17 April 2013

Ibu Noh Omar meninggal dunia

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


TANJONG KARANG - Ibu kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Basah Din, 62, meninggal dunia kerana sakit darah tinggi pada kira-kira 10 malam tadi.
   
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 2 Sungai Burong di sini pada kira-kira 10.30 pagi ini selepas disembahyangkan di kediaman Noh di sini.
   
Allayarham yang menetap bersama adik tiri Noh di Sungai Buloh, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.
   
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor serta calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Karang, ketika ditemui pemberita di sini berkata ibunya berada dalam keadaan lemah secara tiba-tiba ketika sedang menunaikan solat maghrib semalam.
   
"Kali terakhir saya jumpa arwah dua minggu lepas dan arwah ada nyatakan mahu kembali dan menetap di rumah ini.
 
"Ibu saya ada juga tanya sama ada saya masih jadi calon, saya jawab belum pasti dan minta dia doakan dan kata arwah InsyaAllah saya dapat sebab sudah kerja keras" katanya
   
Noh berkata beliau diberitahu adiknya bahawa arwah ibu mereka sempat menonton siaran berita bagi memastikan beliau sah dipilih menjadi calon walaupun telah dimaklumkan oleh adiknya.
   
"Saya percaya doa ibu antara faktor saya masih dipilih menjadi calon untuk pilihan raya umum ke-13," katanya.  - Bernama

Tiada ulasan: