17 April 2013

Siapa Menteri Besar Selangor?

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
SHAH ALAM – Sejak Timbalan Pengerusi Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendedahkan empat calon disenarai pendek sebagai menteri besar sekiranya BN dapat merampas kembali negeri ini, banyak pihak mula berteka-teki.

Baik pengamal media, penyokong BN serta orang awam cuba membuat telahan sendiri berdasarkan maklumat, pemerhatian, pemantauan serta kajian pendek yang dibuat ke atas beberapa calon yang dirasakan layak.

Nama calon-calon yang diumumkan di peringkat Dun diteliti satu persatu dan diperhatikan berulang kali bagi mengetahui siapa yang bakal menerajui Selangor nanti selain melihat kepada sumbangan khidmat bakti mereka kepada rakyat.

Beberapa bulan sebelum ini ada cerita kononnya, Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor bakal diangkat sebagai menteri besar Selangor sekiranya BN kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke 3 (PRU13) seolah-olah membenarkan namanya disenarai pendek.

Malah beberapa rakan dari parti pembangkang pernah menyebut, sekiranya BN berjaya mengambil alih Selangor, mereka lebih selesa jika Muhammad Bushro menjadi menteri besar berbanding pemimpin Umno lain.

Ini menunjukkan beliau yang dikekalkan di Dun Paya Jaras itu antara yang berpotensi besar untuk mengepalai Selangor selepas PRU13 kelak bagi mengubah persepsi negatif sesetengah rakyat kepada BN.

Sementara itu, pemimpin Umno Selangor yang dilihat berkaliber dengan jawatan menteri besar adalah calon dan juga penyandang Dun Taman Templer, Datuk Subahan Kamal.

Ketegasan dan kebijaksanaan yang ditonjolkan setiap kali mengambil bahagian dalam perbahasan pada Sidang Dun Selangor menyebabkan beliau dikagumi semua pihak.

Sikap membela dan mengambil berat terhadap rakyat di kawasan beliau yang begitu terserlah itu membawa nama beliau bakal menteri besar Selangor.

Tidak kurang juga Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin yang dicalonkan di Dun Batu Tiga menentang calon PKR, Rodziah Ismail.

Melihat kepada perjalanan politik dan sejarah keluarganya yang boleh dikatakan 200 peratus menyokong BN, Sinar Harian tidak menolak kemungkinan beliau juga berpeluang bergelar menteri besar Selangor.

Lebih menguatkan lagi apabila beliau dicalonkan di peringkat Dun, bukannya di parlimen walaupun beliau dikatakan layak dan mampu menentang penyandang Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Penyandang dan calon Dun Sungai Burung, Datuk Shamsudin Lias juga ada disebut-sebut sebagai calon menteri besar Selangor.

Orang lama dalam Umno dan BN Selangor dianggap sebagai seorang pemimpin yang cukup tenang dan penuh berpengalaman terutamanya dalam bidang pentadbiran kerana pernah memegang jawatan Pegawai Daerah di Sabak Bernam, Petaling serta Kuala Selangor.

Sinar/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Fikirkan. Dalam sejarah, jika orang Islam sediada tak mahu kepada Islam, Allah boleh angkat siapa saja untuk memimpin Islam. Di Malaysia, tak mustahil Allah akan angkatkan orang Islam dari bangsa bukan Melayu yang mahukan Islam.
Segalanya pada takdir Allah, insan hina tak boleh takbur.

Tanpa Nama berkata...

Orang Islam dari bangsa bukan Melayu adalah Melayu apabila dia berbahasa/berbudaya Melayu... Sejarah pernah menunjukkan Malaysia tidak menolak seseorang sebagai pemimpin oleh sebab asal-usulnya asalkan dia seorang Melayu di bawah Artikel 160 Perlembagaan Malaysia... fikir-fikirkanlah... siapa sebenarnya yang tidak boleh menerima siapa