27 Mei 2011

BN masih gagal majukan OKU

24 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Kerajaan BN ternyata gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap orang kelainan upaya (OKU) sehingga menyebabkan golongan itu masih gagal mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Realiti itu menyebabkan golongan kelainan upaya di tanah air masih mengalami kerumitan untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberikan peluang oleh pelbagai pihak, walaupun mereka juga mempunyai kebolehan tertentu.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, sehingga kini penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU masih agak mendukacitakan, sehingga mereka hanya dianggap sebagai golongan yang hanya layak diberikan simpati.

Menurut beliau, disebabkan anggapan itu, golongan OKU masih tidak diberikan tempat yang sewajarnya untuk menjawat jawatan dan melakukan pekerjaan tertentu oleh pelbagai pihak terutama oleh syarikat-syarikat perniagaan dan tokoh-tokoh korporat.

Katanya, sedangkan golongan OKU tidak sepatutnya dianggap sedemikian, sebaliknya perlu diberikan peranan seperti golongan normal juga.

"Ini samalah seperti kata orang, yang buta menghembus lesung, yang capek menghalau ayam, yang kuat menumbuk padi, yang menggambarkan kepada kita bahawa semua manusia mempunyai peranan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan susulan majlis perbincangan meja bulat mengenai isu berkaitan orang kelainan upaya bersama pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kumpulan OKU anjuran Suhakam, bermula jam 9.30 pagi hingga 2.00 petang ini.

Menurut Mahmood, untuk mengubah perspeksi masyarakat berhubung perkara itu sememangnya rumit dan ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh bagi memberikan penerangan kepada pelbagai pihak.

Sebelum itu, seorang pembentang kertas kerja pada perbincangan meja bulat itu, Presiden Persatuan Orang Cacat Malaysia, Datuk Mah Hassan turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan kelemahan Kerajaan BN dalam membantu mempertingkatkan pencapaian OKU.

"Macam mana golongan OKU hendak dipertingkatkan pencapaiannya, kerajaan sendiri dah dua tahun tak menggantikan senator dari golongan OKU," katanya.

Sebelum itu, seorang lagi Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Profesor Khaw Lake Tee dalam sesi perbincangan itu menjelaskan, isu-isu mengenai hak OKU di Malaysia telah sering kali diketengahkan dan dibincangkan.

Katanya, walau bagaimanapun, sebagai salah satu kumpulan yang kecil serta yang paling mudah ditindas, hak-hak mereka seharusnya diperjuangkan dan dilindungi.

"Sebagai Negara Ahli kepada kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (United Nations' Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pihak kerajaan bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang yang memberi makna kepada Konvensyen tersebut.

"Malangnya, penguatkuasaan Konvensyen ini masih lagi di tahap yang menyedihkan," katanya kesal sambil menyarankan pihak kerajaan melipatgandakan lagi usaha ke arah mempertingkatkan kualiti hidup golongan OKU di tanah air.

Sementara itu, Cik Yeoh Joo Ai menjelaskan, OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

Beliau yang mewakili Jabatan Pembangunan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia ketika membentangkan kertas kerjanya berkata, WHO menganggarkan kadar peratus populasi OKU di antara 5 peratus hingga 10 peratus dalam sesebuah negara.

"Malaysia tidak mempunyai data komprehensif berkenaan dengan bilangan OKU. OKU berdaftar dengan JKM 325,189 orang sehingga Disember 2010," katanya.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

puspawangi berkata...

Lihat saja naib OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara..