dan pada waktu sama seorang daripada mereka turut mengarahkan isteri mangsa bersumpah sambil menjunjung al-Quran dan berjanji tidak menyimpan barang berharga lain sebelum melepaskan mereka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 359/397, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi, Inspektor Hidayah Othman di talian 04-4906222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Redah api cari datuk, nenek

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

SELAYANG: “Saya terkejut sebaik mendengar letupan kuat. Kerana ketakutan saya berlari keluar dari bilik mendapatkan abang yang tidur di ruang tamu,” kata Mazlin Natasha Mohd Nasir, 9, menceritakan kebakaran di rumahnya di Kampung Sungai Kertas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, empat rumah panjang hangus dijilat api yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Menurut Mazlin Natasha, dia dan abangnya bergegas keluar dari rumah kerana api marak cepat.

“Sebaik keluar, saya dapati tiga lagi rumah jiran dijilat api. Ketika itu, baru saya dan abang teringatkan datuk dan nenek yang berehat dalam rumah.

“Kami berdua bergegas mencari datuk dan nenek kerana bimbang kejadian buruk menimpa mereka....maklumlah mereka sudah uzur. Kami bersyukur apabila menemui mereka berkumpul dengan orang ramai berhampiran kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12 tengah hari dan tiba 10 minit kemudian.

“Seramai 21 anggota dengan tiga jentera yang dikejarkan ke lokasi kejadian memerlukan 10 minit untuk memadamkan kebakaran.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian dilapor mencecah RM180,000,” katanya.

Lelaki belasah isteri enggan makan bersama

6 Rejab 1432H. [MOD] -



KUANTAN: Akibat menolak pelawaan suami untuk makan tengah hari bersama, seorang suri rumah berusia 25 tahun cedera dibelasah lelaki terbabit menggunakan lesung batu di rumah mereka di Kampung Cenderawasih, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa cedera di paha, dagu dan kepala akibat dipukul dengan objek keras itu sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa enggan makan bersama suaminya yang berusia 28 tahun sehingga berlaku pertengkaran sesama mereka, malah perselisihan faham antara pasangan itu berlarutan dan menjadi semakin serius.

Berikutan gagal mengawal kemarahan, lelaki terbabit nekad mengambil lesung batu lalu memukul mangsa hingga menyebabkan wanita itu cedera dan terpaksa dirawat di HTAA sebagai pesakit luar.

Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, pada hari sama selain mahu menuntut fasakh dan tinggal berasingan dengan suaminya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Suspek sudah dipanggil untuk diambil keterangan dan kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Haris berkata, seorang mandur warga Bangladesh teruk dibelasah tiga pekerja bawahannya dalam kejadian di sebuah rumah berhampiran sebuah ladang sawit dekat Rompin, kira-kira jam 3 petang, Sabtu lalu.

Beliau berkata, tiga suspek terbabit yang juga warga Bangladesh bengang apabila mangsa tidak datang menjemput mereka di ladang selepas tamat waktu bekerja sebelum menyerang lelaki terbabit di rumah.


“Suspek menggunakan buluh sebagai senjata untuk memukul mangsa menyebabkannya cedera di bahu kiri, lengan dan kaki sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Selancar, Rompin dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kuasa undi anak muda boleh tawan Putrajaya

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 7 Jun: Pemuda PAS Kelantan kini mempergiatkan usaha mendaftar anak-anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih bagi mencapai matlamat melangkah ke Putrajaya.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) berkata, tanpa ada usaha secara serius sasaran menguasai Putrajaya tidak akan menjadi kenyataan.

Oleh itu katanya golongan muda perlu diberi kesedaran bagi membolehkan mereka menggunakan peluang yang berbaki sekarang mendaftar sebagai pemilih.

“Peluang yang ada sekarang perlu direbut anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih. Tanpa disenarai sebagai pemilih mereka tidak mampu melaksanakan tanggungjawab besar menafikan kuasa politik Barisan Nasional (BN) sekarang.

“Saya berharap jentera pemuda di seluruh jajahan mengesan anak-anak muda yang belum mendaftar sebagai pengundi,” ujarnya di sini.

Menurutnya pendaftaran perlu dibuat segera bagi membolehkan anak muda melaksanakan tanggungjawab demi masa depan mereka.

“Anak muda yang mencecah umur 21 tahun hendaklah beramai-ramai mendaftar sebagai pemilih. Mereka menjadi penentu masa depan negara,” katanya.

Kata beliau sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan hujung tahun ini, pengundi baru masih berpeluang mengundi memandangkan proses pendaftaran sebagai pemilih dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.

Beliau yang juga Adun Mengkebang berharap jentera Pemuda di setiap kawasan memikul tanggungjawab bagi menyedarkan anak muda yang belum berdaftar.

Abdul Latiff juga bimbang usaha pihak tertentu menggunakan jentera kerajaan bagi mendaftar warga asing sebagai pemilih seperti yang dibongkar di Selangor baru-baru ini.

Harakahdaily/-

Lintah raksasa serang kampung Jawa Tengah

6 Rejab 1432H. [MOD] -


SEORANG pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo menunjukkan seekor lintah raksasa yang melekat pada tangan kirinya di Desa Timbol Sloko, Demak, Jawa Tengah semalam.

DEMAK - Penduduk di Desa Timbul Sloko, Demak, di Jawa Tengah kini berada dalam kebimbangan ekoran serangan lintah raksasa di kawasan berair dan jalan yang basah akibat hujan, lapor akhbar dalam talian, Kompas.com semalam.

Seorang penduduk kampung itu, Satiman, 36, berkata, bentuk lintah tersebut kelihatan berbeza dengan lintah darat.

Ratusan haiwan tersebut muncul selepas banjir kilat surut.

Menurut Satiman, kehadiran lintah yang bersaiz lima kali ganda daripada biasa itu menyebabkan penduduk kampung buntu untuk mencari cara bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Ketua Tentera Daerah Kecil Sayung, Arief Sudaryanto berkata, lintah yang sama turut ditemui di Desa Sidogemah dan Sriwulan.

Dia menjelaskan bahawa jenis lintah itu belum diketahui tetapi penduduk kampung tidak perlu bimbang kerana ia tidak membahayakan mereka.

Seorang lagi pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo berkata, penduduk kampung tidak perlu takut kerana lintah tersebut tidak menghisap darah.

"Sudah 15 minit ia melekat di tangan, lintah ini tidak menggigit saya," katanya. 

Agensi

Faekah: BN tak fikir sebelum beri TOL tanah rizab

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Keputusan pentadbiran BN Selangor memberikan lesen menduduki sementara kepada pengusaha di tapak rizab di Sg Buloh sebelum ini dibuat tanpa memikirkan keselamatan rakyat, kata setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin.

Faekah menjelaskan, kawasan yang menjadi tapak perusahaan tapak semaian itu merupakan rizab keselamatan kerana menempatkan paip bertekanan tinggi bagi menampung bekalan air kepada lebih sejuta penduduk.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memeliharanya demi mengelak kemungkinan kemalangan besar berlaku.

"Malangnya kerajaan Umno BN ketika itu, entahkan cuai atau mungkin begitu cetek ilmu telah mendesak pegawai kerajaan mengeluarkan TOL dan mengarahkan pengusaha tapak semaian berpindah ke tapak tersebut," kata Faekah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan "celupar" timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak prihatin dalam isu berkenaan.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri itu sepatutnya membela masalah penduduk berkenaan dengan memperbaharui TOL untuk mengusahakan tanah rizab Jabatan Bekalan Air itu.

"Beliau perlu ingat bahawa tapak semaian asal seluas 75.16 ekar dan dihuni oleh 50 pengusaha yang dipaksa pindah ke Sungai Buloh oleh kerajaan BN Selangor pada 1999. Tapak tersebut telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah hospital," kata Faekah.

Katanya lagi, kerajaan Pakatan Selangor tidak berniat untuk menghalang usaha pembinaan hospotal berkenaan, namun arahan kepada Pebadanan Kemajuan Pertanian Selangor untuk mengeluarkan TOL untuk mengusahakan tanah berkenaan bercanggah dengan peruntukan undang-undang tanah negeri.

Jelasnya, kawasan yang menempatkan paip bertekanan tinggi sepanjang 16 km itu perlu dipelihara bagi mengelakkan kemalangan besar berlaku.

Menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula sebelum ini memutuskan supaya perusahaan tanaman pokok itu boleh diteruskan dan turut memberi jaminan bahawa hak pengusaha berkenaan akan diambil kira walau tidak diberikan TOL

Malaysiakini/-

Pasangan campak bayi diburu

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan sepasang kekasih dipercayai suspek utama yang bertanggungjawab mencampak seorang bayi lelaki baru dilahirkan dari tingkat lima hingga menyebabkan kepala mangsa berkecai di sebuah pangsapuri di Sentul Utara, di sini, akhir bulan lalu.

Hasil bedah siasat terhadap bayi itu sebelum ini mendapati bayi malang berkenaan masih lagi bernyawa ketika dicampak dan ia jelas menunjukkan satu kes bunuh yang sangat kejam. Difahamkan, pasangan terbabit ‘ghaib’ selepas kejadian dan polis belum mengetahui status mereka sama ada sudah berkahwin atau sekadar pasangan kekasih.

Menurut sumber, pasangan berusia 20-an itu dipercayai meloloskan diri ketika orang ramai kelam-kabut berikutan penemuan mayat bayi berkenaan pada malam kejadian.

“Pada malam itu, ketika polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lokasi bayi berkenaan dijumpai, sebuah kereta dipandu secara mengundur dikesan meninggalkan kawasan pangsapuri itu dengan tergesa-gesa melalui satu-satunya pintu masuk ke kawasan berkenaan.

“Penduduk yang menyedari kehilangan pasangan itu turut berasa curiga sebelum memaklumkan perkembangan itu kepada polis,” katanya.

Sumber berkata, polis yang menerima maklumat segera memeriksa setiap rumah di blok berkenaan, namun gagal menemui pasangan itu kerana dipercayai mereka sudah meninggalkan kawasan perumahan itu.

Karpal sekat hudud: Saifudin kata Dr Mahathir haprak

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) sebagai ahli politik yang haprak apabila menuduh Karpal Singh berjaya menyekat PAS laksana hudud.

Ini kerana, ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang jenayah Syariah II yang di dalamnya terkandung undang-undang hudud, Dr Mahathir yang menyekat pelaksanaannya.

Ia disekat melalui satu surat amaran yang dihantar beliau selaku Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pada tahun 1993 lalu.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.

Selepas muktamar PAS baru-baru ini, Tun Dr Mahathir melalui blognya menulis dengan berkata, Karpal yang berjaya menyekat mendirikan negara Islam yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah tercapai.

"yang menang besar ialah tokoh yang tidak hadir dan bukan pun ahli PAS. Ianya ialah Karpal Singh. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam PAS yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai," tulis Mahathir.

"Dr M hantar surat amaran kepada TG Nik Aziz jangan laksana hudud, aneh hari ni Dr M kata Karpal berjaya sekat PAS jalankan hududd...haprak!" tulis Saifudin (gambar kanan) dalam Twitternya.

Bagi beliau, Dr Mahathir tidak layak bercakap Karpal anti Islam.

"Mesej saya mudah Dr M tak layak langsung cakap Karpal anti Islam sebab rekod Dr M sendiri paling membenci Islam," tegas Saifudin yang juga anggota Parlimen Machang, Kelantan.

Menurut beliau, Dr Mahathir pernah berkata kalau dibuat hukum hudud habis orang Islam mundur sebab kena potong tangan..."hari ini Dr Mahathir salahkan Karpal."

Bagi beliau, Karpal sekurang-kurangnya tidak menyekat bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat namun Dr Mahathir membuatnya!

"Sebab katanya sekolah agama ajar murid benci pemerintah ...siapa sebenarnya benci Islam?" soal Saifudin.

Bagi Saifudin, kalaupun Karpal tolak negara Islam dan Hudud beliau boleh memahaminya sebab dia bukan Muslim, tetapi Dr Mahathir tentang negara Islam dan Hudud, ini yang beliau tidak dapat faham.

Surat Dr Mahathir

Surat Dr Mahathir sampai kini masih diingati oleh Tuan Guru Nik Aziz hatta dalam satu majlis baru-baru ini.

“(Tun) Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.

“Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran… Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua,” katanya.

“Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran… dan kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik,” kata Nik Aziz dalam satu dialog bersama penulis blog dan facebook di Hotel Grand Season di ibu negara, baru-baru ini.

Mursyidul am PAS itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan.

Dengan mengumpamakan tindakannya itu sebagai seguni beras, katanya, sekiranya tidak mampu untuk membawanya, maka “diambil secupak-secupak” sehingga habis.

“Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS,” katanya yang mendapat tepukan kira-kira 130 penulis blog dan pemilik Facebook.

Harakahdaily/-

MP: Salah guna duit rakyat bagi risik kahwin anak

6 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, : Kerajaan Negeri Selangor terus mempelbagaikan promosi konsep negeri itu yang terkenal dengan Negeri Idaman; Maju, Sejahtera dan Berkebajikan, kali ini dengan menganjurkan Pertandingan Blog Kreatif yang menawarkan hadiah lumayan.

Dengan kerjasama penuh Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Universiti Industri Selangor (Unisel), Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Hajah Halimah Ali melancarkan pertandingan itu petang tadi.

Hadiah lumayan yang ditawarkan untuk keseluruhan kategori berjumlah RM16,300 dan hadiah iringan yang lain.

Dr Halimah berkata, dengan adanya pertandingan yang terbuka kepada tiga kategori pelajar sekolah, penuntut institut pendidikan tinggi dan umum, diharapkan dapat mencapai banyak manfaat berkaitan dengannya.

(Gambar: Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali melancarkan Pertandingan Blog Kreatif, petang tadi)

Katanya, bermula hari ini hingga 31 Oktober 2011, pertandingan itu dibuka kepada warganegara Malaysia mengemukakan penyertaan mereka mengikut syarat-syarat tertentu.

“Objektif pertandingan untuk menggalakkan penggunaan internet secara positif oleh pelajar-pelajar sekolah dan IPT, memberikan ruang seluasnya untuk semua lapisan rakyat khususnya golongan muda berbicara dan meluahkan pendapat serta impian mereka dalam pembikinan Selangor sebagai sebuah Negeri Idaman.

Selain itu, jelasnya, ia bertujuan menyediakan ruang perbincangan maya untuk membangunkan Selangor agar idea terbaik boleh dicetus, dikembang serta dikongsi bersama dalam perbincangan konstruktif.

“Pertandingan ini juga bertujuan membentuk masyarakat berilmu dan gemar menulis kerana kemahiran ini merupakan elemen utama di dalam pembentukan masyarakat cintakan ilmu.

“Lebih dari itu, pertandingan ini juga menyediakan ruang luas kepada masyarakat menyatakan bagaimana bentuk Negeri Selangor Impian yang mereka inginkan agar dapat diberi perhatian oleh pimpinan di peringkat kerajaan negeri,” tegasnya.

Untuk info awal, Kategori Pelajar Sekolah Menengah terbuka semua pelajar sekolah di seluruh Malaysia yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Manakala semua pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia yang berumur antara 18 hingga 25 tahun boleh menyertainya dan kategori umum pula terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia.

Penyertaan adalah secara individu yang hanya boleh mendaftarkan satu laman blog sahaja dengan menggunakan sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Peserta bebas menggunakan sebarang aplikasi, tool atau perisian untuk membina blog masing-masing.

Kandungan blog mestilah asli dan jika diambil daripada sumber lain, perlu dinyatakan sumber tersebut dengan jelas.

Kandungan yang diambil sepenuhnya daripada sumber lain tanpa kredit kepada sumber asli akan dikira batal.

Kriteria penilaian blog melibatkan kreativiti termasuk penggunaan teks dan elemen multimedia yang mampu menarik perhatian, kadar maklumat yang diposkan pada blog dan bilangan pelawat yang melawat blog.

Maklumat lanjut pertandingan boleh didapati di www.selangor.idamanku.com

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Letusan debu gunung berapi dirakam dari angkasa lepas

6 Rejab 1432H. [MOD] -


BEBERAPA cahaya kilat muncul di kawasan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile.

SANTIAGO - Imej kepulan debu yang dikeluarkan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile pada Sabtu lalu dapat dilihat dari angkasa lepas.

Kepulan debu itu dirakamkan menerusi satelit Aqua sejurus selepas ia meletus buat kali pertama sejak 1960. Pada 1960, gunung itu meletus akibat gempa bumi kuat berukuran 9.5 Richter di Chile.

Sementara itu, gambar kilat di sekitar gunung itu kelmarin juga dapat dirakamkan oleh jurugambar agensi AgenciaUno yang disiarkan agensi berita AP semalam.

Letusan itu yang masih berterusan kelmarin menyebabkan 4,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berdekatan gunung tersebut. 

Agensi

Presiden Yemen cedera parah

6 Rejab 1432H. [MOD] -



WASHINGTON 8 Jun – Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh dilaporkan mengalami kecederaan lebih serius berbanding laporan sebelum ini, selepas Istana Presiden diserang pemberontak pada 3 Jun lalu.

Saleh yang menerima rawatan di Arab Saudi pada awalnya dilaporkan hanya cedera ringan dan menurut Naib Presiden Yemen, beliau akan kembali ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, Saleh sebenarnya cedera parah dengan lebih 40 peratus badannya terbakar. 

REUTERS

Banjir: 13 maut di Haiti

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

PORT-AU-PRINCE 8 Jun – Banjir akibat hujan lebat yang melanda Haiti semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.

Yolaine Surena dari agensi perlindungan awam Haiti berkata, hujan yang dikatakan terburuk untuk tahun ini melanda ibu negara Port-Au-Prince.

Menurut Surena, dua orang dilaporkan mati di Haiti selepas kem sementara berhampiran kediaman Presiden yang musnah dinaiki air, manakala dua kanak-kanak tertanam apabila rumah mereka runtuh dan enam lagi maut di daerah Petionville. 

AFP

Masjid di Palestin dibakar di Tebing Barat

6 Rejab 1432H. [MOD] -


SEJUMLAH wartawan dan penduduk Palestin melihat sebuah masjid yang terbakar di Tebing Barat semalam.

RAMALLAH - Beberapa orang bertindak membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat awal pagi semalam dan menconteng dinding dengan perkataan Ibrani.

Menurut Ketua Kampung el-Mughayer, Faraj al-Nassan, penduduk kampung mengetahui mengenai kebakaran itu semasa mereka pergi untuk bersolat subuh.

Karpet masjid itu terbakar tetapi kebakaran tersebut tidak merebak.

Menurut ketua kampung itu, pembakaran itu yang menggunakan tayar di dalam kawasan masjid sebenarnya bertujuan untuk menyebabkan bangunan masjid terbakar.

Bagaimanapun, tiada seorang pun yang mengaku untuk bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Namun, penduduk Yahudi dipercayai menjadi suspek yang membakar masjid berkenaan kerana terdapat contengan perkataan Aley Ayin yang merupakan kawasan penempatan haram Yahudi.

Kawasan penempatan haram itu diarahkan kosong oleh pemerintah Israel pada minggu lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk percubaan untuk membakar masjid itu. 

Agensi

Gambar Lucah Dalam Yasin, Angkara Siapa?

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Kepala Batas - Hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah di sini yang bersiap memulakan majlis bacaan surah Yasin malam semalam terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah.

Gambar itu dilekatkan sekeping di halaman berlainan 21 naskhah surah berkenaan.

Setiausaha qariah masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdullah berkata, gambar lucah dilekatkan dengan kemas.

“Selain ukuran sama besar, gambar itu dilekatkan menggunakan pelekat dua hala.

“Ini menunjukkan pelakunya mempunyai perancangan rapi dari segi masa untuk melekatkannya di dalam naskhah surah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, gambar lucah bersaiz 4 sentimeter lebar dan 5 sentimeter panjang setiap satu itu, mempamerkan pelbagai aksi ranjang membabitkan pasangan luar negara, dipercayai dimuat turun dari laman sesawang dari Internet.

“Gambar itu dipercayai dicetak mengikut saiz sebelum di-gunting dan dilekatkan di dalam surah berkenaan.

“Kami tidak tahu motifnya dan kenapa Yasin di masjid ini dijadikan pilihan,” katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis dan kesemua 21 naskhah terbabit diambil polis untuk disiasat.

Imam 1 masjid berkenaan, Ahmad Zawawi Ali berkata, majlis bacaan surah Yasin itu diadakan malam semalam untuk menggantikan kuliah agama dan dihadiri 75 lelaki dan 25 wanita.

“Selesai solat Isyak, naskhah surah Yasin itu diambil dan diedarkan kepada jemaah. Seorang daripada jemaah lelaki menyedarinya dan memberitahu Abdul Rahman.

“Suasana majlis bertukar menjadi riuh apabila lebih ramai jemaah menemui gambar itu di dalam naskhah masing-masing,” katanya.

Gambar lucah itu tidak ditemui di dalam naskhah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan laporan polis yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan. Sehingga kini belum ada tangkapan.

“Kita ingin menasihati jemaah dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau meminta pentadbir masjid lebih berhati-hati menjaga masjid dan meletakkan pengawal untuk mengelak pencerobohan. -SH

MP: Salah guna duit rakyat bagi risik kahwin anak

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Penggunaan duit rakyat atau dana awam bagi membiayai lawatan Perdana Menteri dan rombongannya ketika merisik perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Kazakhstan adalah salah dari segi moral, kata ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi.

"Ini pula bukan pertama kali. Semasa anaknya menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika dia dan keluarga juga ke sana dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," katanya.

Menurut pemimpin PAS itu, tidak menjadi kesalahan bagi perdana menteri merisik perkahwinan anaknya di Kazakhstan tetapi Najib sepatutnya mengambil cuti rasmi dan tidak membelanjakan dana awam.

Nooryana Najwa dijadualkan berkahwin dengan seorang pembesar kerajaan Kazakhstan.

Dalam sejarah Islam, kata Dzulkefly, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mempunyai dua batang lilin berlainan yang ditempatkan di sisi katilnya.
Guna duit sendiri

Jika baginda dikejutkan pada waktu malam kerana urusan rakyat, Khalifah Umar akan menyalakan lilin yang dibeli dari dana awam. Sebaliknya jika dikejutkan oleh kawan-kawan atau ahli keluarganya untuk membincangkan hal peribadi, baginda menggunakan lilin yang dibeli melalui wangnya sendiri.

"Mana pergi good governance, intergriti kepimpinan dan ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada beliau," kata Dzulkefly.

Menurut beliau jika Najib dan isterinya, Datin Seri Rosnah Mansor benar-benar bertanggungjawab, mereka berdua akan menyusun jadual cutinya untuk kepentingan keluarga dan peribadinya bukannya mengambil kesempatan atas urusan kerajaan.

"Hentikanlah, cukuplah tu.....susunlah cuti dengan baik, guna duit sendiri untuk lunas tanggungjawab kepada anak dan keluarga, inilah mulanya penyelewengan....bila kepimppinan tertinggi tunjukkan sikap hodoh dan buruk," katanya sambil menambah perbuatan mereka itu sebagai langkah yang 'tidak ada kelas langsung'.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat pernah dibangkitkan perbelanjaan besar yang dibuat oleh Rosmah.

"Dari segi moralnya ia sangat salah," kata Dzulkefly.

Sementara itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Najib supaya telus dan tidak mengambil kesempatan di atas urusan rasmi untuk sebarang urusan peribadi apatah lagi apabila menggunakan wang kerajaan yang juga wang rakyat.

"Kalau benda (dakwaan) ini betul kenapa Najib nak rahsiakan? Beliau kena cakap terus teranglah. Kalau betul beliau ke sana atas urusan peribadi janganlah guna harta kerajaan dan harta rakyat. Jangan berselindung di sebalik lawatan rasmi.

"Kalau betul anaknya akan berkahwin dengan anak pembesar Kazakhstan saya ucapkan tahniah tapi gunalah duit sendiri yang sudah banyak tu..tak payahlah guna duit rakyat.," kata beliau kepada Harakahdaily.

Hadi tak mahu jawatan PM jika Pakatan menang

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

“Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam.

Memetik laporan Bernama, Abdul Hadi mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz bahawa perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam Pakatan Rakyat, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan Nazri juga mendakwa peluang Umno untuk meraih lebih banyak undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih cerah selepas PAS menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam tetapi sebaliknya memperjuangkan 'negara berkebajikan' di mana Umno sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Abdul Hadi juga menafikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai liabiliti kepada parti setelah beliau dipilih oleh perwakilan pada pemilihan ketika muktamar PAS minggu lalu.

“Bagi Umno, Mohamad Sabu adalah satu peluang untuk menjatuhkan PAS. Tetapi bagi PAS, Mohamad Sabu adalah satu senjata untuk menjatuhkan Umno,” katanya.

Abdul Hadi turut menafikan bahawa wujudnya anggota parti yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan parti itu setelah beliau mengumumkan belum tiba masanya PAS menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu selama ini.

Sebaliknya, katanya PAS mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan Pakatan Rakyat.

Malahan, katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya.

Malaysiakini/-