20 April 2009

Penanti : Bukti BN takut kepada penolakan rakyat terhadapnya.

Buat julung kali dalam sejarah pilihan raya negara ini, Barisan Nasional (BN) sudah mula mengkaji langkah untuk menolak 'tawaran' bertanding pilihan raya kecil. Pandangan berbeza dari Najib dan pimpinan parti komponennya serta pandangan Mahadhir dalam masalah ini menampakkan ketidak sepaduan sikap mereka untuk menghadapi pakatan Rakyat.

Lazimnya, BN akan menang tanpa bertanding kerusi pada hari penamaan calon pilihan raya umum, malah tidak pernah melepaskan peluang mencuba nasib pada pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Sekali ini nada nya sungguh berlainan, BN semacam kecut perut seperti ayam sudah kalah dalam kandang perlawanan. Kalau bertanding pun saya kira BN akan kecundang lagi sebab itu ketakutannya juga mewarnai sikap SPR yang sudah tidak mendapat membantu memenangkan BN sehingga baru akan mengumumkan keputusan mesyuaratnya mengenai Penanti dua hari sesudah rabu ini.

Penanti salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang disandang oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa hari lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membayangkan BN berkemungkinan tidak akan meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponen BN.

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan berkata, beliau pada dasarnya bersetuju jika BN tidak meletakkan calon untuk bertanding memandangkan pertandingan itu nanti akan melibatkan kos yang besar.

Kalau BN tidak mahu bertanding, BN mungkin patut memberikan peluang kepada mana-mana ahlinya bertanding atas tiket Bebas.Katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PPP, Datuk T Murugiah berkata, pihaknya juga menyokong jika BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu kerana ia ternyata mainan politik pembangkang yang langsung tidak memikirkan wang rakyat yang akan dibazirkan begitu sahaja.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Kah Siong menyifatkan tindakan BN tidak meletakkan calon merupakan langkah yang tepat.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Veelu berpendapat BN patut meletakkan calonnya.Katanya, BN perlu bertanding bagi menjaga imej dan integriti gabungan itu.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan dusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok berkata, beliau turut bersetuju jika BN tidak bertanding di Penanti memandangkan itu merupakan kubu kuat pembangkang.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mengaku kalah, sebaliknya perlu meletakkan calon bertanding jika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang diadakan.

Apapun masa begitu cepat belalu, 60 hari sesudah berlaku kekosongan Penanti mesti diadakan PRK. Mudah-mudahan rakyat boleh nampak dengan jelas betapa BN sudah tidak diterima oleh rakyat lagi sehingga tidak berani masuk gelangang.

KRISIS POLITIK PERAK: Amat merbahaya terhadap kestabilan institusi kehakiman

Mohd Hafez Sabri

Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU) melihat tindakan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN mewujudkan tauladan yang amat merbahaya terhahap keutuhan institusi kehakiman dan konsep pengasingan kuasa.

Menurut Saudari Bhavani Banu yang juga merupakan Timbalan Presiden 3 (BERSATU PERAK) berkata keputusan Mahkamah Persekutuan boleh ditafsirkan sebagai mencampuri badan eksekutif dan menjejaskan imej dan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman.

Menurut beliau lagi,,Keputusan itu juga secara lansung mendedahkan kemungkinan semua keputusan badan kehakiman berkaitan isu yang sama pada masa yang lepas dipertikaikan serta disemak semula.

Beliau juga mempersoalkan mengapa mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan mengenai 'Persidangan Bawah Pokok' yang dibuat pada 3 Mac 2009 lalu. Dalam persidangan itu, keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan untuk menggantung 7 orang ahli Dewan Negeri itu telah diterima dan diluluskan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menimbulkan lebih banyak keraguan kerana ianya telah campurtangan dalam prosiding Dewan Negeri.

Rakyat kini telah digambarkan, apa sahaja keputusan yang dibuat pada hari ini boleh diabaikan oleh Dewan Negeri kerana ia hanya merupakan satu deklarasi dan bukannya mandamus atau certiorari. Beliau menegaskan bahawa deklarasi itu hanyalah pendapat yang tidak menguatkuasakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Dewan Negeri mempunyai undang-undang tersendiri. Undang-undang itu hanya boleh ditafsirkan oleh Speaker. Samada Speaker bertindak secara betul ataupun tidak, hanya dewan sahaja yang boleh membincangkan hal ini melalui usul yang dibawa. Keputusan Speaker hanya boleh dicabar dalam Dewan itu sendiri.

Bhavani Bhanu juga mengatakan bahawa Mahkamah telah mentafsir kuasa -kuasa Speaker, adalah tidak baik jika Dewan Negeri juga memberi pendapatnya mengenai keputusan-keputusan Mahkamah. Beliau mengatakan bahawa deklarasi yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah suatu sejarah baru yang menambahkan lagi krisis hitam badan kehakiman dan perundangan negara.

DOSA MENGUNDI BARISAN NASIONAL

Dr Fikrah

Sebelum ini saya pernah menulis artikel yang bertajuk "Jauhi daripada menyokong kezaliman", yang telah saya letakkan di ruang Tazkirah. Hari ini pula, ramai tertanya-tanya, "apakah hukum mengundi Barisan Nasional?" Persoalan ini sama sahaja dengan soalan-soalan fiqh yang lain, seperti "apakah hukum mengerjakan Solat Sunat Dhuha?" dan sebagainya. Ya, setiap perbuatan di dunia ini, tertakluk di bawah 5 hukum.

5 hukum tersebut ialah, wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Kelima-lima hukum ini sudah biasa didengari, namun, ramai yang tidak dapat mengukurkan berdasarkan kehidupan di dunia ini. Mengundi Barisan Nasional juga termasuk dalam 5 hukum ini. Jadi, apakah hukum mengundi Barisan Nasional? Adakah ia wajib, sunat, harus, makruh atau haram?

Dalil daripada al Quran

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman, yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak diberi pertolongan (Surah Hud :113)

Di dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman itu adalah satu perbuatan yang HARAM. Perkara haram, apabila dilakukan, akan mengundang dosa. Contohnya seperti melakukan muqaddimah zina, seperti berdua-duaan dan sebagainya. Ia adalah haram, dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat dosa yang akan dihitung oleh Allah di Hari Akhirat.

Selain itu, perkataan "jangan" telah digunakan di dalam ayat tersebut, yang jelas menunjukkan bahawa ia adalah satu perkara yang haram. Manakala sekiranya ayat tersebut berbentuk suruhan, ia adalah wajib, contohnya seperti solat, puasa dan sebagainya. Inilah hakikat yang telah dijelaskan oleh ulama’ fiqh. Kalau masih tak percaya, bolehlah belajar fiqh sendiri.

Bagaimana pula dengan hukum mengundi BN? Adakah ia juga dikatakan haram? Jawapan yang mudah untuk dijawab ialah hukumnya haram. Apakah dalilnya? Dalil haram mengundi Barisan Nasional ialah ayat al Quran di atas tadi. Ini kerana Barisan Nasional sudah terkenal dengan zalim. Sekiranya Barisan Nasional tidak dikatakan sebagai zalim, maka tidak haram mengundinya.

Sekiranya PR yang melakukan kezaliman, maka hukumnya haram mengundi PR.. Sekiranya Barisan Nasional melakukan kezaliman, maka hukumnya juga haram! Hari ini bagaimana? Sekiranya anda melihat bahawa Barisan Nasional itu melakukan kekejaman, dan sekiranya mereka menguasai kerajaan, akan menyebabkan kerosakan yang banyak, maka hukumnya adalah haram.

Memang jelas di dalam al Quran bahawa menyokong kezaliman adalah satu perbuatan yang haram. Hari ini kita melihat bahawa Barisan Nasional telah melakukan kezaliman ini. Kita nampak di hadapan mata kita, bahawa mereka merampas hak rakyat bersuara dan berpandangan, mereka menyekat kuliah-kuliah agama dan sebagainya.

Timbul persoalan lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan kezaliman? Zalim adalah lawan bagi adil. Mereka yang tidak adil dianggap sebagai seorang yang zalim. Maksud perkataan zalim ialah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya. Contohnya melantik seorang yang penipu sebagai pemimpin, sedangkan dia tidak layak untuk memimpin.

Contoh yang lain ialah, merampas hak orang lain. Atau menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya, dan ia juga termasuk dalam kategori zalim. Hari ini, Akta Zalim yang paling jelas ialah ISA. ISA berfungsi menangkap sesiapa sahaja, tanpa dibicarakan, tanpa diberi peluang membela diri dan tanpa waran. Tangkap sesedap hati.

Kenapakah ISA dikatakan zalim? Ia dikatakan zalim kerana telah menangkap orang yang tidak bersalah, tanpa bukti dan sebagainya. Di dalam Islam, bukti memainkan peranan penting sebelum satu-satu hukuman dijatuhkan. Islam juga menggunakan saksi sebagai salah satu bukti tersebut. Tetapi, malangnya, apa yang terjadi di Malaysia hari ini, Barisan Nasional telah mengangkat akta yang zalim ini. Maka kerajaan yang mengangkat kezaliman sebagai satu akta, sudah pasti kerajaan itu adalah kerajaan yang zalim.

Maka, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang zalim, dan sesiapa yang menyokong Barisan Nasional (kerajaan) ini adalah berdosa, dan hukum mengundi parti ini adalah haram. Ia sama sahaja sekiranya Pakatan Rakyat yang melakukan kezaliman. Sekiranya terbukti bahawa Pakatan Rakyat juga melakukan kezaliman, maka hukum mengundinya juga haram. Tetapi, perkara ini tidak dapat dibuktikan.

Apabila Barisan Nasional menang di dalam pilihanraya, disebabkan pengundi-pengundi di Malaysia, lalu menyebabkan kezaliman berleluasa, maka pengundi-pengundi ini akan menanggung dosa tersebut! Tidak kira ustaz atau orang biasa, kaya atau miskin, tua atau muda, hukumnya sama sahaja. Tetapi, ia berbeza pula dengan mereka yang "tidak tahu" kezaliman Barisan Nasional.

Mereka yang tidak tahu tentang kezaliman Barisan Nasional, lalu mengundinya, maka dia dianggap salah tetapi tidak berdosa, kerana kejahilannya. Tetapi, sekiranya orang tersebut sengaja tidak mahu mengikuti perkembangan semasa, dan sengaja tidak mahu melihat situasi kezaliman ini, maka dia tetap menanggung dosa kerana "melakukan sesuatu tanpa ilmu".

Oleh itu, jauhilah daripada melakukan perbuatan haram ini. Orang yang menanggung kezaliman Barisan Nasional bukannya anda seorang, bahkan semua rakyat yang berstatus Malaysia. Dan anda jangan lupa, doa orang yang dizalimi ini dimakbulkan. Anda juga jangan lupa bahawa orang yang menyokong kezaliman, juga dikatakan sebagai zalim. Maka orang yang mengundi Barisan Nasional juga dianggap zalim. Fikir sejenak.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah (http://drfikrah.blogspot.com)

Persembahan Dikir Barat untuk Majlis kesyukuran Bukit Gantang dapat sambutan

Tanggal 18 April 2009 bertempat di kampung Balik Bukit Bukit Gantang tepat jam 9.30 malam telah berlangsung persembahan dikir barat yang didatangkan khas dari Kota Bharu Kelantan. Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat dibawah naungan Tuan Guru Dato Hj Nik Aziz telah membuat persembahan mereka pertama kali dalam sejarah untuk tatapan umum di sini setelah menjalani latihan intensif selama 2 bulan.


Kumpulan ini telah diilhamkan oleh Tuan Guru sebagai menyediakan halwa telinga yang berlandaskan Islam agar dapat mendorong orang ramai mencintai Islam di samping berdakwah.

Justeru, kalau sebelum ini kumpulan dikir barat didokong oleh tukang karut namun kali ini nama tukang karut ditukarkan kepada tukang pantun. Yang penting mesej ingin ditunjukkan kepada masyarakat bahawa PAS tidak menghalang kita berhibur.

Sesungguhnya kehadiran orang ramai adalah melebihi seribu orang memenuhi setiap sudut tempat berlakunya persembahan ini. Perkara ini telah menunjukkan bahawa masyarakat di sini telah mulai sedar dan memahami apakah itu PAS sebenarnya. Jadi tidak hairan juga jika pada malam tersebut saya telah ternampak orang UMNO datang. Bila di tanyakan kepada mereka, mereka telah mengatakan bahawa mereka dah berhijrah kepada PAS. Alhamdulillah...

ANAK KOMANDO REJIMEN 1



ANTARA HAK BUKAN ISLAM, DAN JAWATAN MEREKA DALAM KERAJAAN

Dr Fikrah

Artikel ini ditulis susulan daripada artikel lalu yang menjawab tentang “PAS bekerjasama dengan orang kafir”. Artikel tersebut sangat penting untuk difahami terutamanya kita sebagai rakyat Malaysia, yang dikatakan sebagai rakyat berbilang kaum. Setiap manusia mempunyai hak masing-masing, tidak kira dia itu muslim atau tidak. Contohnya, orang bukan Islam berhak beribadah dengan caranya, selagi mana dia tidak mengganggu orang Islam beribadah.

Saya mengajak kepada pembaca budiman supaya melihat kepada Sirah Nabi Muhammad SAW, dan khalifah-khalifah selepasnya. Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, Baginda SAW tidak bermusuhan dengan sesiapa orang, walaupun mereka bukan beragama Islam. Tetapi, Baginda SAW sangat memusuhi sesiapa sahaja yang merampas hak manusia lain, dan cuba mencabul hak Islam.

Contohnya, Baginda SAW sendiri menerima kunjungan orang Masehi Najran yang bertandang untuk membincangkan beberapa perkara dengan Nabi Muhammad SAW. Selain itu, Baginda SAW juga pernah melantik beberapa orang bukan Islam, untuk tujuan-tujuan tertentu. Contohnya, Baginda SAW pernah meminjam 100 buah perisai daripada Safwan bin Umayyah yang masih kafir ketika itu, untuk digunakan oleh orang Islam semasa Perang Hunain.

Selain itu, Baginda SAW pernah Uyainah al Khuza’ie semasa Perjanjian Hudaibiah, untuk mengintip pergerakan orang kafir Quraisy. Inilah beberapa contoh yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW semasa berhubung dengan orang bukan Islam. Hari ini, jelas perbezaan yang ketara terhadap apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional terhadap orang bukan Islam.

Tetapi, Baginda SAW sangat tegas sekiranya orang bukan Islam cuba mencabuli hak orang Islam, seperti apa yang terjadi kepada Bani Qainuqa’, Bani Quraizah dan Bani Nadhir yang melanggar perjanjian dengan Islam. Ya, setiap manusia di dunia ini (tanpa mengira agama), sangat bencikan mereka yang melanggar perjanjian. Apatah lagi Islam. Islam bersedia menentang sesiapa yang mencabuli perjanjian.

Bani Qainuqa’ telah dihalau keluar dari Madinah kerana cuba mencabul kehormatan seorang wanita Islam. Sama seperti yang terjadi semasa kempen di Bukit Gantang. Penyokong BN juga melakukan perkara yang sama! Begitu juga Bani Nadhir, mereka dihalau keluar dari Madinah kerana cuba mengadakan komplot membunuh Baginda SAW. Sama seperti yang terjadi di Malaysia, Barisan Nasional sememangnya angkara memenjarakan ulama’-ulama’ PAS.

Bani Quraizah pula telah melanggar Piagam Madinah kerana mereka telah bersatu dengan Kafir Quraisy (dari Mekah) semasa Perang Ahzab. Ini kerana mereka (Quraizah) telah berjanji dengan Islam supaya tidak memberi kerjasama kepada sesiapa yang cuba memerangi penduduk Madinah. Apa yang terjadi di Malaysia hari ini, Barisan Nasional mengimport (bekerjasama) dengan pengundi hantu (bukan dari kawasan tersebut), untuk mengalahkan Pakatan Rakyat, sedangkan mereka telah berjanji tidak akan menggunakan pengundi hantu!

apa yang telah diceritakan, jelas menunjukkan cara Baginda SAW berhubung dengan orang bukan Islam. Baginda SAW bersedia bermanis muka dengan sesiapa sahaja, tetapi bencikan sesiapa sahaja yang mencabul hak manusia lain. Di dalam siri 2 ini pula, saya mengajak pembaca budiman supaya melihat pula contoh yang dilakukan oleh Khulafa ar Rasyidin.

Saidina Umar al Khattab, ketika membuka Baitul Maqdis yang pada mulanya adalah sebuah Negara Yahudi, telah berjanji untuk menjaga keselamatan diri dan harta benda mereka (penduduk Baitul Maqdis). Beliau juga memberikan kebebasan kepada mereka untuk beragama, dan tidak “mengusik” gereja dan tempat ibadah mereka. Beliau melarang mana-mana umat Islam daripada meruntuhkan tempat ibadah tersebut, menyakiti hati mereka dan menyekat adat istiadat mereka.

Tetapi, apa yang berlaku kepada Altantuya, jelas berbeza. Begitu juga apa yang terjadi pada Elizabeth. Mereka adalah orang bukan Islam, tetapi telah dicabul hak mereka. Sekiranya hari ini Saidina Umar al Khattab masih hidup, sudah pasti Barisan Nasional dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan kelakuan tersebut.

Selain itu, pada zaman Saidina Uthman dan Saidina Ali, orang bukan Islam digalakkan menceburkan diri dalam bidang ekonomi dan pertanian, selagi mana ia tidak melanggar atau mencabul hak orang lain, seperti mengamalkan riba, tipu dalam perniagaan dan sebagainya. Tetapi, kerajaan Malaysia hari ini, mempersilakan kepada sesiapa sahaja untuk mengamalkan riba.

Ketika zaman pemerintahan Mu’awiyah (selepas Khulafa’ ar Rasyidin), beliau telah melantik beberapa orang bukan Islam untuk menjawat jawatan-jawatan tertentu. Hakikat ini kerap dipersoalkan oleh orang Barisan Nasional. Mereka bertanya “Bolehkah kita menyerahkan jawatan kepada orang bukan Islam?”. Sedangkan Barisan Nasional sendiri telah mengamalkan perkara tersebut, tetapi apabila PAS melakukan perkara yang sama, mereka persoalkan pula.

Antara contoh-contoh yang terjadi di zaman Mu’awiyah :

- Mu’awiyah telah melantik Ibnu Athal yang beragama Kristian sebagai doktor peribadinya dan Sarjun (kristian) sebagai setiausaha peribadinya.

- Khalifah Yazid telah melantik seorang Masehi sebagai pentadbir wilayah Iskandariah di Mesir

- Khalifah Abdul Malik bin Marwan telah melantik Samir yang beragama Yahudi dalam urusan mengeluarkan wang dirham

- Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik telah melantik seorang Masehi sebagai setiausahanya.

Inilah beberapa contoh yang jelas berbeza dengan pengamalan Barisan Nasional hari ini. Adakah Barisan Nasional hari ini lebih “baik” daripada zaman Nabi Muhammad SAW, dan khalifah? Anda sendiri boleh memikirkannya. Saya mempersilakan kepada sesiapa sahaja terutamanya orang Barisan Nasional sendiri, supaya mengkaji sejarah-sejarah Islam. Janganlah jadi seperti katak bawah tempurun.

Demikianlah apa yang telah dilakarkan di dalam sejarah Islam. Memang benar, walaupun orang Yahudi telah disifatkan sebagai golongan yang tidak akan meredhai kewujudan orang Islam, namun, kita sebagai seorang Islam, haruslah menampilkan kemuliaan Islam sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.

Artikel kali ini akan menceritakan pula zaman pemerintahan Islam selepas zaman Muawiyah, supaya dapat kita bandingkan dengan apa yang terjadi hari ini di Malaysia. Zaman Khilafah Abbasiah telah melakarkan sejarah yang sama apabila orang bukan Islam juga diberikan jawatan-jawatan tertentu :

- Khalifah Harun ar Rasyid telah melantik Jibrail bin Bakhtishu sebagai doktor peribadinya

- Khalifah al Mutawakkil telah melantik beberapa orang pegawai yang beragama Kristian dalam pentadbirannya, seperti Dalil bin Ya’kub

- Khalifah al Mu’tadid telah melantik Abu Ishaq al Sabi sebagai setiausaha kerajaan dan Thabit bin Qurrah sebagai menteri. Kedua-duanya beragama Kristian

- Khalifah al Muqtadir mempunyai empat orang setiausaha yang beragama Kristian

- Khalifah al Ta’i telah melantik seorang Masehi sebagai setiausahanya

Selain itu, ketika zaman ini juga, golongan bukan Islam mudah untuk mendampingi ulama’-ulama’ Islam seperti Sibawih seorang ulama Nahu, Khalil bin Ahmad, al Farabi, Muhammad bin Musa dan Ali bin al Walid. Mereka adalah golongan ilmuan Islam yang terkenal dengan perubatan, falsafah, fuqaha’, pakar bahasa dan banyak lagi.

Semuanya ini adalah kesan daripada “hikmah” yang ditunjukkan oleh pimpinan-pimpinan Islam di zaman tersebut. Demikianlah apa yang dilakukan oleh pimpinan PAS hari ini. Walaupun kita merasa ragu-ragu dengan kelakuan orang bukan Islam terutamanya Kristian, namun, tidak dinafikan, semua fakta inilah yang mencari titik temu untuk kegemilangan Islam.

Di dalam al Quran jelas menunjukkan bahawa orang Yahudi dan Kristian tidak akan redha dengan kewujudan Islam, namun tidak dinafikan, terdapat juga orang-orang Yahudi dan Kristian ini yang memeluk Agama Islam. Contohnya ketika zaman Nabi Muhammad SAW, Ka’ab al Ahbar, Wahab bin Munabbih, dan Abdullah bin Salam.

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya. Di Malaysia, orang Kristian mendapat kebebasan untuk menggerakkan gerakan Kristianisasi. Gerakan Kristianisasi ini adalah satu bentuk perbuatan yang perlu diperangi, dan tidak boleh diberi muka terhadap golongan ini. Manakala orang bukan Islam (kristian atau tidak) yang bersungguh-sungguh menegakkan keadilan, dan sanggup bergabung dengan Islam, tidak mendapat tempat. Bahkan dicerca kerana cuba bertopengkan Islam. Wahai penyokong BN, bercakaplah dengan hati dan pemikiran. Jangan jadi seperti orang gila yang berkata-kata tanpa menggunakan akal fikiran!

Salam Perjuangan
Dr Fikrah.

Sultan Azlan: Raja berada di atas politik

Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.

Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja merupakan satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda di istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini, lapor Bernama.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu
berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.

Cari titik pertemuan

Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa indivIdu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu diperbetulkan.

Hak raja berpelembagaan

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan , falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi," titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan Perak.

Raja Nazrin tekad pertahan institusi beraja tidak dipersenda

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah akan mengambil tanggungjawab utama untuk melaksanakan segala usaha bagi memastikan tradisi institusi beraja yang menjadi teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di negara ini akan terus dipertahankan.

"Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang Raja Pemerintah itu tidak akan anakanda redha untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyingsing; kerana hari siang juga akan berakhir.

"Jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan, kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita," titah baginda di istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini, lapor Bernama.

Baginda bertitah Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Kesultanan Melayu merupakan institusi penting berperanan sebagai pusat pengukuhan kepada warga dan bangsanya.

Raja Nazrin bertitah sistem pemerintahan berteraskan Kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih 600 tahun, telah berjaya membangunkan satu budaya dan satu tamadun yang agung.

Titah baginda kebijaksanaan pemerintahan beraja membantu berlakunya proses pengembangan intelek dan dari sumber istana itulah lahirnya karya-karya agung dalam dunia penulisan bangsa.

Identiti negara bangsa

"Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa.

"Rakyat yang memahami budaya rakyat beraja - negeri bersultan, memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, terutama peranan dan tanggungjawab mengekalkan identiti negara bangsa," titah baginda.

Baginda bertitah kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung pada faktor-faktor yang telah memberikannya identiti dari segi institusi, agama, budaya dan bahasa.

"Tindakan-tindakan menghina institusi, mempersendakan institusi, menanam kebencian terhadap institusi adalah langkah awal dalam gerakan ke arah menghapuskan institusi - lalu menghapus identiti asal negara bangsa. Di era peperangan dingin, langkah-langkah sedemikian lahir dari kumpulan yang berpegang kepada doktrin politik berfahaman kiri dan dikategorikan berunsur subversif.

"Atas nama Revolusi Budaya, di China dan indoktrinasi komunisme di Kampuchea (Kemboja) dan Vietnam, anak-anak dihasut hingga sampai ke peringkat ekstrem, membenci dan memusuhi ibu bapa kandung sendiri; pemimpin-pemimpin agama dicerca dan rumah-rumah ibadat dimusnahkan, ada rumah ibadat yang dijadikan tempat ternakan haiwan; lalu berlakulah keadaan anarki yang terpaksa dibayar dengan nyawa dan darah di samping modal sosial negara bangsa habis termusnah," titah baginda.

Baginda bertitah hari ini dunia sedang menghadapi gelombang globalisasi yang menghempas setiap sempadan dan mahu memecahkan benteng budaya dan berkemungkinan menghanyutkan lembaran sejarah negara bangsa.

Budaya progresif

Raja Nazrin bertitah warga muda yang sedang dilambung ombak globalisasi, perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit.

Titah baginda ada yang menganggap bahawa untuk maju, penekanan hendaklah ditumpukan kepada budaya yang progresif lalu menyifatkan tradisi dan sejarah akan meletakkan bangsa tertinggal dalam budaya yang statik

"Globalisasi sebenarnya turut membawa gelombang kolonialisme baru untuk menghanyutkan tradisi sesebuah negara bangsa - lalu menghapuskan identiti asal negara bangsa.

"Warga perlu disedarkan, bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan ditakrifkan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan negara bangsa. Bahawa elemen-elemen budaya bangsa yang merupakan faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan," titah baginda.

Menteri Besar kerajaan BN Perak rampasan kuasa, Zambry Abdul Kadir dan tiga orang lagi mendahului senarai 800 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun ke-81 keputeraan Sultan Azlan, pada majlis penganugerahan hari ini.

Zambry bersama-sama Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha dan Orang Kaya-kaya Panglima Kinta, Seri Amar Diraja Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan dianugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Hadir sama dalam majlis tahunan itu ialah ADUN Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar DS. Nizar Jamaluddin dan Speaker, V. Sivakumar.

Majlis di Istana berjalan lancar.

Kebanyakan dari 17 orang ADUN Pakatan Rakyat yang memaklumkan akan hadir dalam Majlis di Istana pada hari ini sempena Sambutan Hari Keputeraa Sultan Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar hadir.

Memenuhi jemputan yang merupakan acara tahunan istana Perak itu memberi peluang untuk kami berjumpa dengan ADUN BN yang lain. Majlis yang bermula sejak jam 9.00 pagi berakhit pada jam 2.15 minit tadi.

Semua ADUN BN hadir kecuali yang tidak hadir ialah 3 ADUN lompat dari Jelapang, Changkat Jering dan Behrang. Namun kelihatan ADUN Bota, Dato' Nasa yang hadir bersama isterinya. Kami sempat bersalam dan bertanya khabar.

YAB. MB Perak yang masih sah, Muhammad Nizar Jamaluddin kelihatan bertemu dengan ADUN BN termasuklah Tajol Rosli. DS. Nizar dengan wajah ceria bertemu dengan pembesar negeri di kalangan Kerabat Di Raja dihadapan Pentas Singahsana semasa sessi isterihat selama 15 minit.

Speaker kerajaan Negeri, V. Sivakumar juga hadir dan semasa majlis santapan beliau seperti biasa ditempatkan di meja separuh bundar bersama dengan Sultan, Raja Muda, Raja dDi Hilir dan pembesar lain.