24 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SETIU - Seorang murid tahun satu yang dihanyutkan air sungai susulan kejadian pasir jerlus di sungai Kampung Padang Muar di sini petang semalam, ditemui mati lemas hari ini.
Mayat murid Sekolah Kebangsaan Sungai Tong, Nor Aina Nabila Abdullah ditemui terdampar kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada pukul 9.25 pagi tadi oleh kumpulan mencari dan menyelamat.
Perkara itu disahkan Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri Mohd Rozairi Abd Rahim ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, nenek mangsa Gayah Mat Sin, 56, berkata kejadian berlaku pukul 6.30 petang semalam ketika dia bersama seorang anaknya yang berusia 18 tahun, Nor Aina serta dua anak jiran mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sungai berkenaan.
"Saya ternampak timbunan pasir yang cantik dan ingin melihat dari dekat. Kami kemudian berjalan berpimpin tangan menyusuri sungai apabila dasar sungai tiba-tiba jerlus dan kami mula tenggelam.
"Kami berusaha naik ke tebing tetapi entah macam mana Nabila terperangkap dan dalam sekelip mata dihanyutkan air," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Gayah, beliau tidak menyangka gurauan cucunya yang berpura-pura lemas ketika mandi sebelum kejadian menjadi kenyataan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan