17 April 2013

Serah polis buat siasatan

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SELAMA - Pemuda Pas Larut kesal dengan tindakan segelintir pihak yang didakwa menyebar beberapa risalah berunsur fitnah kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pemuda Pas Larut, Mohd Nazri Din berkata, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama berikutan mahukan siasatan menyeluruh dilakukan terhadap risalah fitnah berkenaan.

Menurutnya, dalam masa sama, pihak polis juga perlu mencari dalang di sebalik semua tindakan tersebut dan sekali gus dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kita amat kecewa kerana dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, fitnah seolah-olah telah menjadi bahan kempen,” katanya.

Mohd Nazri berkata, seharusnya pihak yang terlibat perlu mengemukakan dasar-dasar manifesto atau tawaran kepada rakyat dan bukannya fitnah seumpama ini.

“Antara fitnah yang disebarkan dalam risalah tersebut termasuk gambar yang memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu,” katanya.

Mengulas perkara tersebut, Mohd Nazri berkata, gambar itu sebenarnya adalah gambar bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bukannya Guan Eng.

“Ini adalah satu fitnah yang amat besar terhadap beliau. Saya berharap agar pihak polis dapat melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap penyebaran risalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan kepada seluruh jentera Pilihan Raya Pas Larut agar dapat memantau pengedaran risalah tersebut.

“Sekiranya pihak berwajib tidak menghalang penyebaran risalah ini, maka jentera kita telah bersiap sedia untuk menghalangnya dengan cara kita,” katanya.

Mohd Nazri (tiga, kiri) bersama beberapa ahli Pas Larut menunjukkan laporan polis dan risalah fitnah yang telah diedarkan di kawasan berkenaan.

Sinar/-

Tiada ulasan: