29 Januari 2013

Bapa pelajar dipukul di Mesir akan ambil tindakan

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

IPOH: Bapa kepada mahasiswa yang ditampar oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar Perak (HEP) Mesir tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang atas kejadian tesebut.


Ahmad Po’aad berkata, insiden tersebut sangat serius kerana ianya melibatkan soal maruah keluarga beliau.

Menurutnya, keluarga beliau sangat kecewa dengan tindakan tidak profesional oleh pegawai tersebut dan pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap isu itu, kemungkinan tindakan selanjutnya akan di ambil.

“Saya mendesak agar Datuk Seri Dr Zambry selaku Menteri Besar Perak yang bertanggungjawab ke atas isu ini segera mengambil tindakan yang tegas hasil siasatan yang dilakukan pihak beliau.

“Saya tidak mahu isu ini dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan terhadap Pegawai HEP tersebut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas perbincangan dengan Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) di Ipoh, hari ini. (Gambar)

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya telah menghubungi peguam bagi membincangkan tindakan selanjutnya yang akan diambil kepada pegawai tersebut.

Kata beliau, tindakan tersebut sangat berat dan bukannya perkara biasa kerana ianya turut membabitkan soal keselamatan anaknya yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar.

“ Ini adalah soal maruah keluarga saya, pegawai HEP tersebut tidak ada hak untuk menampar anak saya sedangkan anak saya berada di pihak yang benar ketika itu.

“Sebagai seorang pegawai beliau perlu mempunyai etika yang tinggi dalam menguruskan hal ehwal mahasiswa disana,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pengarah IPMM, Hafez Sabri berkata, pihaknya akan terus mendapatkan maklumat tentang kejadian itu demi mempertahankan nasib mahasiswa yang dizalimi itu.

Pada 19 Januari lalu, Pegawai Hal Ehwal Pelajar  (HEP) Perak di Mesir dikatakan telah memukul seorang pelajar tanpa alasan dan sebab yang munasabah dan beberapa NGO telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar mendesak menyiasat perkara itu secara terperinci.

harakah/-

Pengsan dirempuh babi

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

pix_topright

“Terkejut apabila diberitahu anak dan suami pengsan dirempuh babi,” kata Rokiah Ibrahim, 39, ibu kepada Siti Nur Syafikah Sulaiman, 5, yang tersembam ke atas jalan selepas motosikal dinaiki bersama bapanya melanggar babi hutan di Kampung Cheting, Hulu Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian jam 7.15 pagi, suaminya, Sulaiman Mamat, 50, dan Siti Nur Syafikah dalam perjalanan pulang selepas menghantar seorang lagi anak, Ahmad Mokhtar Sulaiman, 7, ke sekolah yang terletak satu kilometer dari rumah.

“Ketika dalam perjalanan pulang, suami yang menunggang motosikal Yamaha RXS tidak sempat mengelak babi yang tiba-tiba keluar dari hutan di tepi jalan lalu merempuh motosikal.

“Rempuhan itu menyebabkan suami dan anak tercampak ke atas jalan dan mereka pengsan dipercayai akibat kepala terhantuk pada jalan.

“Nasib baik selepas mereka tercampak, babi itu tidak menyerang, sebaliknya masuk kembali ke dalam hutan,” katanya yang menemani Siti Nur Syafikah di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Rokiah berkata, penduduk yang lalu di kawasan itu membawa suami serta anaknya ke Hospital Hulu Terengganu (HHT). Suaminya yang luka di kening dan tapak tangan dirawat di HHT manakala Siti Nur Syafikah dirujuk ke HSNZ untuk menjalani pemeriksaan pakar kerana cedera di kepala dan patah bahu kanan.

metro/-

Iran hantar monyet ke angkasa lepas

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

TEHERAN - Iran semalam menghantar sebuah kapsul yang mengandungi monyet hidup ke angkasa lepas, lapor saluran televisyen berbahasa Arab, Al-Alam semalam.

Sebelum ini, beberapa percubaan republik Islam tersebut untuk menghantar monyet ke angkasa lepas menemui kegagalan.

"Iran berjaya melancarkan sebuah kapsul dengan kod nama Pishgam yang mengandungi seekor monyet," kata satu kenyataan daripada sebuah jabatan angkasa aeroangkasa di Kementerian Pertahanan.
Monyet itu dilaporkan kembali ke Bumi dengan selamat.

Laporan tersebut tidak menyatakan lokasi kapsul berkenaan dilancarkan.

Agensi berita Fars melaporkan bahawa monyet itu dihantar dengan kapsul yang dibawa roket Kavoshgar.
Roket berkenaan bergerak pada ketinggian lebih 120 kilometer.

Pada tahun 2011, Iran mengumumkan ia akan menghantar monyet ke angkasa lepas.
Negara-negara Barat bimbang teknologi balistik yang dimiliki Iran akan menyebabkan ia mampu melancarkan kepala peledak nuklear.

Bagaimanapun, Iran menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia digunakan untuk tujuan keamanan.
- Reuters

Jumpa rangka kayu dinosaur

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


rangka kayu dinosaur
Beginilah bentuk kayu yang menyerupai dinosaur
 
KUALA NERUS– Sekali imbas ia seakan dinosaur dan bentuknya agak menakutkan. Begitulah penemuan pelik Mohd Rani Ngah, 48, ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan berdekatan anak Sungai Kampung Lingai, di sini.

Mohd Rani berkata, pada awalnya dia hanya nampak rangka kayu berkenaan di bahagian kepala dan apabila menghampiri kayu yang ditenggelami air itu, dia berasakan ia sesuatu yang menarik dan segera memaklumkan kepada rakan terdekat.

“Saya dan tiga rakan cuba untuk mengangkat kayu berkenaan, namun tenaga yang kami ada tidak mencukupi, justeru saya mengambil keputusan untuk menarik rangka kayu itu menggunakan jentera dan membawa balik ke bengkel untuk dibersihkan.

“Bentuknya seolah-olah dinosaur, di mana saya terpaksa memecahkan dinding bengkel bagi membolehkan kayu berkenaan dibawa masuk,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, dia mengambil masa kira-kira seminggu untuk membersihkan keseluruhan kayu yang berbentuk unik dan seakan-akan raksasa itu dengan menggantungnya di dalam bengkelnya.

“Sejak saya memaklumkan kepada rakan-rakan dan jiran berhubung penemuan kayu yang berbentuk pelik ini, membuatkan bengkel saya menjadi tumpuan ramai.

“Malah, ada yang datang mengakui takut dengan bentuk kayu yang terjadi secara semula jadi itu,” katanya.

Jelas Mohd Rani lagi, ada beberapa individu yang berminat untuk membeli kayu yang ditemuinya itu dengan tawaran harga mencecah RM3,000, namun setakat ini dia belum  bercadang untuk menjualnya kepada sesiapa.

“Setakat ini, saya belum bercadang untuk menjual kepada sesiapa, tetapi jika ada tawaran menarik, mungkin akan mempertimbangkan,” kata bapa kepada tiga anak yang sememangnya meminati seni halus dan kraf tangan ini.

sinar/-

Kifalah: 146,000 berdaftar, RM50j sudah diagih

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



(Gambar: Jumlah warga emas yang mendaftar setakat September 2012 )

KOTA BHARU: Sejak diperkenalkan kerajaan Kelantan pada tahun 2007, skim bantuan Takaful Kifaalah Warga Emas kini mempunyai lebih 146,000 peserta berdaftar di seluruh negeri.

Sehingga Disember 2012 lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM50 juta dibawah skim itu sebagai bantuan berupa pampasan kepada ahli keluarga atau wasi peserta yang telah meninggal dunia.

(Gambar: Warga Tioghua turut mendapat manfaat dari skim ini)

Pengurus Takaful Kifalah Sdn Bhd, Abdul Syakur Sha'ari berkata, pihaknya sangat komited untuk terus memperkasakan Kelantan sebagai negeri berkebajikan seperti yang digagaskan kerajaan negeri.

"Tahun 2013 adalah tahun keenam program ini berjalan. Dengan moto 'Menggapai keberkatan dan berkebajikan' kita juga telah merancang untuk memperkenalkan beberapa lagi skim bantuan serupa kepada seluh lapisan masyarakat negeri ini bukan sahaja tertumpu kepada warga emas," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Abdul Syakur, pihaknya kini sedang berusaha untuk menawarkan beberapa lagi produk baru termasuk Skim Kifalah As-Syabab untuk anak muda berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, mereka juga akan memperkenalkan Skim Khairat Kematian Takaful Umah serta Skim Takaful Aulad bagi kanak-kanak khususnya murid-murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Untuk rekod, Skim Takaful Kifaalah Warga Emas adalah produk skim takaful percuma yang ditawarkan oleh kerajaan Kelantan melalui Kifaalah Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Skim ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan terbuka untuk disertai oleh seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira kaum, lelaki dan perempuan yang berumur 60 tahun ke atas.

Rakyat negeri lain yang berumur 60 tahun yang bermastautin di Kelantan juga layak menyertai skim ini.

harakahdaily/-