08 Jun 2011

Lelaki belasah isteri enggan makan bersama

6 Rejab 1432H. [MOD] -



KUANTAN: Akibat menolak pelawaan suami untuk makan tengah hari bersama, seorang suri rumah berusia 25 tahun cedera dibelasah lelaki terbabit menggunakan lesung batu di rumah mereka di Kampung Cenderawasih, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa cedera di paha, dagu dan kepala akibat dipukul dengan objek keras itu sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa enggan makan bersama suaminya yang berusia 28 tahun sehingga berlaku pertengkaran sesama mereka, malah perselisihan faham antara pasangan itu berlarutan dan menjadi semakin serius.

Berikutan gagal mengawal kemarahan, lelaki terbabit nekad mengambil lesung batu lalu memukul mangsa hingga menyebabkan wanita itu cedera dan terpaksa dirawat di HTAA sebagai pesakit luar.

Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, pada hari sama selain mahu menuntut fasakh dan tinggal berasingan dengan suaminya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Suspek sudah dipanggil untuk diambil keterangan dan kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Haris berkata, seorang mandur warga Bangladesh teruk dibelasah tiga pekerja bawahannya dalam kejadian di sebuah rumah berhampiran sebuah ladang sawit dekat Rompin, kira-kira jam 3 petang, Sabtu lalu.

Beliau berkata, tiga suspek terbabit yang juga warga Bangladesh bengang apabila mangsa tidak datang menjemput mereka di ladang selepas tamat waktu bekerja sebelum menyerang lelaki terbabit di rumah.


“Suspek menggunakan buluh sebagai senjata untuk memukul mangsa menyebabkannya cedera di bahu kiri, lengan dan kaki sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Selancar, Rompin dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

1 ulasan:

wanitabertudunghijau berkata...

kalau pukul isteri pun agak2 la

ingatkan dia pukul isteri sbb isteri enggan tutup aurat dgn sempurna ke