26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).
(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin
Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam
nescaya aku menerimanya).
Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika
Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan.
Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan
khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan
menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan
mentah, tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya
yang sangat mulia.
Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada
Qabilah Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan
Makkah bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal
mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan
bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais
berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa
kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.
Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang
berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan
tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu
muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan
membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah S.A.W. bersabda tersebut diatas dengan huraiannya : (
Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam
pun nescaya aku menerima dan menyertainya).
Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).
(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang
beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak
memungutnya).
Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima
persefahaman tersebut , walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin
jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan
kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam,
seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh,
perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian
antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam.
Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).
(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala
syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang
halal dan menghalalkan yang haram).
PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum
tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya
dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala
keputusan dan langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS
tidak boleh disamakan dengan UMNO.
Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat
berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak
berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’
Ulama dan Qias.
Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah
hubungan Tahaluf yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat
adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf Siyasi yang
diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.
Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan
pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan
demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan
ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan
kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan,
menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan
jenayah.
Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional
mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa
yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak
membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab
tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan
yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.
Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan
semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi
jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar.
Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat
gatal.
Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik
wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang
sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara
hantu yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan
sebanyak-sebanyaknya.
Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus
keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka
yang menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan
yang diletak diatas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan
permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi
bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah
walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.
PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang
pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya
menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan
Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat
Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan
tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut
batas-batas Allah.
PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan
Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan
keputusan Muktamar Khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf
siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya,
termasuk ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.
Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan
selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan
darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas
parlimen dan pilihanraya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara
ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama
dengan UMNO.
Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah
kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak
menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya.
Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.
PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu
Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula
mengadakan kerjasama dengan DAP.
Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan
Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46,
Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan tahaluf siyasi
bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO.
Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.
PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi
khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya
bimbang PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.
Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama-
sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar
dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak
bermaya di Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.
Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS,
kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman
dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.
Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah
rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di
awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan
Kelantan setelah PAS ditendang keluar.
Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera
kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan
bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera
pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.
Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu
Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan
sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan
kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999
walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.
Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga
negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin
Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun
dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang
dilaksanakan selama ini.
Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok
yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media
berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan
menemui kegagalan.
Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan
hukum Hudud laksana ayam jantan kukuk berderai pada hal ekornya
bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah
penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa
diperingkat negeri dan pusat.
Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam
tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga
ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai
semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi
akidah dan teras kepada semua amalannya.
Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah
oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga
kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang
pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.
Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999
sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS
dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik
menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu
dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan
pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.
Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan
negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu
dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan
kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti
Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan
Melayu dan Islam anutannya.
Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan,
percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang tersebut dan
hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.
Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada
sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media
yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap
berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah.
Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah
mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan
berseorang diri dan memencilkan diri.
Pesanan Rasulullah S.A.W. “sesiapa yang memencilkan diri daripada
jamaah akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang
terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh
syaitan yang dikenali.
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS