17 April 2013

Letupan bom gegar maraton di AS

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



BOSTON, Massachusetts - Dua letupan kuat menggegarkan salah satu acara sukan utama di Amerika Syarikat (AS) kelmarin dengan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala 150 lagi cedera.

Serangan berdarah itu berlaku semasa acara larian Maraton Boston sedang berlangsung di sini.

Letupan berkembar itu yang berlaku selang 13 saat terjadi lebih sedekad selepas hampir 3,000 orang terbunuh dalam serangan ke atas bandar raya New York, Washington dan Pennsylvania pada 11 September, 2001.

Seorang budak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan antara yang terbunuh dalam letupan bom semasa maraton tersebut berlangsung. 

Akhbar Boston Globe menamakan mangsa sebagai Martin Richard manakala bapanya, William bertanding dalam larian tersebut.

Ibu dan seorang saudara perempuannya parah dalam serangan itu.
Rakaman video di televisyen AS menunjukan bom tersebut meletup di belakang deretan bendera kebangsaan negara itu dekat garisan penamat.

Badan seorang pelari berusia 78 tahun berkecai manakala sejumlah penonton terpelanting di jalan raya akibat letupan kuat itu.

Seorang pemilik hotel, Mark Hagopian menyatakan, beliau melihat beberapa cebisan kaki manusia.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Boston, Edward Davis berkata, letupan ketiga berlaku sejam selepas kedua-dua letupan tersebut dekat sebuah perpustakaan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Menurutnya, sebanyak dua butir bom turut ditemui dan dimatikan pada penghujung laluan maraton sepanjang 40 kilometer tersebut.

Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
Jarak antara letupan bom pertama dan kedua ialah 90 meter. Kumpulan Taliban menafikan terlibat dalam insiden tersebut.

"Kami menyokong menyerang AS dan sekutu-sekutunya tetapi kami tidak terbabit dalam serangan itu," kata jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan, Ehsanullah Ehsan.

Susulan insiden tersebut, Presiden Barack Obama dalam ucapannya di televisyen AS menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang tuduhan berhubung dalang yang melakukan letupan tersebut.
"Kita akan mencari siapa yang melakukan serangan itu. 

"Kita akan membawa mana-mana individu atau kumpulan yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata Obama.

Namun, seorang pegawai White House memberitahu, letupan berkembar itu jelas merupakan 'perbuatan keganasan'.

Dalam perkembangan berkaitan, tahap keselamatan di bandar raya-bandar raya utama di AS dipertingkatkan ekoran kebimbangan berulangnya serangan pengganas pada 11 September 2001.
Kira-kira 27,000 orang mengambil bahagian dalam larian sejauh 42 kilometer itu.
Ia merupakan antara maraton paling berprestij di dunia. - Agensi

Tiada ulasan: