17 April 2013

Bendera Pas kena conteng

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Azizan Abdul Razak

Gambar Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab.
Bendera Pas

Bendera Pas yang diconteng di jalan sekitar Wan Tok Rendong.
LANGKAWI - “Buat pertama kali dalam sejarah politik Langkawi ketika PRU selama 12 tahun, ini tindakan paling melampau oleh individu tidak bertanggungjawab. Perbuatan menconteng pada bendera Pas amat keterlaluan,” kata  Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Langkawi, Zabidi Yahya.

Menurutnya, pihaknya percaya di sebalik kejadian itu ada dalang yang ingin melihat kekacauan berlaku ketika pilihan raya dan kesemua AJK Pas Kawasan Langkawi melahirkan rasa kesal jika individu terlibat diupah pihak tertentu.

“Tindakan tegas wajar diambil terhadap individu dan dalang di sebalik kejadian ini.

“Perbuatan itu tidak bertamadun dan tidak selari dengan transformasi yang dilaungkan. Ini satu tindakan terdesak dan boleh mencetuskan suasana kurang harmoni ketika bahang PRU13,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad berkata, sikap saling hormat-menghormati perlu diamalkan semua pihak terutama parti politik yang terbabit dalam PRU13.

“Walaupun kita berbeza ideologi dan sokongan pada mana-mana parti, situasi di Langkawi berbeza kerana pulau ini kecil sahaja, semua macam adik-beradik.

"Tidak perlu berpolitik secara tidak matang atau cuba bangkitkan suasana tidak sihat terutama isu sensitif agama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dalam keadaan sekarang, semua pihak perlu menjaga tata susila dan adab supaya tidak terkeluar dari landasan sebenar dan menjauhi perkara yang dimurkai ALLAH SWT.

“Ambil pendekatan mudah iaitu walaupun kita lawan kita tetap kawan,” katanya.

Sinar/-


Tiada ulasan: