21 Mei 2008

Jangan Dibazirkan Masa Untuk Bersengketa Dan Berbalah – DYTM Raja Nazrin Shah

IPOH, 15 MEI 2008 – “Tempoh hayat manusia terlalu singkat untuk dibazirkan dengan bersengketa. “Bumi dan negeri ini terlalu kecil untuk dijadikan medan berbalah.


“Berpeganglah kepada semangat bahawa air adalah air, tidakkan putus walaupun dicencang”.
“Sesungguhnya amat malanglah bagi generasi muda yang bakal mewarisi pusaka bangsa jika di hari muka mereka kehilangan khazanah yang selama ini berada dalam kendungan bangsanya.
“Bersatulah atas nama agama, bersatulah atas nama bangsa dan bersatulah atas nama negara”.

Demikianlah antara titah DYTM Raja Dr. Nazrin Shah ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Sebelum itu, baginda berkenan menerima Pembayaran Zakat Perniagaan dan Tanaman bagi tahun 2007 daripada Lembaga Tabung Haji, Bank Rakyat Malaysia Berhad, Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Etiqa Takaful Berhad dan Felcra Berhad Seberang Perak.

Jumlah tersebut yang mencecah RM 9 juta itu kemudiannya diserahkan oleh baginda kepada Y.Bhg Dato’ Jamry Sury, Setiusaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Hadir sama mengiringi keberangkatan baginda ialah YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak, YB Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan YB Dato’ Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Tiada ulasan: