05 April 2013

Sah, Anwar mahu kekal di Permatang Pauh

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim
BUKIT MERTAJAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Pengumuman itu dibuat di hadapan kira-kira 500 penyokongnya ketika menghadiri ceramah umum di padang awam Taman Pauh sebentar tadi, sekali gus menamatkan spekulasi yang berlarutan hampir sebulan lalu.
Kelmarin beliau berkata akan bertanding di Perak, tetapi akan membuat keputusan akhir dan muktamad selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Permatang Pauh.
Dengan keputusan itu, beliau berharap dapat menjawab segala spekulasi mengenai kerusi yang akan ditandingi kali ini.
Beliau pada masa yang sama berharap pengundi dapat terus memberikan sokongan dan membantu beliau untuk mempertahankan kerusi di situ.
"Walaupun selepas ini saya akan sibuk membantu untuk mengukuhkan negeri Perak, saya berharap penduduk akan membantu pertahankan Permatang Pauh," katanya.
Sinar/-

Murid lemas tergelincir ke dalam sungai

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KEMAMAN - Seorang murid Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor di sini ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai di Kampung Batu 14, di sini hari ini.
    
Siti Nor Asiah Nik Jaafar, 12, dilaporkan tergelincir ke dalam sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya kira-kira 2.30 petang.
    
Ketika itu dia dikatakan sedang bermain-main di tepi sungai sebelum dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus.
    
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata neneknya yang bersamanya yang tersedar dengan kejadian itu telah menjerit meminta tolong.
    
Beliau berkata bapa mangsa yang berada tidak jauh dari itu meluru ke tempat tersebut dan melihat anaknya sedang terkapai-kapai.
    
"Bapanya terus terjun ke dalam sungai tetapi anaknya telah hilang dibawa arus,"  katanya ketika dihubungi.
    
Che Suza berkata mayat mangsa kemudiannya ditemui kira-kira 500 meter dari tempat kejadian pada pukul pukul 3.50 petang oleh pihak bomba dan penyelamat. - Bernama

Bangunan runtuh 34 maut

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


MUMBAI - Sekurang-kurangnya 34 maut dan berpuluh-puluh yang lain cedera selepas sebuah bangunan sedang dalam pembinaan runtuh.

Seramai 57 orang cedera.

Kebanyakan mangsa terlibat ialah pekerja pembinaan bangunan tersebut.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, masih ramai lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan tujuh tingkat itu.

Menurut pegawai polis, sebahagian bangunan itu telah runtuh semalam dan sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak maut akibat runtuhan bangunan itu.

Tambah pihak polis, bangunan itu dibina secara haram dan setakat ini, empat tingkat sudah pun diduduki.

Usaha mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan setakat ini.

Dalam pada itu, fenomena bangunan runtuh merupakan perkara biasa berlaku di India manakala bahan tidak berkualiti dan cara pembinaan yang tidak memenuhi piawaian dikatakan sebagai faktor penyebab.

Peningkatan jumlah penduduk di India dan kekurangan tanah bagi membina kediaman juga dikatakan menjadi punca kontraktor gagal mengambil langkah keselamatan mencukupi dalam membina bangunan.

Sinar/-

Kantoi! Bekas Sarjan Mejar dedah Utusan tipu

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Utusan sanggup menipu dalam apa jual hal....Sampaikan nasib bekas tentera pun lidah biawak rasmi UMNO, Utusan Malaysia sanggup menipu dan memfitnah.

JASIN - "Saya malu kerana saya masih sihat dan mempunyai pencen tetapi ditanya kenapa saya boleh menerima kad itu,".

Itulah luahan seorang pesara tentera yang terkilan dan kesal berhubung penyiaran gambarnya oleh sebuah akhbar arus perdana sebagai penerima Kad Sara Hidup Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedangkan dia tidak pernah menerima kad terbabit.

Mohd Ali Baba, 53, berkata, siaran gambar itu bukan sahaja memalukan dirinya malah menjadi persoalan dalam kalangan rakan-rakan memandangkan jawatannya yang terakhir adalah sebagai sarjan mejar.

Menurutnya, ramai rakan seangkatannya menghubunginya dan mempersoalkan kehidupan dia sekarang kerana syarat penerima Kad Sara Hidup ATM adalah pesara tentera yang miskin dan kurang bernasib baik ataupun yang terdiri daripada Orang Kurang
Upaya (OKU).

"Ada yang marah saya menafikan menerima kad itu kerana gambar sudah disiarkan seluruh Malaysia sedangkan hal sebenarnya (gambar) adalah ketika saya menerima kad pesara tentera daripada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi pada 2011.

"Tapi pada tahun ini, gambar itu diguna pakai semula sebagai penerima kad yang memang saya sendiri tak pernah terima dan miliki," katanya kepada Sinar Harian, dekat sini semalam.

Harakahdaily/-

Anwar: Permatang Pauh atau Tambun, tunggu malam ini

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim
BUKIT MERTAJAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu yang beliau mempunyai masa "kira-kira tiga jam lagi" sehingga malam ini untuk berfikir sebelum mengumumkan kerusi yang akan ditandinginya.
Beliau yang menghadiri majlis minum petang bersama kira-kira 300 penyokongnya di Kubang Semang di sini petang tadi berkata, keputusan akan diumumkan pada ceramah umum di Taman Pauh malam ini.
"Saya akan menghubungi beberapa pemimpin tertinggi untuk berbincang sebelum membuat keputusan," kata beliau yang juga Ketua Pembangkang.
Dalam pada itu, beliau turut membayangkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun bagi mengukuhkan tiga kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR) iaitu Parit Buntar, Bagan Serai dan Gopeng.
"Ini bukanlah bermaksud yang saya tidak menghargai sokongan penduduk Permatang Pauh selama ini, namun tujuannya adalah untuk menguatkan lagi sokongan di sana," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesyorkan Ketua Srikandi Keadilan Malaysia, Siti Aisyah Shaik Ismail sebagai calon sekiranya beliau tidak bertanding di Tambun.

"Ia merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan kedudukan di sana dan saya percaya sokongan padu tetap akan diberi penyokong sempena pilihan raya kali ini," katanya.
Sinar/-

PRU13: Panas makin terasa

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


BN

Penunggang motosikal melintasi deretan bendera parti yang dipasang di kiri kanan bahu jalan Kampung Penor, Kuantan.
Ramalan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini akan menjadi PRU paling sengit dalam sejarah negara, nampaknya sudah mula menunjukkan kebenarannya awal-awal lagi.

Baru kelmarin Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat keputusan mengenai tarikhnya, kempen pun entah bila akan bermula.

Tetapi mereka yang dijadualkan bertempur dalam ‘peperangan’ yang digerakkan oleh gendang perang yang dipalu Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan sekadar bersiap sedia, malah sudah mula menggempur musuh masing-masing.

Di setengah tempat di beberapa negeri, kepanasannya sudah terlalu meluap hingga mencetuskan tindakan tidak wajar di kalangan mereka yang nakal.

Hanya tindakan pantas dan bijak pihak berkuasa mampu menyekat keadaan seperti dari melampaui batas.

Pemimpin-pemimpin parti tidak terlepas daripada cabaran, sindiran dan asakan untuk bertindak memenuhi kehendak pengundi, penyokong dan ahli parti di pelbagai peringkat.

Najib sendiri dicabar ‘suara-suara nakal’ meninggalkan kubu beliau di Parlimen Pekan, Pahang, yang beliau bertapak sejak mula menceburi politik awal 70-an.

Namun, Najib, sebagai pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman, tidak mudah melatah untuk menyambut cabaran seperti itu.

Beliau dicabar mengikut jejak Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan penyokong sebagai meninggalkan kerusi selamat untuk bertanding di tempat lain, bagi buktikan ketokohan seorang pemimpin.

“Dia (Anwar) rasa tidak selamat di Permatang Pauh dan meninggalkan rakyat yang telah menyokong selama dia terlibat di dalam politik.

“Saya tak pernah terfikir untuk meninggalkan (Parlimen) Pekan. Saya akan hidup dan mati di Pekan, secara politiknya,” katanya ketika menjawab soalan pemberita semalam.

Bahkan, bagi Najib, kalau Anwar boleh meninggalkan Permatang Pauh, beliau juga mampu meninggalkan sesiapa sahaja pada masa akan datang.

Anwar kelmarin menegaskan beliau bukan lari atau tidak menghargai penyokong-penyokong di Permatang Pauh, tetapi mahu mengukuhkan kedudukan PR di Perak, negeri yang dirampas BN dalam suasana yang penuh kontroversi, kira-kira 11 bulan selepas PR memerintah negeri itu.

Penghijrahan Anwar turut menerima tentangan hebat Naib-Pengerusi Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, mengisytiharkan ‘perang’ dengan Anwar.

“Kita akan pastikan Anwar kalah (di mana sahaja di Perak beliau bertanding),” tegas Menteri Pertahanan itu, ketika bercakap kepada pemberita, semalam.

Di Kelantan, keadaan agak panas apabila calon Pas tidak menyenangkan setengah penyokong.  
Selepas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan mahu mengekalkan Saipul Bahrin Mohamed sebagai calon Pas Dun Selising 30 Mac lalu, segelintir penyokong Pas menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan pemilihan itu.

Kumpulan ini dikatakan mengadakan perbincangan dan antara lain memutuskan mahu menaja calon bebas sebagai tanda protes terhadap pengumuman Menteri Besar Kelantan itu.

Polis Kelantan juga sedang menyiasat kejadian sebuah papan tanda milik kerajaan negeri, yang memaparkan gambar Nik Abdul Aziz serta kenyataan kata-katanya, mengenai ‘Tujuh Dosa Umno’ di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong yang dilempar minyak tanah dan dibakar pagi semalam.

Bahang ini dijangka semakin meluap menjelang kempen PRU.

Pelbagai tuduhan dan dakwaan akan dibuat penyokong parti dalam usaha mencapai matlamat masing-masing.

Siapa menang, siapa kalah adalah adat sesuatu pertandingan. Yang penting ialah  semua pihak, tidak kira di sebelah mana mereka berpihak, perlu memainkan  peranan untuk menjamin proses PRU13 ini berjalan lancar, adil, dan aman.
Sinar/-

Najib diasak 2 pemimpin muda di Pekan

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Datuk Seri Najib Razak akan diasak pemimpin muda Pakatan Rakyat dan calon mahasiswa dalam pertembungan tiga penjuru di Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengumuman calon kumpulan mahasiwa Mohamed Bukhairy Mohamed Sufian di Kuala Lumpur hari ini mengesahkan ura-ura persaingan seumpamanya yang kali pertama berlaku di kubu kuat BN itu.

NONEPKR masih belum menamakan calonnya, bagaimanapunMalaysiakinidifahamkan anggota majlis pimpinan pusat (MPP) Fariz Musa hampir sah dipilih bertanding di situ.

Mohamed Bukhairy, pelajar tahun akhir jurusan Sains Politik Islam di Universiti Malaya (UM), diumumkan sebagai calon mahasiswa oleh pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang.

Difahamkan, langkah drastik kumpulan antikemapanan itu diambil ekoran kegagalan mereka melobi Pakatan supaya memberi laluan bagi membolehkan berlakunya pertembungan dua penjuru.

Pada pilihan raya umum 2008, parlimen Pekan menyaksikan Najib mengalahkan calon PK  Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti 26,464 undi.

Pertembungan bersejarah itu, walaupun menarik perhatian pemerhati, mengundang kebimbangan penyokong Pakatan terhadap kemungkinan berlakunya pecah undi antara kumpulan anti-BN.

Malaysiakini/-

2 lagi maut akibat selesema burung di China

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


SHANGHAI - Dua lagi maut akibat virus H7N9 di China sekali gus menjadikan jumlah meninggal dunia ketika ini kepada lima orang.

Virus ini tidak dapat dikesan pada mulanya tetapi sudah mula menjadi salah satu kebimbangan di negara itu selepas media melaporkan kematian akibat virus itu bermula Ahad lalu.

Menurut agensi berita tempatan, setakat ini, 14 kes dilaporkan dan semua kes berkenaan melibatkan pesakit yang berada di timur China.

“Setakat ini, kami tidak pasti bagaimana manusia boleh mendapat virus ini,” kata Ketua Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Joseph Bresee.

Tambahnya, virus ini tidak mudah merebak di antara manusia.

Sinar/-

Lelaki serang guna kapak bunuh 9 orang

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


RAIPUR - Seorang lelaki  mengamuk menggunakan kapak di sebuah kampung sehingga membunuh empat wanita dan lima kanak-kanak perempuan di Chhattisgarh, India.

Menurut polis, motif penyerang masih tidak diketahui tetapi lelaki itu didakwa mempunyai masalah mental.

Lelaki yang dikenali sebagai Panduram, 35 itu juga difahamkan baru saja ditinggalkan isterinya.

Ketika kejadian, semua mangsa yang terlibat adalah wanita kerana semua lelaki keluar bekerja di siang hari.

Lelaki itu kemudian ditahan dan senjata yang digunakan turut dirampas pihak polis.

Menurut media tempatan, keluarga mangsa akan menerima pampasan sebanyak AS$25,000 (RM77,000) oleh pihak berkuasa tempatan.

Sinar/-

Murid tahun satu lemas susulan pasir jerlus

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


SETIU - Seorang murid tahun satu yang dihanyutkan air sungai susulan kejadian pasir jerlus di sungai Kampung Padang Muar di sini petang semalam, ditemui mati lemas hari ini.
   
Mayat murid Sekolah Kebangsaan Sungai Tong, Nor Aina Nabila Abdullah ditemui terdampar kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada pukul 9.25 pagi tadi oleh kumpulan mencari dan menyelamat.
   
Perkara itu disahkan Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri Mohd Rozairi Abd Rahim ketika dihubungi di sini.
   
Sementara itu, nenek mangsa Gayah Mat Sin, 56, berkata kejadian berlaku pukul 6.30 petang semalam ketika dia bersama seorang anaknya yang berusia 18 tahun, Nor Aina serta dua anak jiran mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sungai berkenaan.
   
"Saya ternampak timbunan pasir yang cantik dan ingin melihat dari dekat. Kami kemudian berjalan berpimpin tangan menyusuri sungai apabila dasar sungai tiba-tiba jerlus dan kami mula tenggelam.

"Kami berusaha naik ke tebing tetapi entah macam mana Nabila terperangkap dan dalam sekelip mata dihanyutkan air," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
   
Menurut Gayah, beliau tidak menyangka gurauan cucunya yang berpura-pura lemas ketika mandi sebelum kejadian menjadi kenyataan. - Bernama

Dekati anak muda untuk yakinkan ibu bapa mereka

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



PENGKALAN CHEPA: Anak muda diyakini mampu mengajak ibu bapa mereka berada di landasan yang betul dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Atas dasar itulah, jentera PAS diminta memastikan golongan anak muda didekati dengan sepenuhnya. 

Untuk itu, setiap program yang dianjur perlu membabitkan golongan muda di samping menganjurkan program khas untuk mereka memandangkan golongan itu bakal penentu kemenangan parti untuk membentuk kerajaan Pusat.

Anggota Dewan Negara, Senator Khairiah Mohamad(gambar) berkata selain golongan ‘atas pagar’ yang juga penentukan kejayaan pembentukan kerajaan baru, golongan muda perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui sewaktu meninjau anak-anak muda melakukan persiapan terakhir untuk menjayakan program Anak Muda Kelantan bermaruah peringkat Pengkalan Chepa dan Cawangan Tebing Tinggi pagi tadi.

Katanya, anak muda sekarang bukan lagi seperti dahulu yang hanya mudah terpengaruh dengan media kerajaan yang jauh menyimpang dari landasan sebenar.

“Kemenangan Kelantan baru-baru ini juga hasil kejayaan sebahagian anak negeri yang merantau.

“Untuk itu kali ini mereka menggunakan ibubapa di kampung supaya menasihati anak-anak mereka supaya jangan terpengaruh dengan Pakatan Rakyat, sebaliknya sokonglah perjuangan kerajaan Umno dan BN,”ujarnya.

Turut hadir pada tinjauan itu Anggota Jawatankuasa PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Nik Bahrum Abdullah, Ketua Pemuda PAS Cawangan Tebing Tinggi, Hasanuddin Hussin dan lain-lain kepimpinan pemuda cawangan tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anak muda di seluruh negara supaya mengambil peluang untuk menentukan perubahan pentadbiran negara.

Harakahdaily/-

DAP: Apakah Taib lebih tinggi daripada SPRM, Najib?

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Kenyataan Abdul Taib Mahmud untuk tidak memberi kerjasama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membayangkan ketua menteri Sarawak mengatasi badan itu dan juga perdana menteri, kata DAP.

Tokoh pembangkang Lim Kit Siang berkata kenyataan Taib semalam bagaikan satu tamparan kepada Najib Abdul Razak dalam usahanya membasmi rasuah.

Dalam kenyataannya, Lim menambah perdana menteri harus bertindak tegas dalam perkara ini bagi membuktikan beliau benar-benar berpegang teguh dengan ikrar integriti pilihan raya Transparency International-Malaysia (TI-M) yang ditandatangani pada 20 Februari.

Malaysiakini/-

SPR mesyuarat Rabu tentukan tarikh pilihan raya umum

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Rabu depan bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat SPR di sini itu, akan turut menetapkan tarikh pengundian awal serta menentukan Daftar Pemilih bagi PRU-13. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Berita Harian/-

Dun Kedah dibubar hari ini

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Azizan Abdul Razak

Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah berkuatkuasa hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-13.

Beliau membuat pengumuman itu di Istana Anak Bukit di sini selepas mendapat perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Semalam, Azizan menghadap Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka bagi pembubaran Dun Kedah.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan PRU13 diadakan.

Pada PRU12, Kedah dikuasai Pas yang menang 16 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) (4) dan DAP (1) manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi - Umno (12), MCA (1) dan Gerakan (1).

Satu lagi kerusi, Bukit Selambau dimenangi calon Bebas V Arumugam, yang kemudian menyertai PKR. Kerusi itu kemudian dikosongkan Arumugam untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil yang dimenangi S Manikumar daripada PKR.

Bagaimanapun, dua Adun PKR pula - Tan Wei Su (Bakar Arang) dan Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) - keluar parti untuk menjadi Adun Bebas.

Bagi kawasan parlimen, BN menguasai empat kerusi manakala 11 lagi oleh pakatan pembangkang Pas (6) dan PKR (5). Dua anggota Parlimen PKR kemudian menjadi wakil rakyat Bebas iaitu Datuk Zulkifli Nordin (Kulim/Bandar Baharu) dan N Gobalakrishnan (Padang Serai). - Bernama

Harimau kumbang dilepaskan ke hutan

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


 
MIAMI - Beberapa kakitangan Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Perikanan Florida membebaskan seekor harimau kumbang jantan yang berusia dua tahun di sebuah kawasan hutan simpan di Florida kelmarin. 

Harimau kumbang itu dilepaskan selepas ia dibesarkan di Pusat Pemuliharaan White Oak sejak berusia lima bulan. 

Anggota-anggota suruhanjaya itu menangkap haiwan tersebut selepas mereka menemuinya di daerah Collier.
Anggota-anggota suruhanjaya itu menemui harimau kumbang tersebut bersama seekor lagi harimau betina.
Kedua-dua haiwan itu merupakan anak seekor harimau betina yang mati pada 2011.
Haiwan jantan tersebut dilepaskan dari kurungan ke dalam hutan di kawasan hidupan liar Rotenberger di sempadan Palm Beach dan daerah Broward. - Agensi


Calon Pas: Aishah sudah masuk senarai?

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Wan Aishah Wan Ariffin Aishah
Aishah
SEREMBAN – Pas negeri belum dapat mengesahkan mengenai desas-desus mengatakan penyanyi Aishah bakal bertanding wakili Pas bagi kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Yang Dipertua Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat sebarang kesahihan pucuk pimpinan parti menamakan Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin Aishah, 48, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Jempol.

“Kemungkinan esok petang (hari ini) kita ada maklumat mengenai perkara tersebut memandangkan pucuk pimpinan pusat telah memanggil saya ke Ibu Pejabat Pas yang mana saya percaya mereka akan membincangkan perkara tersebut.

"Bagaimanapun, keputusan rasmi mengenai perkara itu akan diberitahu dalam tempoh masa terdekat ini. Begitu juga dengan senarai nama calon di bahagian lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Mohd Taufek, Pas negeri bersedia menerima sesiapa jua calon yang diputuskan pimpinan pusat.

sinar/-

Menangis kesal terjun laut

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Menangis kesal terjun laut
Anggota Maritim menaikkan lelaki berkenaan selepas berjaya dipujuk.
BUTTERWORTH - Usaha tiga ahli Persatuan Keselamatan Sukarela Pulau Pinang cawangan Butterworth memujuk seorang juru kimpal yang terjun ke dalam laut selama hampir setengah jam awal pagi kelmarin berjaya menghalang lelaki berkenaan meneruskan niatnya membunuh diri.

Ahli persatuan itu yang mahu dikenali sebagai Ah Tiam, 49, berkata, sebaik mendapat panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi daripada kakak lelaki berkenaan yang memaklumkan tindakan diambil adiknya itu, dia bersama dua rakan bergegas ke Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang.

“Ketika sampai, kami mendapati sebuah motosikal ditinggalkan di tepi jambatan itu bersama sebuah telefon bimbit dan sepasang kasut sebelum bertindak mencari dan memanggil nama lelaki berkenaan.

“Sejurus kemudian, kami bertiga mendengar suara meminta tolong dari bawah jambatan dan mendapati dia basah kuyup dengan memeluk tong sambil menjelaskan dia enggan lagi hidup kerana dibelenggu pelbagai masalah,” katanya.

Ah Tiam berkata, dia berusaha memujuk lelaki yang berasal dari Bukit Mertajam itu supaya tidak meneruskan niatnya dan dalam masa sama mengarahkan rakannya menghubungi agensi penguatkuasa lain melalui panggilan kecemasan.

“Ketika itu saya meminta dia bersabar dan pulang berbincang dengan ahli keluarganya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana membunuh diri bukan jalan penyelesaian terbaik.

“Lelaki itu mula menangis menyesali tindakannya dan meminta diselamatkan,” katanya.

Ah Tiam berkata, lelaki itu kemudiannya berjaya dinaikkan ke daratan melalui bantuan sebuah bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia sebelum dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Seberang Jaya.

sinar/-

Prestasi P Pinang baik, 5 tahun lagi lebih baik

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -




GEORGE TOWN: “Di Pulau Pinang, rakyat tidak lagi takut sama kerajaan negeri macam dulu. Sekarang kerajaan negeri yang takut sama rakyat,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jika rakyat dapat merasakan dalam lima tahun ini Pulau Pinang telah mencatat prestasi yang baik, maka pastinya lima tahun yang akan datang akan menjadi lebih baik.

“Sesungguhnya Pulau Pinang layak menerima yang terbaik,” ujarnya ketika berucap pada pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (Dun) di Komtar, hari ini.

Justeru, beliau mengajak rakyat supaya memastikan persaingan untuk masa depan negeri ini tidak akan menjadi pertarungan antara siapa yang lebih pandai memfitnah, membenci atau mengugut, tetapi menjadi pertarungan yang mulia antara idea, ideal, prinsip dan dasar-dasar berjiwa rakyat.

“Peluang untuk mengejar impian harus diberi kepada anak-anak kita dan bukan hanya kepada anak-anak para menteri atau Perdana Menteri kini dan lampau,” katanya lagi.

Guan Eng menekankan bahawa Pakatan Rakyat (PR) menawarkan visi masyarakat majmuk yang bersatu dan madani serta menghormati kepelbagaian dan hak asasi.

Tegasnya, kerajaan negeri percaya bahawa PR mempunyai idea yang lebih bernas, idealisme yang lebih kukuh, prinsip yang telah diuji masa dan dasar-dasar berjiwa rakyat untuk menjaminkan masa depan anak-anak.

“Sekiranya diberikan peluang semula untuk terus memerintah Pulau Pinang, kami yakin, Pulau Pinang boleh menjadi No.1 di Malaysia sebagai negeri pintar dan bertaraf antarabangsa.

“Demi Pulau Pinang yang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat. Ini kalilah!” ujarnya.

Semalam, beliau telah menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas untuk memohon perkenan supaya Dun Pulau Pinang ke-12 dibubarkan. (Gambar atas)

Selaras dengan Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri telah pun memperkenankan bagi Dun dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

harakahdaily/-

Kajian UM : 80% Rakyat Pantai Barat Tidak Percaya Fitnah Terhadap Anwar

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati 80 peratus rakyat di negeri pantai barat tidak mempercayai kes-kes fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengarah UMCEDEL, Amer Saifude Ghazali berkata, negeri tersebut ialah Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Jelas Amer, responden yang ditanya berkenaan fitnah terhadap Anwar, kebanyakan yang percaya hanya 20 peratus.

“80 peratus lagi tidak percaya langsung, mereka (responden) anggap ini sebagai satu perkara yang sengaja di ada-adakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta mengenai reputasi Anwar Ibrahim ketika satu Seminar PRU-13 ‘Memperkasakan Demokrasi’ anjuran Pusat Pengajian Sejarah dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bilik Senat, Dewan Canselor, UKM hari ini.

Dalam isu sama, Amer berkata, dakwaan yang mengatakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu tidak berkaliber, tidak berpengaruh dan zamannya berakhir adalah sangat menghairankan.

“Saya hairan orang kata beliau tidak ada pengaruh, zaman beliau sudah berakhir, tidak berkaliber dan sebagainya, tapi mengapa serangan yang dilakukan kepada Anwar hampir setiap hari, dari satu kes ke satu kes.

“Tapi beliau (Anwar) tetap dapat memimpin, perkara ini yang perlu diberi perhatian disebalik serangan oleh pelbagai pihak kepada beliau,” katanya lagi. -selangorku

Wanita buta huruf mahu jadi wakil rakyat

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KHAR - Seorang suri rumah Pakistan yang tidak tahu membaca dan menulis mencipta sejarah di negara ini apabila dia akan bertanding menjadi wakil rakyat di kubu kuat Taliban pada 11 Mei depan.
Suri rumah itu, Badam Zari, 53 yang merupakan isteri seorang guru besar mempunyai peluang tipis untuk menang.

"Saya bertanding dengan penuh keterujaan dengan hati yang suci dan suara hati yang jelas.
"Keazaman saya adalah untuk mendidik generasi masa depan, kanak-kanak perempuan dan wanita serta berkhidmat untuk mereka," katanya kepada agensi berita AFP menerusi telefon dari daerah Bajaur.
"Saya mengetahui bahawa saya merupakan wanita pertama yang akan bertanding dan berharap akan menang," tambahnya.

Dia akan bertanding atas tiket bebas di daerah tersebut.
Daerah itu terletak di kawasan pergunungan dan merupakan antara yang paling miskin dan ramai penduduknya tidak berpendidikan.

"Saya tidak berasa takut. saya tidak pernah menerima ancaman daripada mana-mana pihak," katanya.
Beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan kelmarin, permohonannya untuk bertanding telah diterima.

Undang-undang Pakistan tidak melarang calon yang buta huruf bertanding untuk menjadi wakil rakyat.
Bajaur merupakan kubu kuat kumpulan Taliban, Al-Qaeda dan beberapa pertubuhan militan lain.
Daerah tersebut menjadi lokasi pertempuran antara tentera Pakistan dengan kumpulan militan. - AFP

Anwar janji henti kontrak Petronas Mokhzani jika Pakatan menang PRU13

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

GERIK, 5 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji semalam untuk menarik balik kontrak Petronas bernilai jutaan ringgit yang dianugerahkan kepada anak Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil menambah ia adalah salah satu langkah awal Pakatan Rakyat (PR) menghentikan kronisma sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya 2013.
Dalam satu ceramah di Taman Semarak, Ketua Pembangkang (gambar) itu mengkritik hebat musuh ketatnya kerana menguruskan syarikat minyak negara terkaya seperti syarikat keluarga, terutamanya Mokhzani.

“Pertama, dalam masa 24 jam Pakatan bersumpah akan menurunkan harga minyak di seluruh negara,” katanya kepada ribuan orang ramai hadir daripada kawasan sekitar di Hulu Perak.

“Nombor dua, adalah kontrak minyak ini. Adakah anda berfikir di bawah Najib ia akan ditarik balik? No. Tetapi jika kita mengambil alih, saya ingin memberitahu Dr Mahathir — Saya Anwar, bukan seperti Najib.
“Najib takut kepada kamu tetapi saya tidak. Saya tidak mempunyai niat untuk menjadi kejam kepada kamu atau membalas dendam, tetapi kontrak berbilion ringgit yang diberikan kepada anak anda, saya hentikannya, saya mahu memberinya kembali kepada semua rakyat Malaysia di seluruh negara, “ katanya.

malaysian insider/-

Gementar lihat F-16 Israel di udara

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Gementar lihat F-16 Israel di udara
Sebahagian pejuang Briged al-Qassam menunjukkan kekuatan senjata yang mereka ada.
GAZA – Bagi anggota Misi Kemanusiaan Aman Palestin dari Kuala Lumpur, berada di sempadan Israel adalah sesuatu yang menakutkan, lebih-lebih lagi apabila pesawat tentera musuh berlegar di udara.

Walaupun singgah dalam waktu singkat dan dikawal pasukan keselamatan, kedudukan dalam jarak hanya 400 meter dari wilayah rejim Yahudi memang mendebarkan sebab sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Tetapi bagi anggota pasukan pejuang Briged al-Qassam, ancaman pesawat pejuang tentera Israel menjadi sebahagian hidup dan mereka sudah nekad berjihad menentang Yahudi.

“Kami tidak gentar dan akan pertahan hak kami,” kata ketua di markas yang terletak di sempadan Israel, ketika menerima kunjungan singkat rombongan Aman Palestin.

Atas sebab-sebab keselamatan, beliau enggan disebut nama dan hanya bersedia diambil gambar dengan memakai topeng.

Briged al-Qassam, dianggotai pelbagai latar belakang termasuk pelajar dan petani berumur 18 hingga 35 tahun, ialah sayap tentera dalam parti politik Hamas yang identiti dan posisi pejuang mereka dirahsiakan.

Rombongan kami berkesempatan melawat dua markas latihan, diberi taklimat dan berkenalan dengan anggota pasukan berani mati.

Anggota briged mengucapkan terima kasih dan terharu dengan bantuan yang disalurkan Malaysia.

Pada lawatan pertama, peserta rombongan dibawa ke markas latihan briged al-Qassam. Walaupun serba-serbi terhad, semangat dan keberanian mereka jelas ditonjolkan dalam sesi latihan.

Peserta rombongan kemudian dibawa pula ke sebuah lagi lokasi markas yang terletak hanya 400 meter dari sempadan Israel dan tiba-tiba kelihatan pesawat pejuang F-16 milik tentera Israel berlegar di ruang udara berhampiran.

Ketua markas tidak membenarkan kami lama di situ kerana bimbang keselamatan anggota rombongan.

sinar/-

DUN Pulau Pinang bubar, KM pilih Jumaat 'bertuah'

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Akhirnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan selepas dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen pada 3 April.

DUN negeri itu sepatutnya tamat pada 2 Mei. Pembubaran itu sekali gus memberi laluan untuk membolehkan pilihan raya negeri dilangsungkan, yang mesti dibuat sebelum 28 Mei.

Ekoran pembubaran itu, pentadbiran sekarang dengan sendirinya menjadi kerajaan sementara.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan perkara itu di Komtar selepas bertemu dengan Gabenor Abdul Rahman Abbas di kediamannya di Seri Mutiara pada jam 9 pagi tadi.

Lim berkata, hari ini, Jumaat, paling sesuai untuk pembubaran kerana ia hari paling bertuah dalam seminggu.

Beliau juga berharap semoga ia membawa keberkatan kepada semua dan supaya pilihan raya akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang gangguan.
 
malaysiakini/-

Tok Mun mahu lawan lagi

Foto24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Kuala Terengganu: Maimun Yusof, 94, atau lebih mesra dipanggil Tok Mun menjadi bakal calon terawal mendapatkan borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri di sini, semalam, selepas Parlimen dibubarkan kelmarin.

Maimun yang pernah menjadi tumpuan negara apabila menjadi calon tertua bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 empat tahun lalu, dijangka bertanding lagi pada PRU-13 kali ini.

Dia yang datang bersendirian dengan menumpang kereta kelihatan masih sihat dan ceria ketika mendapatkan borang penamaan calon, malah memberitahu berminat untuk bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar serta memberitahu perlu bertanding bagi menunaikan amanah orang lama.

“Alhamdulillah, tok (saya) masih sihat untuk bertanding. Semalam tok tengok TV (televisyen) sudah bubar Parlimen. Sebab itu tok mari pejabat SPR nak ambil borang.

PENOLONG Pengarah SPR Terengganu, Nurul Ajleaa Azmi menyerahkan borang kepada Maimun, semalam.

“Adik (wartawan) jangan tanya soal menang atau kalah sebab tok tak kisah, tok tetap akan bertanding sebab ini amanah orang. Tok takut nak menanggung akhirat esok, dunia tak apa lagi,” katanya yang ditemui di pejabat SPR negeri di sini, semalam.

sinar/-

Ramalan hari penamaan calon, hari undi

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PRU13
Tarikh penting PRU 2004 hingga 2013
BERIKUT ramalan ahli-ahli politik, penganalisis dan artis mengenai kemungkinan hari penamaan calon dan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota, Azan Ismail

Tarikh: Penamaan calon 1 Mei 2013, undi  pertengahan Mei 2013

Alasan: "Saya meramalkan tarikh ini kerana untuk memberi keselesaan kepada rakyat, di mana hari pengundian dilakukan pada hari bercuti sekolah, ini untuk keselesaan rakyat bukan untuk parti politik dengan memikirkan tarikh terlalu panjang untuk pemilihan calon."


Naib Presiden Pas dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar

Tarikh: Penamaan calon 15 April 2013; undi 27 April 2013

Alasan: "Ini tempoh berasaskan kepada pilihan raya lalu. Pada 2008 pun ia dibuat dalam linkungan itu. Tarikh bubar dan hari penamaan calon dalam kiraan 10 hingga 12 hari."


Setiausaha Pengola DAP dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke

Tarikh: Penamaan calon pertengahan April 2013, undi hujung April 2013

Alasan: "... kalau ikut rekod sebelum ini, untuk mengundi kena ambil masa tiga hingga empat minggu untuk itu, jadi saya berpandukan rekod sebelum ini."


Ahli Parlimen Kota Belud dan Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan 

Tarikh: Penamaan calon 13 atau 14 April 2013, undi 27 atau 28 April 2013

Alasan: "Kalau kita lihat dari segi sejarahnya, selepas pembubaran, dalam sehari dua ini mungkin negeri selesai bubar, katalah SPR bermesyuarat Isnin (8 April) selalunya akan ada jarak seminggu."


Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum

Tarikh: Penamaan calon 20 April 2013, undi 4 Mei 2013

Alasan: "Ia akan dibuat pada hari Sabtu kerana penamaan calon kebanyakannya dibuat di pejabat-pejabat daerah. Ia tidak akan dibuat pada hari biasa kerana ia akan menggangu waktu kerja."

Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman

Tarikh: Penamaan calon 14 April; undi 27 April

Alasan: "27 April tarikh paling sesuai kecuali jika ada masalah, jika ada Dun tidak dibubarkan hari ini."


Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian

Tarikh: Penamaan calon 13 April, undi 27 April

Alasan: "Kemungkinan bukan awal Mei. Sebab hujung minggu pertama Mei adalah cuti Hari Pekerja."


Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli

Tarikh: Penamaan calon 13 atau 14 April; 27 April

Alasan: "Saya rasa kita boleh baca pergerakan. Datuk Seri Najib Tun Razak. Jadi tidak akan ada kejutan."

Ahli Parlimen Temerloh dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah

Tarikh: Penamaan calon 13 atau 14 April, undi 27 atau 28 April

Alasan: "Mengambil kira tempoh berkempen minimum, dan 2008 13 hari, saya fikir kali ini tempoh berkempen 14 hari, dua minggu sepatutnya."


Pengarah Filem, Datuk Yusof Haslam

Tarikh: PRU13 – hujung bulan. Penamaan calon – seminggu dua lagi

Alasan: "Biasanya PRU13 paling lewat dua minggu daripada tarikh penamaan calon."


Presiden Seniman, Zed Zaidi

Tarikh: PRU13 bila-bila masa sehingga bulan Mei. Penamaan calonminggu depan.

Alasan: "Selalunya selepas Parlimen dibubarkan, saya beranggapan kena tunggu negeri pula dibubarkan. Ada 60 hari lagi, jadi sampai Mei nanti, bila-bila masa boleh."


Ahli Pas, Hairie Othman

Tarikh: PRU13 – 28 April. Penamaan calon-dua minggu sebelum tarikh 28 April

Alasan: "Biasanya, 10 hari selepas bubar, tarikh pilihan raya akan diumumkan."


Penyanyi dan pencipta lagu, Eddie Hamid

Tarikh: PRU13 – 8 Mei. Penamaan calon – dua minggu lagi.

Alasan: "Saya dapat satu undangan untuk menyanyi lagu Bo La Wei pada 2 Mei depan di Pasir Puteh. Saya beranggapan pilihan raya selepas itulah."


Pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan

Tarikh: PRU13 awal Mei. Penamaan calon – dua minggu lagi

Alasan:  "Saya pun tak pasti dengan perkara ini. Tapi dengar-dengar begitulah."


Nama: Pelakon, Faizal Hussein

Tarikh: PRU13 – hujung bulan April. Penamaan calon – dua minggu lagi

Alasan: "Kita pun tak boleh jangka tapi saya dengar-dengar begitulah."


Pelakon, Lisa Surihani

Tarikh: PRU13 – 27 April. Penamaan calon – tak pasti

Alasan: "Ini bukan jangkaan saya tapi saya dengar-dengar begitulah. Sebab majlis perkahwinan kawan saya jatuh pada 27 April dan mereka kata tarikh pilihan raya jatuh pada majlis mereka. Dari situ saya tahu."


Penyanyi, Jamal Abdillah

Tarikh: PRU13 - 27 April. Penamaan calon – minggu depan

Alasan: "Saya ada rancang nak buat persembahan di Kuala Terengganu pada 26 April tapi ramai yang suruh saya tukar kerana katanya PRU13 pada 27 April."


Pelakon, Rahsidi Ishak

Tarikh: Bulan Mei. Penamaan calon – tak pasti

Alasan: "Besar kemungkinan pada cuti sekolah akan datang. Orang katalah, saya pun tak pasti."

sinar/-

Majlis Menandatangani Watikah Pembubaran Dun Kelantan

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -









Sumber gambar : FB UKMB

Tok Guru Nik Aziz menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri di Kubang Kerian bagi memohon perkenan membubarkan Dun Kelantan.
Permohonan telah diperkenan Baginda Sultan Kelantan dengan menandatangani watikah pembubaran Dun ~ Tinta Hijau DKB

Pembangunan OKU lebih cemerlang di bawah PR

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalI parti politik melalui PAS telah mengiktiraf peranan sektor orang kelainan upaya (OKU) hingga peringkat tertinggi parti.

Begitupun, Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU, Mohammad Faizal Che Yusof berkata bukan tiada cubaan parti-parti lain mengiktiraf OKU sebagaimana hari ini.

Namun, jelas beliau apa yang dilakukan oleh PAS di mana pimpinan pusat melalui mesyuaratnya telah menerima dan memberi pengiktirafan adalah julung kali dalam perkembangan politik negara.

Pada hari ini, katanya pihak sekretariat bukan sekadar berfungsi sebagai wakil OKU menyatakan suara memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat, lebih dari itu kami diterima sebagai wakil untuk mencetuskan perubahan kepada pembangunan OKU di Malaysia melalui PAS dan Pakatan Rakyat.

“Justeru, kami menyeru seluruh warga OKU dan ahli keluarga serta mereka yang prihatin kepada isu-isu OKU untuk memberi sokongan padu kepada PAS, PKR dan DAP dengan apa jua cara termasuklah memberi undi pada PRU13 kali ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, melalui hubungan baik yang ada, pihak sekretariat juga telah dimaklumkan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih bersedia untuk menyediakan prasarana yang dapat membantu pengundi-pengundi OKU pada kali ini.

Katanya, perkara tersebut juga telah disahkan oleh wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertanggungjawab kepada hal ehwal OKU pada masa ini.

“Pada kesempatan ini, ingin kami tegaskan keyakinan kami bahawa pembaharuan kepada pembangunan OKU akan lebih terbuka dan cemerlang melalui perubahan tampuk pimpinan kerajaan kepada Pakatan Rakyat.

“Kami akan terus iltizam untuk bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakayt membawa suara dan menyampaikan hasrat OKU untuk suatu perubahan yang lebih baik di Malaysia pada masa hadapan,” ujarnya.

harakahdaily/-
 

Hari Hijab Sedunia Membawa Seorang Gadis Inggeris Peluk Islam

24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


London - Pengalaman memakai hijab ketika Hari Hijab Sedunia telah menarik seorang gadis Inggeris untuk lebih mempelajari tentang Islam dan tak lama kemudian ia memeluk Islam.

Jessica Rhodes (21) mengatakan kepada Muslim Mirror bahawa ia mengambil bahagian dalam Hari Hijab Sedunia dengan memakai tudung selama sebulan.

"Saya ambil bahagian dalam Hari Hijab Sedunia pertama dan mencabar diri saya sendiri untuk memakai hijab selama sebulan," katanya, seperti dilansir Onislam.

"Kemudian Saya mula membaca Al-Quran dan kalimat-kalimat di dalam Al-Quran kelihatan tampak logik dan jelas, daripada dalam Bible di mana mereka cenderung banyak omong kosong," tambahnya.

Gadis yang berasal dari Norway tersebut adalah satu di antara beberapa non-Muslim di seluruh dunia yang turut mengenakan pakaian Muslimah dalam acara Hari Hijab Sedunia pada 1 Februari lalu.

Acara tersebut bermaksud untuk memperkenalkan tudung kepada dunia, bahawa pakaian Muslimah itu bukanlah simbol penindasan tetapi justeru untuk menjaga kehormatan.

Setelah pengalaman memakai tudung itu, Rhodes mula membaca lebih banyak tentang Islam untuk lebih memahami agama yang lurus ini.

"Saya juga melakukan beberapa pemerhatian tentang Islam secara keseluruhan dan merasakan bahawa ini (Islam) adalah sebuah agama yang inklusif yang boleh memberikan saya jawapan-jawapan yang Saya cari-cari," katanya.

Saat memutuskan memeluk Islam, Rhodes menghadapi pelbagai reaksi daripada orang-orang terdekatnya. Ibu bapa tidak suka, walaupun menerimanya.

"Ibu bapa saya tidak senang tetapai mereka menerima keputusan saya. Ipar-ipar saya telah sangat menyokong, "kata Rhodes.

Sebahagian kawan-kawan Rhodes senang atas keputusannya menjadi Muslimah, sebahagian yang lain cuba mendebatnya sementara sebahagian yang lain menjauhi Rhodes, hal yang hampir semua muallaf mengalaminya.

Muallaf di Britain terus meningkat. Menurut kajian terbaru, di Inggeris selama 6 tahun terakhir, jumlah umat Islam telah berkembang sebanyak 37% dan jumlah masjid sudah mencapai hampir 1,500, termasuk banyaknya surau. Berdasarkan data dari British Institute of Gatston, rata-rata, ratusan warga Inggeris masuk Islam setiap bulan, demikian Al Jazeera melaporkan.

Jumlah muallaf sangat mencolok di penjara dan di sekolah-sekolah. Al-Jazeera mendapati bahawa diantara sejumlah muallaf terdapat begitu banyak remaja, termasuk mereka yang berasal dari Brazil, Luxembourg, dan Sweden.


Lelaki taksub jadi ikan duyung

Foto24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Tallahassee (Florida): Disebabkan taksub kepada ikan duyung, seorang lelaki Florida menghabiskan masa lebih satu setengah jam tiga kali seminggu untuk ‘menukar’ dirinya menjadi makhluk mitos itu.
Bagi Eric Ducharme, menjadi seperti ikan duyung memang menjadi impiannya sejak terpesona dengan keunikan makhluk berkenaan. Justeru, dalam kesempatan yang terluang, Ducharme akan menyarung ‘ekor’ khas dari kaki hingga ke pinggangnya untuk berenang serta menyelam.

Memiliki sijil sebagai penyelam, Ducharme, 22, boleh menahan nafas sehingga empat minit setiap selaman bagi membolehkan dia menikmati pengalaman sebagai ikan duyung.
Kata Ducharme, dia mengamalkan gaya hidup seperti ikan duyung dan ia adalah pilihannya sendiri.

“Saya adalah ikan duyung yang makan, bernafas dan tidur.

“Apabila memakai ekor, saya berasa seperti mengalami perubahan dan memasuki dunia berbeza sebaik saja memasuki air,” katanya.
DUCHARME berenang dengan memakai ‘ekor’ ikan duyung.
Menurut Ducharme, dia mengambil masa yang sangat lama untuk memahami dirinya sendiri.

Katanya, apabila berada di dalam air, dia berasa seperti dibawa ke dunia lain. Sementara itu, teman lelaki Ducharme yang enggan dikenali berkata, dia mula diberitahu mengenai ketaksuban penyelam itu pada pertemuan pertama mereka lagi.
Katanya, dia sangat terkejut apabila dimaklumkan mengenainya oleh Ducharme. “Apabila kami berenang, kami membawa diri masing-masing dengan Ducharme bermain-main di kawasan sendiri.

“Ia adalah waktu untuk Ducharme melupakan seketika dunia sebenar,” katanya. Sesekali, kata teman lelaki Ducharme, orang ramai juga kehairanan melihat aksi kekasihnya itu.

“Biasanya orang tertanya-tanya kerana sebelum ini ikan duyung yang mereka kenali adalah wanita,” katanya. - The Sun