24 Ramadhan 1433H. [MOD] -
Kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Majlis Fatwa tidak akan membuat teguran kepada Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah yang membuat kenyataan bahawa mengundi DAP adalah haram kerana DAP menolak hukum Hudud adalah fatwa yang betul dengan pandangan syarak, bakal mengundang pelbagai persoalan lain, kerana bukan hanya DAP yang menolak hudud bahkan secara jelas UMNO juga menolak hukum hudud, sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 September 2011 (rujuk http://www.malaysiakini.com/news/176760). Ini bermakna rakyat juga diingatkan bahawa haram mengundi UMNO kerana menolak hukum Allah.
Bahkan bagi PAS dan umat Islam Malaysia, penolakan Umno sebenarnya jauh lebih besar kesalahan kerana mereka mempunyai kuasa pemerintahan bagi melaksanakan hukum tersebut, berbanding DAP yang menolak dalam keadaan tiada sebarang mandat untuk melaksanakannya.
Media pro UMNO sering cuba menghinakan di minda orang Melayu hubungan antara PAS dan DAP. Walhal hubungan UMNO-MCA adalah jauh lebih teruk – dengan presidennya yang pernah terpalit dengan masalah moral, mempertikai hukum bersalam lelaki perempuan bukan mahram, membuat komen buruk terhadap negara Islam dan pernah menghina hukum hudud sebegitu rupa sehingga melabel ianya sebagai penyebab negara mundur dan menyaman kerajaan negeri Kelantan untuk membanteras judi.
Bahkan, MCA memberi amaran kepada rakan sebarisannya Umno bahawa MCA akan menarik diri dari BN seandainya Umno berhasrat melaksanakan hukum hudud. Amaran tersebut disertai dengan anggapan bahawa ADUN Kemelah yang mencadangkan cadangan tersebut sebagai tidak berakal. Umno terus senyap, sedangkan sebelumnya pelbagai kenyataan sokongan kepada cadangan tersebut dikeluarkan.
Mengapa pula Umno tidak menarik diri daripada BN sebagaimana Umno sering menyuruh PAS untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat?
Sebelum PAS membuat hubungan tahaluf silasi dengan DAP, Umno sendiri, yang kononnya memperjuangkan Islam pernah membawa kes ke mahkamah untuk halang Hudud di Kelantan.
Berlatar-belakangkan itu, bilamana Mufti Perak menyatakan haram menyokong DAP kerana menolak hudud, maka rakyat mulai bertanya apakah pula hukum memberi undi pada Umno? Jika logik dan pembaris yang sama digunakan, maka tentulah juga haram dan berdosa.
Perdirian PAS dalam hal ini sungguh jelas bahawa sebagai umat Islam, kita wajib menerima dan berusaha agar hukum Allah dapat ditegakkan, kerana selagi ianya tidak tertegak, selama itulah umat Islam menanggung dosa.
PAS meminta Majlis Fatwa melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah Sammah ini secara menyeluruh, bukan hanya setakat isu mengundi. Ia termasuklah kenyataan beliau bahawa DAP adalah kafir harbi, manakala MCA, MIC sebagai kafir zimmi.
Kerana mengkategorikan kafir harbi mempunyai implikasi yang besar dari sudut syarak. Ia melibatkan pelbagai muamalah antara umat Islam dengan golongan tersebut, termasuklah haram bermuamalah, berurus niaga, bahkan boleh memerangi mereka. Ini perlukan penjelasan dan kenyataan segera dari Majlis Fatwa, sebelum sesuatu yang buruk berlaku di atas kejahilan rakyat.
Apa yang mendukacitakan ialah kegagalan Harussani melihat dan memahami secara dekat alasan DAP yang menolak hudud. Penolakannya atas alasan bercanggah dengan perlembagaan negara. Bukan atas faktor lain.
Maka faktor ini perlu diperbetulkan dengan prinsip Islam. Kerana faktor penolakan seseorang terhadap bukan hudud juga mempengaruhi hukuman. Kerana itu, Allah mengkategorikan golongan yang menolak ini sebagai fasiq, zalim dan kafir. Kalau yang menolak itu bukan Islam, apakah kategori mereka? Tentulah ianya diluar konteks ayat, kerana memang mereka tidak beriman dengan wahyu Allah.
Persoalan utama ialah bagaimana pula orang Islam yang menolak hukum Allah? Bagaimana kalau mereka rakyat biasa, yang jahil, yang mempunyai kuasa, yang alim tetapi degil, dan yang anti kepada hukum Allah? Tentulah hukum antara mereka gidak sama.
PAS tetap menuntut Majlis Fatwa segera bersidang bagi mengkaji keseluruhan kenyataan dari Abdullah Samaah yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia itu. Sebenarnya masih banyak kenyataan beliau yang jelas memperlekeh Rasulullah dalam bentuk senda gurau, sinis, dan melampau yang boleh dilihat dalam pelbagai blog.
Majlis Fatwa haruslah menggunakan pembaris yang sama untuk menilai semua isu secara objektif. Haram sama sekali untuk menggunakan pembaris yang tidak sama untuk Umno dan pihak yang lain.
Tiada yang pelik untuk DAP dan sebilangan rakyat bukan Islam menolak hukum Hudud setelah Umno-BN sendiri merosakkan imej Islam untuk 5 dekad lamanya. Penolakan hukum hudud oleh DAP sering diperbesarkan di media pro-BN, manakala penolakan MCA dan Umno disorokkan semata-mata adalah untuk menyerang PAS, yang Umno tahu lawan terbesarnya di medan politik pada PRU-13.
DAP menang, Umno tak semestinya tumbang. PAS menang, maka sudah pasti Umno akan tumbang bersama BN. MCA tidak boleh diselamatkan lagi maka Umno mengambil keputusan demi survival politik untuk merenggangkan lagi hubungan antara kaum untuk menjaga undi Melayu-Islam dalam taktik politik terbarunya.
Umat Islam diharap dalam membuka mata jelas dalam isu ini – munafik dan hipokrit sebenarnya adalah ancaman terbesar kepada Islam.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
13 Ogos 2012
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan