11 Disember 2012

Guan Eng: Janji 'kembar' Najib bukti 'BN gagal tepati janji'

27 Muharram 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Janji 'kembar' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berada di Pulau Pinang Sabtu lalu satu lagi usaha Barisan Nasional (BN) untuk membeli undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang mencerminkan perikatan itu gagal menepati janji-janji lama.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyifatkan janji berkembar yang diumumkan Najib itu sebagai mendedahkan kegagalan BN untuk menepati janji yang dibuat dahulu.

Beliau percaya pengundi Pulau Pinang tidak teruja dengan janji itu kerana ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk menyediakan perumahan dan pengangkutan awam hasil kutipan cukai yang diterima termasuk dari rakyat Pulau Pinang.

“Ini bukan janji baru kerana ia sudah dinyatakan dahulu, khususnya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"BN gagal memenuhi janji untuk membina monorel apabila berkuasa di peringkat Pusat dan negeri pada 2007. Adakah ini jaminan mereka untuk menunaikan janji jika berjaya menawan semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum nanti,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya,Najib sepatutnya peka dengan kegagalan Kerajaan Pusat sebelum ini untuk membina perumahan mampu milik yang mencukupi di negeri ini.

“Kerajaan BN harus malu kerana gagal membina perumahan mampu milik yang mencukupi di Pulau Pinang. Hanya 70 Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah akan dibina di Pulau Pinang oleh Kerajaan Pusat, iaitu jumlah yang paling kecil di antara semua negeri di Malaysia.

“Inilah perbezaan antara Pakatan Rakyat (PR) dan BN. BN mengamalkan kaedah tidak demokratik dan bersyarat "you help me, I help you", manakala PR membantu rakyat tanpa syarat sebagai tanggungjawab kerajaan berjiwa rakyat,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Dalam ucapannya pada Program Jelajah Janji Ditepati, Najib berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel jika BN diberi mandat semula untuk memerintah negeri itu.

Beliau berkata, 10,000 unit rumah mampu milik itu akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) manakala baki 10,000 unit dibina oleh agensi kerajaan termasuk JKP Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

sinar/-

Tengku Azlan ikut Ku Li, 'berundur' dari Umno

27 Muharram 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata beliau berhasrat untuk 'berundur' dari Umno.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut itu berkata, beliau berkemungkinan akan menyertai Amanah, sebuah NGO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu tidak bermaksud beliau meninggalkan Umno secara total.

“Tak betul, saya hanya ‘berundur’, tapi bukan keluar Umno. Belum terlintas lagi. Belum lagi (masuk Amanah). ‘Amanah’ (saya) untuk selamatkan negara, untuk tolong rakyat miskin.

“InsyaAllah…(akan sertai Amanah) Tapi bukan tahun ini, lagi pun sudah hujung tahun. Saya sokong perjuangan Amanah. Amanah untuk membantu masyarakat lebih maju,” jelas bekas Menteri Pengangkutan itu kepada lidah rasmi PKR, Keadilandaily.

Langkahnya itu dilihat sama dengan langkah  Tengku Razaleigh yang kini aktif dengan Amanah, mengkritik dasar kerajaan walaupun masih ahli Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang.

Tengku Azlan juga memberitahu, beliau juga akan berundur dari menjadi calon PRU13 dan menyerahkan mandat kepada orang muda.

“Bagi laluanlah kepada orang muda…Saya kena buat pembaharuan. Tapi orang muda jangan hanya pandai bercakap, mesti bertindak. Tunaikan melalui perbuatan untuk kebaikan orang muda juga,” tegas veteran Umno Pahang itu lagi.

Yakin kemampuan Pakatan

Dalam pada itu beliau yang juga adik kepada Sultan Pahang turut meyakini kemampuan Pakatan Rakyat untuk mendapat sokongan daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Katanya, pendekatan berani Pakatan Rakyat bertemu rakyat bagi menerangkan dasar perjuangan mereka memperlihatkan kesungguhan untuk memenangi PRU13.

“Mereka (Pakatan) cuba terangkan apa yang boleh diberikan kepada rakyat dan negara jika menang dalam pilihan raya. Ini tak ada masalah,” katanya.

Semalam sebuah akhbar Tamil, Makkal Osai melaporkan, Tengku Azlan akan keluar meninggalkan Umno.

Beliau dilaporkan tidak berpuashati dengan parti itu dan akan aktif dengan Amanah.

Makkal Osai melaporkan, Tengku Azlan akan menjadi Pengerusi Amanah negeri Pahang.

harakah/-

Mohamed Morsi tangguh kenaikan cukai

27 Muharram 1433H. [MOD] -



KAHERAH – Presiden Mesir, Mohamed Morsi memberi kuasa menangkap perusuh kepada pihak tentera dan mengarahkan ia bekerjasama dengan polis sehingga keputusan referendum tentang draf perlembagaan baharu diumumkan pada hujung minggu ini, menurut satu dekri yang diperoleh agensi berita AFP semalam.

Dekri itu telah dipaparkan di laman web rasmi pemerintah dan digazet di bawah peruntukan Undang-Undang 107, sehari sebelum perhimpunan bantahan besar-besaran oleh pihak pro-Morsi dan penentangnya dijadualkan berlangsung pada hari ini bagi membantah referendum tersebut.

“Pasukan tentera perlu membantu pihak polis dengan menjalin kerjasama bagi memelihara keselamatan dan melindungi institusi kenegaraan sehingga pengumuman referendum perlembagaan itu dibuat,” kata dekri itu.
Bantahan ganas terhadap Morsi yang bermula pada bulan lepas telah mengorbankan tujuh nyawa dan menyebabkan beratus-ratus orang cedera.

Referendum tentang draf perlembagaan tersebut ditentang oleh kumpulan anti-Moris termasuk blok pembangkang kerana ia menyekat kebebasan rakyat dan hak asasi wanita. 

Kereta-kereta kebal dan tentera telah dikerah mengawal kediaman rasmi Morsi sejak Khamis lalu.
Namun tiada pertempuran berlaku manakala ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di luar kediaman rasmi itu setiap malam.

Sementara itu, Morsi bertindak untuk menangguhkan kenaikan cukai ke atas beberapa produk termasuk arak dan rokok.

Morsi mengeluarkan keputusan itu pada malam kelmarin dan mengarahkan Perdana Menteri, Hisham Qandil untuk memulakan perbincangan untuk tidak menaikkan cukai supaya ia tidak membebankan rakyat.

Kenaikan cukai itu telah menjejaskan industri besi, simen dan beberapa produk lain.

Kenaikan cukai itu merupakan antara terkandung dalam bajet negara ini.

Ia turut menyatakan cadangan untuk meminjam sebanyak AS$4.8 bilion (RM14.6 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa bagi memulihkan ekonominya.

Industri pelancongan yang merudum dan kekurangan pelaburan asing telah melemahkan ekonomi Mesir.
Perbalahan politik antara Morsi dan pemimpin pembangkang yang kebanyakan sekular memburukkan lagi ekonomi negara ini. – Agensi


PAS usul tangguh sidang DUN bincang blok Bertam

27 Muharram 1433H. [MOD] -



KUALA TERENGGNU: PAS melalui usul di Dewan Undangan Negeri Terengganu mengajak Adun Terengganu termasuk dari Umno untuk membincangkan siapa sebenarnya memiliki kawasan carigali minyak Blok PM 307 Bertam.

Ini kerana, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengisytiharkannya terletak di bawah negeri Pahang sedangkan Lundin Oil yang membuat kerja-kerja carigali mengatakan ia terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.


Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (gambar atas) dalam usulnya meminta persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang bersidang sekarang ditangguhkan untuk membincangkan usul ini.

Katanya, ia hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu  kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang yang kini sah menjadi milik rakyat Terengganu.

Hak tuntutan ini, katanya, diperkuatkan lagi dengan jawapan yang telah diberikan oleh Syarikat Lundin Oil yang merupakan syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali.

Mereka memperakui bahawa Blok PM 307 Bertam ini adalah sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Bagi beliau, isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana telah berlaku suatu pencabulan hak yang boleh menggugat amalan sistem Federalisma yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

Dewan yang mulia ini bertanggungjawab membincangkan tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang mengistiharkan pada  30 Oktober lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti minyak di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Medan minyak itu, kata Najib, terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Perkara ini, kata Dr Syed Azman, adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila hak negeri Terengganu ini dinafikan dengan sewenang-wenangnya, ia akan menghilangkan keyakinan rakyat Terengganu terhadap pemerintah serta kredibiliti pemimpin negara.

Bagi beliau, tindakan ini jelas merampas hak-hak rakyat negeri Terengganu yang berpegang kepada semangat Federalisma dan keluhuran perlembagaan negara.

"Ini ditambah lagi dengan tindakan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan yang jelas menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam," tegasnya.

Bagi DR Syed Azman yang merupakan Penolong Setiausaha Agung PAS, sewajarnya Dewan yang mulia ini merakamkan penghargaan yang setingginya kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengasas Petronas.

Beliau telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen dan berani berdiri dipersada politik tanahair bagi membetulkan fakta yang diselewengkan khususnya dalam perkara pembayaran royalti pertoleum kepada negeri Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.

Menurut beliau juga, perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal pelanggaran hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.

Pengumuman ‘anugerah wang ehsan’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar.

"Apakah perjanjian asal diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?" soal beliau dalam usul itu.

Beliau juga bertanya, apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri? Dan apakah kesudahan kepada tuntutan royalti minyak kepada negeri Terengganu?

Katanya, tuntutan royalti minyak di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307 bukan lagi persoalan sentimen serta permainan politik sempit semata-mata, "tetapi berkaitan dengan persoalan maruah dan hak kita sebagai rakyat Terengganu  Darul Iman, negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayungkan Tuanku Al-Sultan kita, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud."

"Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan," tegas beliau dalam usulnya.

harakah/-

Lelaki 24 tahun peserta khatan

27 Muharram 1433H. [MOD] -


Lelaki 24 tahun peserta khatan
Ismail dan Syarifuddin menyempurnakan majlis berkhatan beramai-ramai di Balai Raya Kampung Orang Asli Batu 55.
 
MARAN - Enam remaja Orang Asli bukan Islam antara 10 peserta yang dikhatankan beramai-ramai termasuk seorang saudara baru berusia 24 tahun di Kampung Orang Asli Batu 55, di sini.

Seorang daripada remaja berkenaan, Yusmanizam Yusairi, 16, berkata, walaupun tidak menganut agama Islam, dia mahu berkhatan atas faktor kesihatan.

Menurutnya, banyak kebaikan berkhatan yang diketahui melalui pembacaan dan daripada mereka yang lebih dewasa.

“Saya tidak takut atau malu kerana berkhatan ini baik untuk kesihatan malah digalakkan untuk bukan Islam.
“Keluarga saya sendiri tidak menghalang dan berkhatan beramai-ramai sebegini lebih meriah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Hadir sama, Pegawai Agama Islam Daerah Maran, Syarifuddin Mohamed Sa’ad.

Saudara baru, Azman Raju, 24, berkata, dia berkhatan bagi memenuhi tuntutan agama selepas memeluk Islam tahun lalu atas faktor perkahwinan.

Menurutnya, isterinya yang juga Orang Asli dari Kampung Bot Bot, dekat Chenor, sudah pun memeluk Islam sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

“Mulanya memang segan mahu berkhatan kerana usia saya ini tetapi demi Islam, saya bersyukur selain dapat menjaga kesihatan,” katanya.

sinar/-

'Ini bukan nama kampung kami'

27 Muharram 1433H. [MOD] -

'Ini bukan nama kampung kami'
Penduduk kampung menunjukkan papan tanda Kampung Belimbing yang menimbulkan kekeliruan.
KUALA PILAH – Penduduk Kampung Temeris di sini melahirkan rasa hairan berikutan wujudnya papan tanda yang mengelirukan mereka.

Salah seorang daripada mereka, Muzir Barikis, 31, berkata, kampung mereka dikenali sebagai Kampung Temeris dan bukan Kampung Belimbing seperti yang tertulis di papan tanda simpang masuk tanah perkuburan kampung berkenaan.

Menurutnya, papan tanda itu diletakkan di sini lebih sebulan dan lebih menghairankan kerana tiada kampung lain yang ada di situ selain Kampung Temeris.

