05 Ogos 2012

Dakwa Wan Ahmad ahli Umno, polis siasat Saifudin

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail disiasat oleh polis dari Balai Putrajaya hari ini ekoran dakwaan beliau Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli Umno.

Beliau disiasat atas tuduhan fitnah jenayah kerana mendedahkan kononnya SPR tidak adil atau bias.

Turut serta bersama beliau adalah Latheefa Koya yang bertindak sebagai peguam dalam soal siasat tersebut.

"Polis tidak cukup sibuk," kata Saifudin dalam Twitternya ketika memaklumkan perkara tersebut.

Latheefa pula dalam Twitternya menulis, "Laporan polis dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad terhadap Saifudin kerana memberitahu media dia anggota Umno!"

Saifudin dalam kenyataannya mendakwa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga adalah ahli Umno.

Dalam kenyataannya, Saifuddin menjelaskan nombor keahlian Abdul Aziz ialah 113804 dan berdaftar di Cawangan Sri Ampang Baru dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam Parlimen Ampang, Selangor.

Manakala nombor keahlian Umno bagi Wan Ahmad pula ialah 2374564 dan beliau berdaftar dalam Cawangan Kubang Bunggor DUN Chetok bagi Parlimen Pasir Mas di Kelantan.

Namun, Wan Ahmad menafikan dakwaan yang kononnya beliau adalah ahli UMNO.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan fitnah yang berat bertujuan merosakkan nama dan integritinya sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

"Perbuatan itu bermotifkan politik bertujuan untuk merosakkan kredibiliti SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali. Dia (Saifuddin Nasution) perlu bertanggungjawab atas pembohongannya serta memohon maaf secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Ahmad berkata, beliau juga tidak pernah mendaftar sebagai ahli Umno dan dakwaan itu sebenarnya berniat jahat untuk menjatuhkan maruahnya serta merosakkan kredibiliti SPR.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: