16 Ramadhan 1433H. [MOD] -
Keghairahan menjalani ibadat Ramadan, banyak perkara sering kita abaikan sehingga menjejaskan amalan di bulan mulia ini. Antara kesilapan dilakukan ialah ibu bapa begitu bersungguh-sungguh menyuruh dan melatih anak kecil berpuasa tetapi tidak memberi penekanan terhadap latihan solat.
Pendakwah bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, berkata penekanan terhadap amalan solat lebih diutamakan dengan Rasulullah SAW sendiri memerintahkan ibu bapa supaya menyuruh anak mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun.
Katanya, tiada nas khusus mengenai umur diperintahkan berpuasa bagi kanak-kanak, tetapi ulama menyamakannya seperti perintah solat berdasarkan kemampuan anak-anak.
Di sini, menunjukkan perintah melatih anak supaya bersolat ketika berusia tujuh tahun lebih utama. Kesimpulannya, tidak salah menyuruh anak berpuasa tetapi pada masa sama perlu bersungguh-sungguh melatih mereka solat, katanya.
Katanya, kesilapan lain yang sering dilakukan ketika Ramadan ialah bersungguh-sungguh melaksanakan solat tarawih secara berjemaah yang hukumnya sunat tetapi mengabaikan solat Subuh dan fardu lain secara berjemaah yang lebih dituntut.
Ke masjid ketika Ramadan
Malah, ada yang ke masjid ketika Ramadan saja, tetapi tidak ke masjid untuk berjemaah di bulan lain.
Lebih malang katanya, mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan solat terutama solat Subuh dan Asar.
Ramai yang ambil mudah bab solat ini, solat Subuh tinggal kerana sepanjang malam habiskan masa menonton Olimpik, apabila masuk Subuh tidak terjaga.
Bagi yang bekerja, keluar pejabat tidak solat Asar dulu, kemudian terperangkap kesesakan lalu lintas dan setibanya di rumah, masuk waktu berbuka.
Ada juga yang berbuka di luar seperti restoran dan hotel, disebabkan leka makan dan lepak selepas makan hingga habis waktu Maghrib lalu terlepas waktu solat. Bukankah ini kerugian sangat besar? katanya.
Beliau turut menegur wanita yang mendedahkan aurat kerana tindakan itu bukan hanya mengurangkan pahala puasa tetapi juga mengeringkan pahala orang lain iaitu bukan muhrim yang melihatnya.
Syed Mohd Norhisyam berkata, umat Islam tidak sepatutnya menjadikan bazar Ramadan sebagai lokasi kunjungan wajib setiap hari kerana membeli makanan ketika lapar selalunya mendorong kepada pembaziran.
Begitu juga niat murni bertadarus al-Quran yang menjadi amalan pada Ramadan tetapi biarlah ia dilakukan mengikut tertib, bukan semata-mata kerana hendak khatam segera.
Tadarus bermaksud seorang membaca dan ahli kumpulan mendengar serta menegur jika ada kesilapan bacaan bukannya membaca beramai-ramai atau membahagi bahagian yang perlu dibaca supaya khatam segera.
Bacaan perlu betul tajwid
Bacaan perlu dihayati dan betul tajwidnya seperti yang Rasulullah SAW mengulang kaji al-Quran bersama Jibril di bulan Ramadan, katanya.
Katanya, banyak perkara sunat menjadi rebutan umat Islam pada bulan puasa untuk mendapat ganjaran berlipat ganda tetapi disebabkan kurangnya kefahaman, maka ibadat sunnah itu gagal dihayati.
Contohnya, sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan orang berpuasa supaya melewatkan bersahur tetapi apa yang berlaku, ramai mempercepatkan waktu sahur dengan menikmati hidangan pada waktu tengah malam sebelum tidur.
Amalan itu bukan saja tidak mendatangkan pahala tetapi boleh menjejaskan kesihatan terutama sistem penghadaman kerana mengambil makanan berat sebelum tidur.
Selain amalan sepanjang Ramadan, sambutan hari raya juga banyak yang tidak selari dengan ajaran sebenar Islam.
Allah menganugerahkan hari raya untuk hamba-Nya bergembira tetapi ada antara kita menjadikan hari raya hari kesedihan.
Amalan menziarahi kubur untuk mengingati kematian dan ia tidak seharusnya dilakukan hanya ketika hari raya untuk mengundang kesedihan.
Amalan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Hari raya untuk bergembira dan dalilnya kita diharamkan berpuasa pada hari raya pertama, katanya.
Selain itu, ibu bapa tidak seharusnya mudah mengalah dengan tindakan anak yang enggan mengikut mereka menziarahi sanak saudara pada hari raya semata-mata hendak menonton televisyen. Akibatnya nanti, anak tidak kenal saudara mara.
berita harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan