16 Ramadhan 1433H. [MOD] -
SABAK BERNAM- Hasrat seorang warga emas untuk pulang berehat di rumahnya dekat Tebuk Rukun selepas mengutip hasil timun aceh tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan di persimpangan Jalan Sembilan, Sungai Air Tawar, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, motosikal EX-5 yang ditunggang mangsa sendirian tanpa memakai topi keledar bertembung dengan sebuah motosikal jenis sama dinaiki dua lelaki.
"Kejadian di persimpangan persimpangan itu dipercayai berlaku apabila warga emas, Aminah Rahmah Hamzah, 64, tidak menyedari kehadiran sebuah lagi motosikal dan terus bertindak keluar simpang.
"Kedua-dua motosikal bertembung dan menyebabkan Aminah tercampak serta mengalami pendarahan teruk manakala dua lagi mangsa mengalami luka ringan serta menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Baru,"katanya.
Tidak sampai dua jam bertarung nyawa, warga emas itu akhirnya disahkan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 12.50 tengahari kerana kecederaan parah di kepala ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak dan jenazah sudah dituntut keluarga untuk dikebumikan.
Sementara itu, menurut Noor Mushar, pihaknya akan menguatkuasakan tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak memakai topi keledar keselamatan sewaktu menunggang dan membonceng motosikal.
“ Kita akan meningkatkan operasi sekitar daerah ini termasuk di kawasan kampung dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang masih berdegil serta tidak teragak-agak menyaman mereka jika didapati tidak memenuhi kriteria keselamatan ketika jalan raya,” katanya.
Noor Mushar berkata, aspek keselamatan lalu lintas didedahkan kepada ahli jawatankuasa kampung, penduduk dan orang awam dalam program Kepolisan Masyarakat yang diadakan awal bulan lalu, di kawasan berkenaan.
"Kita juga mendedahkan tindakan bakal diambil terhadap individu yang lepas tangan dalam aspek keselamatan dan mengharapkan maklumat itu dapat dimanafaatkan untuk kebaikan semua pengguna.
"Kemungkinan penduduk di kawasan kampung mengambil mudah mengenai keselamatan lalu lintas berikutan tindakan undang-undang yang tidak terlalu ketat. Bagaimanapun, kita tidak akan teragak-agak untuk menyaman individu terbabit kerana ia melibatkan keselamatan orang lain," katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan