6 Rejab 1432H. [MOD] -
ALOR GAJAH: Tiga sekeluarga nyaris maut apabila premis jualan langsung diusahakan lima bulan lalu dirempuh kereta Toyota Rush dipercayai dinaiki sekumpulan remaja di pekan Masjid Tanah, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Shaharudin Salleh, 60, bersama isterinya berada di dalam kedai terbabit dan menonton televisyen bersama anak perempuan mereka, Fadhilah Shaharudin, 37.
“Kami bertiga menonton televisyen sebelum terdengar bunyi deruman enjin kereta semakin dekat dan tidak sampai berapa saat bahagian depan kereta itu merempuh pintu kaca bahagian tepi kedai.
“Kereta itu merempuh masuk menghentam televisyen di atas meja menyebabkan meja itu berpusing beberapa kali dan meluncur merempuh pintu kaca bahagian depan kedai dan berhenti beberapa inci dari tubuh saya.
“Saya tergamam dan menggigil ketakutan serta hanya memikirkan maut ketika itu,” katanya.
Sementara itu, pemilik kereta terbabit, Norizan Rosli, 40, mendakwa meminta seorang anaknya mengambil penapis air di sebuah kedai berhampiran rumahnya di Taman Bandar Baru, dekat sini, Menurutnya, dia meminta bantuan anaknya, Mohd Sadiq mengambil penapis itu kerana tidak boleh meninggalkan rumah bagi menjaga seorang anak yang menghidap demam panas.
“Walaupun kedai itu dekat, tetapi dia masih tidak pulang walaupun 15 minit berlalu, naluri ibu tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Ia kenyataan apabila anak saya muncul dengan tiba-tiba dan dapat melihat kesan luka di tangan sebelum mendesak memberitahu apa yang berlaku,” katanya.
Norizan berkata, anaknya memberitahu dia ditahan seorang remaja yang menghimpit menggunakan motosikal sebelum merampas keretanya dan melanggar premis kedai.
Sementara itu, Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Alor Gajah, Cif Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan pihaknya menahan remaja terbabit bagi siasatan lanjut.
“Kami difahamkan, remaja terbabit memandu kenderaan orang lain tanpa lesen dan tindakan saman akan dikenakan juga terhadap ibu bapa mereka kerana membiarkan anak memandu kenderaan menyebabkan kerosakan harta benda perseorangan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen dan menyebabkan kemusnahan harta benda awam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan