05 September 2008

Malaysia baiki sedikit kedudukan dalam FIFA

KUALA LUMPUR, 3 Sept :-Malaysia membaiki sedikit kedudukan dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila melonjak satu anak tangga untuk menduduki tempat ke-161 dunia.

Berdasarkan laman web Fifa yang mutakhir, Malaysia berkongsi kedudukan dengan St. Lucia, iaitu sebuah negara di kepulauan Caribbean.

Dalam senarai FIFA bulan lepas, Malaysia menduduki tangga ke-162, berbanding ranking ke-166 pada bulan Julai dan ke-170 pada April lepas.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada Ogos 1993 apabila menduduki ranking ke-75.

Sepanyol kekal di ranking teratas dunia untuk tempoh dua bulan berturut-turut selepas menjuarai Piala Eropah Jun lepas.

Dalam senarai ranking Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pula, Malaysia kekal di ranking ke-29 dan di kalangan negara-negara Asia Tenggara, ia berada di belakang Thailand (15), Singapura (20) dan Indonesia (21).

Malaysia yang dibimbing jurulatih B.Sathianathan berpeluang untuk membaiki kedudukan apabila menyertai kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini.

Tiada ulasan: