27 Mei 2011

Yaman kian kacau bilau

24 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KEPULAN asap dilihat di Sanaa selepas pertempuran antara puak bersenjata dengan polis berhampiran rumah Sadeq.
Perang saudara mungkin meletus

SANAA: Perang saudara mungkin meletus di Yaman selepas pertempuran besar berlaku antara puak bersenjata dengan Pengawal Republikan yang memaksa Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa ditutup dan semua penerbangan dialihkan ke Aden di selatan negara itu, kelmarin.
Puak Arhab diketuai Abdul Majid Al-Zindani terbabit dalam pertempuran dengan tentera itu. Majid dikategorikan sebagai penyumbang kewangan pengganas oleh Amerika Syarikat dan sekatan dikenakan ke atasnya.

Akhbar Arab News turut melaporkan bahawa pertempuran turut meletus antara pasukan keselamatan dengan puak pembangkang yang setia kepada Sadeq Al-Ahmer sejak tiga hari lalu.

Saksi berkata, puluhan puak bersenjata itu terbunuh semalam dalam pertempuran dengan angkatan Pengawal Republikan yang terlatih di kawasan Al-Hasbah, berdekatan rumah Sadeq.

Kelmarin, penyokong Sadeq menawan bangunan Kementerian Perdagangan dan Pelancongan serta bangunan agensi berita kerajaan, Saba.

Beberapa ketua puak turut diserang ketika menguruskan gencatan senjata antara pasukan Sadeq dan kerajaan.
Pengawal Republikan bertindak menutup ibu negara itu dalam usaha menghalang puak bersenjata memasuki bandar itu.

Presiden Ali Abdullah Saleh berdepan desakan antarabangsa supaya berundur. Tetapi, pemimpin itu enggan bertolak ansur mahupun menerima sebarang tawaran.

“Kami akan berdepan dengan pihak menimbulkan kekacauan dengan apa saja cara,” katanya kepada wartawan asing. – Agensi

Tiada ulasan: