6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Debaran fasa pertama sudah berakhir. Teka-teki sudah terjawab. Sekarang adalah fasa untuk memujuk mereka yang merajuk. Dengarnya, ramai juga yang merajuk kali ini. Tambah lagi kerja ketua parti. Inilah namanya politik.
Cakap saja berdegar-degar. Sehati sejiwa melafaz ikrar. Tapi apabila sampai masa tidak dicalon walau sudah jadi YB empat lima penggal, hilang segala akujanji. Nak tunjuk belang, lompat ke parti lawan. Bongkar segala rahsia. Inilah watak politik yang ada di tanah air kita. Untuk ahli politik yang seperti ini, kita mahu letak mereka di kelas berapa?
Siapa MB Perlis?
Indera Kayangan yang sekarang bergelar Darul Sunnah, akan dapat MB baru. Dr Md Isa Sabu yang biasa masuk tidur jam 11 malam tiap hari, tidak akan bertanding lagi. Tatkala tersebar berita itu minggu lalu, dijangka Shahidan Kassim akan bertanding dua kerusi, Parlimen dan Negeri. Kerusi Negeri sudah tentu untuk dia mengganti MB.
Namun apabila Shahidan sah bertanding hanya satu kerusi, berlagu semula teka-teki, siapa yang paling layak ganti MB. Kalau Zahidi Zainul Abidin juga bertanding kerusi Negeri, tidaklah kita tercari-cari. Dia memang layak tetapi malangnya tidak. Zahidi bertanding di kerusi Parlimen Padang Besar.
Sebelum ini, ada juga ura-ura Radzi Sheikh Ahmad mahu buat 'comeback' dan bertanding kerusi Dun Kayang. Ramalanku rupanya dusta belaka. Radzi langsung tidak masuk dalam senarai nama.
Jadi untuk meramal siapa MB dengan andaian Perlis akan kekal dalam tangan BN, mungkin Chu @ Ismail Kassim, adik Shahidan yang mengganti tempat abangnya di Tambun Tulang.
Kalau tidak ada 'deal' barang kali sukar bagi Shahidan untuk melepas kerusi Negeri sedang dia sendiri sejak beberapa tahun lalu bukan main menagih janji untuk dikembalikan jawatan MB.
Apa pun, ini hanya telahan nujum melalui keyboard, bukan geluk hikmat. Ada dua tiga nama lagi yang layak jadi MB termasuk Ahmad Bakri Ali, Jafperi Othman atau Sabry Ahmad. Tak kurang layak sudah tentu Jamil Saad.
Mukhriz MB Kedah?
Tinggal dulu cerita Perlis. Dari hujung Sanglang masuk saja ke kawasan Dun Ayer Hitam, pun kita akan bercakap pasal MB juga. Sah sudah, Mukhriz Mahathir akan bertanding di Ayer Hitam dan kalau dia menang, seluruh Kedah juga BN menang, Mukhriz hampir pasti akan jadi MB Kedah yang baru. Soalnya, apakah mudah untuk BN takluk Kedah?
Di Dun Ayer Hitam, khabarnya tak mudah juga untuk Mukhriz gugat pengaruh Abdul Ghani Ahmad yang sudah lama berkubu di situ. Abdul Ghani pada 1999 sudah pun jadi Adun. Tewas kepada Othman Aziz pada 2004, tetapi pada 2008, menang semula.
Mukhriz sendiri, apakah sudah hilang kekok sebagai anak perdana menteri untuk bersalam dengan pak long, pak ngah yang baru balik dari bendang tanpa rasa geli? Bagaimana pula dengan pegawai-pegawainya? Apakah mereka juga sudah sedia untuk 'berhemoi' dengan orang kampung, jadi 'gedohok' atau 'mentara' apabila ada kenduri kendara?
Di Ayer Hitam, malah Jerlun seluruhnya, orang kampung di situ tidak perlukan pembangunan yang hebat-hebat. Apa yang mereka mahu jaga dan pertahan adalah tanah bendang yang sudah jadi pusaka warisan.
Mereka tidak akan beralah jika dipaksa melepas tanah untuk pembangunan sebagaimana yang pernah jadi kontroversi dalam kes kolam udang Kerpan dahulu. Apa yang paling penting ialah sikap mesra rakyat, sentiasa ada di kawasan apabila diperlukan.
Pegawai-pegawai kepada pemimpin pula jangan berhidung tinggi apabila jumpa orang kampung walau kita mungkin lebih berpelajaran berbanding mereka. Masuk kampung, kena ikut gaya kampung. Paling baik kalau boleh duduk bersila panggung sambil balut rokok daun. Itu cara nak ambil hati orang Jerlun!
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan