Kerajaan Persekutuan BN dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan
jelas di mana sisa Lynas akan dieksport dahulu sebelum kilang
dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.
Kenyataan empat Menteri BN, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan
Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi
Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sumber Asli Datuk Seri
Douglas Unggah Embas Dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai
bahawa syarikat Lynas Corporation Australia perlu mengeksport sisa yang
terhasil daripada loji di Gebeng untuk memenuhi syarat lesen
pengendalian sementaranya (TOL) adalah tidak mencukupi tanpa menuntut
Lynas untuk menyatakan dengan jelas di mana sisa radioaktif kilang Lynas
Advanced Materials Plant (LAMP) itu akan dieksportkan.
Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu
menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada
syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri.
1. Kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.
2. Kerajaan mesti menuntut surat atau dokumen perjanjian daripada
Lynas untuk mengesahkan mereka sudah menjumpai negara yang sanggup
menerima sisa-sisa radioaktif tersebut.
3. Kerajaan juga mesti menuntut Lynas memperjelaskan bagaimana
syarikat tersebut mengatasi kekangan undang-undang antarabangsa yang
menghalang penghantaran bahan berbahaya ke negara lain seperti yang
dinyatakan pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad dalam laporan
Guang Ming Daily.
Apakah Menteri Pahang sanggup berjanji sekali lagi untuk telinganya
yang satu lagi dipotong dan terjun Sungai Pahang sekiranya Lynas gagal
mengeluarkan apa-apa dokumen rasmi perjanjian, pelan dan negara mana
yang sanggup menerima sisa toksik kilang LAMP?
Keadaan ini mesti ditangani segera, kerana bahan mentah nadir bumi
telahpun sampai di kilang, dan syarikat Lynas akan memulakan operasinya.
PAS Pahang ingin tegaskan bahawa kerajaan mesti bertegas dalam soal
keselamatan rakyat dan risiko dari projek ini.
Rakyat Pahang khasnya bimbang sisa tersebut akan tetap berada di
Pahang, kerana tiada negara sanggup menerimanya, sedangkan syarat lesen
operasi ialah sisa toksik mesti dibawa keluar dari negara ini.
Rakyat tidak akan teragak agak untuk berkumpul di hadapan kilang Lynas, sekiranya kilang ini memulakan operasinya tanpa menjelaskan ke mana sisa ini akan dihantar.
Rakyat Pahang ingin melihat surat rasmi dari Lynas dan kesediaan
negara mana yang sanggup terima sisa bahaya ini. Ketiadaan negara
sanggup menerima sisa membuktikan ianya bahaya bagi alam sekitar dan
manusia, dan inilah yang rakyat perlu memahami kenapa Pakatan Rakyat
bertegas menentang projek ini.
Tanpa surat rasmi akan timbul persoalan dan spekulasi - jika tiada
negara yang sanggup menerimanya, dan demi meneruskan operasi harian
untuk mematuhi syarat TOL, apakah ada kemungkinan sisa toksik Lynas
dibuang ke perairan laut antarabangsa di Laut China Selatan sebagai
langkah mudah?
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan