05 Ogos 2012

Ibadat puasa tercela jika tidak hirau solat fardu

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Keghairahan menjalani ibadat Ramadan, banyak perkara sering kita abaikan sehingga menjejaskan amalan di bulan mulia ini. Antara kesilapan dilakukan ialah ibu bapa begitu bersungguh-sungguh menyuruh dan melatih anak kecil berpuasa tetapi tidak memberi penekanan terhadap latihan solat.

Pendakwah bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, berkata penekanan terhadap amalan solat lebih diutamakan dengan Rasulullah SAW sendiri memerintahkan ibu bapa supaya menyuruh anak mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun.

Katanya, tiada nas khusus mengenai umur diperintahkan berpuasa bagi kanak-kanak, tetapi ulama menyamakannya seperti perintah solat berdasarkan kemampuan anak-anak.
Di sini, menunjukkan perintah melatih anak supaya bersolat ketika berusia tujuh tahun lebih utama. Kesimpulannya, tidak salah menyuruh anak berpuasa tetapi pada masa sama perlu bersungguh-sungguh melatih mereka solat, katanya.

Katanya, kesilapan lain yang sering dilakukan ketika Ramadan ialah bersungguh-sungguh melaksanakan solat tarawih secara berjemaah yang hukumnya sunat tetapi mengabaikan solat Subuh dan fardu lain secara berjemaah yang lebih dituntut.

Ke masjid ketika Ramadan

Malah, ada yang ke masjid ketika Ramadan saja, tetapi tidak ke masjid untuk berjemaah di bulan lain.
Lebih malang katanya, mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan solat terutama solat Subuh dan Asar.

Ramai yang ambil mudah bab solat ini, solat Subuh tinggal kerana sepanjang malam habiskan masa menonton Olimpik, apabila masuk Subuh tidak terjaga.
Bagi yang bekerja, keluar pejabat tidak solat Asar dulu, kemudian terperangkap kesesakan lalu lintas dan setibanya di rumah, masuk waktu berbuka.

Ada juga yang berbuka di luar seperti restoran dan hotel, disebabkan leka makan dan lepak selepas makan hingga habis waktu Maghrib lalu terlepas waktu solat. Bukankah ini kerugian sangat besar? katanya.

Beliau turut menegur wanita yang mendedahkan aurat kerana tindakan itu bukan hanya mengurangkan pahala puasa tetapi juga mengeringkan pahala orang lain iaitu bukan muhrim yang melihatnya.

Syed Mohd Norhisyam berkata, umat Islam tidak sepatutnya menjadikan bazar Ramadan sebagai lokasi kunjungan wajib setiap hari kerana membeli makanan ketika lapar selalunya mendorong kepada pembaziran.

Begitu juga niat murni bertadarus al-Quran yang menjadi amalan pada Ramadan tetapi biarlah ia dilakukan mengikut tertib, bukan semata-mata kerana hendak khatam segera.

Tadarus bermaksud seorang membaca dan ahli kumpulan mendengar serta menegur jika ada kesilapan bacaan bukannya membaca beramai-ramai atau membahagi bahagian yang perlu dibaca supaya khatam segera.

Bacaan perlu betul tajwid

Bacaan perlu dihayati dan betul tajwidnya seperti yang Rasulullah SAW mengulang kaji al-Quran bersama Jibril di bulan Ramadan, katanya.

Katanya, banyak perkara sunat menjadi rebutan umat Islam pada bulan puasa untuk mendapat ganjaran berlipat ganda tetapi disebabkan kurangnya kefahaman, maka ibadat sunnah itu gagal dihayati.

Contohnya, sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan orang berpuasa supaya melewatkan bersahur tetapi apa yang berlaku, ramai mempercepatkan waktu sahur dengan menikmati hidangan pada waktu tengah malam sebelum tidur.

Amalan itu bukan saja tidak mendatangkan pahala tetapi boleh menjejaskan kesihatan terutama sistem penghadaman kerana mengambil makanan berat sebelum tidur.

Selain amalan sepanjang Ramadan, sambutan hari raya juga banyak yang tidak selari dengan ajaran sebenar Islam.

Allah menganugerahkan hari raya untuk hamba-Nya bergembira tetapi ada antara kita menjadikan hari raya hari kesedihan.

Amalan menziarahi kubur untuk mengingati kematian dan ia tidak seharusnya dilakukan hanya ketika hari raya untuk mengundang kesedihan.

Amalan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Hari raya untuk bergembira dan dalilnya kita diharamkan berpuasa pada hari raya pertama, katanya.

Selain itu, ibu bapa tidak seharusnya mudah mengalah dengan tindakan anak yang enggan mengikut mereka menziarahi sanak saudara pada hari raya semata-mata hendak menonton televisyen. Akibatnya nanti, anak tidak kenal saudara mara.

berita harian/-

Perlu waspada ketika berhenti di R&R

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

RAWANG - Kes kecurian yang berlaku di hentian Rehat dan Rawat (R&R) masih terkawal bagaimanapun masyarakat dinasihati terus berwaspada agar tidak menjadi mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Suprintendan Rosly Hassan berkata, peranan masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis juga amat digalakkan bagi bersama mengekang kejadian seumpama itu.

“Kes curi terutamanya membabitkan wanita di mana beg tangan mereka dicuri ketika berehat atau solat di surau.

“Selain itu, membabitkan kes pecah kereta kerana kebanyakan tempat letak kereta jauh dari tumpuan menyebabkan pengguna yang berhenti rehat menjadi mangsa. Namun, semua kes ini terkawal,” katanya ketika ditemui pada program High Profile Policing (HPP) di R&R Rawang dekat sini.

Program itu turut dihadiri pegawai kanan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, anggota dari pelbagai bahagian dan cawangan.

Hadir sama, pegawai-pegawai daripada Plus Seksyen C3 Rawang.

Pada program tersebut, Rosly turut mengedarkan risalah keselamatan dan pencegahan jenayah kepada pengguna yang berhenti di R&R berkenaan sehingga waktu berbuka puasa.

“Program HPP ini kita laksanakan setiap minggu dan pada musim perayaan ini tumpuan diberikan di kawasan begini termasuk pusat membeli belah dan baru-baru ini kita buat di bazar Ramadan.

“Dalam risalah yang kita edarkan terdapat maklumat-maklumat keselamatan, kaedah pencegahan jenayah dan pihak yang boleh dihubungi jika berlaku atau terlihat sebarang kejadian jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika melakukan tinjauan pengguna Rosli berkata, terdapat pengguna yang mencadangkan supaya R&R menyediakan pengawal keselamatan sebagai langkah pencegahan jenayah.

Menurutnya, cadangan itu diterima positif sebelum disampaikan terus ke pengetahuan pegawai Plus untuk dipertimbangkan.

Katanya, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan sebaiknya kerana akan membantu pihak polis memandangkan jadual rondaan polis tidak hanya tertumpu di kawasan tersebut.

sinar harian/-

Maut ketika hendak pulang

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SABAK BERNAM- Hasrat seorang warga emas untuk pulang berehat di rumahnya dekat Tebuk Rukun selepas mengutip hasil timun aceh tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan di persimpangan Jalan Sembilan, Sungai Air Tawar, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, motosikal EX-5 yang ditunggang mangsa sendirian tanpa memakai topi keledar bertembung dengan sebuah motosikal jenis sama dinaiki dua lelaki.

"Kejadian di persimpangan persimpangan itu dipercayai berlaku apabila warga emas, Aminah Rahmah Hamzah, 64, tidak menyedari kehadiran sebuah lagi motosikal dan terus bertindak keluar simpang.

"Kedua-dua motosikal bertembung dan menyebabkan Aminah tercampak serta mengalami pendarahan teruk manakala dua lagi mangsa mengalami luka ringan serta menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Baru,"katanya.

Tidak sampai dua jam bertarung nyawa, warga emas itu akhirnya disahkan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 12.50 tengahari kerana kecederaan parah di kepala ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak dan jenazah sudah dituntut keluarga untuk dikebumikan.

Sementara itu, menurut Noor Mushar, pihaknya akan menguatkuasakan tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak memakai topi keledar keselamatan sewaktu menunggang dan membonceng motosikal.

“ Kita akan meningkatkan operasi sekitar daerah ini termasuk di kawasan kampung dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang masih berdegil serta tidak teragak-agak menyaman mereka jika didapati tidak memenuhi kriteria keselamatan ketika jalan raya,” katanya.

Noor Mushar berkata, aspek keselamatan lalu lintas didedahkan kepada ahli jawatankuasa kampung, penduduk dan orang awam dalam program Kepolisan Masyarakat yang diadakan awal bulan lalu, di kawasan berkenaan.

"Kita juga mendedahkan tindakan bakal diambil terhadap individu yang lepas tangan dalam aspek keselamatan dan mengharapkan maklumat itu dapat dimanafaatkan untuk kebaikan semua pengguna.

"Kemungkinan penduduk di kawasan kampung mengambil mudah mengenai keselamatan lalu lintas berikutan tindakan undang-undang yang tidak terlalu ketat. Bagaimanapun, kita tidak akan teragak-agak untuk menyaman individu terbabit kerana ia melibatkan keselamatan orang lain," katanya.

sinar harian/-

Pekarangan al-Aqsa taman awam: Israel

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Baitulmaqdis: Majlis Perbandaran Israel memutuskan pekarangan Masjid al-Aqsa sebagai kawasan taman awam sekali gus membolehkan pendatang Yahudi berkampung di kawasan berkenaan pada bila-bila masa.

Pemimpin kedua Pergerakan Islam Bagi Wilayah Palestin Dijajah 1948, Sheikh Kamal Al-Khatib, mendedahkan keputusan itu diluluskan majlis berkenaan berkuat kuasa Ramadan tahun ini.

Yahudikan tanah suci

Khatib memberi amaran, langkah pihak berkuasa Israel itu adalah satu langkah mengYahudikan tanah suci umat Islam di sini.

Buat kali pertama, mereka membenarkan pendatang dan pelampau Yahudi masuk pekarangan al-Aqsa tanpa mengira perasaan orang Islam dalam masjid, katanya.

Beliau juga mendedahkan tindakan askar Yahudi pada Jumaat lalu menyerbu al-Aqsa dan menahan imam masjid yang sedang sujud memimpin solat subuh menyebabkan ibadat itu tidak dapat disempurnakan.

Kementerian Hal Ehwal Agama Palestin mengutuk keputusan Israel itu dan menyifatkannya pencabulan terang-terangan kesucian tanah suci umat Islam ketiga itu.
Gesa lindungi al-Aqsa

Sehubungan itu, kementerian itu menggesa pemimpin Islam seluruh dunia mengadakan sidang bagi membincangkan langkah untuk melindungi al-Aqsa.

Di London, Pertubuhan Arab bagi Hak Asasi Manusia (AOHR) menyifatkan langkah yang dibuat Israel itu menyalahi undang-undang antarabangsa.

Israel cabul Konvensyen Geneva

Dalam kenyataannya, AOHR menekankan, keputusan Majlis Perbandaran Israel itu bercanggah dengan Konvensyen Geneva.

Ia juga mengecam penasihat politik kerajaan Israel, Yehuda Vinstein yang mencadangkan kepada majlis dan pihak berkuasa antikuiti supaya mengkaji langkah menetapkan masjid itu sebagai sebahagian Israel.

AOHR menegaskan, al-Aqsa bukan hanya meliputi struktur masjid tetapi juga kawasan pekarangannya termasuk Masjid Kubah Batu.

Kawasan masjid al-Aqsa seluas 144,000 meter persegi, temboknya sepanjang 491 meter ke sebelah barat, 462 meter ke sebelah timur, 310 meter ke utara dan 281 meter ke selatan, kata AOHR.
Agensi

Chong Wei minta maaf, peminat tabik

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - "Saya minta maaf". Itulah kata-kata daripada Datuk Lee Chong Wei selepas gagal memperoleh emas dalam acara badminton perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik di London, malam ini.

Beliau berkata demikian selepas sekali lagi gagal di tangan Lin Dan yang memperoleh emas pada 2008 di Beijing.

Susulan mesej itu, yang ditulis menerusi akaun twitternya kira-kira jam 9.55 malam tadi (waktu Malaysia), Chong Wei ‏pilihan pertama Sukan Olimpik 2012, menghantar mesej susulan 15 minit kemudian dengan antara lain berkata:

"Terima kasih kepada semua. Saya minta maaf. Saya tidak dapat kutip emas (kali ini)."

Bagaimanapun penyokong dan peminatnya menolak mesej itu sambil ada yang menjawab Chong Wei, yang turut menitiskan air mata selepas perlawanan, tidak wajar meminta maaf.

Sebahagian mereka menegaskan, beliau telah mempamerkan permainan yang cemerlang dan wajar dianggap sebagai 'pemain memperoleh emas.'

Seorang pengikut Chong Wei bernama Lim Yee Wai berkata, "anda sentiasa menjadi hero saya, anda telah menyatukan sebuah negara, tidak kira kaum, agama, warna atau gender. Setiap orang di belakang anda."

Seorang lagi peminatnya, Lina Shabbir berkata, "‏@limbo88 @Lee_C_Wei Wai Lim, saya bersetuju dengan anda, 100 peratus! Setiap orang di belakang anda, Chong Wei, anda emas yang berharga bagi Malaysia. Tahniah, permainan yang baik!"

Penyanyi tersohor Siti Nurhaliza juga melahirkan reaksi beliau.

Katanya, "Terharu dan bangga dgn semangat Datuk! Datuk kebanggaan Kami Rakyat Malayaisa."

Peminat bernama Yann Herng menasihatkan Chong Wei tidak wajar memohon maaf.

"Datuk hentikan itu!!!!!! Henti daripada memohon maaf!!! Anda sudah pun menjadi satu emas dalam hati 28 juta orang (rakyat Malaysia)," katanya.

Afnan Syuwari pula berkata, "tidak kira apa, anda hero saya dan kami sangat bangga dengan anda."

sinar harian/-

Bayi korban nahas

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

REMUK TERUK... keadaan kereta dan lori kelapa sawit yang terbabit dengan kemalangan di persimpangan.

ENDAU: “Saya turun daripada lori sejurus kemalangan dan ketika itu, selain membantu dua mangsa yang tersepit di dalam kereta, orang ramai turut mengutip cebisan otak bayi yang melekat pada enjin kereta,” kata Rizuan Ghozali, 28, semalam.

Rizuan yang bekerja sebagai pemandu lori membawa muatan kelapa sawit ditemui selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan kereta dinaiki lima sekeluarga di Kilometer 2, Jalan Mersing-Endau, jam 11.45 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta, Lans Koperal Hazwan Harun, 43, yang juga anggota polis di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi, cedera parah manakala isterinya, Normah Daud, 30-an, ibunya, Saemah Sulaiman, 68, dan bapanya, Harun Ab Majid, 70, cedera dan dikejarkan ke Hospital Mersing untuk rawatan.

Anak perempuan pasangan itu, Idayatul Naziha berusia tujuh bulan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketika kejadian, keluarga berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke kampung Hazwan di Gua Musang, Kelantan.

metro/-

Dakwa Wan Ahmad ahli Umno, polis siasat Saifudin

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail disiasat oleh polis dari Balai Putrajaya hari ini ekoran dakwaan beliau Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli Umno.

Beliau disiasat atas tuduhan fitnah jenayah kerana mendedahkan kononnya SPR tidak adil atau bias.

Turut serta bersama beliau adalah Latheefa Koya yang bertindak sebagai peguam dalam soal siasat tersebut.

"Polis tidak cukup sibuk," kata Saifudin dalam Twitternya ketika memaklumkan perkara tersebut.

Latheefa pula dalam Twitternya menulis, "Laporan polis dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad terhadap Saifudin kerana memberitahu media dia anggota Umno!"

Saifudin dalam kenyataannya mendakwa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga adalah ahli Umno.

Dalam kenyataannya, Saifuddin menjelaskan nombor keahlian Abdul Aziz ialah 113804 dan berdaftar di Cawangan Sri Ampang Baru dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam Parlimen Ampang, Selangor.

Manakala nombor keahlian Umno bagi Wan Ahmad pula ialah 2374564 dan beliau berdaftar dalam Cawangan Kubang Bunggor DUN Chetok bagi Parlimen Pasir Mas di Kelantan.

Namun, Wan Ahmad menafikan dakwaan yang kononnya beliau adalah ahli UMNO.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan fitnah yang berat bertujuan merosakkan nama dan integritinya sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

"Perbuatan itu bermotifkan politik bertujuan untuk merosakkan kredibiliti SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali. Dia (Saifuddin Nasution) perlu bertanggungjawab atas pembohongannya serta memohon maaf secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Ahmad berkata, beliau juga tidak pernah mendaftar sebagai ahli Umno dan dakwaan itu sebenarnya berniat jahat untuk menjatuhkan maruahnya serta merosakkan kredibiliti SPR.

harakahdaily/-

Vietnam, Myanmar paling ramai

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Warganegara Vietnam dan Myanmar berumur 30 hingga 77 tahun antara paling ramai diberkas melalui Ops Gelandangan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak Januari lalu.

Penolong Pesuruhjaya Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, kajian hasil enam operasi yang dibuat sebelum ini.

Menurutnya, masyarakat terlalu pemurah termasuk pihak NGO yang mengagihkan makanan percuma menggalakkan lambakan gelandangan kembali ke ibu negara walaupun sudah dihantar pulang.

“Mereka akan kembali berpelesiran di ibu kota dengan alasan kesempitan hidup di negara masing-masing.

“Masyarakat kita perlu main peranan, sama ada warganegara atau bukan warganegara, bila masyarakat berhenti memberi bantuan jadi sumber itu tiada.

"Apabila tiada, golongan ini tahu mereka susah untuk perolehnya melainkan perlu bekerja,” katanya selepas Ops Bersepadu Membanteras gelandangan sekitar ibu negara, awal pagi semalam.

Operasi turut disertai pelbagai agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Osman berkata, hasil operasi kelmarin, seramai 54 gelandangan yang terdiri daripada 43 rakyat tempatan dan 11 warga asing ditahan.

Katanya, operasi selama lima jam bermula jam 10 malam itu disertai 105 pegawai penguatkuasa yang dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjalankan tinjauan dan tangkapan di Jalan Pudu, Pasar Seni, Kotaraya dan Bulatan Sultan Muhamad.

“Selepas saringan, empat orang diambil di bawah JKM, manakala enam orang positif dadah dan tindakan seterusnya diambil AADK,” katanya.

sinar harian/-

Sekeluarga nyaris maut bongkah batu terpelanting depan rumah

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BEIJING: Sebuah keluarga nyaris maut apabila bongkah batu seberat dua tan yang runtuh daripada gunung berhampiran terpelanting ke depan pintu rumah mereka.

Bongkah batu itu hanya berhenti apabila tersekat di dinding. Ia terpelanting akibat kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat selama beberapa minggu melanda Mentougou, kawasan pergunungan dekat ibu negara China itu. “Satu lagi lantunan dan ia mungkin ada dalam bilik bersama keluarga itu. Mereka memang bertuah. “Keseluruhan halaman dan belakang rumah dipenuhi dengan runtuhan batu-batan. Mereka hanya selangkah daripada ditimbus hidup-hidup,” kata jurucakap polis.

Mentougou terletak di kawasan pergunungan di barat Beijing dan kaya dengan sumber semula jadi seperti arang batu, granit dan batu kapur. Walaupun meraih populariti sebagai destinasi pelancongan, hampir seluruh kawasan berada jauh di pedalaman dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan banyak kediaman diancam bahaya. - DM

BN mahu hentikan air percuma di Selangor

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SUDAH lebih empat tahun rakyat Selangor menikmati air percuma 20 meter padu setiap bulan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Namun nampaknya Barisan Nasional mula menunjukkan bahawa mereka akan menghentikan perkhidmatan air percuma ini jika berjaya menawan Selangor.

Noh Omar yang kononnya bakal ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor jika BN berjaya merampas negeri itu mengatakan kerajaan akan menetapkan tarif air yang tidak membebankan rakyat.

Anda ada akal fikiran, sila fikirkan beza antara tarif air percuma yang sedia ada sekarang dengan tarif air yang tidak membebankan rakyat ditawarkan oleh Barisan Nasional jika berjaya tawan Selangor.

Wahai Noh Omar, kalau sudah kena bayar air setiap bulan itu namanya membebankan wahai samdol. Sedangkan rakyat Selangor sekarang tidak perlu membayar air setiap bulan.

Dulu Khir Toyo kata kalau Pakatan Rakyat beri air percuma kepada rakyat, Negeri Selangor akan bangkrap dalam masa dua tahun. Tapi nampaknya sampai sekarang tak bangkrap-bangkrap kah kah kah...

Malah simpanan tunai Selangor masa ini sebanyak RM2 Billion mencipta sejarah sebagai simpanan tunai kerajaan negeri paling tinggi di Malaysia kah kah kah...

ReJaM© "Orang bagi tawaran lebih baik, dia bagi tawaran lebih buruk, gila! "

'Rais seperti alihkan tanggungjawab pada panel'

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Penubuhan panel siasatan bagi menyiasat dakwaan ciplak melibatkan lagu kemerdekaan memberikan gambaran seolah-orang menteri berkenaan cuba mengalihkan tanggungjawabnya, kata PKR.

Naib presidennya Nurul Izzah Anwar berkata, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sepatutnya mengesahkan sendiri sama kesahihan dakwaan itu.

"Saya lebih suka kalau beliau (Rais) sendiri sahkan atau tidakkan pilihan (lagu) tersebut.

"Kepada beliau, saya ucapkan selamat maju jayalah," kata Izzah sinis.

Rais terlibat menulis lirik untuk lagu gubahan Jasnie Mohd Yaakub itu.

Rais semalam mengumumkan satu panel akan ditubuhkan untuk mengkaji lagu "Janji Ditepati" yang didakwa disadur dari lagu gereja di Indonesia.

Tubuh Kelab Mahasiswa PKR

Sebelum ini, Rais turut menarik balik logo sambutan 55 tahun kemerdekaan yang dikritik ramai kerana tidak menarik dan kelihatan seperti dibuat secara sambil lewa.

Nurul Izzah juga berkata, kontroversi demi kontroversi melanda lagu itu "amat memalukan" memandangkan Rais seorang menteri yang berpengalaman.

"Ia agak mengecewakan apabila satu demi satu perkara sebegini berlaku," katanya di ibu pejabat PKR tengah hari tadi.

Sebelum itu, beliau merasmikan penubuhan Kelab Mahasiswa PKR yang menurutnya mampu merapatkan hubungan PKR dan mahasiswa.

Wakil kelab itu, Ahmad Bakhtiar Amir Zaimi berkata penubuhannya bertujuan menghimpunkan mahasiswa untuk mendokong hala tuju PKR tanpa perlu menjadi ahli parti secara langsung.

Pelajar kejuruteraan kimia itu berkata, kelab itu akan turut memperluaskan capaiannya kepada mahasiswa luar negara secara berperingkat-peringkat.

malaysiakini/-

Kes Syaleza: Pemandu Teksi Diantara 4 Lagi Yang Diambil Keterengan

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Polis merekodkan empat lagi keterangan individu termasuk pemandu teksi bagi membantu siasatan kes Syaleza Jaffar yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tiga lagi individu yang diambil keterangan ialah seorang doktor, pengasuh anak lelaki mangsa dan rakan terdekat.

"Namun kita tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara ini. Mereka yang memberi keterangan ini merupakan antara saksi yang boleh membantu polis dalam menyelesaikan kes kematian mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Sebelum ini, polis telah merekodkan keterangan daripada 10 individu termasuk dua rakan sekerja eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 itu dan dengan empat keterangan terbaharu, jumlah keterangan yang diambil ialah sebanyak 14 sehingga hari ini.

Mohd Adnan berkata ada beberapa saksi lagi yang akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan mereka berkaitan kes itu.

Syaleza, 31, ditemui mati oleh suaminya, Norazman Bashah dalam bilik tidur rumah mereka, dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga terdekat Syaleza di Segamat, Johor pada 10.15 malam pada Ahad lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

MB K'tan lancar tabung amanah lebuh raya KBKK

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat melancarkan penubuhan satu tabung amanah bagi membiayai pembinaan satu lebuh raya baru menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK).

Nik Aziz dalam ucapannya di Sham Alam semalam berkata ia bertujuan untuk membiaya pembinaannya secara wakaf agar pengguna tidak dikenakan tol apabila lebuh raya rakyat itu beroperasi kelak.

"Orang Kelantan sering beri derma surau, sekolah dan kebajikan lain. Mereka derma kerana pahala dan kerana kerajaan tidak beri peruntukan.

"Pemimpin kerajaan tidak tahu tentang kesesakan 4 hingga 5 jam jalan raya di Kelantan, kerana mereka tidak memandu, sebaliknya guna kapal terbang," katanya pada majlis anjuran Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) itu.

Dalam majlis sama, exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menjelaskan lebuh raya empat lorong dua hala sepanjang 73 kilometer itu menelan belanja kira-kira RM1.4 juta.

Husam berkata, kerajaan negeri telah mendahulukan wang untuk pembinaan lebuh raya itu buat masa ini.

Wang derma terkumpul setakat ini sebanyak kira-kira RM3 juta katanya akan turut digunakan untuk membina lebuh raya jajaran bertingkat dari Kota Bharu ke Wakaf Che Yeh yang menelan belanja RM500 juta.

Bagaimanapun pembinaan jajaran tersebut, yang merupakan salah satu daripada pakej lebuh raya rakyat KBKK, masih ditangguhkan buat masa ini, katanya.

Derma boleh dihulurkan ke dalam akaun Bank Islam bernombor 0303601 0003031 atas nama Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

malaysiakini/-

George Kent Hanya Dapat 8.7 Drp 30 Markah Keseluruhan Bagi Penilaian Kewangan

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Petaling Jaya: Konsortiun George Kent-Lion Pacific didakwa mengeluarkan kenyataan palsu berhubung kelulusan penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaan projek tambahan sistem LRT-Ampang.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sebaliknya berkata, konsortium tersebut sebenarnya gagal dan hanya mendapat 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan.

Perkara itu didedahkan Rafizi melalui satu salinan surat yang dikemukakan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar kepada Kementerian Kewangan.

Dalam surat bertarikh 20 Januari itu, Shahril melaporkan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut laporan tersebut, berdasarkan lapan calon pembida, Konsortium George Kent juga didapati tidak memenuhi syarat kontrak, namun membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (Agreed Disruption Damages) disemak kembali.

Manakala dari segi teknikal, laporan tersebut menyatakan George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal dengan 38.62 daripada 70 markah keseluruhan.

Malah laporan Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Bidaan itu dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara.

“Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, pembohongan yang dibuat Pengarah Eksekutif George Kent, Ir Dr Cheong Thiam Fook ini dibuat dengan tujuan untuk mengaburi mata rakyat Malaysia.

Malah, katanya ia menghina semua prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara seolah-olah ia tidak berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

`Lesen besar’

Lebih merunsingkan, katanya ia membayangkan ‘lesen besar’ yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana.

“Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional (BN) percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan Najib dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak,” katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata kemampuan Prasarana kini mungkin diragui bagi memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat Prasarana.

“Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Najib kepada syarikat itu.

“George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih,” katanya.

Cheong dalam kenyataannya semalam menafikan pihaknya gagal dalam penilaian teknikal sebelum dianugerahkan projek tersebut yang bernilai RM1.1 bilion, malah yakin dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan. -FMT

54 kutu rayau ditahan

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seramai 54 kutu rayau ditahan dalam operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu negara, kelmarin.

Dalam operasi dua jam bermula 11 malam itu, kutu rayau terbabit ditahan di 11 lokasi berasingan seperti Masjid Jamek, Menara Maybank, Pasar Seni, Jalan Silang, Bulatan Sultan Muhamad dan Mydin Kotaraya.

Operasi turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Alam Flora, polis dan imigresen.

Rata-rata yang ditahan enak dibuai mimpi sebelum dikejutkan untuk diperiksa, manakala sampah seperti kepingan kotak yang dijadikan alas tidur dibersihkan pekerja Alam Flora.

Akibat mamai, ada kutu rayau berpakaian selekeh serta berbau hapak berjalan terhoyong-hayang ketika dibawa masuk ke dalam lori DBKL.

Malah, ada yang memaki-hamun penguat kuasa yang menahan mereka serta cuba melarikan diri sehingga terpaksa bergelut supaya tidak terlepas.

metro/-

JK Royalti: Kenapa sekarang - TG Nik Aziz

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Walaupun bersyukur dengan keputusan Kerajaan Pusat mahu mengkaji bayaran royalti petroleum untuk Kelantan namun Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Aziz mempersoalkan 'kenapa sekarang'.

Ini kerana, ia sudah lama patut diberikan dan bukannya memberikan janji pula menjelang pilihan raya ini.

"Mengapa Perdana Menteri baru sekarang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti?" soal beliau kepada media petang semalam.

Jumaat lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantar surat kepada Tuan Guru Nik Aziz meminta beliau menamakan wakil Kelantan untuk membincangkan isu royalti/bayaran tunai kepada negeri itu.

"Kerajaan Pusat sepatutnya telah lama menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Malah menurut Menteri Besar Kelantan, jawatankuasa khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya selesai membincang dan merunding isu berbangkit itu dalam tiga bulan lalu.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang baru sekarang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti.

"Jawatankuasa ini patut ditubuhkan sejak dulu lagi.

"Semasa perjanjian di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas dibuat pada 9 Mei 1975, tapi mengapa baru sekarang mahu tubuhkan?” katanya ditemui sebelum pelancaran Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat dan majlis berbuka puasa di Kompleks Media Karangkraf di sini semalam.

Tengah hari tadi, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.

Menurut Najib, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Jawatankuasa itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan, kata Najib.

Nik Aziz turut membidas keputusan Najib yang mahu kajian menyeluruh dilakukan dalam tempoh enam bulan yang sepatutnya mengambil jangka masa lebih pendek sekurang-kurangnya tiga bulan sahaja.

Beliau berkata, pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai nama wakil Kelantan yang akan mewakili negeri itu dalam jawatankuasa khas berkenaan.

“Belum ada lagi sebarang perbincangan. Saya sendiri akan mengadap Sultan Kelantan bagi menghantar nama wakil dan hanya pada masa itu akan diumumkan nama wakil bagi negeri Kelantan,” jelas beliau.

Beliau turut bertegas yang Kelantan mempunyai hak sepenuhnya ke atas royalti minyak kerana kedudukan pelantar cari gali minyak berdekatan dengan pesisiran pantai negeri Kelantan.

harakahdaily/-