29 Januari 2013

Kifalah: 146,000 berdaftar, RM50j sudah diagih

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



(Gambar: Jumlah warga emas yang mendaftar setakat September 2012 )

KOTA BHARU: Sejak diperkenalkan kerajaan Kelantan pada tahun 2007, skim bantuan Takaful Kifaalah Warga Emas kini mempunyai lebih 146,000 peserta berdaftar di seluruh negeri.

Sehingga Disember 2012 lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM50 juta dibawah skim itu sebagai bantuan berupa pampasan kepada ahli keluarga atau wasi peserta yang telah meninggal dunia.

(Gambar: Warga Tioghua turut mendapat manfaat dari skim ini)

Pengurus Takaful Kifalah Sdn Bhd, Abdul Syakur Sha'ari berkata, pihaknya sangat komited untuk terus memperkasakan Kelantan sebagai negeri berkebajikan seperti yang digagaskan kerajaan negeri.

"Tahun 2013 adalah tahun keenam program ini berjalan. Dengan moto 'Menggapai keberkatan dan berkebajikan' kita juga telah merancang untuk memperkenalkan beberapa lagi skim bantuan serupa kepada seluh lapisan masyarakat negeri ini bukan sahaja tertumpu kepada warga emas," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Abdul Syakur, pihaknya kini sedang berusaha untuk menawarkan beberapa lagi produk baru termasuk Skim Kifalah As-Syabab untuk anak muda berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, mereka juga akan memperkenalkan Skim Khairat Kematian Takaful Umah serta Skim Takaful Aulad bagi kanak-kanak khususnya murid-murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Untuk rekod, Skim Takaful Kifaalah Warga Emas adalah produk skim takaful percuma yang ditawarkan oleh kerajaan Kelantan melalui Kifaalah Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Skim ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan terbuka untuk disertai oleh seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira kaum, lelaki dan perempuan yang berumur 60 tahun ke atas.

Rakyat negeri lain yang berumur 60 tahun yang bermastautin di Kelantan juga layak menyertai skim ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: