17 April 2013

Pas bantah teroka hutan haram

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pas bantah teroka hutan haram

Nor Azman sedang berucap di tapak penerokaan Hutan Simpan kekal Miku. Turut serta, Abdul Hadi (duduk, kiri) dan Mohd Taufek (duduk, kanan) di tapak penerokaan hutan simpan kekal
Pas bantah teroka hutan haram

Kain rentang yang ditulis bagi membantah kegiatan penerokaan hutan simpan kekal.
Pas bantah teroka hutan haram

T.Kumar (kiri) ditemani Mohd Taufek berucap di tapak penerokaan Hutan Simpan Kekal Miku.
JOHOL – Ahli Pas berkumpul di Hutan Simpan Kekal Miku, di sini bagi membantah penerokaan hutan yang didakwa dilakukan secara haram sejak tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, keluasan tanah yang diterokai 28.95 hektar dan perkara itu perlu ditangani segera.

Menurutnya, penebangan kayu balak ini bukan dilakukan oleh masyarakat Orang Asli, sebaliknya ada dalang yang ingin mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Menteri Besar cakap Orang Asli yang lakukan sedangkan perkara itu tidak berlaku.

"Orang Asli tidak ada jentera pengangkutan, tidak ada modal besar untuk keluarkan balak.

“Kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar itu tidak bertanggungjawab ibarat untuk melepaskan diri atas kesalahan tersebut. Kita mendesak pihak terbabit tampil untuk menjelaskan perkara ini bukan menuduh Orang Asli melakukan penerokaan Hutan Simpan Kekal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di tapak Hutan Simpan Kekal Miku, semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad.

Mohd Taufek berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan terus berjuang memelihara kebajikan masyarakat Orang Asli dan alam sekitar.

Menurutnya, PR tidak akan berdiam diri malah, penebangan kayu balak secara haram di kawasan Serting, Gunung Angsi sudah didedahkan hingga ke peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Jika kita diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), perkara awal akan diberi tumpuan ialah soal pembalakan secara haram yang berleluasa seluruh negeri ini,” katanya.

Malah,  kenyataan penerokaan hutan sudah dicatatkan dalam Penyata Rasmi Persidangan Kedua Penggal ketiga Dun yang ke 12 pada 9 Ogos 2010.


Segera cari dalang

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pendirian supaya menyiasat perkara itu dan mencari dalang di sebalik penerokaan hutan simpan kekal Miku.

Abdul Hadi berkata, adalah tidak munasabah untuk masyarakat Orang Asli melakukan kegiatan penerokaan itu kerana penerokaan hutan melibatkan modal yang besar.

“Jangan kerana hendak menutup agenda lain, Orang Asli dipersalahkan walhal mereka tidak melakukannya.

“Lagipun, hutan adalah tempat Orang Asli mencari sumber rezeki. Takkan mereka hendak merosakkan periuk nasi sendiri. Cuba fikir secara betul dan rasional. Ingin saya tekankan di sini, dalang di sebalik penerokaan hutan ini perlu dicari dan
disiasat malah perlu bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan,” katanya.


Rakyat berhak tahu

Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, T. Kumar berkata, merujuk kepada Ketua Audit Negara 2010 teguran terhadap Kerajaan Negeri Sembilan sudah diberikan kerana tidak menggantikan hutan simpan.

Menurutnya, ini jelas bahawa kegiatan pembalakan dan penerokaan di negeri adalah berleluasa dan di luar kawalan apabila hutan simpan yang dibatalkan statusnya tidak diganti semula.

“Sebanyak lima peratus setiap lima tahun, hutan simpan diterokai. Anggaran kawasan hutan dan tadahan hujan boleh pupus sepenuhnya dalam tempoh 50 tahun terutama apabila saban tahun hutan simpan semakin berkurangan.

“Justeru itu, saya menggesa Menteri Besar membentangkan kepada rakyat dengan serta-merta semua maklumat konsesi pembalakan yang telah dan diberikan melibatkan kuota 4,800 hektar setiap tahun seperti yang disebut sebelum ini.

“Rakyat berhak tahu siapa mendapat konsesi balak dan berapa hasilnya kepada Kerajaan Negeri dan status hak milik tanah setelah diterokai,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian pada 25 Oktober 2012 melaporkan mengenai kenyataan Menteri Besar berhubung penyelewengan pengurusan tanah hutan simpan.

Beliau ada menyebut kerajaan negeri sudah menggantikan lebih 2,400 hektar tanah untuk dijadikan hutan simpan.

Malah kerajaan negeri juga memperuntukkan 4,800 hektar tanah setiap tahun dari hutan simpan bagi tujuan pembalakan dan hasil kayu.

Bagaimanapun Kumar berkata, tindakan kerajaan negeri membatalkan status hutan simpan kekal di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Status ini masih belum mendapat jawapan daripada Menteri Besar dan perkara ini hanya dibiarkan begitu sahaja. Oleh sebab itu, saya membuat laporan polis di Seremban pada 1 November 2012 supaya siasatan  dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: