24 Ramadhan 1433H. [MOD] -
SEBAHAGIAN orang melakukan kerja-kerja mencari mangsa gempa bumi di Kampung Baje-Baj dekat bandar Varzaghan semalam.
DUBAI - Beberapa buah hospital di barat laut Iran semalam menerima limpahan ribuan mangsa gempa bumi yang berlaku di sekitar bandar Tabriz kelmarin dengan mengakibatkan 250 orang terbunuh.
Ribuan penduduk lagi membuat khemah dan tidur di jalanan selepas gegaran gempa bumi berlaku.
Menurut beberapa pegawai, angka kecederaan dan kematian mungkin meningkat dengan ratusan mangsa masih terperangkap di celah runtuhan.
Anggota-anggota penyelamat berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan dalam kejadian gempa bumi yang berlaku pada bulan Ramadan.
"Saya melihat sejumlah orang yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan semua ternakan mereka turut mati," kata seorang jurugambar tempatan, Tahir Sadati menerusi telefon kepada agensi berita Reuters.
Menurutnya, dia melihat beberapa buah kampung mengalami kemusnahan teruk.
"Suatu perkara yang baik ialah gempa bumi itu berlaku ketika ramai orang tidak berada di dalam rumah.
"Jika ia berlaku pada waktu malam, angka kematian akan menjadi lebih buruk," katanya.
Kawasan yang teruk dilanda kemusnahan terletak di kampung-kampung luar bandar yang mengelilingi bandar Ahar, Varzaghan dan Harees dekat bandar utama Tabriz, menurut laporan media Iran.
Kebanyakan kampung sukar untuk dilalui menerusi jalan sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat.
Beberapa hospital di Tabriz, Ardabil dan bandar-bandar lain mempunyai ramai mangsa yang cedera.
Terdapat barisan pesakit yang panjang menunggu untuk dirawat.
Menurut seorang penduduk, dia pergi mendermakan darah di sebuah hospital kelmarin dan melihat kakitangan hospital terlalu sibuk untuk merawat pesakit yang ramai.
Kebanyakan pesakit dihantar oleh keluarga mereka sekali gus menunjukkan kekurangan ambulans.
"Orang ramai takut dan tidak mahu kembali ke rumah mereka kerana bimbang bangunan (tempat tinggal mereka) tidak selamat," kata seorang penduduk.
Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa bumi pertama berlaku pada kekuatan 6.4 magnitud.
Ia berlaku 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz.
Gempa bumi kedua berukuran 6.3 magnitud dan berlaku 11 minit kemudian dekat Varzaghan, 49 kilometer ke timur laut Tabriz.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Hassan Ghadami, sebanyak 110 buah kampung mengalami kerosakan.
Jurucakap Pertubuhan Palang Merah, Hossein Derakhshan memberitahu agensi berita Fars, lebih 2,000 orang dipercayai cedera.
Seorang pegawai Pertubuhan Palang Merah, Mahmoud Mozafar memberitahu agensi berita Mehr, kira-kira 16,000 orang telah diberi bantuan kecemasan.
Seorang wakil rakyat, Mohammad Hassan-Nejad berkata, jika bantuan tidak dipertingkatkan, angka kematian akan meningkat.
Bekalan air, elektrik dan telefon di Varzaghan terputus sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat, lapor Press TV.
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Zeinab di Kampung Mirza Ali Kandi memberitahu agensi berita AFP, dia melihat adiknya berumur lapan tahun dan kakaknya mati di depan matanya.
"Saya berada di luar rumah untuk bermain apabila ia (gempa bumi pertama berlaku.
"Saya berlari ke luar melihat adik saya dan mendapati dia berada di bawah runtuhan. Saya cuba untuk menariknya keluar. Kemudian saya mendengar kakak saya menangis dan apabila saya menoleh, batu besar berada di atas kepalanya. Saya kemudian berlari," katanya sambil menangis.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan