IPOH, 23 April - Semua 59 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dijangka mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang dijadualkan pada jam 3.00 petang Jumaat ini.
Persidangan itu yang pertama selepas kerajaan campuran Pakatan Rakyat ditubuhkan apabila DAP memenangi 18 kerusi, PAS (6) dan Parti Keadilan Rakyat (7) pada pilihan raya umum lepas manakala Barisan Nasional (BN) hanya menang 28 kerusi.
Persidangan itu akan turut menyaksikan pemilihan dan upacara angkat sumpah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta timbalannya.
ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong masing-masing dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN dan Timbalan Speaker.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham pada Isnin lepas berkata, nama Sivakumar dan Hee diusulkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Sekiranya Sivakumar, 38, dan Hee, 45, terpilih sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Jumaat ini, ia mencatatkan satu sejarah tersendiri kerana Sivakumar bakal menjadi kaum India pertama yang dilantik mengisi jawatan itu manakala Hee dipercayai golongan orang kurang upaya (OKU) pertama terpilih sebagai Timbalan Speaker.
Hee yang tempang selepas diserang penyakit polio ketika berusia empat tahun, juga bakal menjadi wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Perak.
- Bernama