24 Ramadhan 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan Sidang Kemuncak Luar Biasa ke-4 Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu-isu dan tuntutan umat Islam di dunia.
Persidangan kemuncak luar biasa itu akan diadakan pada 14 dan 15 Ogos ini di Kota suci Mekah dan kali terakhir berlangsung adalah pada tahun 2005.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang ditemui di mahkamah pagi tadi berkata sudah sampai masanya pemimpin di dalam OIC mengambil satu langkah yang betul-betul tegas dalam menangani isu kaum Rohingya agar kekejaman tidak terus berlaku.
"OIC perlu mengambil satu keputusan dan tindakan yang tegas dalam soal kekejaman terhadap umat Islam terutamanya dalam konfilk kaum Rohingya agar ia dapat diatasi segera.
"Namun melihat kepada apa yang berlaku sebelum ini keputusan-keputusan yang dibuat oleh OIC tidak begitu efektif dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi," katanya.
Tambahnya lagi, sempena bulan Ramadhan dan persidangan pula diadakan di Kota Suci Mekah maka ketegasan dalam menyelesaikan konflik kekejaman terhadap umat Islam perlu disegerakan serta menjadi keutamaan.
Mustafa juga berharap OIC bukan sahaja mengambil ketegasan terhadap konflik Rohingya agar dapat diselesaikan malah isu-isu lain berkaitan umat Islam juga ditangani dengan lebih baik.
Jelasnya lagi, kerajaan Malaysia sudah menyatakan pendirian berhubung kaum Rohingya yang masih teragak-agak untuk bertindak serta tidak bersungguh-sungguh dalam mencari jalan penyelesaian itu.
"Kita berharap OIC akan menjadi satu badan yang efektif dan terus dihormati.
"Sebagai mewakili Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus menyatakan pendirian selaras dengan apa yang diputuskan oleh OIC berhubung kekejaman terhadap kaum Rohingya," sambungnya.
Difahamkan ketua-ketua negara yang dijangka hadir ialah dari Bahrain, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Yemen, Libya, Mesir, Turki, Lebanon, Senegal dan Brunei.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan