05 September 2008

Pemimpin PR meraikan Hari Kemerdekaan.

IPOH, 31 Ogos :- Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan kali ke 51, pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Perak telah mengadakan Majlis Minum Teh disebuah hotel terkemuka di sini.

Hadir sama dalam Majlis tersebut ialah YAB Menteri Besar Perak, Muhammad Nizar Jamaluddin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat, Pemimpin kanan Parti, PAS, DAP dan PKR negeri Perak.


Majlis dimulai dengan ucapan dari Pengerusi DAP Negeri, Dato' Ngeh Koo Ham. Seterusnya diikuti oleh Pengerusi PKR , Hj. Ismail, YAB Menteri Besar dan diakhiri dengan ucapan dari Lim Kit Siang. Dalam ucapannya beliau mengatakan bahawa sambutan kemerdekaan untuk tahun ini ialah sambutan kemerdekaan untuk Fasa ke 2 untuk rakyat Malaysia.


Acara kemuncak ialah laungan 'merdeka', mengibarkan bendera dan memotong kek Hari Kemerdekaan oleh semua yang hadir.

Pelancaran Ihya Ramadhan di dataran MBI malam ini.

IPOH, 4 Sept :- Buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan 'Majlis Perasmian Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan Tazkirah' di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada 4 Ramadan bersamaan 4 September bermula jam 6.30 petang hari ini.

'Majlis Perasmian Berbuka Puasa, Solat Terawih dan Tazkirah' di Dataran MBI itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin.

Disamping Menteri Besar dijangka hadir sama ialah Exco Agama dan semua Ahli yang berhormat pakatan Rakyat Perak.

Majlis Perasmian ini akan meliputi sembahyang tarawih dan tazkirah yang akan dipimpin oleh Nizar sendiri.

Di samping itu, penganjur majlis juga turut menyediakan jamuan untuk berbuka puasa.

Dijangkakan lebih 300 orang akan hadir di dataran MBI untuk berbuka puasa, bersolat tarawih dan mendengar tazkirah yang disampaikan sendiri oleh MB Perak.

Pembaharuan ini dilihat satu program untuk 'menghidupkan' malam di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dan ianya dipelopori sendiri oleh Kerajaan Negeri, sekaligus membawa mesej kepada umat Islam di negeri ini agar turut sama untuk melakukan ibadat di malam Ramadhan dengan solat tarawih dan tazkirah.

Malaysia baiki sedikit kedudukan dalam FIFA

KUALA LUMPUR, 3 Sept :-Malaysia membaiki sedikit kedudukan dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila melonjak satu anak tangga untuk menduduki tempat ke-161 dunia.

Berdasarkan laman web Fifa yang mutakhir, Malaysia berkongsi kedudukan dengan St. Lucia, iaitu sebuah negara di kepulauan Caribbean.

Dalam senarai FIFA bulan lepas, Malaysia menduduki tangga ke-162, berbanding ranking ke-166 pada bulan Julai dan ke-170 pada April lepas.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada Ogos 1993 apabila menduduki ranking ke-75.

Sepanyol kekal di ranking teratas dunia untuk tempoh dua bulan berturut-turut selepas menjuarai Piala Eropah Jun lepas.

Dalam senarai ranking Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pula, Malaysia kekal di ranking ke-29 dan di kalangan negara-negara Asia Tenggara, ia berada di belakang Thailand (15), Singapura (20) dan Indonesia (21).

Malaysia yang dibimbing jurulatih B.Sathianathan berpeluang untuk membaiki kedudukan apabila menyertai kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini.

MB Perak : Kelulusan tanah bukan hanya kepada sekolah Cina

IPOH , 3 Sept. :– Kerajaan negeri sedang memproses kelulusan tanah kira-kira 1,000 hektar kepada sekolah agama persendirian dan beberapa institusi Islam di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengambil sikap pilih kasih dengan hanya menganugerahkan tanah kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina sahaja.
"saya kesian kepada Ketua pemuda UMNO Perak yang tidak mendapat maklumat sebenar mengnai apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perak" katanya.

Menteri Besar Perak didampingi ADUN Titi Serong, Setiausaha Akhbar. Setiausaha Politik dan Pegawai Khas.

Beliau sebaliknya berkata, permohonan tanah dari sekolah-sekolah agama itu adalah lebih awal berbanding permohonan yang dikemukakan oleh sekolah Cina terbabit.

‘‘Sebanyak 18 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) persendirian dan pelbagai institusi Islam di negeri ini telah membuat permohonan tanah yang secara keseluruhannya membabitkan keluasan lebih 1,000 hektar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim, Setiausaha Politik, Ust. Misbahul Munir, Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim dan Pegawai Khas, Amran Harun.

Muhammad Nizar berkata, 18 buah SAR itu terdiri daripada sembilan buah SAR menengah dan sembilan SAR rendah yang telah menubuhkan sebuah koperasi bersama bagi menguruskan tanah berkenaan.

Kata beliau, tanah yang dipohon oleh sekolah terbabit adalah seluas 200 hektar yang akan diusahakan sebagai ladang-ladang supaya mendatangkan hasil.

“Itu baru SAR persendirian, kita turut menerima permohonan tanah daripada pelbagai institusi Islam lain dan jumlahnya jika digabungkan adalah lebih daripada 1,000 hektar,” katanya.

Muhammad Nizar menjelaskan, antara institusi Islam yang memohon tanah kepada kerajaan negeri adalah kira-kira 15 buah sekolah tahfiz al-Quran dan beberapa buah sekolah pondok.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi peruntukan awal sebanyak RM1.3 juta kepada 18 buah SAR terbabit kerana keadaan sekolah itu terlalu daif. Disamping itu belia menjelaskan beberapa bantuan segera telah diberikan kepada beberapa Sekolah Agama dan Maahad Tahfiz.

Menurutnya, peruntukan berkenaan telah dikeluarkan kira-kira tiga bulan lalu tetapi tidak mendapat liputan media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah-sekolah persendirian Cina berkenaan akan menubuhkan sebuah syarikat yang tidak mengutamakan keuntungan bagi menampung kos operasi sekolah masing-masing.

Katanya, buat masa ini kerajaan negeri hanya mampu memberi bantuan sebanyak RM30,000 setahun bagi setiap sekolah persendirian itu dan jumlah tersebut amat jauh daripada mencukupi.

‘‘Kos operasi sekolah persendirian Cina itu mungkin mencecah RM10 juta setahun. Kami fikir bagi selesaikan masalah ini dalam jangka panjang, mereka perlu tubuh syarikat yang tidak mengutamakan keuntungan.

‘‘Mereka boleh tanam kelapa sawit yang boleh mendatangkan hasil dengan cepat iaitu dalam tempoh dua setengah tahun sahaja. Kalau nak harap bantuan RM30,000 setahun sahaja mana cukup,” katanya.
Pada sidang akhbar itu beliau juga mendedahkan mengenai Sekolah Pondok Pak Teh di Pebgkalan Hulu yang merupakan seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak yang terpaksa menghentikan operasi sekolah pada bulan Syaaban dan Ramadhan untuk mengutip derma bagi membiayai pengurusan pondok. Dia telah memohon tanah dari Mantan MB yang juga ADUN disitu tetapi tidak dilulusakan.
"Kita sekarang telah mengusahakan kelulusan segera kepada permohonan Pak Teh" Jelasnya.