21 Januari 2012

Perutusan Tahun Baru Cina Presiden PAS

27 Safar 1433H. [MOD] -
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di seluruh dunia minggu ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan selamat menyambut hari kegembiraan tersebut. Perayaan yang turut melibatkan majlis makan besar dalam keluarga besar merupakan satu nilai positif yang juga turut disanjung ajaran Islam. Islam juga menggalakkan hubungan kekeluargaan dipereratkan, malah jika sudah memeluk Islam sekalipun, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus khususnya dengan kedua ibu bapa mereka.

Apa yang malangnya ialah pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap. Malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.

Masyarakat Tionghua di Malaysia merupakan kelompok kedua terbesar di negara ini dan memberi kesan terhadap politik dan sosial negara. Perubahan yang mereka lakukan dalam pilihanraya ke-12 yang lalu membuka lembaran baru politik negara yang menyentak keselesaan pemerintah di peringkat pusat. Perubahan yang dilakukan adalah untuk melihat negara maju ke hadapan dan keluar daripada politik usang yang menindas, diskriminasi dan zalim kepada rakyat kepada politik yang adil dan saksama sesama rakyat.

Namun ianya belum cukup merubah keseluruhan sistem 'usang' negara dan menginsafkan pemimpin pusat yang terus menerus menindas negeri-negeri dan rakyat. Maka tibalah masanya kita membuat perubahan total diperingkat kerajaan pusat. Maka sekali lagi masyarakat Tionghua adalah penting dalam mengekalkan dan meningkatkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat dan seterusnya bersama membina negara yang adil untuk semua.

PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur. PAS juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Gong Xi Fa Cai kepada semua.

Presiden PAS

Akhbar Australia lapor Rosmah 'berbelanja besar'

27 Safar 1433H. [MOD] -


Tabiat berbelanja besar seorang lagi anggota keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menarik perhatian media Australia hari ini - kali ini di Sydney.

Dalam seksyen 'Private Sydney' akhbar Australia Sydney Morning Herald, kolumnis Andrew Horney memanggil Rosmah sebagai "first lady of shopping', kerana dikatakan telah membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney.

Memetik pereka fesyen Sydney Carl Kapp, kolumnis itu melaporkan bahawa "pelanggan terbesar" Kapp telah membelanjakan jumlah yang mengejutkan sewaktu "percutian peribadi" di sana "sekitar dua minggu lalu".

darling hotel sydney australiaMenurut kolum tersebut, Rosmah dan Najib, semasa cuti tersebut,
menginap di penthouse A$20,000 (RM65,100) semalam (kanan) di Hotel Darling.

Dengan tajuk 'Super Kerr Now a Model Citizen', kolum itu turut melaporkan bahawa Rosmah telah meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan Kapp ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Oktober lalu, anak perempuan Najib, yang tidak dinamakan, telah dilaporkan oleh akhbar Western Australian telah berbelanja mewah di David Jones di Perth semasa Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM).

Akhbar itu kemudiannya membuat pembetulan kepada laporan tersebut, dengan memetik sumber tanpa nama, selepas Najib berkata anak perempuannya tidak berada di Perth pada masa itu. Malaysiakini/-

'Aku Jimat' muncul permainan kedua paling popular

27 Safar 1433H. [MOD] -

Suatu permainan Apple, yang dipercayai diilhamkan dari watak isteri perdana menteri, kini muncul sebagai permainan kedua paling popular di kalangan aplikasi berbayar Malaysia.

NONEMungkin dengan mengambil kesempatan daripada tumpuan media terhadap permainan Aku Jimat, syarikat yang membangunkan permainan elektronik itu, Antartica Group, kini mengenakan bayaran AS$0.99 bagi setiap muat-turun.

Harga baru untuk versi 1.1 permainan itu, yang memaparkan watak kartun yang mirip Datin Seri Rosmah Mansor, lengkap dengan model rambutnya, dikenakan semalam.

Permainan tersebut, yang merupakan satu-satunya yang dibangunkan oleh syarikat berkenaan, dan boleh didapati di Apple App Store untuk pengguna iPod, iPad dan iPhone, telah dilancarkan pada 17 Januari.

Ia mendapat perhatian media pada 19 Januari dan terus menjadi rebutan muat-turun permainan tersebut.

Sehingga ini, 154 orang telah memberi permainan tersebut penarafan lima bintang.

Menurut syarikat pemajunya, permainan itu adalah "untuk mendidik anak-anak kepentingan menabung” sejak kecil dan “lebih awal jika seseorang berjimat maka, lebih banyak yang dapat dikumpulkan”.

NONEDengan tabung berbentuk seekor kucing, pemain dikehendaki menyambut duit syiling bernilai US$1000 (RM3,100) setiap satu yang digugurkan bagi membuat pembelian - sama ada sebuah rumah bernilai US$5,000,000 (RM15, 000,500) atau kereta berharga US$300,000 (RM10,000).

Pengguna juga boleh membeli mana-mana sembilan beg tangan yang ditawarkan, bernilai antara US$ 9,000 hingga US$ 110,000 (RM27, 900 hingga RM440,000) atau juga cincin berlian bernilai US$24 juta (RM74 juta).

Setiap syiling bernilai $1,000 tetapi jika seseorang itu bernasib baik, jongkong emas bernilai $1,000,000 akan digugurkan.

Pemain bagaimanapun mesti berhati-hati untuk mengelakkan diri mereka daripada terkena bom.

Ini kerana bagi setiap kali mereka terkena bom, tambahan umur setahun akan dimasukkan kepada pemain dan seseorang dipaksa untuk "bersara" pada usia 99 tahun.

Malaysiakini/-

Beberapa laluan lebuh raya PLUS bergerak perlahan

27 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Trafik menghala keluar ibu negara bergerak perlahan hari ini berikutan warga kota mula meninggalkan kediaman masing-masing untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut Isnin ini.

Jurucakap PLUSLine ketika dihubungi berkata, berlaku peningkatan trafik di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke arah utara dan selatan.

Beliau berkata, antara laluan yang dilapor bergerak perlahan ialah dari Nilai ke Seremban, Kota Damansara ke Bukit Lanjan, Sungai Buloh ke Bukit Tagar dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Malim ke arah utara.

"Trafik mula perlahan dari Jawi ke Bukit Tambun kerana terdapat kemalangan yang berlaku menghala ke persimpangan plaza tol Bukit Tambun...di sebelah selatan trafik mula sesak di Lebuhraya Link Kedua menghala ke Johor Bahru namun pergerakan masih lancar," katanya.

PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan bijak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan pada musim perayaan ini. - BERNAMA

Gempa bumi 5.7 magnitud gegar timur Indonesia

27 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.7 skala Ritcher menggegarkan sebahagian timur Indonesia, awal pagi tadi, lapor Agensi Meteorologi dan Geofizik tempatan.

Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa yang berlaku pada jam 5.50 pagi itu berpusat kira-kira 128 kilometer di Pulau Sangihe, utara Maluku dengan kedalaman 59 kilometer dari aras laut.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami atau kecederaan dilaporkan.

8 terbunuh serangan pemberontak di utara Nigeria

27 Safar 1433H. [MOD] -

KANO: Beberapa siri letupan bom yang mensasarkan pasukan keselamatan di bandar kedua terbesar Nigeria, di sini, membunuh sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk seorang pengebom berani mati di pejabat polis di sini, semalam.

Bandaraya Kano, bandar terbesar di utara yang didiami sebahagian besar masyarakat Islam, bergolak apabila kira-kira 20 letupan dan beberapa tembakan kedengaran di sekitar bandar itu yang mensasarkan lapan pejabat polis dan imigresen termasuk kediaman penduduk.

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung pihak yang mendalangi serangan terbabit.

Sementara itu, pihak polis tempatan mengesahkan lapan kawasan diserang kumpulan pemberontak, termasuk ibu pejabat polis dan wilayah. - AFP

Pelukan terakhir.


27 Safar 1433H. [MOD] -Pelukan terakhir: Mohd Faizal Jaafar bersama isterinya, Rohana Ahmad memangku jenazah anak mereka Muzaffar, 3 bulan, sebelum dikebumi semalam. Muzaffar dan seorang lagi bayi meninggal ketika dalam jagaan pengasuh di Taman Pertama, Ampang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tahun Naga Tahun Untuk Berubah

27 Safar 1433H. [MOD] -

Saya bagi pihak PAS Sarawak ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua masyarakat cina. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita akan melihat suatu perubahan yang lebih baik dari tahun yang lalu.

Menurut kepercayaan Cina, Naga adalah salah satu daripada 12 haiwan dalam zodiak Cina yang digunakan untuk menetapkan tahun dalam kalendar Cina. Ianya berpendapat bahawa setiap haiwan dikaitkan dengan personaliti tertentu. Tahun Naga biasanya yang paling popular untuk melahirkan bayi.Terdapat lebih banyak bayi yang dilahirkan pada tahun-tahun Naga daripada mana-mana binatang yang lain dalam tahun Zodiak.

Walau apapun kepercayaan masyarakat kita, sebagai rakyat Malaysia kita harus saling hormat menghormati antara kaum agar kita dapat hidup dalam rukun damai tanpa ada perasaan prejudis diantara satu sama lain. Kita juga seharusnya menghormati adat dan pantang larang agama masing-masing agar tidak timbul salah faham dalam pergaulan kita seharian dalam masyarakat yang berbilang bangsa.

Semoga dengan kerjasama dan kesepakatan dalam memperjuangkan keadilan, kita mampu mengubah system pentadbiran negara ke arah yang lebih baik dan adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Kepada mereka yang balik kampung, hati-hati di jalanraya agar selamat sampai ke destinasi masing-masing. Semoga kita dapat merayakan tahun baru ini dengan perasaan harmoni antara kaum.

Gong Xi Fa Cai kepada semua masyarakat Cina

Jofri Jaraiee
PAS Miri