24 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan tidak lama lagi. PAS disarankan untuk memainkan peranan yang lebih menonjol kali ini sebab kali ini tumpuan akan diberikan kepada pengundi kaum Melayu.
Pengundi kaum Melayu juga adalah golongan yang terbesar dan oleh itu peranan mereka sebagai mempunyai undi penentuan adalah betul dan benar. Namun demikian, sokongan dari kaum bukan-Melayu tidak boleh diabaikan sebab sokongan mereka juga penting dan diperlukan di kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai demografi campuran.
Memandangkan situasi adalah sedemikian rupa, PAS harus menumpukan fokus mereka kepada isu-isu eknonomi selain daripada isu-isu agama. Ini adalah sebab kaum Melayu juga merupakan golongan orang miskin yang terbesar di negara ini. Isu-isu ekonomi ini boleh diketengahkan oleh ahli-ahli professional dalam PAS seperti Dr. Hatta Ramli, Dr. Dzulkefly Ahmad, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Salahuddin Ayub.
Apabila rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu nampak bagaimana PAS cenderung untuk berjuang demi kebaikan rakyat bukan sahaja dari segi agama bahkan juga dari segi kehidupan di dunia harian, maka lebih ramai lagi orang (bukan sahaja orang Melayu bahkan juga orang-bukan Melayu) yang akan menyokong PAS.
Bukan sahaja isu perihal akhirat yang perlu diberi perhatian oleh PAS tetapi isu perihal dunia juga mesti dititikberatkan supaya rakyat boleh nampak dengan mata mereka sendiri bahawa PAS adalah sebuah parti yang prihatin.
Sebagai sebuah parti yang prihatin dan untuk dapat menarik sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, PAS memerlukan pemimpin-pemimpin dari golongan ulama dan juga dari golongan professional untuk memacu parti ini ke masa depan yang lebih cemerlang.
Golongan ulama dan golongan professional mesti berganding bahu dan bekerjasama demi memantapkan kekuatan parti.
Pemimpin-pemimpin yang lantang bersuara juga amat diperlukan oleh PAS untuk menangkis serangan-serangan UMNO dan disini pemimpin-pemimpin seperti Datuk Mahfuz Omar, Ustaz Idris Ahmad, Khalid Samad, Khalil Idham Lim dan Mat Sabu adalah amat menyerlah.
Pemimpin-pemimpin PAS yang popular di kalangan orang bukan-Melayu juga diperlukan untuk menonjolkan PAS sebagai sebuah parti yang peramah terhadap semua bangsa dan di sini peranan ini boleh dimainkan oleh Nizar Jamaluddin, mantan Menteri Besar Perak yang selalu mendapat sambutan baik dari orang Cina semasa kempen pilihanraya kecil. Selain dari Nizar, terdapat juga Dr. Mujahid Yusof, Dr. Lolo Ghazali dan Dr. Siti Mariah yang semuanya popular di kalangan orang-bukan Melayu di kawasan Parlimen mereka masing-masing.
Justeru itu, dapat dilihat bahawa PAS mempunyai ramai pemimpin yang cerdik, pintar, berwibawa dan berbakat dan diharap pemimpin-pemimpin ini semua dapat memainkan peranan yang besar dalam PRU-13 dan masa depan parti ini demi kebaikan rakyat dan negara.
Semoga slogan 'PAS Untuk Semua' akan muncul sebagai satu slogan yang akan dapat dinikmati kesahihannya oleh rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dan oleh itu saya harap pemilihan parti yang akan dilangsungkan di Muktamar kali ini akan memberikan peluang kepada pemimpin-pemimpin ini untuk sama-sama berjuang untuk Islam dan juga untuk rakyat seluruh Malaysia.
Semoga Tuhan akan memberi ilham kepada semua perwakilan PAS untuk membuat pemilihan dengan cara yang bijak, berhemah dan bertanggungjawab.