“Kami sudah mengajukan kekeliruan ini kepada pihak berkenaan namun masih belum mendapat jawapan.
“Justeru itu, saya mewakili penduduk kampung ini berharap papan tanda itu dapat dibuka semula bagi mengelakkan kekeliruan orang luar yang datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, penduduk kampung tersebut juga melahirkan rasa kecewa kerana masalah gangguan air yang masih berlarutan.

Omar Mohd Saad, 57, berkata, kampung itu tidak mempunyai penduduk yang ramai, namun gangguan bekalan air tetap berlaku dalam tempoh dua hingga tiga hari.

“Kadang kala gangguan bekalan air berlaku dari pagi hingga ke petang sehingga menyukarkan penduduk melakukan kerja harian.
“Pihak berkaitan memang ada menghantar bekalan air, namun sampai bila kami harus hadapinya,” katanya.

Menurutnya, kampung lain sudah memiliki tangki dan paip baru bagi mengatasi masalah itu tetapi tidak di kampung tersebut.

“Masalah ini sudah berlarutan sejak empat tahun lalu dan sewajarnya ia diatasi dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

sinar/-

Lynas: Adakah MB Pahang sanggup potong telinga?

27 Muharram 1433H. [MOD] -

Kerajaan Persekutuan BN dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan jelas di mana sisa Lynas akan dieksport  dahulu sebelum kilang dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.

Kenyataan empat Menteri BN, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sumber Asli Datuk Seri Douglas Unggah Embas Dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa syarikat Lynas Corporation Australia perlu mengeksport sisa yang terhasil daripada loji di Gebeng untuk memenuhi syarat lesen pengendalian sementaranya (TOL) adalah tidak mencukupi tanpa menuntut Lynas untuk menyatakan dengan jelas di mana sisa radioaktif kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) itu akan dieksportkan.

Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri.


1. Kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.

2. Kerajaan mesti menuntut surat atau dokumen perjanjian daripada Lynas untuk mengesahkan mereka sudah menjumpai negara yang sanggup menerima sisa-sisa radioaktif tersebut.

3. Kerajaan juga mesti menuntut Lynas memperjelaskan bagaimana syarikat tersebut mengatasi kekangan undang-undang antarabangsa yang menghalang penghantaran bahan berbahaya ke negara lain seperti yang dinyatakan pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad dalam laporan Guang Ming Daily.

Apakah Menteri Pahang sanggup berjanji sekali lagi untuk telinganya yang satu lagi dipotong dan terjun Sungai Pahang sekiranya Lynas gagal mengeluarkan apa-apa dokumen rasmi perjanjian, pelan dan negara mana yang sanggup menerima sisa toksik kilang LAMP?

Keadaan ini mesti ditangani segera, kerana bahan mentah nadir bumi telahpun sampai di kilang, dan syarikat Lynas akan memulakan operasinya. PAS Pahang ingin tegaskan bahawa kerajaan mesti bertegas dalam soal keselamatan rakyat dan risiko dari projek ini.

Rakyat Pahang khasnya bimbang sisa tersebut akan tetap berada di Pahang, kerana tiada negara sanggup menerimanya, sedangkan syarat lesen operasi ialah sisa toksik mesti dibawa keluar dari negara ini.

Rakyat tidak akan teragak agak untuk berkumpul di hadapan kilang Lynas, sekiranya kilang ini memulakan operasinya tanpa menjelaskan ke mana sisa ini akan dihantar.

Rakyat Pahang ingin melihat surat rasmi dari Lynas dan kesediaan negara mana yang sanggup terima sisa bahaya ini. Ketiadaan negara sanggup menerima sisa membuktikan ianya bahaya bagi alam sekitar dan manusia, dan inilah yang rakyat perlu memahami kenapa Pakatan Rakyat bertegas menentang projek ini.

Tanpa surat rasmi akan timbul persoalan dan spekulasi - jika tiada negara yang sanggup menerimanya, dan demi meneruskan operasi harian untuk mematuhi syarat TOL, apakah ada kemungkinan sisa toksik Lynas dibuang ke perairan laut antarabangsa di Laut China Selatan sebagai langkah mudah?

harakah/-

Terkejut restoran bernilai RM3.9 juta

27 Muharram 1433H. [MOD] -

Terkejut restoran bernilai RM3.9 juta
Poay Tiong (tengah) bersama Ketua Pemuda Pas Melaka, Yuhaizad Abdullah (kanan) di hadapan gerai dan air pancut yang didakwa membabitkan perbelanjaan besar bagi pembinaannya.
 
