05 Ogos 2012

Chong Wei minta maaf, peminat tabik

16 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - "Saya minta maaf". Itulah kata-kata daripada Datuk Lee Chong Wei selepas gagal memperoleh emas dalam acara badminton perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik di London, malam ini.

Beliau berkata demikian selepas sekali lagi gagal di tangan Lin Dan yang memperoleh emas pada 2008 di Beijing.

Susulan mesej itu, yang ditulis menerusi akaun twitternya kira-kira jam 9.55 malam tadi (waktu Malaysia), Chong Wei ‏pilihan pertama Sukan Olimpik 2012, menghantar mesej susulan 15 minit kemudian dengan antara lain berkata:

"Terima kasih kepada semua. Saya minta maaf. Saya tidak dapat kutip emas (kali ini)."

Bagaimanapun penyokong dan peminatnya menolak mesej itu sambil ada yang menjawab Chong Wei, yang turut menitiskan air mata selepas perlawanan, tidak wajar meminta maaf.

Sebahagian mereka menegaskan, beliau telah mempamerkan permainan yang cemerlang dan wajar dianggap sebagai 'pemain memperoleh emas.'

Seorang pengikut Chong Wei bernama Lim Yee Wai berkata, "anda sentiasa menjadi hero saya, anda telah menyatukan sebuah negara, tidak kira kaum, agama, warna atau gender. Setiap orang di belakang anda."

Seorang lagi peminatnya, Lina Shabbir berkata, "‏@limbo88 @Lee_C_Wei Wai Lim, saya bersetuju dengan anda, 100 peratus! Setiap orang di belakang anda, Chong Wei, anda emas yang berharga bagi Malaysia. Tahniah, permainan yang baik!"

Penyanyi tersohor Siti Nurhaliza juga melahirkan reaksi beliau.

Katanya, "Terharu dan bangga dgn semangat Datuk! Datuk kebanggaan Kami Rakyat Malayaisa."

Peminat bernama Yann Herng menasihatkan Chong Wei tidak wajar memohon maaf.

"Datuk hentikan itu!!!!!! Henti daripada memohon maaf!!! Anda sudah pun menjadi satu emas dalam hati 28 juta orang (rakyat Malaysia)," katanya.

Afnan Syuwari pula berkata, "tidak kira apa, anda hero saya dan kami sangat bangga dengan anda."

sinar harian/-

Tiada ulasan: