09 April 2010

LAWATAN LAJNAH TANAH & PEMBANGUNAN WILAYAH PAS PUSAT KE NEGERI KEDAH

24 Rabiulakhir 1431H.
Azni Mohamed Zamri




Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat yang di Pengerusikan oleh Sdr. Mazlan Aliman telah mengadakan lawatan sekaligus mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Kedah. Selain itu ikut sama dalam rombongan itu ialah AJKnya terdiri dari Hj.Zulkifli Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Hj. Razman Zakaria yang juga YDP PAS Kawasan Lenggong Perak dan Setiausaha Lajnah Sdr. Azni Mohamed Zamri.

Dalam sessi perjumpaan ini, MB Kedah, Ustaz Azizan melahirkan rasa sukacita dan berbesar hati dengan kunjungan Lajnah ini kerana beliau memaklumkan ini lah Lajnah yang pertama dari Pas Pusat yang membuat lawatan kerja ke Negeri Kedah.

Rombongan di berikan taklimat dan penerangan mengenai dasar dan kaedah yang di guna pakai oleh kerajaan yang diterajui oleh beliau dalam hal pengurusan tanah. Dalam taklimat ini juga wakil - wakil Peneroka Felda dari seluruh Negeri Kedah yang dijemput khas mengutarakan beberapa masalah berkaitan tanah dan mendapat perhatian dari Ustaz azizan dan beliau berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut.

Mazlan Aliman yang juga telah menyerahkan satu memorandom kepada Ustaz Azizan.



Pada sebelah malam pula Mazlan Aliman dan Hj Zulkifli Omar dijemput untuk berceramah di Kuala Ketil. Ceramah yang dianjurkan oleh Pas Kawasan Kuala Ketil ini dihadiri oleh sekitar 300 orang.

Rombongan jugadiberikan penghormatan bermalam di Kediaman Rasmi Menteri Besar.





Ketua Wanita MCA letak jawatan parti, k'jaan

23 Rabiulakhir 1431H.

Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Ketua Wanita MCA.

Serentak dengan peletakan jawatan itu, Chew juga berkata dia akan melepaskan jawatan timbalan menteri wanita dan pembangunan masyarakat yang disandangnya.

Beliau juga mengumumkan akan melepaskan jawatan senator.

Pada pemilihan parti itu pada 28 Mac lalu, Chew berikrar akan melepaskan semua jawatannya jika perwakilan MCA memilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang terbabit dengan skandels seks DVD dilantik sebagai presiden.


Chua berjaya menumbangkan presiden ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dengan majoriti yang tipis.

Reaksi spontan Chew pada malam keputusan itu ialah beliau akan menagguhkan sebarang pengumuman sehingga Jawatankuasa Pusat Pergerakan Wanita MCA bermesyuarat.

Mesyuarat itu berlangsung hari ini.

Menjelang tengah hari, ratusan penyokongnya tiba di Wisma MCA, Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Chew.

Antara sepanduk dan kain rentang yang dibawa mereka, tertera "Berpegang kepada prinsip demi maruah wanita".

Semasa Chew tiba, penyokongnya terus melaungkan "Kami sokong anda", "Kami perlukan anda" dan "Jangan letak jawatan!".

Sokongan padu itu menyaksikan Chew menitiskan air mata. Beliau kemudiannya menghabiskan kira-kira 30 minit dengan penyokongnya sebelum menuju ke tingkat enam untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Malaysiakini/-

Lagi gempa di Papua New Guinea.

23 Rabiulakhir 1431H.


Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Papua New Guinea iaitu 858km barat laut Port Moresby pada pukul 10.33 malam semalam.

Jabatan Meterologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata gempa bumi itu, yang berlaku kira-kira 2,794km tenggara Kunak, Sabah, tidak membawa ancaman tsunami.

Kelmarin Seramai 21 penduduk Pulau Simeulue mengalami kecederaan dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang melanda Sinabang, Aceh, pada awal pagi semalam.

Mangsa yang cedera, akibat terkena runtuhan tiang bangunan, diberi rawatan oleh pasukan perubatan di khemah sementara di Desa Gunung Putih, Teluk Dalam, Simeuleu.

MURSYIDUL AM YANG SAYA KENALI

23 Rabiulakhir 1431H.
Wan Nik Yusuf

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS - sentiasa mengutamakan agama dalam berpolitik.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah 2:253,

تِلۡكَ ٱلرُّسُلُ فَضَّلۡنَا بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬‌ۘ مِّنۡهُم مَّن كَلَّمَ ٱللَّهُ‌ۖ وَرَفَعَ بَعۡضَهُمۡ دَرَجَـٰتٍ۬

Maksudnya : "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan"

Selaku pemimpin yang mempunyai sifat ulamak, nilai kepimpinannya adalah religiously charismatic. Peribadi kehidupannya sentiasa mengutamakan ajaran agama. Penampilannya pula adalah berwatak alim, warak, sederhana dan mesra. Dalam menjalankan tugas, keputusannya mengutamakan hukum syarak dan syura. Pengarahannya adalah berpandukan maklumat yang dicari mahu pun yang diberitahu. Pada usia yang menghampiri 80 tahun, fikiran dan fizikal masih kental.

Walaupun upaya fizikalnya memerlukan pengawasan perubatan.Demikianlah rangkap huraian atas tokoh yang dikenali umum, yang terserlah sejak tahun 60-an sampai kini dihormati kekal menerajui Majlis Syura Ulamak melalui jawatan Mursyidul Am sejak dilantik selepas Tuan Guru Yusof Rawa kembali ke rahmatullah.Pada 29 Mac lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS. Atas pelantikan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz kini memasuki tahun ke-20 selaku Menteri Besar Kelantan dilihat telah melonjak keyakinan jemaah menghadapi segenap cabaran perjuangan.

Meskipun pelantikan tersebut atas sifat penerusan dan pemerkasaan Majlis Syura selepas Pendaftar Pertubuhan mengesahkan pindaan Perlembagaan PAS 2009 lalu, ia tetap dilihat penting untuk PAS selaku sebuah gerakan Islam yang mengutamakan kepimpinan berteraskan religiously charismatic. Oleh sebab itu, ramai berpendapat kekuatan institusi Majlis Syura dan jawatan Mursyidul Am adalah nilai keagamaan dan kekudusan sifat kepimpinan tertinggi parti dalam membayangi segala keputusan dasar, strategi, pelaksanaan dan pemantauan seluruh organ parti PAS.

Justeru itu, segala penghormatan, pengharapan dan pengupayaan PAS ada jawapannya di sebalik siapa orangnya yang dilantik selaku Mursyidul Am. Hakikatnya jawapan itu ada pada diri Tuan Guru Nik Abdul Aziz setakat mana yang saya kenal dan sepanjang waktu berada bersamanya di dalam jemaah.

Sehubungan itu, kekaguman saya secara peribadi terhadap bukti-bukti religiously charismatic beliau dapat ditampilkan dan disebut di sini. Antaranya adalah selalu memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan yang berceramah agar bersembahyang Maghrib/Isyak berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah, sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah, semasa berceramah mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja, dan akan mengingatkan tempat untuk bersembahyang apabila bermusafir.

Religiously charismatic boleh difahami sebagai kehebatan mengamalkan prinsip kehidupan selaku pemimpin yang bijaksana dan kental berpegang kepada ajaran Islam. Ia tidak berlaku di kalangan pemimpin biasa atau orang awam. Hakikat sifat keulamakan yang zahir dalam diri rohani dan jasmani Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan manifestasi religiously charismatic. Meskipun, charismatic difahami sebagai sifat pemimpin yang berupaya mencetus kuasa penarik untuk orang ramai menerima dan menghormatinya, namun apabila charismatic itu diikat dengan religiously, maka kekuatan amalan kepimpinan yang berkarisma itu sebenarnya adalah berteraskan ajaran agama yang merupakan satu anugerah Ilahi yang memantapkan kepimpinan seseorang.

Nilai religiously charismatic itu boleh dipadukan dengan ketentuan Allah SWT di dalam mencipta seseorang itu menjadi pemimpin menuruti lunas-lunas agama. Sesuai dengan firman Allah:

عَلَىٰ بَعۡضٍ۬‌ۘ مِّنۡهُم مَّن كَلَّمَ ٱللَّهُ‌ۖ وَرَفَعَ بَعۡضَهُمۡ دَرَجَـٰتٍ۬

Bermaksud, “Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan”

Justeru itu, kelebihan yang Allah kurniakan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah antara yang mungkin dikurniakan kepada para ulamak masyhur yang lain. Oleh itu, nilai karismatiknya adalah terserlah dalam perkara amalan kepimpinan yang dilihat tidak ada pada pemimpin yang sekular.

Dalam konteks memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, nilai karismatiknya adalah kehebatan seseorang pemimpin itu menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Ia bertujuan untuk mendidik rakyat berteraskan lunas yang jelas, iaitu kalimah Allah SWT. Hal ini saya yakin tidak mampu dilakukan oleh pemimpin yang tidak komited dengan Islam (tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai ibadat harian). Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Aku tinggalkan untuk kalian dia perkara. Kalian tidak akan sesat selama berpegang dengannya, iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Rasulullah SAW” (Riwayat Muslim); “Barang siapa membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya satu pahala dan satu pahala digandakan sepuluh kali” (Riwayat at-Tirmizi).

Begitu pula, langkah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan agar bersembahyang Maghrib/Isyak secara berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah. Kelebihan di sebaliknya adalah mengandungi makna besar sebagai pemimpin yang berjuang di medan politik-dakwah. Ia akan menzahirkan keupayaan pemimpin boleh menjadi imam atau maamun sembahyang di mana-mana tempat bersama-sama rakyat. Sekali gus membuktikan integriti beragama yang secara peribadinya selalu menjaga sembahyang berjemaah dan menjaga serta mendirikan sembahyang sebagai paksi dan tiang beragama.

Pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini adalah selari dengan sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Sembahyang jemaah pahalanya melebihi sembahyang sendirian dengan dua puluh darjat” (Mutafaq’alaih); “tiga orang yang diredai Allah iaitu seorang yang pada tengah malam bangun dan sembahyang, suatu kaum (jemaah) yang berbaris untuk sembahyang, dan satu kaum berbaris untuk berperang” (Riwayat Abu Ya’la).

Hakikat ini akan membezakan pemimpin Islam dengan pemimpin sekular, kerana pemimpin yang sekular akan menepikan amalan sembahyang, lebih-lebih sembahyang berjemaah.

Sementara kehidupan seorang yang warak sudah pasti sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah. Bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku pemimpin jangan tak berzikir, kerana semasa berzikir kita akan dekat dengan Allah. Amalan zikir ini tidak diajar oleh demokrasi, kerana ia tiada dalam aturan demokrasi. Melainkan dalam Islam yang mengajar kita berzikir. Dimulakan dengan Bismillah dan sebutlah sentiasa nama-nama Allah dan diikuti dengan selawat kepada junjungan Nabi. Seruan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini selari dengan sunah Nabi, sebagaimana sabdanya bermaksud, “tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya dari azab Allah daripada zikrullah” (Riwayat Ahmad); “perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

Demikian pula, semasa berceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja. Pendekatan ini dikira menepati dengan uslub dakwah yang mengambil kira semua pendengar dapat menerima atas lunas keislaman bukan kepartian. Jika banyak menyebut parti, mungkin akan ada sebahagian pendengar akan rasa tersinggung atau menolak hujah yang disebut semasa berceramah. Ia berbeza, apabila hujah agama dijadikan sandaran, maka tidak akan ada orang menolak agama. Apabila mereka memahami agama, dan agama yang difahami itu adalah Islam, maka sampai masanya parti yang memperjuangkan Islam akan dapat difahami dan diterima.

Selanjutnya, sifat pemimpin Islam adalah mengutamakan sembahyang kerana ia tugas wajib hamba kepada Tuhan Yang Maha Pencipta. Sebenarnya bukan sifat pemimpin Islam apabila berpergian (bermusafir), ibadat sembahyang dikemudiankan, sebaliknya mengutamakan makan-minum ketika berpergian. Saya teringat, betapa Arwah Ustaz Bunyamin Yaakob membandingkan kehebatan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja naik kereta untuk berpergian, maka akan disebut kepadanya ‘masjid mana kita nak berhenti sembahyang’.

Sebaliknya, ada seorang pemimpin besar PAS yang lain, sebaik sahaja berpergian perkara pertama yang disebut ialah ‘kita nak berhenti makan di mana’. Demikian cerita Arwah Ustaz Bunyamin. Maka, pengajaran besar bagi setiap ahli dan pemimpin di jalan politik-dakwah ialah mengingatkan tempat untuk bersembahyang dan menunaikan sembahyang sewaktu bermusafir diyakini akan mendapat berkat Allah SWT di sepanjang perjalanan, sehinggalah kita semua akan sampai dengan selamatnya ke tempat yang dituju.

Ia sesuai dengan amanat Rasulullah SAW apabila menghantar orang-orang mukmin yang akan memulakan perjalanan, baginda bersabda, “semoga Allah membekali kamu dengan takwa, mengarahkan kamu kepada segala kebaikan, melaksanakan bagi mu segala keperluan mu, menyelamatkan agama dan dunia mu, mengembalikan kamu pulang dengan selamat dan memperoleh keuntungan” (Riwayat Ibnu Babawih).

Demikianlah perspektif yang dapat ditonjolkan atas nilai-nilai religiously charismatic kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan sebagaimana usia saya mengenali, mendampingi dan mendapat bimbingannya. Serlahan kepimpinan itu selayaknya akan ramai lagi pemimpin Islam, khasnya kalangan pemimpin parti PAS yang mengikut jejak ilmu politik-dakwah dan keperibadian hidup ibadatnya.

Selayaknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi kepercayaan untuk meneruskan tugas kepimpinan Majlis Syura PAS dengan jawatan Mursyidul Am, kerana ia memenuhi ciri-ciri Kepimpinan Ulamak yang menguruskan gerakan politik-dakwah, menyambung urusan sunah Nabi––memartabatkan agama dan mengurus-tadbir dunia dengan agama–– dalam era kecanggihan dunia yang mencabar ini.

Wan Nik Yusuf
Setpol
YAB MB Kelantan

Najib sahkan calon BN dari MIC.

23 Rabiulakhir 1431H.

Perdana menteri 1Malaysia mengesahkan Barisan Nasional akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Najib berkata ini selaras dengan semangat setiakawan dalam BN memandangkan kerusi itu adalah milik MIC sebelum ini.

"Sebab itu adalah kerusi MIC. Kita dalam Umno, MCA PPP Gerakan akan sokong calon Barisan Nasional tapi saya minta satu biarlah calon itu ditentukan oleh (beliau selaku) Pengerusi Barisan Nasional sebab saya nak kita menang," katanya pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor di sini semalam.

Konvensyen itu disebelah pagi menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai mengesahkan bahawa antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

21 Orang Cedera Akibat Gempa Di Aceh

JAKARTA: Seramai 21 penduduk Pulau Simeulue mengalami kecederaan dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang melanda Sinabang, Aceh, pada awal pagi semalam.

Mangsa yang cedera, akibat terkena runtuhan tiang bangunan, diberi rawatan oleh pasukan perubatan di khemah sementara di Desa Gunung Putih, Teluk Dalam, Simeuleu.

Berdasarkan maklumat agensi berita ANTARA dari Simeulue, empat daripada mangsa-mangsa itu mengalami cedera parah.

Sehingga ini, belum ada laporan kematian akibat kejadian pada pukul 5.15 pagi itu.

Timbalan Gabenor Aceh, Muhammad Nazar, telah melawat mangsa yang dirawat di pusat rawatan sementara yang terletak di kawasan terbuka sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku gempa susulan di wilayah kepulauan itu.

Muhammad Nazar dipetik sebagai berkata bekalan elektrik di kawasan Simeulue telah terputus berikutan kira-kira 30 tiang kabel elektrik tumbang di atas jalan raya.

Katanya bekalan elektrik dijangka dapat dipulihkan dalam masa beberapa hari lagi.

Gempa bumi itu merupakan yang terbesar sejak gempa bumi berkekuatan 8.9 pada skala Richter yang disertai tsunami di Aceh pada 26 Disember, 2004. Dalam kejadian 2004 itu, lebih 200,000 penduduk Aceh terkorban.-BERNAMA

Projek Pengubahsuaian Ubah Hidup Penduduk di Bandar Kashi Xinjiang (1).



23 Rabiulakhir 1431H.

Bandar Kashi mempunyai sejarah selama lebih 2,000 tahun. Ia terletak paling barat di China memainkan peranan penting dalam bidang lalu lintas antara Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Barat dan Eropah. Kawasan lama di Kashi didirikan semula selepas bencana gempa pada tahun 1902. Ia merupakan sebuah kawasan yang mempunyai ciri budaya Islam dan satu-satunya yang masih terpelihara dengan utuh di China. Antaranya, kebanyakan penduduk tempatan tinggal di rumah yang dibina di bukit tanah kuning yang tingginya lebih 40 meter.

Struktur rumah itu kebanyakannya dibina menggunakan tanah campur kayu. Rumah mereka bukan sahaja dijadikan tempat kediaman, malah disediakan sebagai "kilang" kraftangan kopiah Uygur, barang tembikar, alat muzik dan permaidani. Bangunan-bangunan di kawasan itu bersambung seperti pagar sesat. Jalannya berliku-liku dan berselirat. Jalan yang paling lebar hanya selebar 6 meter, manakala yang paling rapat kurang daripada 1.5 meter yang tidak boleh menampung kenderaan motokar. Keadaan ini memang mengundang bahaya. Oleh sebab itulah, "Rancangan projek pengubahsuaian perumahan lama di kawasan lama Kashi Xinjiang" telah dicadangkan kerajaan pusat China pada penghujung tahun 2008. Menurut rancangan tersebut, bandar Kashi akan dibina menjadi "pusat pelancongan dan perdagangan yang menghadapi Asia Tengah dan Asia Selatan."







Pegawai kerajaan bandar Kashi yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut, Aishajiang menyatakan:

"Sebanyak lebih 7 bilion yuan RMB telah diperuntukkan kepada projek tersebut. Kawasan lama Kashi akan dibahagikan kepada 28 bahagian. Sebanyak 49,083 buah rumah yang berbahaya dan lama akan diubahsuai dalam tempoh lima tahun. Selain itu, pembinaan rumah sementara, infrastruktur dan pembaikan keadaan lalu lintas juga dijalankan seiring dengan proses projek tersebut."

Menurut beliau, mencegah bencana gempa bumi, membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup rakyat, memelihara dan mewariskan kebudayaan etnik Uygur akan digabungkan dalam projek tersebut. Itulah sebabnya pembangunan bandar dalam jangka masa panjang dipertimbangkan supaya lebih bermanfaat bagi kehidupan penduduk tempatan.

Kawasan lama Kashi mendapat pemeliharaan di peringkat negara kerana ia merupakan bukti yang menonjol dan masih wujud bagi tamadun zaman purba Kashigar yang memberi pengaruh penting kepada Asia Tengah, Asia Barat bahkan seluruh dunia. Oleh kerana itu, lebih 40 pasukan kerja telah dihantar oleh kerajaan tempatan menjelang permulaan projek pengubahsuaian kawasan tersebut untuk meninjau dan menyelidik keadaan perumahan sekarang penduduk di kawasan lama Kashi. Pandangan dan permintaan penduduk dapat didengar dengan teliti oleh pihak berkuasa. Tindakan ini bukan sahaja menyediakan rujukan kepada penggubalan dasar, malah menjadikan penduduk tempatan lebih mengetahui dan memahami tujuan projek tersebut sehingga mendapat sokongan rakyat.

Pegawai cawangan UNESCO di Beijing, Puan Karl Beth memberi perhatian terhadap projek tersebut dan melakukan tinjauan ke tempat itu. Beliau berkata:

"Kashi ialah satu tempat yang menarik. Kawasan lama bandar itu ialah kawasan kediaman yang benar-benar menceritakan tentang etnik Uygur. Maka, bagaimana cara untuk mengekalkan suasana kawasan itu amat penting. Tindakan kerajaan China mengubahsuai kawasan lama Kashi dengan menggunakan modal yang banyak sangat mengagumkan. Pengalaman daripada projek tersebut boleh diperkenalkan dan dipelajari oleh tempat-tempat lain." CRI/-