21 Mei 2008

Anwar: Masalah dalaman UMNO makin parah...

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah dalaman UMNO semakin parah dan jelas tiada harapan untuk pulih.Keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO mencerminkan krisis parti itu kian meruncing.

''Bagaimanapun kita mesti mengelak daripada terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang lemah dengan pemimpin rasuah," katanya dalam satu email nya.

Dr. Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta semalam.Beliau bertindak keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Jika tindakan Dr. Mahadhir adalah mewakili gambaran tidak puas hati sebahagian besar rakyat Malaysia bererti UMNO akan mengalami zaman paling suram dalam tempoh masa akan datang.

Pas sedia beri orang Cina jadi MB

PANDAMARAN 20 Mei – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, jawatannya boleh disandang oleh kaum Cina asalkan individu berkenaan adalah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Nik Aziz berkata, parti itu tidak ada masalah untuk berbuat demikian memandangkan parti itu dakwanya telah diterima baik daripada kalangan orang Cina dan India ketika ini.

“Saya sanggup beri orang Cina jadi Menteri Besar kalau dia ada kelulusan Al-Azhar.


“Ini kerana, Pas melalui pakatan pembangkang hari ini diterima oleh semua kaum dan di Kelantan sendiri kita telah memerintah selama 18 tahun walaupun ada pihak sebelum ini kata kita tak mampu,” katanya ketika berucap sempena ceramah perdana di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini malam tadi.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Jangan Dibazirkan Masa Untuk Bersengketa Dan Berbalah – DYTM Raja Nazrin Shah

IPOH, 15 MEI 2008 – “Tempoh hayat manusia terlalu singkat untuk dibazirkan dengan bersengketa. “Bumi dan negeri ini terlalu kecil untuk dijadikan medan berbalah.


“Berpeganglah kepada semangat bahawa air adalah air, tidakkan putus walaupun dicencang”.
“Sesungguhnya amat malanglah bagi generasi muda yang bakal mewarisi pusaka bangsa jika di hari muka mereka kehilangan khazanah yang selama ini berada dalam kendungan bangsanya.
“Bersatulah atas nama agama, bersatulah atas nama bangsa dan bersatulah atas nama negara”.

Demikianlah antara titah DYTM Raja Dr. Nazrin Shah ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Sebelum itu, baginda berkenan menerima Pembayaran Zakat Perniagaan dan Tanaman bagi tahun 2007 daripada Lembaga Tabung Haji, Bank Rakyat Malaysia Berhad, Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Etiqa Takaful Berhad dan Felcra Berhad Seberang Perak.

Jumlah tersebut yang mencecah RM 9 juta itu kemudiannya diserahkan oleh baginda kepada Y.Bhg Dato’ Jamry Sury, Setiusaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Hadir sama mengiringi keberangkatan baginda ialah YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak, YB Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan YB Dato’ Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Mukhriz: "Saya akan menjadi suara lantang dalam UMNO yang menegur kepimpinan parti"

KUALA LUMPUR, 20 Mei:-Anak bekas ahli UMNO Tun Dr. Mahadhir (TDM),Mukhriz mendesak Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi meletakkan segera jawatan. Suara beliau ini adalah lebih keras dari nada sebelumnya supaya Pak Lah cepat berundur.

"Saya akan menjadi suara lantang dalam UMNO yang menegur kepimpinan parti,’’ katanya pada sidang akhbar di sini petang ini.

Mukhriz berkata beliau akan menjelajah keseluruh negara untuk mendapatkan sokongan bagi mendesak Abdullah meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan. Mukhriz mendakwa beliau turut mendapat sokongan bukan sahaja dari ahli UMNO tapi juga Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.

Dalam pada itu Kesemua Ahli Parlimen UMNO di dakwa menemui PM di Parlimen hari ini dan berikrar akan terus kekal dalam parti dan setia dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menerajui parti dan negara.Mereka memberi jaminan tidak akan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan keluar UMNO semalam.

Sekiranya berita tersebut ada benarnya, berapa orangkah yang bertemu PM, dimana sebenarnya posisi Mukhriz?Namun begitu Mukhriz menegaskan ia tidak akan meletak jawatan atau keluar daripada UMNO walaupun beliau bersetuju dengan tindakan bapanya itu.