17 April 2013

PRU13: Kelantan cuti peristiwa 5 Mei

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 5 Mei depan sempena pilihan raya umum ke-13.
    
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perisytiharan cuti itu dibuat bagi memudahkan kakitangan awam, swasta serta rakyat negeri ini mengundi pada hari itu.
    
"Mereka tidak perlu lagi memohon cuti atau keluar sementara untuk mengundi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.
    
Beliau berkata kerajaan negeri membuat keputusan itu kerana Ahad adalah hari bekerja di negeri ini.

- Bernama

Faizal Tahir rasa terhina dengan calon Shah Alam

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




Sejak diberitahu kepada umum bahawa Najib Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor telah memilih Zulkifli Noordin sebagai calon mesra BN untuk kerusi Parlimen P108 Shah Alam.

Ekoran itu, maka tersebarlah tweet di alam maya dari penyanyi popular Faizal Tahir yang meluahkan rasa dirinya serta keluarganya yang bermaustatin di Bandar Shah Alam merasakan diri mereka cukup-cukup terhina.

Apakah perasaan dihina begitu rupa akan diterjemahkan dalam bentuk undi nanti?

Klik untuk lihat laporan penuh blogger ini.

Harakahdaily/-

Calon BN Dun Manjoi nafi dakwaan beliau anggota Pas

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


IPOH - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed hari ini menafikan dakwaan Pas bahawa beliau adalah anggota parti itu.

Calon muka baru yang berumur 38 tahun itu menganggap dakwaan Pas itu sebagai satu provokasi.
 
Bendahari Umno bahagian Tambun itu berkata beliau menyertai Umno kira-kira 10 tahun lepas.

"Saya tidak pernah percaya kepada perjuangan Pas. Saya yakin dengan perjuangan BN," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Ziad mengulas dakwaan Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu Pas Perak, Dr Raja Iskandar Al-Hiss bahawa beliau adalah anggota Pas.

Raja Iskandar dalam sidang media hari ini berkata menurut rekod, Ziad mendaftar sebagai anggota PAS pada tahun 1997 dan keanggotaannya dalam parti gugur secara automatik setelah dinamakan sebagai calon BN semalam.  

Mohamad Ziad adalah antara 40 calon muka baru pilihan raya umum ke-13 di Perak yang diumumkan oleh Pengerusi BN negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Bernama

Calon BN Manjoi ahli PAS

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan calon BN di Dun Manjoi yang diisytiharkan oleh Pengerusi BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir semalam adalah ahli PAS.


(Raja Ahmad dalam sidang media hari ini)

Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, calon tersebut, Muhammad Ziad Zainal Abidin, 38,  telah menyertai PAS pada tahun 1997.

Katanya, sehingga hari ini, menantu kepada Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali itu tidak pernah mengumumkan dirinya keluar daripada parti.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat ahli serta penyokong Umno di Manjoi tidak mengetahui tentang identiti Ziad termasuklah dirinya pernah menyertai parti lawan.

Zaid katanya dikatakan baru aktif di bahagian Tambun dan baru sahaja dilantik sebagai bendahari bahagian tersebut.

“Persoalan timbul, adakah beliau sudah keluar daripada PAS?,” soal beliau ketika sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ahli jawatankuasanya, Salman Saleh, Ustaz Hakim Mohd Nor, Safarizal Saleh dan Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak menjelaskan, pencalonan Ziad seolah-olah BN Perak ketandusan calon yang ‘winnable candidate’ dari kalangan ahli serta pimpinannya.

Jelasnya, pihaknya turut mempersoal adakah BN Perak khasnya telah menyemak latar belakang calon-calonnya sebelum mereka diberikan tanggungjawab sebagai calon.

Ketika ditanya penglibatan Ziad di dalam PAS, Raja Iskandar berkata, beliau tidak memegang mana-mana jawatan tetapi beliau banyak membantu gerak kerja parti termasuklah ketika pilihanraya 2008 yang lalu.

Ujarnya, Ziad telah mendaftar keahliannya pada 5 Oktober 1997 dengan kaedah daftar terus bernombor 0441563.

“PAS Perak mengalu-alukan pencalonan Ziad sebagai calon dan kami mengucapkan maju jaya kepada beliau dalam pilihanraya ini,” jelasnya lagi.

Harakahdaily/-

Hadi: Umno guna 'khadam NGO' menang PRU

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
SHAH ALAM - Di sebalik demam Pilihan Raya Umum ke-13 menghampiri hari penamaan calon, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno, yang menurutnya "sangat gelabah" dengan perkembangan mutakhir, sedang menggunakan khadam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menarik undi Melayu Islam di kawasan-kawasan bukan Islam.

Kata beliau, tindakan pendek politik seumapam itu hanya berjaya untuk memenangkan MCA, MIC, Gerakan atau Umno yang sedang  bergelumang dengan kemungkarannya.

Hadi merujuk kepada NGO Islam seperti Isma yang bertanding atas nama Berjasa dan meletakkan calon-calon yang ditandingi bukan Islam.

Penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

"Sekiranya kita memahami demografi pengundi dan politiknya, dicampurkan dengan faktor jumlah kerusi yang sangat kecil ini, maka mereka ini perlu faham bahawa tindakan bertanding ini tidak akan membolehkan mereka untuk menegakkan negara atau menjadi pembangkang.

"Tindakan mereka ini hanya berjaya menjadi khadam menyelamat kemungkaran yang sedang berakar umbi," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Hadi menambah, ada kalangan media Melayu Islam mengambil pendekatan menakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang syariat seperti hudud dan lain–lain tanpa penjelasan hikmat, proses kehakiman dan caranya yang adil.

Malah, kata beliau, ada juga yang mengambil pendekatan semangat perkauman dan agama untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan sikap sangat bersimpati terhadap Pas, pada hal merekalah tangan yang menzalimi penyokong Pas selama ini.

"Dalam masa ini, wujud satu lagi golongan yang mendakwa ingin menarik undi Melayu Islam di atas nama Islam, tetapi tujuannya nyata untuk memenangkan BN bukannya memenangkan Islam.

"Mereka hanyalah sekadar khadam kepada BN Umno atau askar upahan dan sebagainya. Hakikatnya mereka hanya bertanding di sejumlah kecil kerusi sahaja, dan kawasannyanya hanya sekangkang kera yang tidak boleh bertanam dan membina rumah," kata beliau lagi.

Hadi berkata, NGO sedemikian bertanding bukan bertujuan untuk menang dan mendokong suara Islam dengan berani dan tegas, tetapi untuk memberi kemenangan kepada kebatilan yang telah berlalu lebih daripada lima puluh tahun, bermakna sejak belum mereka dilahirkan ke dunia.

Kata beliau, "kalau kail hanya sejengkal, jangan memancing di lautan yang dalam."

"Politik dalam Islam adalah amanah besar,  perlu dipelajari dan difahami kalau mahu berpolitik berlandaskan Islam dan matlamatnya.

"Ketahuilah bahawa politik Islam itu ada hukum dan feqahnya, seperti juga feqah sembahyang, haji dan zakat," kata beliau lagi.

Sehubungan itu Hadi yang akan bertanding mempertahankan kerusi Marang berkata, "marilah kita sama-sama bandingkan dengan amanat (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir Mohamad, 'lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada berkawan dengan malaikat yang kita tidak kenali."

Justeru beliau bertanya, "bolehkah berkawan dengan parti yang politiknya dipisahkan daripada Islam?"

"Adapun orang yang bukan Islam pula, terdapat juga di kalangan mereka yang diizinkan oleh ALLAH untuk kita bekerjasama dengan mereka, di atas sifat dakwah dan kemanusiaan sejagat yang diwajibkan ke atas masyarakat madani dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh ALLAH dan Rasulnya SAW bagi menegakkan adil terhadap semua.

"Fahamilah feqah politik Rasulullah SAW sebelum tegaknya negara bersama dengan sahabatnya yang setia dan ikhlas bersama Islam, dan bersama bukan Islam seperti Abu Tholib, Mut’im bin ‘Adi dan lain-lain yang belum Islam dan tidak bermusuh atau tidak keras kerana masih ada sifat–sifat kemanusiaan.

"Rasulullah SAW mengizinkan Abu Bakar RA menggunakan khidmat seorang bukan Islam ketika berhijrah yang sangat memerlukan ciri keselamatan, seterusnya bertahaluf dengan kalangan bukan Islam ketika menegakkan negara di Madinah," kata beliau lagi.

Barisan Nasional yang memerintah sejak pilihan raya umum pertama telah mengumumkan calonnya semalam dan beberapa nama hari ini.
Pas, komponen PR, telah mengumumkan beberapa nama sebelum ini dan dijangka mengumumkan senarai penuh hari ini atau esok.
Sinar/-

Ong Tee Keat timbang jadi calon bebas

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ong Tee Keat memikirkan untuk bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi parlimen Pandan, selepas digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya 2013.

Dalam tulisan di laman Facebooknya hari ini, beliau bertanya kepada pengundi:"Pengundi Pandan, apakah anda akan menyokong Ong Tee Keat sebagai calon bebas?"

Awal pagi ini sekumpulan penyokongnya dilihat di pasar basah di Pandan untuk menunjukkan sokongan kepadanya, tulis Leslie Lau, Pengarang Eksekutif The Malaysian Insider.

Malam ini, satu lagi kumpulan merancang demonstrasi untuk menyokongnya.

Dengan hari penamaan calon semakin hampir pada Sabtu, Ong masih belum memberikan komitmen untuk bertanding, lapor TMI.

Spekulasi mengenai apa akan dilakukan Ong  dimainkan dengan latarbelakang permusuhannya dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dilihat sebagai di belakang keputusan penyingkiran itu.


MCA 'jual' 3 kerusi

Sementara itu, pelbagai pihak mendakwa, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek 'menjual' tiga kerusi Parlimen MCA kepada Umno untuk mempastikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak mencalonkan Ong Tee Kiat di Pandan.

Kerusi-kerusi MCA yang diserahkan kepada Umno dalam pilihan raya ini adalah Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju.

Sebelum ini, Chua sudah memberikan amaran kepada Umno, pilih MCA atau Ong Tee Kiat.

Chua Soi Lek mengumumkan tidak akan bertanding dalam  pilihan raya umum kali ini, menjadikan ianya satu sejarah dalam negara apabila ketua parti komponen utama BN tidak bertanding.

Harakahdaily/-

PAS Kelantan tampilkan 16 muka baru

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Ketika Umno menampilkan ramai calon tidak dikenali dalam misi mengangkat Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri Besar BN, PAS pula mengentengah ramai calon baru.

Ada di antaranya pensyarah universiti, doktor perubatan, peguam, ahli perniagaan pegawai kanan kerajaan, pengetua dan ulama.

Mereka diturunkan di peringkat Dun bagi menggantikan beberapa wakil rakyat veteran yang mengundurkan diri.

Selain itu ada juga bekas wakil rakyat yang bertukar kerusi bertanding di kerusi parlimen bagi membolehkan suara rakyat diketengahkan ke peringkat nasional.

Jurucakap Perhubungan PAS Kelantan berkata, calon-calon tersebut dikenali umum dan sebahagian besar tinggal di kawasan yang akan ditandingi mereka.

Katanya, saringan pemilihan calon dilakukan sejak tahun lepas, di mana dikemukakan bermula dari peringkat akar umbi.

“Nama-nama tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Machang malam ini.

“Program tersebut bermula solat Maghrib, munajat, solat Isya dan kemudian diikuti majlis pengisytiharan calon,” katanya di sini.

Ceramah perdana pula akan menampilkan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Program tersebut bertema “Kekalkan Kelantan Ubah Putrajaya”.

Dijangka puluhan ribu rakyat Kelantan bakal membanjir padang Majlis Daerah Machang malam ini, mengulangi sejarah yang pernah dicatat sebelum ini.

Sementara itu kemelut dalaman Umno semakin terserlah selepas nama-nama calon diumumkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan semalam.

Difahamkan banyak kumpulan yang tidak puas hati dengan calon yang ditampilkan. Mereka sebelum ini dikatakan akan berhimpun di hadapan pejabat Perhubungan Umno Kelantan, namun tidak ramai hadir kerana hujan lebat.

Malah suara-suara tidak puas hati mulai kedengaran di Rantau Panjang dan Kubang Kerian apabila ketua bahagian di kawasan tersebut dipinggirkan.

Ekoran masalah dalaman tersebut kemungkinan besar calon PAS di Rantau Panjang dan Kubang Kerian tidak berdepan laluan sukar bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Di Gua Musang pencalonan semula Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan beberapa anggota jawatankuasa Umno Gua Musang melahirkan rasa tidak puas hati.

Malah ada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan. 

Harakahdaily/-

Ikan paus pembunuh dilihat berenang di utara New Zealand

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



WELLINGTON - Sekumpulan ikan paus pembunuh spesies pseudo orca dilihat berenang di luar pantai Paihia di kawasan Bay of Islands di Pulau Utara, New Zealand pada Sabtu lalu.

Ikan paus tersebut kerap berenang bersama ikan lumba-lumba bottlenose.

Kepulauan itu memang terkenal sebagai destinasi pelancongan dalam kalangan pelancong asing dan tempatan yang mahu melihat ikan lumba-lumba dan paus. - Agensi

Kami tak akan disakiti lagi’

Foto
6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

London: Seorang ibu yang sarat mengandung dipercayai membunuh diri bersama tiga anaknya selepas menulis dalam laman Facebooknya: “Kami tak akan disakiti lagi.”

Fiona Anderson dikatakan terjun dari sebuah bangunan tempat letak kereta setinggi 15 meter.

Beberapa jam kemudian tiga anaknya, Levina, tiga, Addy, dua dan Kyeden yang berumur 11 bulan ditemui mati di rumah panagsanya, kira-kira suku kilometer dari bangunan berkenaan.

Rakannya mendedahkan, Fiona, ‘ibu pintar’ yang berusia 23 tahun meninggalkan beberapa mesej meluahkan rasa kecewa selepas Craig McLelland, bapa ketiga-tiga anaknya, meninggalkannya untuk bercinta dengan wanita lain.

Dia sebelum ini menulis: “Tidak ada siapa inginkan kami. Tidak ada siapa yang membantu kami. “Orang sepatutnya membantu kami menipu dan cuba mengambil anak saya. Hanya Craig yang kami ada, tetapi dia juga sudah pergi.” Fiona dari Lowestoft, Suffolk, juga menulis: “Ibu amat sayangkan kamu dan saya akan sentiasa menjaga kamu. Saya memohon maaf kerana menyebabkan kamu kecewa. Kita tak akan disakiti lagi.” Pakar Patologi dari Pejabat Dalam Negeri semalam melakukan bedah siasat terhadap kanak-kanak itu untuk menentukan punca kematian mereka.

McLelland tiba di rumah pangsa Fiona selepas dimaklumkan ada orang membunuh diri. “Saya dapat merasakan siapa dia,” katanya.

RUMAH pangsa tempat mayat kanak-kanak itu ditemui.
Rakan Fiona Karleigh Burlingham, 20, berkata, Craig meninggalkan wanita itu kira-kira sebulan lalu.

“Ketiga-tiga anaknya sihat dan dibesarkan dengan baik. Dia melalui saat getir.” Seorang rakan lain berkata: “Kami diberitahu dia menulis dalam laman Facebooknya malam tadi: ‘Anak saya akan pergi bersama saya.’ Tidak sangka ada orang terfikir dia akan mencederakan dirinya, lebih-lebih lagi anaknya. - The Sun

Aksi penyamun dirakam CCTV

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
GOMBAK – Dua penjenayah bersenjatakan parang pasti tidak senang duduk apabila aksi mereka menyamun seorang lelaki telah dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dan kini tersebar di laman sosial Facebook.

Kejadian pukul 8.39 pagi di Selayang Jaya di sini kelmarin berlaku apabila mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an sedang memanaskan enjin kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di luar rumah sebelum ke tempat kerja.

Secara tiba-tiba, dua lelaki menaiki motosikal dan memakai topi keledar bertutup penuh mendekati mangsa sebelum salah seorangnya memecahkan tingkap pemandu dengan parang.

Lebih memeranjatkan, kejadian berlaku ketika penduduk di taman perumahan itu sedang sibuk keluar untuk ke tempat kerja. Rakaman CCTV yang dipasang di hadapan rumah mangsa itu berdurasi selama 1.05 minit.
Difahamkan, suspek cuba mencederakan mangsa ketika dia mengarahkan lelaki itu menyerahkan barang-barang berharga seperti dompet, telefon bimbit dan kunci kereta sebelum melarikan diri.

kosmo/-


Tak pernah daftar tapi disenarai sebagai pengundi pos Taiwan

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 17 APRIL: Runsing selepas menerima surat pengesahan sebagai pengundi pos, seorang wanita segera mengadukan hal itu kepada KEADILAN kerana dakwanya, dia tidak pernah mengundi walaupun sekali apatah lagi belum mendaftar sebagai pengundi.

Perkara ini didedahkan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Siddik Ibrahim selepas menerima aduan itu di Bilik Gerakan Utama di Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini.
Katanya, wanita yang bekerja di Kuala Lumpur itu menerima surat menggunakan alamat kampungnya di Johor.

Mangsa turut menjelaskan isi kandungan surat itu yang antara lain menunjukkan beliau disahkan sebagai pengundi pos di Taipei, Taiwan.

“Beliau hairan bagaimana namanya boleh disenarai sebagai pengundi di Taipei sedangkan dia bekerja di Kuala Lumpur dan berasal dari Johor.

“Saya sendiri ada menggesa beliau untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, tetapi beliau bimbang atas faktor publisiti media yang mungkin menjejaskan kerjayanya,” kata Siddik kepada Keadilan Daily.

Menurut Siddik, wanita itu berjanji untuk menghubunginya kembali bagi membantu siasatan salahguna maklumat peribadi. – NS

Tiga bilik gerakan Umno Shah Alam tutup

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Sejak semalam lagi, tiga bilik gerakan Umno Shah Alam telah ditutup apabila tersebar khabar Datuk Zulkifli Nordin menjadi calon Barisan Nasional (BN) di situ.

"Orang kuat Umno di sini yang memberitahu bahawa mereka tahu rancangan itu sejak semalam lagi dan setakat semalam sahaja tiga bilik gerakan telah ditutup, mungkin di peringkat cawangan," kata pengerusi salah sebuah masjid di situ yang enggan namanya disiarkan.

Seorang pengurus di salah sebuah kilang di Shah Alam pula memberitahu, beberapa orang kuat Umno Shah Alam yang beliau temui petang tadi dan malam ini merasa sangat malu apabila Zulkifli dicalonkan sebagai calon BN di situ.

"Tadi, masa saya pergi solat berjemaah di masjid, pencalonan Zulkifli jadi bahan gelak ketawa," kata pengurus salah sebuah kilang di Seksyen 16 itu yang juga tidak mahu namanya disiarkan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad yang akan mempertahankan kerusi Shah Alam menyifatkan pemimpin Umno mempunyai persepsi yang unik apabila mencalonkan Zulkifli di situ.

"Terpulang kepada pemimpin BN untuk memilih calon yang terbaik ... Malangnya, mereka merasakan bahawa Zulkifli adalah calon yang terbaik. Mereka mempunyai persepsi yang unik apa yang rakyat Shah Alam mahu," The Malaysian Insider memetik beliau.

Menurut Khalid, kebanyakan orang di Shah Alam adalah lebih matang dan tidak bersifat pelampau, dan Zulkifli yang merupakan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mewakili nilai-nilai yang menjadi pegangan mereka.

Beliau juga menyifatkan pencalonan Zulkifli itu sebagai isyarat jelas bahawa para pemimpin Umno dan BN tidak mempercayai Umno Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang kecewa tidak dicalonkan di kawasan idamannya, Pasir Mas, mempersoalkan mengapa beliau tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli dipilih menjadi calon BN.

Ibrahim berkata, beliau kecewa kerana tidak diberikan alasan mengapa tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli yang menjadi Naib Presidennya dalam Perkasa dipilih menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Shah Alam.

"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya," laman Astro Awani memetik beliau berkata.
Saifuddin memandu jentolak pada Majlis Pecah Tanah Tapak Gelanggang Bola Keranjang di Taman Saga Indah.
MENTAKAB – Kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM1 juta tahun lalu bagi pembinaan gelanggang bola keranjang tertutup bertaraf nasional untuk pembangunan akar umbi sukan itu.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, gelanggang yang dijangka siap tahun hadapan itu memudahkan lebih banyak penganjuran kejohanan bola keranjang bertaraf nasional diadakan di sini.

Menurutnya, ia mampu menjadikan Temerloh sebagai tuan rumah bagi kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia, Piala Milo bawah 16 tahun, Piala Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) dan Piala Agong sukan bola keranjang.

“Kementerian Pelajaran Malaysia memilih daerah ini sebagai pusat kecemerlangan bola keranjang manakala Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipilih Kementerian Pengajian Tinggi sebagai pusat kecemerlangan bola keranjang institut pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Tapak Gelanggang Bola Keranjang di Taman Saga Indah, dekat sini. 

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, usaha sedang giat dijalankan untuk membangunkan akademi bola keranjang.

Menurutnya, akademi bola keranjang itu akan menempatkan kursus kejurulatihan, pengurusan dan pembangunan ahli sukan peringkat akar umbi.

“Saya harap Temerloh akan jadi pusat kecemerlangan bola keranjang dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

harakahdaily/-

Calon Umno Pasir Mas akan terbatal kerana masalah teknikal?

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja Datuk Ibrahim Ali(gambar) disahkan tidak termasuk dalam senarai calon BN, sms bertebaran memaklumkan ia hanya wayang Umno untuk memujukkan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut sms itu, Ibrahim Ali akan disahkan sebagai calon BN apabila calon BN yang diumumkan, Datuk Johan Che Pa akan ditolak dengan beberapa masalah teknikal.

"Ketika itu, bila calon BN tidak sah kerana masalah teknikal, para penyokong BN akan diminta menyokong Ibrahim Ali.

"Itulah rancangan Umno, jadi orang-orang  Cina dan India dan lain-lain tak boleh kata Ibrahim adalah tajaan Umno," kata SMs itu.

Ia disebarkan di merata kawasan bahkan di Pasir Mas sendiri.

Sebelum ini, ketika tidak diumumkan sebagai calon, Ibrahim Ali melahirkan rasa kesalnya.

Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berkata tidak mengetahui mengapa dirinya tidak terpilih sebagai calon PRU Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya," katanya dipetik dari laman sesawang Astro Awani.

Ekoran itu, beliau mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Pasir Mas.

Harakahdaily/-

Calon: Macam mana BN Kelantan mahu perkasa Islam

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU: Hasrat dan janji Umno BN untuk memperkasakan Islam sekiranya diberi mandat oleh rakyat ternyata tidak menepati jika dilihat dari kredibiliti calon yang diumumkan parti itu semalam.


Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata hanya seorang sahaja yang benar-benar ustaz jika dilantik senarai pencalonan parti itu semalam.

“Kalau seorang amat tidak cukup, macam mana nak memperkasakan Islam,” ujarnya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, seterusnya berkata hasrat untuk memperkasakan Islam tidak akan berjaya sekiranya hanya seorang saja yang bergelar ustaz.

Ketika disebut media ada empat orang ustaz, sambil tersenyum beliau berkata “itu saya tak tahulah, sebab yang benar-benar ustaz dan saya kenal seorang sahaja,” ujarnya.

Mohd Amar seterusnya berpendapat ia tidak memberikan janji baru apabila melihat latar belakang calon BN tidak sama dengan kenyataan pimpinan negeri sebelum ini.

Berhubung dengan calon PAS, beliau tidak menafikan ada beberapa muka baru ditonjolkan sehingga mencapai hampir 30 peratus termasuk di Dun dan Parlimen.

harakahdaily/-

Ibu Noh Omar meninggal dunia

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


TANJONG KARANG - Ibu kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Basah Din, 62, meninggal dunia kerana sakit darah tinggi pada kira-kira 10 malam tadi.
   
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 2 Sungai Burong di sini pada kira-kira 10.30 pagi ini selepas disembahyangkan di kediaman Noh di sini.
   
Allayarham yang menetap bersama adik tiri Noh di Sungai Buloh, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.
   
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor serta calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Karang, ketika ditemui pemberita di sini berkata ibunya berada dalam keadaan lemah secara tiba-tiba ketika sedang menunaikan solat maghrib semalam.
   
"Kali terakhir saya jumpa arwah dua minggu lepas dan arwah ada nyatakan mahu kembali dan menetap di rumah ini.
 
"Ibu saya ada juga tanya sama ada saya masih jadi calon, saya jawab belum pasti dan minta dia doakan dan kata arwah InsyaAllah saya dapat sebab sudah kerja keras" katanya
   
Noh berkata beliau diberitahu adiknya bahawa arwah ibu mereka sempat menonton siaran berita bagi memastikan beliau sah dipilih menjadi calon walaupun telah dimaklumkan oleh adiknya.
   
"Saya percaya doa ibu antara faktor saya masih dipilih menjadi calon untuk pilihan raya umum ke-13," katanya.  - Bernama

Keluarga Aminulrasyid Amzah saman polis, kerajaan RM50 juta

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Aminulrasyid Amzah

Aminulrasyid Amzah
SHAH ALAM - Keluarga remaja Aminulrasyid Amzah yang maut terkena tembakan polis di sini tiga tahun yang lalu, hari ini memfailkan saman RM50 juta ke atas polis dan kerajaan.
Saman juga difailkan terhadap Koperal Jenain Subi dan dua yang lain.

Saman difailkan kira-kira jam 11 pagi tadi di  Mahkamah Tinggi di sini.

Turut dinamakan dalam tuntutan itu ialah Ketua Polis Daerah Shah Alam dan Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sinar/-

Kajian: Rakyat tidak percaya video kaitkan Anwar

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kajian yang dibuat Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) berhubung video seks yang dikaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapati majoriti rakyat Malaysia tidak mempercayaainya.

Daripada 2044 responden, 728 dari mereka tidak mempercayai video tersebut, 919 tidak pasti manakala hanya 402 yang memilih percaya.

"Kajian yang dilakukan secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur melibatkan etnik Melayu, Cina, India dan lain-lain mendapati bahawa mereka yang percaya kepada video seks yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sekitar 16-20 peratus sahaja.

"Manakala jumlah yang tidak percaya dan tidak pasti menyumbangkan peratus yang tertinggi," kenyataan mereka dipetik.

Mereka juga menyimpulkan bahawa kajian yang dilakukan dalam bulan November hingga Disember 2011 menunjukkan bahawa publisiti besar-besaran yang dilakukan bagi mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan video tersebut gagal meyakinkan rakyat Malaysia untuk percaya tentang perkara itu.

harakahdaily/-

Mazlan bukan lawan kepada Anwar Ibrahim – AMK Permatang Pauh

anwa6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PULAU PINANG 17 APRIL: Pengalaman Dr Mazlan Ismail sebagai bekas Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang bukan kelebihan kepada calon BN itu apabila berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali, berkata Mazlan mungkin mengetahui serba sedikit strategi PAS tetapi ia tidak boleh digunakan apabila melawan Ketua Umum KEADILAN itu.

“Malah, sepanjang menyandang jawatan itu, Mazlan gagal membentuk kemenangan PAS di negeri itu.
“Jadi, jawatan itu bukan faktor yang boleh Umno gunakan sekalipun kita yakin Umno akan tabur banyak wang untuk raih undi,” katanya kepada Keadilan Daily.

Beliau mengulas pencalonon bekas Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Dr Mazlan Ismail sebagai calon Umno BN di Parlimen Permatang Pauh.

Amir berkata, Umno cuba menggunakan imej Mazlan selaku bekas pemimpin PAS sebagai faktor tarikan seolah-oleh lupa kepada keputusan PRU 11.

“Ketika itu, Umno letak tokoh agama popular, Ustaz Pirdaus Ismail sebagai calon tetapi KEADILAN tetap mengekalkan kerusi Permatang Pauh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, petugas KEADILAN Parlimen Permatang Pauh tidak bekerja sambil lewa untuk memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar.

Parlimen Permatang Pauh terbahagi kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Pada pilihan raya kecil 2008 yang dianggap sebagai ‘Mother of The By-Eceltions’, Anwar mudah menewaskan calon Umno BN, Arif Shah dengan majoriti 15,671 undi.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada PRU 12 mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,388 undi sekaligus mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU 11.

keadilandaily/-

Zulkifli Nordin yang menghina Hindu dipilih oleh Najib untuk jadi calon BN

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


GEORGE TOWN, 16 APR: Pengumuman Zulkifli Nordin sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Shah Alam oleh Pengerusinya Najib Razak memperlihatkan bahawa sebenarnya konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan BN hanyalah retorik semata-mata.

Penolong Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Pulau Pinang, Satees Muniandy menyifatkan pencalonan Zulkifli itu sebagai tidak menghormati perasaan masyarakat India beragama Hindu, lantaran tersebarnya sebuah klip video baru-baru ini yang memaparkan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu menghina kepercayaan orang Hindu.

“Walaupun, Zulkifli kemudianya memohon maaf dan memberitahu bahawa ucapanya itu dibuat 10 tahun dulu, ketika beliau menanggotai PAS, saya telahpun membongkarkan bahawa Zulkifli Nordin tidak ikhlas dalam permohonan maafnya dan menipu.

“Dewa Murugan yang dibina di luar Batu Caves yang disebut dalam ucapan Zulkifli Nordin hanya siap dibina pada 2006, iaitu tujuh tahun lalu dan bukanya 10 tahun.” ujar beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
“Beberapa laporan polis dibuat ke atas Zulkifli Nordin namun tiada tindakan diambil terhadapnya. Masyarakat Hindu di Malaysia, amat tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa yang enggan mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin itu,” tambah beliau lagi.

UMNO-BN telah membuktikan bahawa ia menyokong ektremisme dengan membenarkan Zulkifli yang juga Naib Presiden kumpulan ultra-Melayu, Perkasa, untuk bertanding atas tiket BN.

“Pencalonan Zulkifli Nordin membuktikan Laungan 1Malaysia oleh Najib dan pemimpin BN adalah retorik kosong untuk mengaburkan mata rakyat saja,” kata Satees.

“DAPSY Pulau Pinang mengecam tindakan BN yang melindungi ekstremis bernama Zulkifli Nordin ini dan menawarnya bertanding sebagai calon BN pada PRU-13 ini,” ujarnya, sambil bertanya samada MIC dan parti India yang menyokong BN akan berkempen menyokong Zulkifli Nordin secara terbuka.

Zulkifli Nordin, pernah menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau dipecat daripada parti terbabit pada Mac 2010 dan menjadi wakil rakyat bebas yang bersekutu dengan BN. – Roketkini.com

Helikopter tentera AS terhempas di Korea Selatan

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
 
SEOUL - Sebuah helikopter milik tentera Amerika Syarikat (AS), Sikorsky CH-53 terhempas semasa mendarat di sebuah pangkalan tentera Korea Selatan semalam, kata polis dan beberapa pegawai tentera.
Helikopter pengangkut itu mendarat di padang sasar di pangkalan tentera tersebut yang terletak di Cheorwon, 88 kilometer ke utara Seoul.

Menurut agensi berita Yonhap News Agency, helikopter tersebut mendarat selepas ia menyertai satu latihan ketenteraan selama tiga jam.

Lima buah lagi helikopter turut terlibat dalam latihan itu.

Helikopter tersebut kemudian terbakar selepas ia terhempas.

Semua 21 askar AS yang menaiki helikopter itu terselamat.

Seramai 15 daripada 21 askar itu telah dibenarkan keluar dari hospital selepas mereka menerima rawatan.
Enam lagi askar tersebut yang masih dirawat dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - Agensi