6 Rejab 1432H. [MOD] -
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan sepasang kekasih dipercayai suspek utama yang bertanggungjawab mencampak seorang bayi lelaki baru dilahirkan dari tingkat lima hingga menyebabkan kepala mangsa berkecai di sebuah pangsapuri di Sentul Utara, di sini, akhir bulan lalu.
Hasil bedah siasat terhadap bayi itu sebelum ini mendapati bayi malang berkenaan masih lagi bernyawa ketika dicampak dan ia jelas menunjukkan satu kes bunuh yang sangat kejam. Difahamkan, pasangan terbabit ‘ghaib’ selepas kejadian dan polis belum mengetahui status mereka sama ada sudah berkahwin atau sekadar pasangan kekasih.
Menurut sumber, pasangan berusia 20-an itu dipercayai meloloskan diri ketika orang ramai kelam-kabut berikutan penemuan mayat bayi berkenaan pada malam kejadian.
“Pada malam itu, ketika polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lokasi bayi berkenaan dijumpai, sebuah kereta dipandu secara mengundur dikesan meninggalkan kawasan pangsapuri itu dengan tergesa-gesa melalui satu-satunya pintu masuk ke kawasan berkenaan.
“Penduduk yang menyedari kehilangan pasangan itu turut berasa curiga sebelum memaklumkan perkembangan itu kepada polis,” katanya.
Sumber berkata, polis yang menerima maklumat segera memeriksa setiap rumah di blok berkenaan, namun gagal menemui pasangan itu kerana dipercayai mereka sudah meninggalkan kawasan perumahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan