08 Jun 2011

Dedah PPA: DAP persoal tawaran Mukhriz

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Jun: Tawaran Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir untuk membolehkan para ahli parlimen melihat dokumen rahsia perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dimeterai antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP) dipersoalkan oleh Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Pua berkata dokumen perjanjian tersebut dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA), di mana sesiapa saja yang memegang dokumen tersebut boleh dipenjarakan, dengan itu kenyataan Mukhriz adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya boleh kata kenyataan Mukhriz di secara keseluruhannya tidak berasas. Ahli Parlimen tidak dibenarkan akses kepada dokumen yang berada di bawah Akta Rahsia Rasmi. Untuk dapat akses ke dokumen tersebut, kabinet perlukan laksanakan satu proses deklasifikasi.

Di bawah akta tersebut, jika sesiapa yang didapati memiliki dokumen tersebut boleh dihukum dengan penjara mandatori satu tahun, atau sehingga tujuh tahun di dalam penjara,” kata Pua dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Pua turut mengingkap kembali perjuangan penasihat DAP Lim Kit Siang yang menentang pindaan kepada OSA pada 1986 kerana ia disifatkan sebagai satu ancaman kepada proses demokrasi berparlimen negara, kebebasan media, perundangan, kebertanggungjawaban kerajaan dan Malaysia yang bebas rasuah.

“Ahli Parlimen langsung tidak mempunyai imuniti kepada dokumen (walaupun 5 minit) rahsia kerajaan!” selar Pua, sambil mengingatkan layanan yang sama telah diberikan kepada kontrak perjanjian lebuh raya dan juga Pelabuhan Bebas Klang (PKFZ), di mana ia hanya boleh diakses setelah proses deklasifi yang dipanjang oleh kabinet dan Peguam Negara.

Pua turut mengatakan bahawa kenyataan Mukhriz amat bertentangan dengan apa yang dinyatakan Menteri Tenaga, Air and Teknologi Hijau, Datuk Peter Chin bahawa kerajaan tidak ada kuasa untuk mendesak Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) didedahkan, yang dibuat selepas pendedahan bahawa TNB terpaksa membeli kuasa daripada IPP yang menikmati subsidi daripada kerajaan.

“Siapa yang sedang bercakap benar, siapa yang tipu?” tanya Pua.

Pua berkata beliau tidak kisah jika dipanggil seorang yang “bodoh” jika Mukhriz dapat memberikan setiap ahli parlimen satu salinan PPA dengan satu surat jaminan daripada Peguam Negara bahawa Ahli Parlimen tidak akan dihukum di bawah akta OSA kerana memiliki dokumen rahsia tersebut.

“Jika tidak, mungkin Mukhriz patut terangkan panjang lebar mengapa kerajaan tidak mahu deklasifikasikan dokumen yang melibatkan kepentingan awam ini, terutamanya pada masa berlakunya kenaikan tidak wajar tarif elektrik ke kawasan perumahan, komersial dan pengguna industri, tanpa melakukan sebarang perubahan kepada struktur perjanjian berat sebelah PPA yang membenarkan IPP untuk terus mendapat keuntungan berbillion ringgit setahun,” tambah Pua.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau akan memastikan Mukhriz tidak akan memungkiri tawarannya untuk membolehkan dokumen PPA diberikan kepada beliau dan ahli parlimen yang lain dalam sesi parlimen akan datang.

Tiada ulasan: