11 Disember 2012

Deligasi PKR bawa bukti baru ke Hong Kong

27 Muharram 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Deligasi PKR akan bertemu Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) esok dengan membawa bukti-bukti baru mengenai skandal wang RM40 juta yang melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Deligasi PKR itu akan disertai oleh  William Leong, Ahli Parlimen Selayang, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan,Chang Li Kang, ADUN Teja, Darell Leiking, Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang Penampang dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi.

Mereka akan membuat lawatan kedua ke Hong Kong pada 12 dan 13 Disember 2012 dalam usaha membuka semula siasatan pihak berkuasa Hong Kong mengenai tuduhan rasuah RM40 juta membabitkan Musa Aman melalui orang pertengahannya iaitu Michael Chia.

Delegasi akan mengadakan pertemuan dengan  James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang bertanggungjawab menyelia perjalanan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC), selain mengadakan pertemuan khusus dengan pegawai penyiasat ICAC untuk menyerahkan bukti-bukti lanjut kes.

Menurut Rafizi Ramli, PKR telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti baru terutamanya bukti urusniaga dan butiran pemindahan wang di Hong Kong melalui akaun HSBC Milik Michael Chia di Singapura.

Selain itu, bukti mereka adalah urusniaga melalui Akaun UBS di Hong Kong milik Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd.

Mereka juga akan membawa Akuan Bersumpah Datuk Seri Lajim Ukin untuk menyokong dakwaan rasuah yang dilakukan pemimpin politik di Sabah.

"Ketiga-tiga bukti ini adalah mencukupi, seperti yang dibincangkan dengan ICAC, untuk membuka semula siasatan terhadap Datuk Seri Musa Aman.

"Sekiranya pihak berkuasa Malaysia terus mendiamkan diri dan tidak mengambil tindakan, bukti-bukti ini akan terus tersebar dan melemahkan lagi keyakinan rakyat terhadap SPRM dan Peguam Negara," tegas Rafizi.

harakah/-

Tiada ulasan: