29 Januari 2013

Keganasan terus melanda Mesir

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KAHERAH - Seorang lelaki mati ditembak semalam dalam keganasan yang memasuki hari kelima di Mesir menjadikan 50 orang terbunuh setakat ini.

Lelaki itu yang merupakan seorang pejalan kaki mati akibat terkena tembakan di sini.

Bagaimanapun, masih tidak diketahui siapa yang menembaknya semasa tunjuk perasaan ganas berlaku bagi menentang pemerintahan Presiden Mohamed Morsi.

Ketika kejadian, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah anggota-anggota pasukan keselamatan itu dekat Dataran Tahrir.

"Kami mahu menumbangkan rejim (Morsi) dan menamatkan pemerintahan yang dikendalikan pergerakan Ikhwanul Muslimin," kata seorang tukang masak, Ibrahim Eissa yang berusia 26 tahun.
Dia memakai topeng yang mengelak terhidu gas pemedih mata.

Sejak memenangi jawatan Presiden pada pertengahan tahun lalu, Morsi diselubungi pelbagai krisis dan tunjuk perasaan ganas.

Tunjuk perasaan yang kerap berlaku itu menyebabkan dia sukar untuk menjalankan tugasnya bagi meningkatkan ekonomi negaranya.

Ia turut berlaku di beberapa buah bandar mengakibatkan Morsi terpaksa mengisytiharkan darurat di tiga buah bandar iaitu Port Said, Ismilia dan Suez.

Pihak tentera mengawal dua daripada bandar tersebut manakala Kabinet meluluskan kuasa kepada askar-askar untuk menangkap orang awam yang melakukan keganasan.

Morsi bersimpati dengan mangsa-mangsa rusuhan dan meminta dialog diadakan antara sekutu-sekutu Islamnya dan beberapa parti pembangkang.

Namun, perikatan Barisan Penyelamat kebangsaan menolak tawaran berdialog dengan menetapkan syarat seperti pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

Perikatan tersebut juga menuntut supaya Morsi bertanggungjawab berhubung pertumpahan darah yang berlaku di negara ini.

Keganasan itu bermula pada 25 Januari lalu semasa penduduk menyambut ulang tahun kedua kebangkitan rakyat yang menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari 2011. - Agensi

Tiada ulasan: