23 September 2012

Kamera automatik kesan pesalah di lokasi maut

7 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Kuala Lumpur: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mula beroperasi tengah malam tadi di 14 ‘lokasi maut’ bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata bagi fasa pertama AES, sebanyak 14 kamera dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Perak, Selangor,Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Lebih banyak kamera akan dipasang di 817 lokasi dalam fasa kedua yang akan menyaksikan AES dilaksanakan secara menyeluruh.

AES mampu kurang kemalangan

Beliau berkata, pelaksanaan AES adalah tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

“Kamera AES dipasang di kawasan hitam atau lokasi dikenal pasti sebagai lokasi maut yang mencatatkan jumlah kematian tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Solah berkata, orang ramai boleh menyemak lokasi kamera AES menerusi laman sesawang JPJ di www.jpj.gov.my, dan boleh mengetahui mengenai zon operasi kamera AES melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.

“Dengan mengetahui lokasi kamera AES, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan memandu mengikut undang-undang. Ini dapat mengurangkan jumlah kematian dan objektif kami adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tercapai dan bukan memberikan kuasa lebih besar kepada JPJ mengeluarkan saman,” katanya.

Papan tanda lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera, manakala kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat diletakkan antara 50 hingga 500 meter dari persimpangan lampu isyarat.

Solah berkata, imej yang dirakam kamera AES akan dihantar secara automatik ke pusat kawalan AES dan nombor pendaftaran kenderaan direkodkan pangkalan data JPJ, sebelum saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan. - BERNAMA

Gempa bumi kuat gegar selatan Mexico

7 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

MEXICO CITY: Gempa bumi kuat berukuran 5.4 magnitud menggegarkan selatan dan tengah Mexico pagi tadi tetapi tiada laporan kerosakan atau kematian, kata Institut Seismologi Kebangsaan negara itu.

Pusat gempa terletak pada kedalaman dua kilometer berdekatan bandar Pinotepa, wilayah Oaxaca, kira-kira 300 kilometer tenggara Mexico City.

Institut itu berkata, gempa bumi awal ialah 5.8 magnitud dan terletak pada kedalaman 10 kilometer tetapi kemudiannya penemuan itu dikaji semula. - AFP