13 Ogos 2012

Mahkamah tolak saman Umno Selangor terhadap Harakah

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membuat keputusan menolak saman yang dibuat oleh Umno Selangor berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.

Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan tersebut setelah meneliti peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno
adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan dan hanya beliau yang berhak membuat pendakwaan.

Hakim juga turut memutuskan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar tersebut Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Mustafa yang ditemui di lobi mahkamah menyatakan kes saman telah selesai dan ia berlangsung dalam masa yang singkat.

"Terima kasih kepada barisan peguam yang mengendalikan kes ini dan apa yang kita ketahui tadi ia telah selesai dengan baik.

"Hakim telah menolak permohonan dari Umno terhadap tindakan saman itu, syukur segalanya telah selesai," jelasnya.

Peguam yang mewakil defendan adalah Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr Dzulkarnain Lukman manakala plantif pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Dalam saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun.

Saman tersebut dibuat berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu.

harakahdaily/-

Celupar: Teras anggap Nazri tidak layak dilantik

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen seperti Datuk Seri Mohammad Nazri Aziz tidak layak dilantik jika mengamalkan mulut yang celupar yang merosakkan imej Islam di kaca mata orang bukan Islam, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Mohammad Nazri yang merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kata-kata yang hina.

Katanya, adalah sangat tidak wajar malah menunjukkan kebiadaban sebagai seorang pimpinan Melayu Muslim terutama pada bulan Ramadhan.

Menurut Mohd Azmi, bulan Ramadhan sepatutnya menjadi bulan semua umat Islam menahan segala keburukan peribadi yang tercela.

Ini, ujarnya termasuk menahan lidah dari kata-kata yang buruk bukan sahaja kepada diri sendiri apatah lagi kepada orang lain.

“Kami mendapati inilah akibatnya dari terlalu mendalam perasaan permusuhan politik sehingga batas-batas akhlaq dalam bertutur tidak dipelihara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Nazri tidak peduli betapa kemuliaan bulan Ramadhan sangat menuntut seorang Muslim menjadikan ibadat puasa sebagai benteng menghindari kata-kata yang buruk.

“Beliau nampaknya tidak mempedulikan aikbat dari kata-kata yang buruk dan menghina orang lain. Apatah lagi sebagai seorang wakil rakyat, beliau gagal menunjukkan akhlak yang baik dari segi berbicara.

“Kami kesal bagaimana seorang ahli Parlimen yang sudah lama malah berpengalaman sebagai seorang menteri, menunjukkan contoh yang buruk kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

Bagi Azmi, dendam kesumat dalam berpolitik telah melupakan Nazri betapa perlunya menjaga akhlak yang baik dan menjaga tutur kata yang mulia apabila mengeluarkan kenyataan.

“Inilah yang membuat rakyat amat muak dan mual dengan budaya politik di kalangan ahli politik yang terlalu ghairah dengan menyerang musuh tanpa menghirau implikasi kepada akhlak sebagai tunjang kepada keperibadian yang dituntut oleh Islam,” katanya.

Katanya lagi, kenyataan Nazri yang buruk dan kesat itu dikeluarkan dalam bulan Ramadhan yang sepatutnya membina kehalusan kepribadian dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata, ahli agama perlu menegur ahli politik seperti itu supaya ia tidak menjadi budaya yang boleh menghina kemuliaan Islam itu sendiri.

Justeru, ujarnya lagi Teras menggesa suatu etika berpolitik Islam diamalkan oleh semua ahli politik di negara ini.

Beliau menambah, budaya memfitnah dan mencerca dengan kata-kata di luar batas akhlak hendaklah dihentikan.

“Kaum muslimin yang peka dan serius untuk melahirkan budaya politik yang sihat dan bermaruah perlu menolak mereka yang bertindak dengan melampau hanya untuk meraih undi,” katanya.

Harakah Daily

Pertemuan sulit yang terbuka di Sabah

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

DARI KOTA KINABALU

Mungkin terlalu awal untuk saya mengatakan Sabah akan tumbang dan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi kalau orang bertanya saya mengenai Sabah, saya akan jawab Sabah kini sudah separuh dalam genggaman Pakatan Rakyat.

Kedudukan Sabah kini berbanding dengan Sarawak, Sabah lebih bahaya kepada BN. Wajar kalau Najib Razak perlu kerap turun ke Sabah untuk menyelamatkan kapalnya yang bakal karam.

Alhamdulilah saya dapat saksi sendiri apa yang berlaku di Sabah kini. Berbaloilah saya turun ke Sarawak dan Sabah bagi mengikuti operkembangan yang sedang berlaku.

Sabah kini ibarat sebuah kapal yang sedang karam bagi UBN. Makin hari kapal itu makin senget dan bakal ghaib akan ditelan lautan. Sudah tidak ada iktiar dan usaha untuk menyalamatkan Sabah. Umno kini hanya boleh berdoa dan menyediakan mangku untuk menanda air mata saja. Selepas ini ketua menteri Sabah bukan lagi dari Umno tetapi dari Pakatan Rakyat.

Seorang pegawai tinggi kerajaan dipetik sebagai berkata, ..Najib bawalah berapa ratus billion ke Sabah tidak boleh menyelamatkan Sabah. BN akan kalah di Sabah. Sejajar itu saya teringat kata-kata seorang hartawan Sarawak malam tadi yang mengatakan dia kini sedang berkempen supaya rakyat Sarawak ambil duit tetapi undi pembangkang.

Maksudnya wang tidak akan memberi apa-apa erti dan jaminan lagi untuk Umno selamatkan Sabah. Rakyat Sabah memang mahukan wang, tetapi kali ini mereka tidak mungkin akan mengundi BN lagi. Mungkin kerana menyedari itu... dengan melihat body language rakyat Sabah menyebabkan pegawai kerajaan itu bermadah demikian. Ertinya Sabah sudah tenat dan sukar untuk diselmatkan lagi.

Cerita Sabah akan tumbang ini saya dengar sejak beberapa minggu lagi. Sejak keberanian Lajim Ukin dan Wilfread Bamburing mengambil tindakan keluar parti meninggakkan BN. Tindakan itu mencetus semangat baru di kalangan rakyat Sabah dan menjadi membentuk momentum hari ini. Tetapi saya tidak begitu yakin kerana saya tidak apat melihat sendiri perkembangan di Sabah. Menjadi perangai saya sukar untuk mempercayai sesuatu yang hanya di khabarkan sehinggalah saya lihat, rasa dan alamai sendiri.

Semasa di Makkah dua minggu lepas juga saya sudah medapat berita berkenaan. Bahawa berlaku gelombang dan kesesaran politik besar di Sabah. Anihnya gelombang itu bukan kerana ia meriak dari Kuala Lumpur, tetapi ia meletus di Sabah sendiri. Gelombang yang bakal menenggelamkan kerajaan UBN Sabah bukan panggilan dari Kuala Lumpur tetapi ia muncul dari Sabah sendiri.

Atas tanggungjawab itu maka saya menyusahkan diri terbang ke Kuching kemudian ke Sabah untuk semata-mata untuk melihat dengan mata kepala saya sendiri mengenai apa yang berlaku. Pada catatan permulaan ini saya tidak mahu membongkar berbagai kepelikan dan keanihan yang berlaku di Sabah yang mengarah kepada perubahan besar politik di negeri bawah bayu ini. Cukup kalau saya menyebut pertemuan Anwar dengan para pemimpin politik Sabah tengah hari tadi mengesahkan kata-kata bahawa Sabah akan tumbang. Para arkitek politik Sabah sedang merangka bagaimana proses penumbangan itu dan memikirkan pula bagaimana untuk membangun bentuk politik baru.

Belum pernah rasanya peristiwa seperti ini berlaku. Dan ini amat menggembirakan Anwar saya kira yang secara tidak langsung perjuangan Anwar selama 10 tahun dalam kandang penderitaan sudah disedari akan kepentingan dan keperluannya. Anwar kini sedang mengutip hasil dari perjuangannya menyedar dan membela rakyat yang dilakukannya.

Bertempat di sebuah hotel di bandaraya Kota Kinabalu Anwar mengadakan satu pertemuan separuh sulit dengan beberapa tokoh politik Sabah. Sebaik tiba di airport Anwar ke hotel berkenaan. Di situ sudah sedia menanti tokoh-tokoh politik Sabah untuk berjumpa dengan beliau. Anwar hari ini diletak sebagai dewa yang akan membuka lembaran baru di Sabah.

Ketika saya menjenguk masuk ke dalam bilik pertemuan itu ditingkat satu hotel berkenaan, ternampak Yong Teck Lee, Jefari Ketingan serta beberapa orang pimpinan kanan PKR dan juga DAP serta beberapa tokoh lain. Sejurus itu mereka berdua keluar dan menaiki ke tingkat atas untuk bertemu dengan Anwar. Lajim Ukin dan beberapa tokoh lain sudah pun bersama Anwar, mungkin dalam bilik peristirehatan Anwar.

Menurut maklumat pertemuan itu antara lain memulakan rangka kerja lebih mantap bagaimana hendak menyelaraskan parti-parti politik yang akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Mungkin formula dicari bagaimana strategi tepat bagi menumbangkan kerajaan UBN Sabah.

Ikut sama hadir dalam pertemuan itu ialah pemimpin DAP Sabah dan Kuala Lumpur. Tokoh yang saya nampak dan kenal ialah Teresa Kok. Pertemuan itu mesra dan penuh bersemangat. Setiap wajah yang tersapa oleh mata cerita dan sumringah.

Cuma apa yang mungkin sedikit mengilankan, saya tidak nampak wakil Pas yang hadir. Kalau wakil Pas turut sama hadir maka boleh disifatkan pertemuan tengah hari tadi penting dan menjadi titik tolak ke arah pakatan menyeluruh untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Musa Aman.

Ulasan selanjut akan bersambung sekembali ke KL nanti. [k.k sabah. 4:17 pm 11/08/12]
Source: http://msomelayu.blogspot.com/2012/08/pertemuan-sulit-yang-terbuka-di-sabah.html

Harakah Daily

Haron Din: Kafir Harbi tidak wujud tanpa Negara Islam

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Tidak wujud istilah penggunaan ‘kafir harbi’ selagimana tidak tertegaknya sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar, tegas Datuk Dr Haron Din (gambar).

Dr Haron yang merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS ketika dihubungi TVSelangor berkata, polemik itu perlu hentikan segera kerana ia ditakuti boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Ujar beliau definisi kafir harbi itu merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh umat Islam.

Beliau juga mengingati agar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan kenyataan dan melabelkan sesuatu golongan itu agar berhati-hati serta berdasarkan hujah yang kukuh dalam menyampaikan pandangan.

“Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar.

“Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tidak perlu mengisytiharkan haram kepada umat Islam untuk menyokong DAP kerana ia hanya berkaitan perbezaan pandangan dalam politik.

Katanya, ia hanya persoalan politik dan bukan berkaitan soal apa yang boleh atau tidak seperti dalam bidang kesalahan jenayah.

Sebelum ini, kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah, dipetik Utusan Malaysia menyatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Harakah Daily

Fitnah maha dahsyat blogger Umno Kedah

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mereka menyiarkan foto-foto lucah yang entah dikutip dari mana bagi membohongi umat manusia bahawa itu program yang dibenarkan oleh kerajaan PAS Kedah.

Menurut blog http://kedahla.blogspot.com, walhal itu adalah sebesar-besar fitnah dan pembohongan yang diulang-ulang saban waktu.

Berikut adalah petikan ulasan daripada blog tersebut yang ditulis oleh Tok Senapi.

Apakah mereka sudah tidak sabar menunggu 'rakan-rakan mereka' yang sedang dirantai dibebaskan menjelang akhir Ramadhan? Maka mereka mengambil alih kerja jahat iblis syaitan untuk terus menyesatkan manusia dengan fitnah yang maha dahsyat ini?

Mereka menyiarkan foto-foto lucah yang entah dikutip dari mana bagi membohongi umat manusia bahawa itu program yang dibenarkan oleh kerajaan PAS Kedah, walhal itu adalah sebesar-besar fitnah dan pembohongan yang diulang-ulang saban waktu.

Mereka sangat percaya dengan falsafah Goeble Menteri Propaganda Hitler yang berkata, "Pembohongan yang diulang-ulang akhirnya akan dipercayai orang." Mereka langsung tidak takut azab Allah terhadap pemfitnah, pembohong, penipu dan penyesat umat manusia.

Mereka menyiarkan foto-foto lucah tanpa memikirkan kesannya terhadap akhlak masyarakat yang melihat foto-foto seperti itu.

Dalam kamus hidup mereka tiada halal, haram, dosa, pahala, mereka akan buat apa sahaja kejahatan asal dapat memuaskan kehendak juhalak nafsu para pemimpin atasan mereka yang memberi sedikit upah kepada mereka?

Kepada umat manusia yang membaca pendedahan perihal fitnah jahat blogger UMNO ini fikirkanlah... adakah golongan terkutuk macam UMNO ini layak kita sokong??? Waliyazubillahiminzalikk...

Harakah Daily

Selangor cadang kempen pandu selamat berpanjangan

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan agar satu kempen berpanjangan diadakan untuk menyemai budaya memandu selamat secara mendalam di kalangan pemandu negara ini.

Ia bertujuan untuk mempastikan jalan raya di negara ini selamat diguna oleh semua penggunannya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Aidil Fitri di Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie pagi ini.

Sempena kempen ini, beliau telah mengedarkan kit balik kampung kepada semua pemandu yang mengandungi risalah keselamatan, penerangan tentang kerajaan negeri Selangor, buah kurma dan juga air mineral.

Kit ini akan diedarkan secara besar-besaran mulai hari ini kepada semua rakyat Selangor yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Ia akan diedarkan di stesen-stesen bas, keretapi, plaza tol dan lain-lain tempat orang ramai berkumpul dan dalam perjalanan ke kampung masing-masing.

Dalam program pagi ini, Khalis sempat berinteraksi dengan pengguna kenderaan yang melalui tol berkenaan.

Tujuannya hanya satu, mahu mereka memandu dengan selamat semoga dapat berjumpa lagi selepas hari raya nanti.

Harakah Daily

Hudud: DAP Menentang, Umno Menolaknya

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pendahuluan: Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.
Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram. Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan.Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya.Kemudian dikoyak rabak merosakkannya.Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam diantaranya hukum Hudud.Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk berbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat.Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120 :

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, diantaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan.Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah.Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi:

Maksudnya: Orang-orang A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam

Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :

Maksudnya: Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar ditanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya.Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza.Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab diatas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.
Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini.Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad.PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud.Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud.Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO.Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini.Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA dibawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum.Dengan jasa baik YBM Tengku Razaliegh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama.Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab.Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti.Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan dibawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO. Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan.Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah dibawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS?
Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.
Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !
Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.


PRESIDEN PAS

Harakah Daily

Sidang khas OIC diharap dapat atasi isu umat Islam

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan Sidang Kemuncak Luar Biasa ke-4 Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu-isu dan tuntutan umat Islam di dunia.

Persidangan kemuncak luar biasa itu akan diadakan pada 14 dan 15 Ogos ini di Kota suci Mekah dan kali terakhir berlangsung adalah pada tahun 2005.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang ditemui di mahkamah pagi tadi berkata sudah sampai masanya pemimpin di dalam OIC mengambil satu langkah yang betul-betul tegas dalam menangani isu kaum Rohingya agar kekejaman tidak terus berlaku.

"OIC perlu mengambil satu keputusan dan tindakan yang tegas dalam soal kekejaman terhadap umat Islam terutamanya dalam konfilk kaum Rohingya agar ia dapat diatasi segera.

"Namun melihat kepada apa yang berlaku sebelum ini keputusan-keputusan yang dibuat oleh OIC tidak begitu efektif dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi," katanya.

Tambahnya lagi, sempena bulan Ramadhan dan persidangan pula diadakan di Kota Suci Mekah maka ketegasan dalam menyelesaikan konflik kekejaman terhadap umat Islam perlu disegerakan serta menjadi keutamaan.

Mustafa juga berharap OIC bukan sahaja mengambil ketegasan terhadap konflik Rohingya agar dapat diselesaikan malah isu-isu lain berkaitan umat Islam juga ditangani dengan lebih baik.

Jelasnya lagi, kerajaan Malaysia sudah menyatakan pendirian berhubung kaum Rohingya yang masih teragak-agak untuk bertindak serta tidak bersungguh-sungguh dalam mencari jalan penyelesaian itu.

"Kita berharap OIC akan menjadi satu badan yang efektif dan terus dihormati.

"Sebagai mewakili Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus menyatakan pendirian selaras dengan apa yang diputuskan oleh OIC berhubung kekejaman terhadap kaum Rohingya," sambungnya.

Difahamkan ketua-ketua negara yang dijangka hadir ialah dari Bahrain, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Yemen, Libya, Mesir, Turki, Lebanon, Senegal dan Brunei.

Harakah Daily

Parlimen bubar jika PAS, DAP berpecah

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Parlimen dibubar jika PAS, DAP berpecah, inilah yang ditunggu. Nampaknya skrip yang dimainkan oleh media Umno terutama Utusan dan RTM tidak menjadi,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Sepatutnya, kata beliau Pilihan raya Umum ke-13 sudah berlangsung tahun 2011 tetapi suasana tidak mengizinkan kerana tidak menyebelahi pihak BN.

Beliau menegaskan, hubungan PAS dan DAP semakin kukuh walaupun diasak, kerana kebijaksanaan pimpinan Pakatan Rakyat yang bijak menyelesaikan di meja perundingan.

Justeru, ujarnya BN sedar jika gagal memecahkan perpaduan kedua parti itu, maka mimpi buruk akan menjadi kenyataan yang mana kerajaan Pusat akan tumbang pada PRU13.

Katanya, Umno amat memerlukan kepada sokongan orang bukan Islam kerana undi Melayu sudah tidak lagi menjadi penyelamat kepada Umno terutama di kalangan generasi muda.

“Mereka inilah yang membawa perubahan politik kepada ibu bapa mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selama ini, kata Idris Umno berjaya mendapat sokongan orang bukan Islam dengan memberi gambaran yang buruk mengenai PAS, tetapi selepas PRU 2008 keadaan sudah berubah.

Katanya lagi, kalau PAS-DAP tidak berpecah, ertinya gelap masa depan Umno untuk mendapat sokongan orang bukan Islam.

Terbaru, ujar beliau kenyatan Ustaz Abdullah Sa’amah Pondok Geting Tumpat yang mengatakan haram undi DAP, kerana ia kafir harbi.

“Kenyataan ini tidak lebih daripada untuk memulih tenaga zahir dan batin Umno yang semakin lemah,” katanya lagi.

Malangnya, ujarv Idris kenyataan itu telah memakan Umno dan MCA.

Katanya, rakyat mula melihat kembali kenyataan pemimpin Umno yang menolak dan menghina hukum Islam secara berfakta.

Menurutnya, penghinaan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang biadab kepada Islam dan menghina wakil rakyat Datuk Ayub sebagai hilang akal.

Beliau menambah, MCA juga yang banyak menghina dan memperelkehkan Umno dalam isu hudud.

“Sekarang rakyat menilai balik, siapa sebenaranya bahaya kepada Islam. Pemimpin Umno sudah hilang jantan apabila diperlakukan oleh MCA,” ujarnya.

Jelasnya, hampir lima tahun DAP menguasai Pulau Pinang tetapi tidak ada satu pun masjid, surau dirobohkan dan ustaz ditangkap.

Tambahnya, tetapi perkara ini berlaku di negeri Selangor sewaktu Umno memerintah.

Katanya, rakyat masih segar dalam ingatan yang mana Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Surau al-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam, surau di Puchong Perdana ditutup.

“Surau di Kampung Berembang Ampang diroboh, Masjid Bujal di Kemaman diruntuh. Apakah hukum sokong parti yang khianat rumah Allah? kata beliau.

Justeru, katanya tidak ada apa yang rugi kepada PAS dan Islam kerana bertahaluf dengan DAP.

“Yang rugi ialah Umno dan sekutunya kerana tidak lagi boleh bermaharajalela mengkhianat rakyat dan menghina Islam apabila mereka hilang kuasa,” ujarnya.

Harakah Daily

Dokumen saman Syabas siap selepas Aidilfitri

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) tetap akan meneruskan tindakan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas) yang sehingga kini masih belum memberikan jawapan berhubung 7 persoalan yang dikemukakan sebelum ini.

Pengerusinya, Charles Santiago (gambar) berkata, tindakan saman ini tetap diteruskan meskipun Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan laluan kepada Kerajaan Negeri untuk melakukan penstrukturan semula air kerana sebelum ini Syabas mendakwa ‘berlakunya krisis air’ di Selangor.

“Sepatutnya Rabu ini (15 Ogos) kami akan mengemukakan tuntutan saman. Tapi pihak peguam memaklumkan beliau masih lagi dalam proses menyediakan dokumen. Kita akan failkan selepas Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sebelum ini, CAWP bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar memorandum kepada Syabas bagi menjawab tujuh persoalan berhubung krisis air yang didakwa berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama dan bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas.

Persoalan lain yang dikemukan dalam memorandum berkenaan adalah buku log dan meter tentukur yang disahkan, bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

Harakah Daily

Pemuda PAS kumpul RM50,000 dari profesional muda

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Sejumlah RM50,000 berjaya disumbangkan oleh para profesional muda PAS yang berhimpun dan mengikuti program ‘Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya’ Sabtu lepas.

Program yang bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam itu berjaya menghimpunkan 600 orang profesional muda.

Di samping lebih 500 peserta di kalangan muslimin dan muslimat yang hadir berhimpun di Shah Alam, program penuh bersejarah ini turut diikuti oleh hampir 100 peserta di luar negara, Sabah dan Sarawak secara ‘live video-conferencing’.

Antaranya dari Dublin, Manchester, Lancaster, Dubai, Miri, Bintulu, dan Kota Kinabalu, di samping saluran ‘live audio- streaming’ yang diikuti secara langsung di lebih 50 lokasi serata dunia.

Bertemakan agenda “Maknakan Kemenangan”, program ini dilihat amat bertepatan dengan iklim politik negara semasa yang menatijahkan kesedaran dan kebangkitan rakyat, khususnya kelompok anak muda, yang mengharapkan bentuk bernegara dan bermasyarakat yang lebih baik di Malaysia.

Pemuda PAS melihat PRU-13 bakal menyaksikan pertembungan pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia, tatkala BN mahu merampas kembali majoriti 2/3 di parlimen.

Di samping lanskap politik semasa yang tidak menentu, khususnya peranan pihak media yang rancak memainkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat, pertambahan komposisi pengundi muda yang dianggarkan mencecah 52% jika parlimen dibubarkan pada suku pertama 2013 juga memberikan makna yang besar.

Di dalam ucapan perasmian, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menyeru seluruh profesional muda membina kepakaran demi agenda mengisi kemenangan pasca PRU-13.

Beliau merujuk kejayaan teman-teman profesional muda di kalangan Ikhwanul Muslimin berjaya memastikan peralihan kuasa di bumi Mesir pasca regim Hosni Mubarak berjalan dengan baik mengikut acuan Islam.

Ustaz Nasrudin Hassan turut mengingatkan profesional muda yang hadir bahawa PRU-13 ini bakal menjadi medan pertembungan polisi oleh setiap parti politik yang bertanding untuk mengemukakan gagasan dasar dan program yang mampu menarik sokongan pengundi.

Ia memberikan fokus kepada memperbaiki masalah sosio-ekonomi rakyat bawahan di samping kebimbangan terhadap dayatahan ekonomi negara yang menanggung beban hutang yang kian meningkat, hasil daripada pemborosan dan salah urus tadbir kewangan oleh pemimpin negara.
Justeru, golongan profesional muda perlu mempersiapkan diri dalam menggalas agenda penting ini, kata Nasrudin.

Beliau menambah, agenda pembaharuan ini, yang boleh dibahagikan kepada aspek penambahbaikan (corrective) dan penyusunan-semula (restructuring), sudah pasti menuntut kepada komitmen dan kepakaran dari semua peringkat penggubal dasar dan pelaksana polisi, khususnya di kalangan profesional muda.

Beliau turut melahirkan rasa bangga di atas penganjuran program ini, dan dengan penuh yakin menzahirkan bahawa Pemuda PAS dan Ameerah bersedia melahirkan generasi muda yang terbaik.

Berdasarkan sambutan yang di luar jangka, Pemuda PAS sudah mengatur tindakan selanjutnya hasil daripada Xpresi ini, antaranya mengemaskini kumpulan pakar (expert group) di kalangan profesional muda.

Ia bakal dibuat secara lebih sistematik, penyaluran kepakaran profesional muda untuk Pimpinan dan Ahli Parlimen PAS, serta penganjuran diskusi serta wacana polisi dalam agenda mempersiapkan anak muda mengisi dan memakna kemenangan di Putrajaya, insyaAllah.

Ekoran kejayaan mereka menyumbangkan RM500,000 untuk PAS, ia dilihat sebagai manifestasi kebersamaan profesional muda dalam menjayakan misi PAS dan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya, seterusnya sebagai simbol kebersamaan profesional muda dalam agenda Membangun Negara Berkebajikan kelak.

Rata-rata peserta yang ditemui teruja dan berpuasa hati dengan mutu penganjuran dan pengisian Xpresi Profesional Muda ini.

Saudara Ir Nazim Khir yang merupakan jurutera bertauliah berkata, “Walaupun pendirian politik kami tidak dapat dizahirkan atas faktor amalan demokrasi yang tidak sihat di Malaysia, namun ia tidak pernah melunturkan semangat dan tekad kami untuk memberi sumbangan berdasarkan kepakaran masing-masing dalam agenda membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.”

Pandangan beliau turut disokong Dr Ghazali Abdullah yang merupakan seorang pakar perubatan yang menyebut, “Program ini berjaya memberi peluang kepada profesional muda yang berjiwa besar berinteraksi secara ‘menegak’ (vertikal ) untuk meluahkan pandangan, idea dan kritikan terhadap pimpinan pemuda dan pusat, di samping ruang interaksi ‘mendatar’ (horizontal) untuk kami profesional muda ini, saling berkenalan membina jaringan (networking) dari profesion yang pelbagai.”

Di akhir Xpresi tersebut, para profesional muda melafazkan ikrar sokongan demi menjayakan misi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU13, seterusnya berjanji untuk berperanan aktif dalam usaha mengisi dan memakna kemenangan, selaras dengan agenda membangun Negara Berkebajikan.


Tokoh-tokoh

Bersempena program ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia berbesar hati mengiktiraf sumbangan dan jasa tokoh-tokoh profesional tanahair di atas kepakaran dalam profesion yang diceburi di samping menghargai jasa dan bakti besar yang ditabur terhadap agama dan negara.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tn Hj Mohamad Sabu. Anugerah – anugerah tersebut adalah:

Anugerah Tokoh Profesional Muda - dianugerahkan kepada Dr Sufyan Hassan bagi menghargai kepakaran dan jasa beliau dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan gagasan polisi negara;

Anugerah Tokoh Profesional Harapan - dianugerahkan kepada Dr Syed Khalid yang telah menempa nama dalam bidang perubatan dan sukarelawan, dalam dan luar negara.

Anugerah Tokoh Profesional Antarabangsa - dianugerahkan kepada Ir Jufri Bade di atas kejayaan beliau menempa kepakaran di bumi Eropah dan peranan beliau dalam membina komuniti rakyat Malaysia di Eropah.

Anugerah Tokoh Profesional Terbilang – dianugerahkan kepada Almarhum Tan Sri Professor Ameritus Ahmad Ibrahim di atas sumbangan besar beliau yang terpahat dalam sejarah perundangan dan dasar pentadbiran negara, di samping jasa beliau dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan yang tiada tandingan.

Anugerah Tokoh Profesional Tarbiah – dianugerahkan kepada Almarhum Tuan Guru Datuk Yahya Othman di atas usaha gigih dan jasa beliau yang amat besar dalam mendidik, mengasuh dan mentarbiah generasi dai’e yang bertebaran di Malaysia dan seluruh dunia

Di dalam ucapan penutup, Haji Mohamad Sabu menyeru para profesional muda, mempersiapkan diri dengan ilmu dan kepakaran dalam menjayakan misi mencapai kemenangan dalam PRU13 dan seterusnya memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha mengisi kemenangan mengikut acuan Negara Berkebajikan.

Beliau turut memuji Pemuda PAS di atas penganjuran program yang sangat baik ini, dan melahirkan keyakinan beliau bahwa PAS mempunyai masa depan yang sangat cerah, hasil dokongan generasi muda yang punyai idealism, kepakaran dan tekad untuk membangun Negara Berkebajikan.

Harakah Daily

Hudud: PAS tetap minta Majlis Fatwa bersidang

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Majlis Fatwa tidak akan membuat teguran kepada Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah yang membuat kenyataan bahawa mengundi DAP adalah haram kerana DAP menolak hukum Hudud adalah fatwa yang betul dengan pandangan syarak, bakal mengundang pelbagai persoalan lain, kerana bukan hanya DAP yang menolak hudud bahkan secara jelas UMNO juga menolak hukum hudud, sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 September 2011 (rujuk http://www.malaysiakini.com/news/176760). Ini bermakna rakyat juga diingatkan bahawa haram mengundi UMNO kerana menolak hukum Allah.

Bahkan bagi PAS dan umat Islam Malaysia, penolakan Umno sebenarnya jauh lebih besar kesalahan kerana mereka mempunyai kuasa pemerintahan bagi melaksanakan hukum tersebut, berbanding DAP yang menolak dalam keadaan tiada sebarang mandat untuk melaksanakannya.

Media pro UMNO sering cuba menghinakan di minda orang Melayu hubungan antara PAS dan DAP. Walhal hubungan UMNO-MCA adalah jauh lebih teruk – dengan presidennya yang pernah terpalit dengan masalah moral, mempertikai hukum bersalam lelaki perempuan bukan mahram, membuat komen buruk terhadap negara Islam dan pernah menghina hukum hudud sebegitu rupa sehingga melabel ianya sebagai penyebab negara mundur dan menyaman kerajaan negeri Kelantan untuk membanteras judi.

Bahkan, MCA memberi amaran kepada rakan sebarisannya Umno bahawa MCA akan menarik diri dari BN seandainya Umno berhasrat melaksanakan hukum hudud. Amaran tersebut disertai dengan anggapan bahawa ADUN Kemelah yang mencadangkan cadangan tersebut sebagai tidak berakal. Umno terus senyap, sedangkan sebelumnya pelbagai kenyataan sokongan kepada cadangan tersebut dikeluarkan.

Mengapa pula Umno tidak menarik diri daripada BN sebagaimana Umno sering menyuruh PAS untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat?

Sebelum PAS membuat hubungan tahaluf silasi dengan DAP, Umno sendiri, yang kononnya memperjuangkan Islam pernah membawa kes ke mahkamah untuk halang Hudud di Kelantan.

Berlatar-belakangkan itu, bilamana Mufti Perak menyatakan haram menyokong DAP kerana menolak hudud, maka rakyat mulai bertanya apakah pula hukum memberi undi pada Umno? Jika logik dan pembaris yang sama digunakan, maka tentulah juga haram dan berdosa.

Perdirian PAS dalam hal ini sungguh jelas bahawa sebagai umat Islam, kita wajib menerima dan berusaha agar hukum Allah dapat ditegakkan, kerana selagi ianya tidak tertegak, selama itulah umat Islam menanggung dosa.

PAS meminta Majlis Fatwa melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah Sammah ini secara menyeluruh, bukan hanya setakat isu mengundi. Ia termasuklah kenyataan beliau bahawa DAP adalah kafir harbi, manakala MCA, MIC sebagai kafir zimmi.

Kerana mengkategorikan kafir harbi mempunyai implikasi yang besar dari sudut syarak. Ia melibatkan pelbagai muamalah antara umat Islam dengan golongan tersebut, termasuklah haram bermuamalah, berurus niaga, bahkan boleh memerangi mereka. Ini perlukan penjelasan dan kenyataan segera dari Majlis Fatwa, sebelum sesuatu yang buruk berlaku di atas kejahilan rakyat.

Apa yang mendukacitakan ialah kegagalan Harussani melihat dan memahami secara dekat alasan DAP yang menolak hudud. Penolakannya atas alasan bercanggah dengan perlembagaan negara. Bukan atas faktor lain.

Maka faktor ini perlu diperbetulkan dengan prinsip Islam. Kerana faktor penolakan seseorang terhadap bukan hudud juga mempengaruhi hukuman. Kerana itu, Allah mengkategorikan golongan yang menolak ini sebagai fasiq, zalim dan kafir. Kalau yang menolak itu bukan Islam, apakah kategori mereka? Tentulah ianya diluar konteks ayat, kerana memang mereka tidak beriman dengan wahyu Allah.

Persoalan utama ialah bagaimana pula orang Islam yang menolak hukum Allah? Bagaimana kalau mereka rakyat biasa, yang jahil, yang mempunyai kuasa, yang alim tetapi degil, dan yang anti kepada hukum Allah? Tentulah hukum antara mereka gidak sama.

PAS tetap menuntut Majlis Fatwa segera bersidang bagi mengkaji keseluruhan kenyataan dari Abdullah Samaah yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia itu. Sebenarnya masih banyak kenyataan beliau yang jelas memperlekeh Rasulullah dalam bentuk senda gurau, sinis, dan melampau yang boleh dilihat dalam pelbagai blog.

Majlis Fatwa haruslah menggunakan pembaris yang sama untuk menilai semua isu secara objektif. Haram sama sekali untuk menggunakan pembaris yang tidak sama untuk Umno dan pihak yang lain.

Tiada yang pelik untuk DAP dan sebilangan rakyat bukan Islam menolak hukum Hudud setelah Umno-BN sendiri merosakkan imej Islam untuk 5 dekad lamanya. Penolakan hukum hudud oleh DAP sering diperbesarkan di media pro-BN, manakala penolakan MCA dan Umno disorokkan semata-mata adalah untuk menyerang PAS, yang Umno tahu lawan terbesarnya di medan politik pada PRU-13.

DAP menang, Umno tak semestinya tumbang. PAS menang, maka sudah pasti Umno akan tumbang bersama BN. MCA tidak boleh diselamatkan lagi maka Umno mengambil keputusan demi survival politik untuk merenggangkan lagi hubungan antara kaum untuk menjaga undi Melayu-Islam dalam taktik politik terbarunya.

Umat Islam diharap dalam membuka mata jelas dalam isu ini – munafik dan hipokrit sebenarnya adalah ancaman terbesar kepada Islam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
13 Ogos 2012

Harakah Daily

Hudud: Mengapa tidak tegur Abdullah Saamah?

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa bersidang dan bukannya berdasarkan kenyataan peribadi satu dua mufti dan tidak membuat teguran kepada Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah yang membuat kenyataan bahawa mengundi DAP adalah haram kerana menolak pelaksanaan hukum Hudud.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata ini kerana Umno dan MCA juga jelas menolak hukum hudud sebagaimana yang disebut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 September 2011 yang lalu.

Katanya, PAS tetap menuntut Majlis Fatwa segera bersidang bagi mengkaji keseluruhan kenyataan dari Abdullah Samaah yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia minggu lepas.

“Sebenarnya masih banyak kenyataan beliau yang jelas memperlekeh Rasulullah dalam bentuk senda gurau, sinis, dan melampau yang boleh dilihat dalam pelbagai blog.

"Majlis Fatwa haruslah menggunakan pembaris yang sama untuk menilai semua isu secara objektif. Haram sama sekali untuk menggunakan pembaris yang tidak sama untuk Umno dan pihak yang lain,” tegas beliau.

Dari sudut penolakan hukum Hudud, Tuan Ibrahim berkata penolakan Umno sebenarnya jauh lebih besar kesalahan kerana mereka mempunyai kuasa pemerintahan bagi melaksanakan hukum tersebut, berbanding DAP yang menolak dalam keadaan tiada sebarang mandat untuk melaksanakannya.

Apa yang mendukacitakan, tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu ialah kegagalan Harussani melihat dan memahami secara dekat alasan DAP yang menolak hudud atas alasan bercanggah dengan perlembagaan negara dan bukan atas faktor lain.

“Maka faktor ini perlu diperbetulkan dengan prinsip Islam. Kerana faktor penolakan seseorang terhadap bukan hudud juga mempengaruhi hukuman. Kerana itu, Allah mengkategorikan golongan yang menolak ini sebagai fasiq, zalim dan kafir.

"Kalau yang menolak itu bukan Islam, apakah kategori mereka? Tentulah ianya diluar konteks ayat, kerana memang mereka tidak beriman dengan wahyu Allah,” tegas beliau.

Persoalan utama ialah bagaimana pula orang Islam yang menolak hukum Allah? Bagaimana kalau mereka rakyat biasa, yang jahil, yang mempunyai kuasa, yang alim tetapi degil, dan yang anti kepada hukum Allah? Tentulah hukum antara mereka gidak sama, tegasnya.

Kata Tuan Ibrahim, tiada yang perlu dipelikkan untuk DAP dan sebilangan rakyat bukan Islam menolak hukum Hudud setelah Umno-BN sendiri merosakkan imej Islam untuk 5 dekad lamanya.

Akan tetapi, penolakan hukum Hudud oleh DAP sering diperbesarkan di media pro-BN, manakala penolakan MCA dan Umno disorokkan, kata beliau adalah semata-mata untuk menyerang PAS, yang Umno tahu lawan terbesarnya di medan politik pada PRU-13.

“DAP menang, Umno tak semestinya tumbang. PAS menang, maka sudah pasti Umno akan tumbang bersama BN. MCA tidak boleh diselamatkan lagi maka Umno mengambil keputusan demi survival politik untuk meregangkan lagi hubungan antara kaum untuk menjaga undi Melayu-Islam dalam taktik politik terbarunya.

"Umat Islam diharap dalam membuka mata jelas dalam isu ini – munafik dan hipokrit sebenarnya adalah ancaman terbesar kepada Islam,” tegas beliau.

Harakah Daily

Nik Aziz: Jika kibar Jalur Gemilang, bendera Pas juga perlu

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas tidak akan mengendurkan semangat berpolitik walaupun negara akan menyambut Bulan Kemerdekaan bulan depan.

Mengakui bahawa sambutan kemerdekaan penting, Nik Aziz berkata, politik tetap akan menentukan pemerintahan dan hala tuju sesebuah negara.

“Kita tidak boleh melupakan ‘bendera parti’ walaupun Kempen Kibar Jalur Gemilang diadakan. Kalau tidak ada parti, maka negara atau negeri tidak dapat diperintah.

“Zaman dahulu, zaman tidak ada parti politik. Justeru negara atau negeri pada masa itu diperintah oleh raja-raja. Tetapi sekarang ada parti politik, maka di samping Jalur Gemilang, bendera parti perlu ada,” katanya.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang membaca perutusan kemerdekaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

sinar harian/-

250 maut gempa bumi di Iran

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SEBAHAGIAN orang melakukan kerja-kerja mencari mangsa gempa bumi di Kampung Baje-Baj dekat bandar Varzaghan semalam.

DUBAI - Beberapa buah hospital di barat laut Iran semalam menerima limpahan ribuan mangsa gempa bumi yang berlaku di sekitar bandar Tabriz kelmarin dengan mengakibatkan 250 orang terbunuh.

Ribuan penduduk lagi membuat khemah dan tidur di jalanan selepas gegaran gempa bumi berlaku.

Menurut beberapa pegawai, angka kecederaan dan kematian mungkin meningkat dengan ratusan mangsa masih terperangkap di celah runtuhan.

Anggota-anggota penyelamat berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan dalam kejadian gempa bumi yang berlaku pada bulan Ramadan.

"Saya melihat sejumlah orang yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan semua ternakan mereka turut mati," kata seorang jurugambar tempatan, Tahir Sadati menerusi telefon kepada agensi berita Reuters.

Menurutnya, dia melihat beberapa buah kampung mengalami kemusnahan teruk.

"Suatu perkara yang baik ialah gempa bumi itu berlaku ketika ramai orang tidak berada di dalam rumah.

"Jika ia berlaku pada waktu malam, angka kematian akan menjadi lebih buruk," katanya.

Kawasan yang teruk dilanda kemusnahan terletak di kampung-kampung luar bandar yang mengelilingi bandar Ahar, Varzaghan dan Harees dekat bandar utama Tabriz, menurut laporan media Iran.

Kebanyakan kampung sukar untuk dilalui menerusi jalan sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat.

Beberapa hospital di Tabriz, Ardabil dan bandar-bandar lain mempunyai ramai mangsa yang cedera.

Terdapat barisan pesakit yang panjang menunggu untuk dirawat.

Menurut seorang penduduk, dia pergi mendermakan darah di sebuah hospital kelmarin dan melihat kakitangan hospital terlalu sibuk untuk merawat pesakit yang ramai.

Kebanyakan pesakit dihantar oleh keluarga mereka sekali gus menunjukkan kekurangan ambulans.

"Orang ramai takut dan tidak mahu kembali ke rumah mereka kerana bimbang bangunan (tempat tinggal mereka) tidak selamat," kata seorang penduduk.

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa bumi pertama berlaku pada kekuatan 6.4 magnitud.

Ia berlaku 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz.

Gempa bumi kedua berukuran 6.3 magnitud dan berlaku 11 minit kemudian dekat Varzaghan, 49 kilometer ke timur laut Tabriz.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Hassan Ghadami, sebanyak 110 buah kampung mengalami kerosakan.

Jurucakap Pertubuhan Palang Merah, Hossein Derakhshan memberitahu agensi berita Fars, lebih 2,000 orang dipercayai cedera.

Seorang pegawai Pertubuhan Palang Merah, Mahmoud Mozafar memberitahu agensi berita Mehr, kira-kira 16,000 orang telah diberi bantuan kecemasan.

Seorang wakil rakyat, Mohammad Hassan-Nejad berkata, jika bantuan tidak dipertingkatkan, angka kematian akan meningkat.

Bekalan air, elektrik dan telefon di Varzaghan terputus sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat, lapor Press TV.

Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Zeinab di Kampung Mirza Ali Kandi memberitahu agensi berita AFP, dia melihat adiknya berumur lapan tahun dan kakaknya mati di depan matanya.

"Saya berada di luar rumah untuk bermain apabila ia (gempa bumi pertama berlaku.

"Saya berlari ke luar melihat adik saya dan mendapati dia berada di bawah runtuhan. Saya cuba untuk menariknya keluar. Kemudian saya mendengar kakak saya menangis dan apabila saya menoleh, batu besar berada di atas kepalanya. Saya kemudian berlari," katanya sambil menangis.

- Agensi

Jangan caci hudud, kata Nik Aziz

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta mana-mana pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan negara Islam termasuk hukum hudud supaya tidak mengeluarkan perkataan ‘cacian’.

Nik Aziz bagaimanapun berkata, beliau boleh menerima tindakan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menentang pelaksanaan hudud kerana ia secara tidak langsung memberi kefahaman kepada orang ramai khususnya masyarakat bukan Islam.

“Saya setuju, biar (Karpal) bising, dari bising itulah orang akan faham, tetapi jangan sampai mencaci,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kenyataan Karpal yang berterusan mempersoalkan pemimpin Pas yang mahu melaksanakan hudud di negara ini dengan alasan ia tidak termaktub dalam perlembagaan negara.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pelaksanaan hukuman hudud memberi kesan langsung kepada masyarakat berbanding pelaksanaan hukuman yang dipraktikkan sekarang.

“Mengikut undang-undang sekarang, jika kes dadah, pesalah dikenakan hukuman gantung sampai mati tetapi jika hudud mereka dikenakan potong tangan.

“Jika gantung mereka hanya dibawa ke kubur tetapi jika potong tangan seluruh manusia akan mengambil pengajaran dan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan diri,” katanya.

Ditanya, tindakan Karpal menjejaskan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Nik Aziz berkata, orang ramai harus memikirkan siapa yang menolak sebenarnya menolak hukuman hudud.

“ Jika kita tidak undi DAP kerana tolak hudud, macam mana dengan Umno yang juga menolak pelaksanaan hukuman itu,” katanya.

sinar harian/-

Arab Saudi sumbang AS$50 juta

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH penduduk Muslim di Jakarta, Indonesia semalam memegang kain pemidang bagi mendesak keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.

RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah (gambar kecil) mengarahkan bantuan sebanyak AS$50 juta (RM155.79 juta) dihantar kepada etnik Rohingya di Myanmar.

Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, penduduk Muslim itu menjadi sasaran serangan pembunuhan, rogol, perpindahan secara paksa dan pembersihan etnik.

"Raja Abdullah telah mengarahkan bahawa bantuan berjumlah AS$50 juta akan diperuntukan kepada warga Muslim Rohingya di Myanmar," menurut satu laporan yang disiarkan media Arab Saudi semalam.

Bagaimanapun, media itu tidak menyatakan pihak yang melakukan penderaan ke atas etnik Rohingya.

Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch menyatakan pada 1 Ogos lalu bahawa etnik Rohingya ditangkap beramai-ramai, dibunuh dan dirogol anggota-anggota pihak berkuasa.

Terdapat 800,000 etnik Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai penduduk di Myanmar.

Pada minggu lalu, Kabinet Arab Saudi mengutuk keganasan terhadap penduduk Muslim di Myanmar.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 31 Julai lalu di Jeddah, Arab Saudi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak anggota-anggotanya menghantar bantuan kepada etnik Rohingya.

Keganasan di Rohingya bermula pada Jun lalu setelah beberapa orang daripada etnik itu dituduh merogol seorang wanita etnik Rakhine yang beragama Buddha.

Kumpulan etnik Rakhine kemudian menyerang penduduk Rohingya sehingga menyebabkan sebahagian mereka melarikan diri ke Bangladesh.

- Agensi

Potong tembikai dengan daun terup

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TONGXIN berlatih dua jam setiap malam.
SHANGHAI: James Bond mampu melakukan pelbagai perkara aneh, termasuk memotong konkrit dengan topi kelulinya.

Dia bagaimanapun pasti tertarik dengan Ye Tongxin yang mampu memotong buah dan sayur dengan daun terup plastik.

KAD yang dilontar Tongxin membelah tembikai.

TONGXIN memotong barisan timun dengan daun terup yang dibalingnya.

Tongxin, 48, warga China, berusaha mencatatkan rekod baru Guinness selaku orang terbaik di dunia untuk melakukannya.

Ia mungkin kelihatan mudah tetapi dia menjalani latihan sejak 10 tahun lalu untuk melakukannya.

Pengurus bas sekolah di Nanjing di wilayah Jiangsu, timur China itu, berlatih dua jam setiap malam, membaling kad sepantas sebuah kereta api laju.

Timun atau labu mungkin kelihatan mudah untuk dipotong kerana kulitnya yang rapuh.

Tetapi tidak seperti ninja lain yang mahir dalam membaling kad, Tongxin berupaya memotong epal dan tembikai dengan begitu mudah.

Dia menggunakan bingkai setinggi dua meter untuk menggantung beg berbentuk timun untuk berlatih membaling dan meningkatkan kemahirannya.

Menurut Tongxin, kad yang dibalingnya bergerak selaju 50 meter dalam setengah saat. Ini bermakna, kad itu terbang dari tangannya selaju 360 kilometer sejam.

Persembahan terbaiknya ialah memotong sebaris 12 timun dalam masa 47.2 saat.
Bagaimanapun, matlamat Tongxin ialah memotong 18 timun kurang daripada seminit bagi mencipta rekod baru dunia. - DM

Polis tumpaskan 'Geng Tarawih' curi motosikal

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TUMPAT: Polis menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai 'Geng Tarawih' berikutan tertangkapnya lima lelaki yang disyaki mencuri motosikal ketika pemiliknya menunaikan solat Tarawih sejak awal Ramadan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata, pihaknya mengesan lima kes kecurian motosikal di beberapa masjid sekitar Wakaf Baharu, dua di Masjid Pak Kerau dan satu di Masjid Pengkalan Kubur.

"Kesemua kejadian itu berlaku semasa jemaah masjid sedang mengerjakan solat Tarawih, dan melibatkan kerugian kira-kira RM24,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Beliau berkata semua suspek, termasuk seorang pelajar, berusia lingkungan 17 dan 26 tahun, ditahan dalam beberapa serbuan di Wakaf Baharu, Wakaf Che Yeh serta Pengkalan Chepa.

"Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas enam motosikal disyaki dicuri di daerah Tumpat, tetapi kebanyakkan komponen kenderaan itu telah dileraikan," katanya.


Lai juga berkata polis menjumpai satu set kunci Allen yang diguna untuk merosakkan suis utama motosikal sebelum melarikan kenderaan itu.

"Dengan menggunakan alat itu, penjenayah mudah menghidupkan enjin selepas hendalnya disentap kuat sebelum menyambung ke suis utama," katanya.

Beliau percaya suspek menjual komponen motosikal kepada rakan mereka yang merupakan anggota rangkaian sindiket itu di seluruh negeri ini.

Sehubungan itu, pemilik motosikal dinasihat menggunakan kunci tambahan selain memakir kenderaan mereka di kawasan terang bagi mengelak kecurian.

Selain itu, Lai mengingatkan ibu bapa agar mengawasi serta memberi perhatian terhadap anak mereka yang menyimpan komponen motosikal yang dilerai di rumah kerana dikhuatiri barang curi. - Bernama

TRX: Satu lagi projek Najib-BN yang bakal gagal?

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

1. Sejak pengumuman tentang Tun Razak Exchange (TRX) dikitar
semula pelancaran akhir bulan Julai lalu (yang dulu disebut sebagai
KLFID (Kuala Lumpur Interantional Financial Centre), tidak habis-habis
projek mega-mewah ini dipertikaikanoleh pelbagai pihak.

Lebih malang
ialah nama al-Marhum Tun Razak bapanya cuba dijual Najib untuk
menyuntik ‘aura’ dalam projek yang telah mula menunjukkan pelbagai
kelemahan. Asalnya diwawarkan sebagai projek swasta, sama semacam MRT
juga tetapi sekarang jelasnya adalah ditaggung seluruhnya oleh
kerajaaan (1-MDB) dan hilang sebutan rakan swasta atau ‘partners’nya.

2. Projek yang kononnya akan menjana Nilai Pembangunan Gross atau
GDV sebanyak RM26 bilion ini terpaksa Najib ‘hiaskan’ dengan pelbagai
‘insentif yang sangat lumayan dan mewah kepada bakal pelabur.

Antaranya ialah :

i. 100% pengecualian cukai selama 10 tahun kepada
syarikat yang layak beroperasi

ii. 50% pengecualian cukai pendapatan pemaju hartanah selama 7 tahun

iii. Pengecualian duti stamp penjanjian pembelian dan perkhidmatan.

3. Berapa banyak pendapatan negara akan dikorbankan untuk
menjayakan TRX ini yang tentunya ramai pengamat bidang kewangan
korporat dan hartanah atau ‘analysts’ mudah menyimpulkan bahawa projek
ini sukar penggamit minat yang genuine atau sebenar.

4. Era membina projek-projek mega-mewah ini adalah legasi Tun M
dalam zamannya tetapi jelas dikitar semula oleh Najib. Umum masih
ingat betapa projek yang sepatutnya merupakan inisiatif yang
berteraskan ‘knowledge-pengethaun’ dan diisi dengan kemasukan dan
keterlibatan ‘knowledge worker’ – pekerja berpengetahuan akhirnya akan
menjadi “Projek Real Estate” atau “Projek pembangunan Hartanah”.

5. Najib Umno-BN memang terus mengulangi kesilapan lama.
Persediaan ‘Human Capital’ tidak diberi tumpuan tetapi sibuk dengan
pembangunan ‘batu dan besi’ atau ’brick and mortar’! Rakyat belum lupa
projek mega-mewah MSC, BIO Valley dll.

6. Paling terkini dan juga paling tajam kritikan adalah dari pihak
sektor pemaju pembangunan hartanah dan pembinaan sendiri.

7. TRX ditanggapi mereka sebagai satu yang paling mencabar kepada
pihak pemaju haratanah di Kuala Lumpur justeru dalam suasana ‘glut;
atau ‘lebihan atau Lambakan’ yang telah pun mula dirasai pihak
syarikat-syarikat pemaju ini.

8. Metropolis milik NAZA-TTDI, KL Eco-City milik S P Setia Berhad
dan tidak kurang juga Warisan Merdeka milik Permodalan Nasional Berhad
(PNB) semuanya bercita-cita menyiapkan bangunan mereka dalam
lingkungan 2015 ke 2017. Yang baru siap termasuk Menara Felda di
Platinum Park dan banyak yang lain. Yang sedia ada seperti Menara
Binjai dan Menara Prestij sedang menyaksikan pengurangan penyewa
secara berterusan.

9. Dengan TRX juga dijangkakan akan menyiapkan Fasa Pertamanya
yang dikatakan menelan RM3.5 bilion oleh 1-MDB sebelum 2017,
kehadirannya tentu mengancam pesaing-pesaing yang juga telah memeterai
beberapa perjanjian dengan syarikat-syarikat kewangan.

10. nsentif yang diberikan Najib, tentunya menggugat kedudukan mereka
kerana syarikat-syarikat kewangan ini boleh sahaja merungkaikan
perjanjian untuk memenafaatkan ‘tax holiday’ dan pengecualian duti
stamp yang tentunya berjuta ringgit.

11. Metroplis yang dijangkakan siap pada tahun 2015 akan memuatkan
‘penginapan’ atau residence, ofis tower dan sebuah ‘regional mall’.
Metropolis sahaja menawarkan sejumlah 1 juta kakipersegi GFA atau
Jumlah Lantai pejabat. Warisan Merdeka pula menambah 3 juta muka
persegi, sementara KL-Eco City ( milik SP Setia BHd) menokok 5.55 juta
kaki persegi lagi. Sangat sengit perlumbaan ini.

12. Mengikut kajian dan data dari sebuah pengkaji pasaran hartanah,
Kuala Lumpur menyaksikan penambahan sebanyak 5 hingga 7 juta ruang
pejabat atau GFA setiap tahun. Di samping itu juga bahawa
‘over-development’ ini telah menjadikan harga pasaran tidk mampu
mereka naikkan dan berada pada juat RM7 hingga RM8 kaki persegi.

13. Pasaran Hartanah sangat mempertikaikan hasrat Najib dalam
pembinaan TRX kalau ianya bukan berteraskan kajian yang mendalam
disegi keperluan (Needs Anaysis) dan profiling bakal-bakal tenants.
Untuk TRX mampan atau ‘viable’ ia mesti menggamit 100
syarikat-syarikat multi-nasional khasnya kewangan atau MNCs yang
bersedia beribu-pejabat di TRX Kuala Lumpur. Apakah itu satu cita-cita
yang menasabah dalam suasana ekonomi dunia yang seba muram (Bearish)
dan lembap?

14. TRX tidak boleh disamakan dengan Twin-Towers yang dibina dalam
era pertumbuhan adalah rata-rata 7% setiap tahun. Pengalaman
membuktikan bahawa ketika siap pembinaan Twin-Towers,(1997) ‘occupancy
rate’ atau ‘tahap sewaan’ menjunam dari 90% ke 72% dalam tahun 2001
sebelum stabil kembali kepda 83% selepas tahun 2007.

15. TRX bukan sahaja dipertikaikan keperluannya untuk dilonggokkan di
satu Hub Kewangan, atas sebab sifat ia bukan satu pembangunan hartanah
tetapi industry yang ‘knowledge-based’ dan lebih penting perkhidmatan
dan produknya yang kompetitif dan menarik.Maka boleh sahaja berada
dimana-mana pun dalam dunia yang telah tersedia ‘globally wired and
connected’.

16. Jangan sampai akhirnya kerugiannaya akan mengakibatkan institusi
kewangan menanggung hutang tak berbayar mereka ini seperti dalam
pengalaman krisis kewangan 1997, antaranya sebab sektor pembangunan
hartanah dan pembinaan yang ‘ghairah membina’ sehingga mencetus ‘Glut’
dan Lambakan sehingga berlaku ‘property bubble’ atau belon hartanah.

17. Najib wajar berwaspada dengan nafsu besarnya kerana takut tak
mampu dibawak dek badanya. . Memanglah yang plaing mudah memacu
pertumbuhan adalah dengan ‘BIna, BIna dan Bina’..bukan bina modal
insannya jauh lagi bercakap tentang Quality Modal Insan itu segi
Integriti, KeAmanahan dan Moralnya yang bebas Rasuah, salah guna kuasa
dan sarat dengan Putar-Belit! Malang!

Dr Dzulkefly Ahmad,

Pengarah Eksekutif PusatPenyelidikan PAS.