AYER KEROH - Pakatan Rakyat (PR) Melaka terkejut apabila sebanyak RM3.9 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan pembinaan sebuah restoran dan menaik taraf landskap yang terletak di jalan susur keluar dari Tasik Air Keroh berhadapan Hotel World Youth di sini.

Menurut Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong (DAP), kos berkenaan dianggap tidak munasabah dan sekali lagi mengesyaki wujudnya unsur rasuah di dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Sungguhpun Perdana Menteri di bawah Barisan Nasional (BN) kata mereka mahu hapuskan rasuah, melakukan transformasi, utamakan rakyat tetapi masih lagi melakukan perkara sama.

“Saya melihat masih banyak unsur penyelewengan, buktinya melalui projek ini,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Sapiah Haron ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu menyangkal kenyataan yang dibuat Poay Tiong.

Menurut Sapiah, Adun berkenaan sekali lagi telah tersilap faham mengenai projek yang dijalankan.
Katanya, projek berkenaan sebenarnya adalah di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

“Selain projek pembinaan gerai dan air pancut seperti didakwa, kos berkenaan turut meliputi pembinaan laluan pejalan kaki dan menaik taraf beberapa kemudahan landskap dari hadapan hotel berkenaan sehingga ke Dataran Bersejarah Ayer Keroh.

“Selain itu ia turut meliputi kos mengecat semula dan menukar lampu di Dataran Sejarah serta membaiki air pancut yang terdapat di kawasan berkenaan,” katanya.

sinar/-

Tok Guru Nik Aziz setuju nikahkan Apex

27 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju menikahkan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dengan pasangannya, Leuniey Natasha Nazri pada 28 Disember ini.


Demikian dinyatakan dalam surat daripada Pejabat Menteri Besar Kelantan kepada Nazri.

Menurut surat bertarikh 10 Disember yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Rushdee Abdullah itu, majlis akad nikah akan diadakan di rumah keluarga Leuniey jam 10.00 pagi.

harakah/-

Solidariti Hijau serah memorandum krisis air

27 Muharram 1433H. [MOD] -

Solidariti Hijau serah memorandum krisis air
 Zulkefly (tengah) sempat mengadakan sidang media sebelum menyerahkan memorandum itu, semalam. 
 
KUANTAN – Ahli Solidariti Hijau semalam menyerahkan memorandum Krisis Air di Pahang kepada kerajaan negeri di Wisma Sri Pahang bagi mendesak supaya menangani krisis air dengan segera.

Kumpulan yang diwakili 40 ahli itu sebelum ini menyerahkan memorandum yang sama di Selangor dan berhasrat menyampaikannya kepada Menteri Besar di setiap negeri.

Pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar berkata, dalam memorandum itu, dilampirkan senarai lokasi yang sering mengalami gangguan bekalan air di Pahang untuk perhatian pihak bertanggungjawab.

"Antara lokasi itu ialah Felda Jengka 12, Jengka 7, Jengka 10, Bandar Tun razak, Tanjung Agas, Pekan, Felda Kampung Awah, Temerloh, Pulau Tawar, Jerantut, Kampung Aur Seberang, Rompin dan Felda Mayam, Triang.

"Selain itu, kawasan Kuantan juga turut mengalami gangguan iaitu di Felda Bukit Sagu 1 hingga 8, Kampung Sungai Pinang dan Felda Bukit Kuantan," katanya ketika ditemui semalam.

Turut hadir, Penggerak Institut Peduli Rakyat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, Solidariti Hijau yang disertai 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ingin menarik perhatian kerajaan negeri untuk mengambil tindakan segera menangani rungutan rakyat tentang krisis air.

Katanya, tindakan itu bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan sebaliknya mahu perhatian segera dalam menangani masalah bekalan air yang berlaku di negeri ini.

Sebagai NGO yang prihatin dengan masalah itu, katanya, Solidariti Hijau sudah mengenal pasti beberapa faktor gangguan bekalan iaitu kapasiti air yang tidak mencukupi, tekanan air rendah, kerosakan teknikal dan air tercemar serta tidak bersih.

Zulkefly berkata, pihaknya turut mendapat aduan penduduk yang mempertikaikan bil air tinggi walaupun tiada bekalan air.

“Pihak bertanggungjawab perlu menyiasat segera masalah itu bagi mengenal pasti punca bil air tinggi walaupun tiada bekalan air. Selepas menjalani kehidupan tanpa air, mereka terpaksa pula membayar bil air yang tinggi. 

Perkara itu sudah tentu membebankan penduduk,” katanya. 

sinar/-

Lajim lempar 'bom' melalui Akuan Bersumpah

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Lajim Ukin (gambar) membuat Akuan Bersumpah (SD) hari ini dengan mendakwa pemimpin BN Sabah telah menggunakan balak untuk kekayaan ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah.

Menurut Lajim dalam SD itu, buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin kerajaan Sabah.

"Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah," katanya.

Beliau juga berkata, wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri.

Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah, katanya.

"Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah," tegas Lajim dalam SD itu.


Berikut adalah akuan bersumpah Lajim Ukin.



AKUAN BERSUMPAH

Saya, Lajim Ukin (550615-12-5069) yang beralamat di Pejabat
Perhubungan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Lot 18 & 19,
Tingkat 1 & 2, Blok C, Millenium Centre, Jalan Lintas Kepayan,
Penampang 88200 Kota Kinabalu dengan sesungguhnya dan sebenarnya
membuat perakuan berikut:

1.                 Saya adalah seorang ahli politik yang telah
memegang pelbagai jawatan kanan di dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO) iaitu parti yang telah memerintah Malaysia sejak
merdeka dalam tahun 1957;

2.                  Saya telah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan
Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan telah menjadi wakil rakyat
bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sejak 1994.
Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah sebagai
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

3.                  Saya meninggalkan Kerajaan Malaysia dalam bulan
Ogos 2012 berhubung perbezaan pendapat dan rasa tidak setuju mengenai
pelbagai perkara terutamanya nasib rakyat Sabah yang telah lama
diabaikan oleh Kerajaan Malaysia;

4.                  Sepanjang penglibatan saya dengan UMNO, saya telah
dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak tahun 2000. Majlis
Tertinggi UMNO adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi di dalam
UMNO dan bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO, termasuklah
hal ehwal kewangannya;

5.                  Saya juga menganggotai Badan Perhubungan UMNO
Sabah yang bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO di
peringkat negeri, termasuklah hal ehwal kewangannya;

6.                  Pada 9 Oktober 2012, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen apabila beliau
mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Dato’
Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang
dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan;

7.                  Menteri berkenaan telah juga mengumumkan bahawa
pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah terhadap seorang
niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum ini
dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan
Dato’ Seri Musa Aman;

8.                  Menurut kenyataan menteri tersebut di Parlimen,
dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia
digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan
derma politik kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi
Ketua Menteri;

9.                  Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang
penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan
dan pengurusan di dalam UMNO di peringkat pusat dan negeri, saya tidak
pernah tahu atau diberitahu mengenai:

i.               Sebarang perbincangan
yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah
RM40 juta, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

ii.               Sebarang pengisytiharan
yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada
UMNO Sabah, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

iii.               Sebarang bukti urusniaga,
transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO
atau Badan Perhubungan UMNO Sabah yang boleh membuktikan bahawa UMNO
Sabah adalah penerima derma politik RM40 juta itu; dan

iv.               Sebarang laporan atau bukti
yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah bahawa UMNO telah mendapat manfaat dari derma politik RM40
juta itu;

10.              Oleh yang demikian, saya menyimpulkan bahawa
kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak benar,
menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu
dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang
hanya menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah
tidak mendapat pulangan setimpal;

11.              Buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber
untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin
kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua
Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan
kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah;

12.              Wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan
di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak
pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. Keuntungan dari
penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai
rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya
dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin
kerajaan Sabah;

13.              Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada
mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara
ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen
pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah;

14.              Saya yakin pengalaman, pengetahuan dan maklumat
dalaman yang saya ada mengenai perjalanan UMNO dan kerajaan di
peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.


Dan saya membuat Surat Akuan Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

harakah/-