IPOH: - Kemenangan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negeri ini setelah berjaya menumbangkan Barisan Nasional adalah keputusan yang dibuat oleh rakyat dan sewajarnya keputusan itu dihormati semua pihak termasuk penduduk di luar bandar.
"Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak diibaratkan sebagai bas yang membawa penumpang menuju ke destinasi yang dikehendaki oleh penumpang, yang bertukar hanyalah pemandu, mahu tidak mahu penumpang perlu menaiki bas, tidak mungkin ada yang sanggup berjalan kaki.
"Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak diibaratkan sebagai bas yang membawa penumpang menuju ke destinasi yang dikehendaki oleh penumpang, yang bertukar hanyalah pemandu, mahu tidak mahu penumpang perlu menaiki bas, tidak mungkin ada yang sanggup berjalan kaki.
"Begitulah kerajaan Negeri Perak, dahulunya diterajui oleh BN, sekarang ini Pakatan Rakyat, seluruh rakyat termasuk golongan pekerja di negeri ini , tidak perlu mereka rasa takut atau bimbang kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri tetap membela nasib mereka bahkan kerajaan yang ada lebih mengutamakan kebajikan rakyat,"kata Adun Titi Serong, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak (BBC), Drs. Khalil Idham Lim Abdullah ketika berucap di majlis 'Seminar Pekerja 2008', yang diadakan di Dewan Auditarim Institut Tadbiran Islam Perak (INTAM), baru baru ini.
Menurut beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sentiasa memberikan sokongan pada program seumpama ini dalam meningkatkan tahap pengurusan dan profesionalisme pekerja di samping memahami dan mendalami hak dan kepentingan pekerja.
"Para pekerja mesti mengetahui hak mereka dan mempertahankan hak tersebut untuk mengelakkan mereka dari ditindas dan dieksploitasi oleh majikan," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan majikan agar bersikap jujur dan ikhlas dalam membela nasib pekerja, bukannya mengambil kesempatan dan menindas para pekerja. Ini kerana majikan dan pekerja saling memerlukan satu sama lain, kerana itu tidak wajar majikan menindas para pekerja, begitu juga sebaliknya.
Beliau berharap pendedahan yang diterima dalam program Seminar Pekerja ini akan dapat digunakan sepenuhnya oleh para peserta seminar.
"Saya yakin program seumpama ini jika digarap dengan baik akan dapat membantu kerajaan negeri dalam usaha memperkayakan dan memantapkan para pekerja," jelasnya.
Beliau berkeyakinan Kerajaan Negeri akan berusaha dan sentiasa bertindak untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat negeri ini berbekalkan amanah dan harapan yang telah rakyat terjemahkan dan mandatkan pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.
Sehubungan itu katanya, rakyat termasuk golongan pekerja perlu memberikan sokongan kepada kerajaan bagi membolehkan kerajaan mengatur program bagi membantu dan memberikan kebajikan kepada rakyat sesuai dengan manifesto pilihan raya umum yang lalu