08 Jun 2011

Perompak suruh junjung al-Quran

6 Rejab 1432H. [MOD] -



KULIM: Sekumpulan empat lelaki yang merompak sebuah rumah sempat mengarahkan seorang wanita warga emas menjunjung al-Quran dan bersumpah bahawa dia tidak menyimpan barang berharga lain ketika mereka mahu melarikan diri selepas melakukan samun di Taman Seluang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun dan suaminya yang juga pesara guru berusia 65 tahun kerugian kira-kira RM43,000 apabila penjenayah terbabit melarikan barang kemas serta kereta Perodua Viva berwarna hijau muda bernombor pendaftaran PHK 3653.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Suu Song berkata, ketika kejadian hanya pasangan warga emas itu saja di rumah berkenaan dan suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap di ruang tamu.

“Pasangan terjaga daripada tidur sebaik melihat empat lelaki bertopeng ski sambil mengacukan parang pada leher serta perut mangsa dan mengarahkan mereka menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Selepas itu, semua suspek meninggalkan mangsa dengan menaiki kereta selain merampas kereta Perodua Viva mangsa,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terjaga daripada tidur apabila mereka tiba-tiba terdengar bunyi pelik di ruang tamu rumah.

Menurutnya, tidak lama kemudian muncul empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam bilik sambil mengacukan parang dan pisau di badan mereka.

“Kerana takut, mangsa tidak melawan sebelum seorang daripada perompak mengambil barang kemas dan mengarahkan mereka menunjukkan tempat simpanan barang kemas.

“Sementara, dua lagi perompak menggeledah di bilik lain dan pada waktu sama seorang daripada mereka turut mengarahkan isteri mangsa bersumpah sambil menjunjung al-Quran dan berjanji tidak menyimpan barang berharga lain sebelum melepaskan mereka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 359/397, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi, Inspektor Hidayah Othman di talian 04-4906222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

1 ulasan:

perjalanan pulang berkata...

tu dia ini juga boleh disebut sumpah laknat....... seorang isteri menyuruh suaminya bersumpah sambil menjunjung quran mengaku tidak pernah kawin lain.... bagaimana gamaknya ? Bukankah ayat Quran itu cuma cetakan manakala quran sebenar didalam hati.