IPOH, 23 April - Semua 59 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dijangka mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang dijadualkan pada jam 3.00 petang Jumaat ini.
Persidangan itu yang pertama selepas kerajaan campuran Pakatan Rakyat ditubuhkan apabila DAP memenangi 18 kerusi, PAS (6) dan Parti Keadilan Rakyat (7) pada pilihan raya umum lepas manakala Barisan Nasional (BN) hanya menang 28 kerusi.
Persidangan itu akan turut menyaksikan pemilihan dan upacara angkat sumpah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta timbalannya.
ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong masing-masing dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN dan Timbalan Speaker.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham pada Isnin lepas berkata, nama Sivakumar dan Hee diusulkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Sekiranya Sivakumar, 38, dan Hee, 45, terpilih sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Jumaat ini, ia mencatatkan satu sejarah tersendiri kerana Sivakumar bakal menjadi kaum India pertama yang dilantik mengisi jawatan itu manakala Hee dipercayai golongan orang kurang upaya (OKU) pertama terpilih sebagai Timbalan Speaker.
Hee yang tempang selepas diserang penyakit polio ketika berusia empat tahun, juga bakal menjadi wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Perak.
- Bernama
- Bernama
2 ulasan:
AlhamdulilLah,... semoga semua yang dilantik dapat memikul amanah dan menunaikannya dengan baik dan cemerlang.
Sentiasa beringatlah bahawa sebelum seseorang itu layak bergelar Yang Berhormat (YB), maka dia terlebih dahulu perlu menjadi Yang Berkhidmat (YB) kepada rakyat dengan adil, amanah, dan ehsan. Baru dia mendapat penghormatan dari rakyat yang membolehkannya digelar dengan Yang berhormat.
Bukan, khidmat entah ke mana, pengorbanan dan keprihatinan kepada raiyat jauh langsung, tapi asyik duk syok dengan 'title YB'.
Apapun, saya percaya dan berharap semua wakil2 rakyat dari PR dapat berkhidmat dan menjadi qudwah hasanah kepada rakyat.
Ar-rasul (SAW) pernah berpesan yang mafhumnya ... sesungguhnya yang terbaik di antara kamu ialah orang yang baik/banyak manafaatnya (khidmatnya) kepada masyarakat!
Sekian, wassalam.
terima kasih dengan ingatan anta.
Catat Ulasan